Bab 4

MAK Ani masih sibuk menyiang ikan. Lewat pula dia memasak hari ini gara-gara berbual dengan jiran yang datang ke rumahnya sebentar tadi. Nak harapkan Hawa, asyik nak berkurung dalam bilik aje.

"Assalamualaikum, mak."

"Waalaikumussalam." Serba salah Mak Ani. Tak sangka anaknya pulang lebih awal. Hadi masuk ke dalam rumah melalui pintu dapur.

"Mak baru nak masak. Tadi mak..."

"Mak membawang dengan siapa pula kali ni?" Laju Hadi mencelah.

Terkulat-kulat orang tua itu. Hadi hampir nak tergelak. Tengok muka emak yang berkerut tu, tahu sangat sindirannya tepat.

"Dah dahlah mengata hal orang, mak. Tak baik." Hadi sekadar memberi nasihat.

"Hish... mana ada mak mengumpat. Mak cuma dengar aje jiran kita tu bercerita. Mak Chom yang datang tadi."

Hadi gelengkan kepala sambil tergelak kecil. Peluh di wajahnya dikesat dengan tuala yang disangkut di bahu. Air masak dituang ke dalam cawan. Laju dia meneguk air itu sehingga habis. Penat seharian membersihkan kawasan surau bersama orang kampung. Ada gotong royong di sana.

"Adik mana mak?"

"Ada dekat dalam bilik. Tidur lagilah tu."

Hadi hela nafas panjang.

"Mentang-mentang cuti sekolah, asyik nak membuta aje. Kejap lagi suruh dia ikut Di. Dari buang masa, baik dia tolong Di dekat warung."

"Yalah. Ni jiran sebelah bagi kuih karipap. Makanlah."

Makin lebar senyuman Hadi. Dia capai karipap dan disuap ke dalam mulut. Sampai terpejam matanya menikmati kuih itu.

"Ni mesti Mira kan yang buat?" Teka Hadi.

Mak Ani tersenyum sambil mengangguk. Tangannya lincah membersihkan ikan di singki.

Hadi pandang kuih karipap di pinggan. Terbayang senyuman manis Amira. Gadis itu sedang bercuti sekarang.

"Jangan nak tersengih macam tu. Nampak sangat Di gelojoh."

"Nampak sangat ke mak?" Tersengih-sengih Hadi.

Mencebik bibir Mak Ani. Tahu sangat anak terunanya itu sudah tidak sabar bernikah. Dia sendiri terkejut apabila Mak Kiah bersetuju untuk menyatukan anak mereka. Cuma yang buat dia tak berkenan, tentang wang hantaran.

"Sungguh ke Di boleh kumpul duit tu?"

"Boleh, mak. Hadi minta masa dua tiga tahun. Cukup aje, kami akan langsungkan pernikahan. Sementara ni, biarlah Mira habiskan belajar dulu."

Bakal isterinya sekarang sedang menyambung pelajaran. Hanya tinggal satu semester. Sudah tentu dia bangga Amira sudah sampai ke tahap sekarang.

"Tadi mak ada berbual dengan Mak Kiah."

Hadi pasang telinga.

"Dia cakap, lepas Mira kahwin dengan Di, dia nak suruh Di ikut Mira ke KL. Yalah, Mira tu mesti nak kerja dekat sana."

Hadi tergamam seketika. Tak pernah lagi dia dan Amira merancang untuk berpindah ke Kuala Lumpur.

"Mak tak kisah. Lagipun bila dah jadi suami isteri, tak salah kalau Mira tu nak bantu Di. Cuma mak harap, jangan sampai Di ikutkan sangat kemahuan Mak Kiah tu."

Hadi tayang wajah bingung.

"Maksud mak?"

Mak Ani tarik nafas panjang. Dia berdiri menghadap Hadi.

"Sebenarnya, mak risau kalau Mak Kiah tu nak ambil warung cendol Di. Manalah tahu, dia gunakan Mira..."

"Mak ni... cara mak cakap, macamlah keluarga Mira tu ada niat jahat," celah Hadi tanpa sempat Mak Ani habiskan ayat. "

"Mira tu Di kenal sangat. Dia bukan jenis perempuan mata duitan. Kalau dia jenis perempuan macam tu, dari awal lagi Di dah tolak." Tambah Hadi lagi.

"Mak cuma nak ingatkan aje. Belum kahwin lagi, dah macam-macam Mak Kiah rancang. Jujur mak cakap, mak berat hati nak izinkan Di kahwin dengan Mira."

Terus berubah wajah Hadi. Pantas dia mendekati orang tua itu.

"Jangan macam tu, mak. Setiap perbuatan Di, dengan restu mak. Di nak sangat mak restu hubungan kami berdua."

Tak sampai hati pula Mak Ani melihat wajah keruh anaknya. Ikutkan hati, dia memang tak berkenan dengan sikap bakal besannya.

"Di memang sayangkan Mira?"

"Sayang mak. Kalau mak tanya hubungan kami macam mana, kami masih dalam fasa saling nak mengenali. Mira pun dah setuju, nak bercinta selepas nikah. Itu lebih baik supaya kami sama-sama menjaga diri."

Sejuk hati Mak Ani mendengarnya. Hadi memang anak yang baik. Selalu menjaga batas pergaulan. Disebabkan itu dia agak terkejut apabila Hadi meminta dia merisik Amira.

"Mak jangan susah hati ya. Doakan anak mak dimurahkan rezeki."

"Ehmmm... yalah."

Mak Ani pantas menyambung kembali tugas memasak. Hadi masuk ke biliknya. Dia masih lagi terfikirkan perkara yang dibualkan tadi bersama emak.

Ikutkan hati, mahu saja dia mengajak gadis itu berjumpa dengannya. Namun dia rasa tak manis pula. Tiba-tiba dia teringat kata-kata Meon beberapa hari yang lepas. Tentang sikap Mak Kiah.

"Hisy... aku pun tak baik fikir yang bukan-bukan."

Hadi capai tuala dan berura-ura untuk membersihkan diri. Lepas Zuhur nanti, dia perlu membuka warung cendol bersama Meon.


ALUNAN muzik semakin rancak. Terliuk-liuk tubuh langsing Elly menari di tengah kelab malam. Segala tekanan yang dihadapi beberapa hari yang lalu, dilepaskan di sini.

Setelah hampir setengah jam menari, Elly kembali ke tempat duduk. Air mineral diteguk rakus. Nafas ditarik panjang.

"Minum air kosong aje? Tak nak cuba yang ni ke?" Sengaja Lucy menghulurkan minuman keras kepada Elly.

Jarang Elly tidak mengambil minuman keras jika ke sini. Hari ini agak pelik pula melihat Elly sekadar datang ke sini untuk menari.

"Aku tak ada mood nak minum."

Lucy tergelak sinis. Selamba sahaja dia meneguk minuman keras itu di hadapan Elly.

"Kenapa?" soal gadis cina itu.

"Johan."

Ternaik kening gadis cina itu. Dia dah agak. Hanya lelaki itu saja yang selalu buat sikap Elly berubah.

"Apa yang dia buat sampai kau marah sangat?"

Elly hembus nafas kasar. Kaki disilang sehingga menampakkan pehanya yang gebu.

"Dia tolak aku. Bodoh! Lelaki itu langsung tak nak bagi aku peluang."

Hampir tersedak Lucy. Tak percaya Elly ditolak mentah-mentah oleh Johan.

"Kau dah cakap dekat dia pasal perasaan kau?"

"Dah." Satu persatu Elly ceritakan apa yang berlaku di hotel tempoh hari.

Jatuh rahang Lucy. Sesuatu yang menarik. Sebelum ini, ramai lelaki tak kira bangsa, sukakan Elly. Hanya gadis itu yang tidak mahu disebabkan cinta mati terhadap Johan.

"Sudahlah, Elly. Ramai lagi lelaki yang kau boleh dapat. Budak tu yang rugi sebab tolak tuah."

"Tak. Aku tetap akan dapatkan dia. Tunggu bila aku dah balik ke sana. Aku akan cari dia."

Seram pula Lucy mendengarnya.

"Kau janganlah jadi perempuan psiko. Dulu kau sanggup upah orang untuk dapatkan maklumat keluarga dia. Itu pun dah jadi satu kesalahan jenayah tau."

Elly julingkan biji mata. Dia peduli apa. Yang penting, dia tahu semua tentang hal Johan. Termasuklah Raudah.

"Macam nilah. Tak lama lagi kita nak balik Malaysia untuk latihan di sana. Apa kata kau cuba kenal dengan orang lain."

Elly tergelak sinis.

"Aku bukan macam kau. Boleh tukar lelaki macam pakai lampin buang. Sejahat aku, aku ni tetap setia orangnya."

"Oh, god! Tolonglah sedar. Johan tu memang tak akan pernah sukakan kau."

Sakit juga hati Lucy. Elly hidup dalam keluarga yang senang. Tetap juga nak mengejar lelaki kampung.

"Kau tak faham. Dia tak sama seperti lelaki yang aku kenal. Aku boleh rasa, dia ikhlas berkawan dengan aku sebelum ni."

Bergenang tubir mata Elly. Hubungan mereka berubah selepas dia meluahkan isi hatinya kepada lelaki itu. Tak sangka Johan terus menjauhkan diri darinya selepas kejadian itu.

"Kau betul-betul ke cintakan dia?" soal Lucy.

"Yes."

"Tapi aku tak nampak semua tu. Yang aku nampak, kau cuma terlalu obses dan hanya nak puaskan hati sendiri."

Elly terdiam seketika.

"Kita ni, kalau dah cintakan seseorang, tak akan sakitkan hati dia. Tapi kau ni, siap ugut dia lagi dengan benda bodoh. Nasib baik dia tak buat report. Terpulanglah. Aku dah bagi nasihat. Cuma aku pelik..."

Elly toleh ke arah Lucy. Dia masih mahu mendengar kata-kata Lucy.

"Kau cakap, dia pernah tinggalkan tunang sehari sebelum bernikah. Itu ke lelaki yang kau anggap baik?"

Terhenyak Elly dengan kenyataan Lucy. Pada mulanya, dia akui agak terkejut mendengar kisah Johan. Namun melihat lelaki itu masih setia dengan cinta pertamanya, membuatkan Elly tercabar untuk mendekati Johan.

"Aku tetap anggap dia lelaki baik. Mungkin dia ada alasan sendiri."

Lucy angkat kedua tangannya ke atas. Tanda menyerah kalah untuk menyuruh Elly lupakan Johan.

"Aku nak jumpa dia esok. Aku nak minta maaf. Mungkin perbuatan aku tempoh hari agak melampau. Sebab tu dia marah sangat dengan aku."

"Mustahil kau boleh jumpa dia esok."

Hampir bertaut kening Elly.

"Kenapa pula?"

"Seriuslah kau tak tahu?"

Elly rasa tak sedap hati. Gadis cina itu kelihatan serba salah. Dia sangka Elly sudah tahu dan disebabkan itu mereka ke sini.

"Johan balik Malaysia malam ni."

"Ha?!" Tercengang Elly. Terus dia berdiri tegak. Wajahnya terus berubah pucat.

"Kau... kau tipu aku."

Mustahil Johan balik ke Malaysia hari ini. Menurut lelaki itu, dia akan pulang ke sana pada minggu hadapan.

"Betul. Aku tak tipu. Aku dapat maklumat ni dari Eric."

"Bila flight dia?"

"Sepatutnya sejam lagi."

Tanpa membuang masa, Elly capai kot miliknya. Kunci kereta Lucy dirampas. Kelam-kabut dia berlari keluar dari kelab malam itu. Suara jeritan Lucy tidak dihiraukan.

Dia memandu kereta itu dengan laju. Hampir 20 minit memandu, dia tiba di lapangan terbang. Puas dia mencari kelibat Johan di setiap kawasan. Namun bayang lelaki itu tidak ada di sini.

"Hey, Elly. Why you here?" soal Eric.

"Eric! Where Johan?"

Lelaki itu kelihatan bingung. Jarinya telunjuknya dihala ke arah pintu perlepasan.

"He's gone. You're only two minutes late."

Kaki Elly terundur ke belakang. Dia tak sangka lelaki itu pergi dalam keadaan hubungan mereka yang agak tegang.

Elly melangkah keluar dari lapangan terbang itu. Sakit hatinya apabila perasaannya tidak dihargai oleh Johan. Kali ini, Elly nekad. Dia tetap akan cuba dapatkan lelaki itu. Biarlah dia dianggap gila. Asalkan dia dapat mencapai impiannya hidup bersama Johan. 

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top