PROLOG

7th Streets Bookstore, Seksyen Quabaq, Interstellar..

"Berita terkini, terdapat dua Aktiviti Portal Phantom sedang berlaku di bahagian timur dan barat laut Interstellar. Pihak Keamanan dan Pemburu Phantom tidak pasti sebesar mana portal tersebut dan menyarankan untuk penduduk Interstellar untuk menjauhi kawasan tersebut."

Sebuah berita bersiar di kaca televisyen yang ditonton oleh beribu penduduk Interstellar termasuk seorang remaja bermata biru yang sibuk mengunyah kentang goreng di kaunter sebuah kedai buku. Matanya sibuk menatap skrin televisyen yang tergantung di siling kedai.

"Sepertinya aktiviti Phantom semakin teruk," kata remaja itu dengan mulutnya yang penuh.

"Abang Ais, kunyah dulu sebelum cakap!" marah seorang remaja berkaca mata yang sibuk membaiki sebuah robot sfera di dalam sebuah bilik yang kelihatan seperti bengkel membaiki, tidak jauh daripada remaja bernama Ais itu.

"Yalah, yalah." Ais menelan lebihan kentang yang masih dikemam.

"Solar, sampai bila aku kena jaga kaunter ni? Aku nak tidur," rungut Ais sambil bahagian atas tubuh badannya bersandar pada permukaan kaunter.

"Sehingga kedai tutup hari ini, Abang Ais semalam putus janji kata nak jaga petang tapi Abang Ais tidur sampai ke malam." Solar membalas dengan tidak puas hati.

"Kelmarin aku penat, okey? Kalau bukan sebab tiga abang beruk kau tu, dorang dah lama terperangkap dalam Portal Phantom." Ais pula membalas, tidak mahu kalah juga.

"Eleh, alasan." Solar mencebikkan bibirnya, dia memasang semula komponen pada robot sfera itu sebelum cuba menghidupkannya.

BZZT! BZZT! BOOM!

"Agh?!"

Robot sfera itu meletup sedikit setelah direnjat dengan elektrik untuk menghidupkannya, Solar terbatuk-batuk sambil mengipas-ngipas asap yang keluar daripada robot itu.

"Ugh, gagal lagi." Solar merungut.

"Adakah itu robot spare kau?" soal Ais.

"Ya, aku tak sangka yang tenaga Phantom kelmarin bakal rosakkan robot ini sepenuhnya." Solar mengeluh.

"Tiada komponen lebih ke?" soal Ais lagi, dia sambung mengunyah lebihan kentang goreng yang ada di atas pinggan.

"Ada tapi itu untuk robot sfera utama aku. Lagipun orang pasti curiga kenapa aku nak beli komponen robot sfera yang mampu tahan tenaga Phantom," kata Solar.

"Benar juga dengan kerajaan yang tiba-tiba membuat undang-undang membeli komponen robot sfera berlesen, susahnya hidup sekarang ini. Sekarang kita cuma boleh harap dengan tiga beruk tu je untuk curi komponen-komponen robot sfera." Ais merungut lagi.

"Solar!"

BANG!

Tiba-tiba seseorang berambut biru terus merempuh masuk ke dalam kedai buku itu, mengejutkan Ais dan Solar.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top