❣ Bab 6

HAYYAN merenung tak berkedip melihat mesej yang baru sahaja diterimanya sepuluh minit yang lepas.

Yannis
Jangan lupa weekend ni kita balik Kedah.

Hayyan mengetuk-ngetuk permukaan peha. Televisyen yang masih bernyala di hadapan langsung tak menarik perhatian dia.

Dah tiga hari berlalu sejak pertemuan antara Hayyan dan Yannis di restoran dulu. Hayyan buntu. Dia tak tahu macam mana nak beritahu Dato Mikhael dan Datin Jasmine tentang 'perkara' yang satu itu.

Tak ada angin, tak ada ribut, tiba-tiba je Hayyan nak bertunang. Mahu luruh jantung Dato Mikhael dan Datin Jasmine nanti.

"Abang!" sergah Hanis, adik Hayyan.

Bahu Hayyan terjungkit ke atas. Dia terkejut. Mencerlung tajam mata dia perhatikan Hanis yang duduk di sebelah.

"Hanis dah kenapa tiba-tiba sergah along? Dah lama hidup ke?"

Hanis buat tak endah dengan kata sinis daripada Hayyan.

"Jauh abang termenung. Abang teringatkan siapa?" tanya Hanis.

Muka Hayyan yang tadi berkerut bengis mula reda. Dia beriak biasa.

"Tak ada fikirkan siapa-siapa," dalih Hayyan.

"Tipu!"

"Abang banyak lagi kerja nak buat. Tak ada masa nak kelentong Hanis, lah!" Hayyan bela diri.

Hanis juih mulut ke arah telefon Hayyan. Bukan dia tak nampak mesej yang baru diterima oleh Hayyan.

"Siapa 'Perempuan Gila' yang abang mesej tu?"

Seperti peluru, Hanis terus bertanya tanpa berkias.

Kasar Hayyan menelan air liur. 'Perempuan Gila' yang Hanis maksudkan ialah Yannis. Sengaja dia simpan nombor Yannis dengan nama tersebut.

"Tak payah sibuk lah!" Hayyan pura-pura marah.

Hanis mengesot ke arah Hayyan. Bersentuh bahu dia dan bahu Hayyan. Kening dijongket berkali-kali. Dia senyum senget.

"Girlfriend baru abang ke?" siasat Hanis.

Pap! Dahi jendul Hanis dijentik kuat.

"Abang... Sakit lah dahi Hanis!" ringis Hanis. Digosok dahi dia yang berdenyut.

"Siapa suruh Hanis merepek malam-malam ni?"

Hanis berdecit. "Mana ada Hanis merepek. Hanis nampak lah mesej abang dengan Perempuan Gila tu."

Hayyan buat tak layan dengan decitan Hanis. Mesej daripada Yannis dibalas sepatah.

"Kenapa dengan hujung minggu ni?" Sibuk Hanis bertanya.

Hayyan mendengus kasar. Adik siapa lah busybody sangat ni.

"Mind your own business, Hanis."

Usai berkata begitu, Hayyan bingkas bangun. Diatur langkah untuk naik ke bilik tidurnya. Malas dia nak menjawab soalan-soalan yang bakal diajukan oleh Hanis.

"Kepoh macam paparazzi," gerutu Hayyan.

-------

"MUMMY... Daddy..." panggil Hayyan.

Selepas diambil kira semua faktor, pagi itu, Hayyan putuskan untuk memberitahu Dato Mikhael dan Datin Jasmine tentang rombongan meminang Yannis.

Dato Mikhael dan Datin Jasmine mengangkat muka. Mereka memandang antara satu sama lain sebelum mata terpasak pada Hayyan.

"Kenapa, Hayyan?" soal Datin Jasmine bila Hayyan tak menyambung.

Hayyan gelisah. Duduknya serba tak kena. Digaru kepala yang tak gatal.

"Abang nak kahwin," ujar Hayyan senafas.

Bunyi dentingan sudu dan garfu jatuh ke pinggan kedengaran. Masing-masing terlopong, tak percaya dengan apa yang baru dikhabarkan oleh Hayyan.

"Ha... Hayyan cakap apa tadi?"

Tergagap-gagap Datin Jasmine menyoal. Selama ni, Hayyan lah yang paling liat sekali nak bercakap pasal kahwin.

Datin Jasmine masih terkejut. Setahu Datin Jasmine, tak pernah lagi Hayyan bawa pulang mana-mana perempuan untuk berjumpa dengan dia dsn Dato Mikhael. Bercinta apatah lagi.

"Hayyan cakap, Hayyan nak kahwin. Bulan depan bertunang. Hujung minggu ni, Hayyan bawa mummy dan daddy pergi Kedah untuk masuk meminang," terang Hayyan.

"Hayyan jangan bergurau, sayang! Hayyan ingat benda kahwin-kahwin ni bahan gurauan ke?"

"Tak, mummy. Hayyan tak bergurau. Hujung minggu ni kita pergi Kedah. Hayyan bawa mummy dan daddy jumpa family belah perempuan," ujar Hayyan serius.

Datin Jasmine memandang Dato Mikhael. Mata dipincing dan dihalakan ke arah Hayyan.

"Siapa perempuan tu? Mummy dan daddy kenal ke?"

Kini, giliran Dato Mikhael untuk bertanya. Hayyan angguk, yakin.

"Kenal, kenal sangat. Mummy dan daddy dah pernah jumpa dengan bakal tunang Hayyan tu," jawab Hayyan.

Berlapis dahi Dato Mikhael dan Datin Jasmine. Setahu mereka, belum pernah lagi mereka berjumpa dengan kekasih hati Hayyan.

"Siapa ?" Serentak Dato Mikhael dan Datin Jasmine bertanya.

"Yannis. Yannis Mikayla," jawab Hayyan ringkas.

Tak hiraukan pandangan Dato Mikhael dan Datin Jasmine yang terkebil-kebil memandang dia, Hayyan gigit sandwich di tangan.

"Yannis Mikayla tu ke orang yang abang save sebagai Perempuan Gila?" tanya Hanis tiba-tiba.

Hayyan tersedak. Mak aii, tak ada salam terus terjah adik dia ni. Dia berdehem sebagai balasan.

Mata Hanis membuntang. Dia mencebik.

"Tak sweet langsung abang ni. Apa pula save nombor girlfriend macam tu," komen Hanis selamba.

Hayyan tersedak lagi. Air teh yang berada di hadapan disisip laju.

"Ah, panas! Panas!"  jerit Hayyan apabila air teh menyentuh hujung lidahnya. Tangan Hayyan mengibas-ngibas muka.

Hanis gelak. Nampak sangat Hayyan gelabah sebab dia dah dapat tangkap siapa perempuan yang Hayyan berbalas mesej tadi.

"Hareudang hareudang hareudang... Panas panas panas," nyanyi Hanis berselang-seli ketawa.

Ni kalau buat Tiktok lagu "Hareudang" tu, mesti Hayyan viral. Maklum lah, siapa je yang tak kenal Hayyan? Lebih-lebih lagi Hayyan jarang aktif di laman sosial.

Tepi kepala Hanis disekeh. Tajam Hayyan menjeling Hanis. Hanis tergelak.

"Ampun, ampun. Hanis gurau je," tukas Hanis cepat-cepat.

"Hayyan, mummy nak tanya ni." Datin Jasmine mencelah.

"Mummy nak tanya apa?"

"Bila pula Hayyan bercinta dengan Yannis? Mummy dan daddy tak pernah tahu pun."

Hayyan garu belakang kepala. Aduh, susah sangat soalan Datin Jasmine ni! Jenuh dia nak jawab.

"Err... Love at the first sight, maybe?" jawab Hayyan teragak-agak.

Takkan lah Hayyan nak buka cerita pasal perjanjian mereka pula. Membebel panjang Datin Jasmine nanti. Silap-silap, telinga dia pun kena piat.

Datin Jasmine senyum mengusik.

"Malam ni ajak Yannis datang rumah. Kita dinner sama-sama," suruh Datin Jasmine.

Hayyan terdiam. Satu hal pula dia nak kena beritahu Yannis. Dia mengeluh perlahan. Nasib kau lah, Hayyan.

------

BUNYI notifikasi yang terbit dari telefon pintarnya buatkan Yannis mengerling.

Nanti-nanti lah dia tengok apa yang bising sangat telefonnya tu. Lebih baik Yannis fokus terhadap pemanduan dia. Dia belum hilang akal lagi nak biarkan nyawanya melayang macam roti Gardenia yang enak dimakan begitu saja.

Yannis pusing stereng untuk membelok ke kiri. Hari ni, dia ada meeting dengan pihak produksi.

Alhamdulillah, rezeki Yannis bila ada satu production team yang menghubungi Diya untuk tawarkan satu job mengacara kepada dia.

Ya, secara tak rasmi, Diya sebenarnya personal assistant separuh masa Yannis. Tapi, tugas Diya sekadar menjadi orang tengah antara Yannis dan pihak produksi.

Kalau ikut apa yang Yannis faham, dia akan diikat kontrak selama dua tahun untuk menjadi pengacara dalam satu rancangan bual bicara yang terkenal di Malaysia.

Disebabkan ada beberapa hal yang Yannis kurang faham, terus Yannis bersetuju untuk berjumpa dengan kak Aida, penerbit bagi rancangan Bicara Santai.

Yannis tarik brek tangan ke atas. Usai punat lock pada kunci kereta ditekan, Yannis mengatur langkah untuk masuk ke dalam bangunan stesen televisyen.

Mati langkah Yannis bila telefon dia tak henti-henti berdering. Tanpa melihat siapa pemanggil, Yannis seret butang hijau.

"Kau ni tak reti baca mesej ke apa?" marah orang di talian sana.

Yannis jauhkan badan telefon dari telinganya. Dilihat identiti si pemanggil.

Hayyan.

Yannis keluh kecil. Muka dimaniskan walaupun dia tahu Hayyan tak akan nampak muka dia sekarang ni.

"Assalamualaikum, abang Hayyan sayang."

Hayyan berdehem sekali. Dia malu sendiri. Disebabkan geram dengan Yannis, terus diterjah Yannis tanpa salam.

"Waalaikumsalam."

"Abang Hayyan nak apa call baby Yannis pagi-pagi buta ni? Pagi-pagi lagi dah marah-marah. Tak sakit ke anak tekak tu jerit-jerit, sayang?" tanya Yannis dengan nada mengada.

Hayyan juling bola mata. Sengaja betul Yannis nak sakitkan hati dia.

"Ah! Kau ni memang tak ada rasa malu ke nak menggedik dengan aku? Terhegeh-hegeh bila tengok lelaki," sinis Hayyan.

Yannis diam. Hati dia ni kebal. Bukan senang-senang kacang peas je dia nak 'sentap.'

"Kalau saya malu, susah lah saya nak buat awak cintakan saya," balas Yannis selamba.

Jam tangan di tangan ditilik. Mata Yannis melilau. Tertancap anak mata dia pada susuk tubuh kak Aida yang berdiri di tengah lobi syarikat.

Yannis angkat lima jarinya yang membawa maksud 'lagi lima minit saya datang.' Kak Aida angguk.

"Lagi lama aku layan kau, lagi biul kepala otak aku."

Bila Hayyan tak habis nak menyinis dia, terus Yannis tanya tujuan utama Hayyan menghubungi dia pagi ini.

"Hmm ada apa awak call saya ni? Tak pernah-pernah call."

 "Mummy ajak kau dinner dekat rumah malam ni. Pukul lapan aku datang rumah kau. Sharp," beritahu Hayyan lebih kepada mengarah.

Yannis terngadah. Hayyan nak datang rumah dia?! Habis lah dia kena bahan dengan Diya nanti.

"Eh, awak tak payah datang jemput saya! Saya drive sendiri je nanti," bantah Yannis.

 Hayyan mendengus.

"Ada aku cakap kau boleh membantah? Tak, kan? Pukul lapan malam... Sharp, aku nak kau dah ada dekat depan rumah."

"Ta-"

Lagi lama Hayyan bercakap di telefon dengan Yannis, lagi lama rasanya Yannis cuba beri alasan.

"Jangan lupa send location rumah kau dekat aku."

Hayyan memotong percakapan Yannis seraya memutuskan talian.

Melopong mulut Yannis. Hayyan boleh end call macam tu je?! Bengkak pula hati dia ni.

"Argh, geramnya aku!" jerit Yannis dengan suara tertahan.

Mata-mata staf yang melihat kelakuan dia langsung tak dihiraukan. Yannis laju melangkah masuk ke dalam lif. Butang bernombor lima ditekan.

------

"AKU gerak dulu," beritahu Yannis semasa dia melangkah keluar dari bilik.

Diya yang sedang bersantai di hadapan televisyen sambil mengunyah keropok ikan memusingkan kepala ke belakang.

"Aik, kau nak pergi mana?" tanya Diya.

Mati langkah Yannis dengan soalan Diya. Ditundukkan sedikit mukanya ke bawah dan ulas bawah bibir digigit perlahan.

Aduh, apa dia jawab pada Diya ni!

"Err... Aku ada dinner date," jawab Yannis perlahan.

Mata Diya membuntang. Balang berisi keropok ikan di tangan diletakkan di atas meja. Diya bangun dan berjalan mendekati Yannis.

"Uish, dinner date! Dengan siapa? Hayyan ke?" tanya Diya teruja.

Yannis garu pipi. Diangguk sekali.

"Pergh, dah proceed!" usik Diya.

Yannis ketuk kepala Diya perlahan.

"Tak ada maknanya dah proceed. Datin Jasmine ajak aku dinner dekat rumah mereka. So, Hayyan datang lah sini untuk pick up aku," cerita Yannis.

Yannis terkedu sekejap bila tersedar yang dia dah tersalah cakap.

'Aduh, kenapa lah mulut ni kepoh sangat!' kutuk Yannis dalam hati sambil mengetuk kepala.

"Hayyan pick up?!" jerit Diya.

Mana Diya tak terkejut, tak sampai dua minggu Hayyan dan Yannis berjumpa, Hayyan dah datang ambil Yannis di rumah mereka.

Dalam masa dua minggu juga, Yannis dijemput untuk makan malam bersama keluarga Dato Mikhael.

Hesy, Diya yang dengar ni pun dah melopong. Apatah lagi kalau peminat-peminat Hayyan yang dengar. Confirm dah masuk breaking news.

Kedua belah tangan Yannis naik untuk menekup telinga. Entah berapa oktaf lah frekuensi suara Diya tadi. Kuat sangat!

"Kot ya pun kau terkejut, tak payah lah menjerit. Nanti kalau ada jiran dengar ke apa, dah timbul gossip baru pula," marah Yannis.

Diya sengih seperti kerang busuk. Simbol peace diangkat.

"Sorry, sorry. Aku tak boleh nak control mulut aku ni bila tahu Hayyan datang pickup kau."

"Dah, aku keluar dulu. Nanti kalau aku lambat, membebel pula abang idola kau tu," cebik Yannis.

Yannis hayunkan langkah ke muka pintu. Rak kasut yang tersedia berdekatan pintu dihampiri. Sepasang kasut tumit tinggi berwarna hitam diambil lalu disarungkan ke kaki.

Diya membuntuti langkah Yannis. Dia berdiri di belakang Yannis sambil melambai ke arah Hayyan yang sedang bersandar di pintu kereta.

"Jaga diri kau baik-baik. Ingat sikit, kau dan Hayyan berdua je dalam kereta tu. Takut ada yang ketiga pula nanti," pesan Diya panjang lebar.

Walaupun dia dengan Yannis kadangkala ibarat anjing dengan kucing, Diya tetap risaukan Yannis.

Maklum saja lah, hubungan mereka berdua terlalu akrab. Cubit peha kiri, peha kanan turut terasa

"Ya, Cik Diya Zulaika. Aku ingat pesan kau. Kau jangan risau lah!"

"Kalau ada apa-apa, cepat-cepat call aku." Diya menitip pesan.

"Ya. Kau tu jangan lupa kunci pintu pula! Aku pergi dulu," pamit Yannis.

Berdetak-detuk bunyi kasut tumit tinggi Yannis mengetuk lantai. Dress kembang berwarna nude yang labuh menyapu lantai amat menyukarkan pergerakan kaki Yannis.

Bila Yannis rasa langkah dia terlalu perlahan, hujung dress ditarik ke atas sedikit untuk memudahkan kaki dia mengatur langkah.

------

BUNYI hentakan kasut tumit buatkan Hayyan menoleh. Jatuh rahang Hayyan apabila melihat Yannis.

"Kenapa awak ternganga tengok saya? Dah jatuh cinta ke?" tanya Yannis sebaik saja dia berdiri di hadapan Hayyan.

Hayyan tutup mulut yang terbuka sedikit. Ditarik senyum sinis.

"Tak ada makna aku dah jatuh cinta," jawab Hayyan.

Malas nak berlama-lama di luar, Hayyan boloskan diri ke dalam kereta dan diikuti oleh Yannis.

"Habis, kenapa awak terlopong tengok saya? Mengaku je lah, abang Hayyan sayang. Awak memang dah fall in love dengan saya yang cantik ni, kan?" ujar Yannis, riak.

Hayyan langsung tak menoleh. Cekap tangan dia mengawal stereng.

"Jadi, kalau aku tengok macam tu, maknanya aku dah jatuh cinta dengan kau ke?"

"Mesti lah!" Ceria Yannis menjawab.

"Heh, nonsense!"

Yannis tak berpuas hati. Kalau betul pun Hayyan cakap Hayyan dah jatuh cinta pada dia, dia takkan ketawakan Hayyan.

"Habis, kenapa awak pandang saya tak berkelip tadi?"

Hayyan kerling muka Yannis dengan ekor mata.

"Lain kali, kalau kau rasa nak angkat hujung kain tu masa berjalan, tak payah gatal-gatal nak pakai dress." Dingin Hayyan menegur.

Sejujurnya, Yannis memang nampak cantik sangat malam ni. Tapi, bukan tu yang menjadi sebab rahang Hayyan terjatuh tadi.

"Hah? Apa maksud awak ni, Hayyan?" tanya Yannis, tak faham.

"Kau fikir, bila kau angkat hujung dress kau macam tadi tu... Lelaki tak pandang ke? Of course lah mereka tengok. Kau tahu tak, betis kau nampak tadi? Walaupun tak nampak banyak, aurat kau tetap terdedah." Panjang lebar Hayyan menegur Yannis.

Ya, tu lah yang mengganggu fikiran Hayyan apabila nampak Yannis tadi. Dia rasa nak marah, tapi dia tak punya hak untuk menegur.


Walaupun agak malu dengan teguran daripada Hayyan, Yannis tetap membela diri.

"Tapi, susah tau tak saya nak jalan sebab dress ni labuh sangat? Asyik nak tersadung je."

Hayyan geleng kecil. Muka tetap dingin.

"Dosa tetap dosa, Yannis."

Ringkas, tapi menusuk tepat ke hati Yannis.

--------

LEPAS saja Hayyan tegur Yannis tadi, masing-masing diam membisu. Perjalanan mereka cuma ditemani oleh lagu yang diputarkan oleh DJ radio.

"Muka tu, tak payah nak masam-masam sangat. Nanti mummy dan daddy ingat kau tak suka pula datang rumah aku ni," tegur Hayyan sebelum dia melangkah keluar dari kereta.

Yannis berdecit. Dia cuba memaniskan muka sambil membuntuti langkah Hayyan.

"Aku dah beritahu mummy dan daddy pasal kita," beritahu Hayyan semasa mereka berjalan beriringan.

Dahi Yannis berkerut. Dia toleh untuk memandang muka Hayyan.

"Pasal kita?" soal Yannis.

"Hmm... Pasal pertunangan tu."

Nak tercekik tekak Hayyan nak sebut perkataan "pertunangan." Tak pernah dia fikir yang dia akan berjumpa jodoh dalam situasi begini.

"Oh!" Sepatah Yannis membalas.

"Kalau mummy dan daddy tanya kau apa-apa nanti, pandai-pandai lah kau goreng."

Sempat Hayyan berpesan sebelum dia laju melesapkan diri ke dalam rumah.

"Eh, Hay-"

Tak sempat Yannis menahan, tubuh Hayyan dah pun hilang dari pandangan mata. Yannis mengeluh.

"Asyik kena tinggal je aku ni," rungut Yannis.

Yannis termangu di depan pintu. Nak ketuk atau nak beri salam? Tapi kalau dia beri salam, orang dekat dalam rumah ni boleh dengar ke?

Yalah, rumah ni besar bukan main lagi. Silap-silap kena guna pembesar suara baru orang dengar suara dia yang merdu ni.


"Akak ni... Kak Yannis ke ?"

Teguran dari belakang buatkan Yannis menoleh.

"Ya, saya Yannis."

Walaupun agak pelik dengan kehadiran seorang perempuan bertocang ekor kuda, Yannis tetap ukir senyum.

"Saya Hanis, adik Hayyan."

Hanis menyua tangan untuk bersalam. Melilau mata dia mencari kelibat Hayyan.

"Mana abang?" tanya Hanis.

"Err... Hayyan dah masuk rumah." Teragak-agak Yannis nak menjawab.


"Teruk lah abang tu... Ada ke patut dia tinggalkan akak sorang-sorang kat sini. Jom masuk, kak Yannis!" pelawa Hanis.

Ditarik tangan Yannis untuk membuntuti langkah dia ke dalam rumah. Dalam hati, Hanis dah berkira-kira untuk mengadu domba pasal Hayyan.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top