15
Key tatal skrin telefonnya sambil duduk melunjur di birai katil. Baca apa yang patut, isu-isu semasa yang sedang hangat dekat media sosial.
Sesekali dia angkat muka untuk lihat samada pintu bilik air di dalam bilik tidur mereka itu sudah terbuka ke belum.
Daun pintu masih rapat tertutup tanda Hat masih belum keluar.
Dia tunduk semula tengok telefon, tapi tak sampai beberapa saat, telinga Key dengar bunyi pintu terbuka.
Terus dia bangun dan berdiri. Telefon dia campak ke atas katil. Key pergi dekat Hat dengan muka penuh rasa ingin tahu.
"Macam mana, Firhat?"
Key nampak muka Hat sedikit muram. Dia hulur kit putih dekat Key.
Dia ambil, dan lihat permukaan kit itu. Cuma ada satu garis. Key cari mata Hat, dia jumpa.
"Sorry, Syauqi." Ucap Hat perlahan.
Key mengeluh. Luluh hati dia mendengarkan perkataan maaf yang keluar dari bibir Hat. Laju dia pergi tarik Hat, badan itu dia dakap penuh sayang. Tangan melingkar memeluk hangat, bahu Hat dia tepuk lembut.
Satu ciuman dia singgahkan ke pelipis Hat yang dekat dengan bibirnya.
"Tak apa Firhat, tak payah minta maaf. Nothing to be sorry, okay?"
Ucap Key penuh ikhlas. Sedih tu memang sedih, mereka dah setahun setengah berumah tangga, tipulah kalau kata tak teringin nak pegang anak sendiri, tapi rezeki tu Allah akan bagi pada waktu yang tepat.
Bukan pada saat yang mereka mahu, tapi saat mereka sedia.
Key percaya itu.
* * *
Hat macam biasa, kalut bila dia lihat jam sudah menginjak ke angka 7.30 pagi. Dia ambil beg tangan di hujung kaki katil, lalu sangkutkan ke bahu kemudian Hat pergi pula ke almari kecil di sudut bilik, lalu dia buka satu laci.
Hat ambil satu gumpalan stokin dan letak dalam beg tangan.
"Telefon Firhat dah ambil?" Key tanya sebaik dia masuk bilik dengan satu beg kecil di tangan yang berisi dengan makanan untuk Hat bawa ke pejabat sebagai sarapan.
"Dah, dah."
"Charger?"
"Eh, belum! Alamak, dekat mana ya charger saya? Syauqi nampak tak?"
Key menggeleng perlahan tengok kekalutan isterinya. Itulah, bangun lagi lambat. Pukul enam setengah tadi Key dah kejut, dia kata nanti dulu.
Kan dah kelam kabut...
"Nah, Firhat pakailah saya punya charger dulu, nanti saya cari Firhat punya." Key hulurkan pengecas telefon dia yang terjuntai di tepi katil kepada Hat, dia isi ke dalam beg berisi makanan tadi.
"Ni apa?" Hat tanya bila beg berpindah tangan.
"Saya buat sandwich telur, ada susu sekali dalam tu. Nanti Firhat makan dekat office."
Hat buka sedikit mulut beg untuk lihat isinya. "Ni ada duit?" Hat keluarkan sekeping duit RM 20 yang dia jumpa dekat atas bekas makanan.
"Ambillah, buat belanja. Beli makanan untuk lunch."
Hat menyengih, dapat duit belanja! Rezeki jangan ditolak, bahaya jangan dicari bak kata orang.
Dia simpan duit itu dalam beg semula kemudian Hat pergi dekat Key, dia jengketkan sedikit kaki lantas pipi sang suami dilagakan dengan pipinya, ringkas.
"Terima kasih, Syauqi. Saya pergi dulu, tolong kunci pintu boleh?"
Key angguk. Dia ikut Hat sampai ke depan pintu, dia tunggu Hat tunduk pakai kasut sampai dia dah berdiri tegak dan berlalu pergi. Tapi baru beberapa langkah, dia pusing semula buatkan Key mengangkat kening.
"Kenapa, Firhat?"
"Good luck jumpa dentist." Dan Hat sudah menghilang di sebalik dinding.
Ketawa Key dah pecah. Nakal!
* * *
Key pergi depan cermin di meja solek Hat. Dia buka mulutnya dengan seluas yang boleh. Mata dah tertancap di biasan giginya yang sudah bertampal.
Key tekan-tekan gigi yang terlibat. Kurang sikit rasa sakit berbanding sebelum-sebelum ini.
Dah dekat sebulan dia tanggung sakit sebab gigi berlubang, sampai kadang tak lena tidur. Berdenyut-denyut!
Kadang elok, kadang tidak. Sampai gusi jadi bengkak. Seksa!
Hari ini, Key dah tak tahan, dia ambil cuti nak pergi klinik gigi. Syukur bila doktor periksa tadi, terus tampal sekali memandangkan tekanan darah Key pun normal.
Dia selak bibir bahagian atas untuk periksa bengkak di gusi, ada satu benjolan kecil seperti bisul di situ, sudah sedikit bernanah.
Key tekan-tekan untuk periksa tapi agaknya agak kuat, bisulnya pecah sampai berdarah.
Kalut dia buka laci meja solek Hat, nak cari tisu. Ada, tapi tisu kompak yang belum berbuka. Malas dia nak buka yang baru, nak guna cuma sehelai. Key ambil kapas kecil yang dia selalu nampak Hat tenyeh dekat muka.
Jadilah...
Kapas tadi dia tekap dekat gusi.
Bila dah siap, Key tunduk tengok laci yang dah terhampar dengan segala macam barangan milik si isteri.
"Banyaknya..." Kata Key dengan mata yang rambang. Ada satu kotak kecil, dia buka, penuh dengan batang gincu pelbagai warna. Sebelahnya pula, ada tiub-tiub sederhana tersusun rapi.
"Apa ni? Concealer?" Key baca apa yang tertulis. "Ni? Benda apa pula? Foundation? Sama je warna."
Primer, concealer, foundation, highlighter, compact powder, moisturizer, sunscreen, repairing serum, day cream, night cream, hydrating serum, toner, lip balm, lip tint, lip cream.
Key belek satu persatu segala harta benda milik Hat yang ada depan mata.
Mak ai...
Patutlah berejam Hat duduk dekat meja ni setiap hari kalau macam ini banyak produk dia pakai. Kalau Key mandi, dia keluar bilik air, siap solat, siap berwirid, siap doa mengaji semua siap, Hat tak bangun-bangun lagi.
Dia susun balik kesemua barang kosmetik milik Hat kemas-kemas seperti asalnya, bimbang nanti mengamuk pula Hat kalau Key buat sepah.
Baru dia nak tutup, Key perasan ada satu sampul putih terselit di celah-celah kotak gincu.
Key ambil, sebaik dia buka, air mukanya berubah.
"Firhat?"
* * *
Hat tolak pintu dengan bahu kerana tangan dia penuh dengan barang. Dia biarkan pintu terbuka, lalu masuk meletakkan barang yang dia jinjing ke atas meja makan.
Baru Hat patah semula dan tutup pintu.
Beg tangan yang tersangkut di bahu dia letakkan ke atas sofa. Sunyi je rumah, Key mana?
Hat pergi jenguk ke dalam bilik tidur, terus bibir dia melebar tengok Key tengah baring membelakangkan pintu sambil hadap komputer riba.
"Syauqi."
Key angkat muka, menoleh sekejap ke arah dia, kemudian dia kembali ke posisi asal. Tidak menyahut, tidak memberi sebarang respon.
"Syauqi dah makan? Saya ada belikan bubur McD tu, sakit lagi tak gigi?"
Hat pergi berdiri di depan Key sambil dia tanggalkan segala aksesori yang ada di pergelangan tangan.
"Awak makanlah dulu." Kata Key langsung tidak berkalih mukanya dari skrin.
Hat perasan, Key tak macam selalu. Ada aura yang berbeza sedang menyelubungi suaminya ketika itu.
"Syauqi?"
"Tak apa."
"Gigi sakit lagi ke? Tadi pergi klinik doktor cakap apa?"
"Biasa je." Jawab Key, juga sama seperti tadi, langsung tak mahu memandang dia buatkan Hat terdiam.
"O, okey." Hat sedikit terasa, tapi dia tak mahu berlebih ambil hati. Mungkin Key sedang menahan sakit.
Biarlah dulu. Nanti-nanti, bila dah elok, pasti Key akan jadi seperti biasa. Hat pujuk diri sendiri.
Hat berlalu dari situ, dia tanggalkan baju kerjanya, lalu tuala disangkut ke atas bahu sebelum menghilang ke dalam bilik air.
Barulah Key menoleh ke belakang, memandang kosong pintu yang menyembunyikan sosok tubuh Hat.
Wajah dia masih beku.
Hanya beberapa saat, dia kembali baring seperti tadi.
Dah, habis sweet sweet.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top