"Aku nak cakap apa lagi dengan dia, Edayu. Dia saja tak nak faham," Jelita mengadu pada Edayu yang muncul malam itu bersama risalah pelancongan ke Vietnam. Tiket penerbangan murah sudah dibelikan Raha, Jun nanti mereka akan berlepas pergi!
Apa yang sudah terjadi antara dia dan Norman termasuk dalam perbualan mereka gara-gara beberapa jambangan bunga yang memenuhi rumah Jelita.
Edayu menguntum senyum. Kasihan Jelita. Sukar juga jadi orang secantik dia, fikir Edayu yang tidak sedar dia sendiri tidak kurang ayunya.
"Dia nak ke peringkat yang seterusnya la tu. Kau tak mahu ke jadi girlfiend dia? Comel apa Norman tu. Kalau aku, aku 'on' je," pujuk Edayu sambil ketawa.
Raha yang disebelah mereka ikut ketawa. "Sama lawalah kau berdua kalau jadi 'couple', Ellie pun pernah cakap perkara yang sama masa kita di U dulu," sambungnya.
"Ha! Sebut nama aku ya!" tegur Ellie yang selesai menghidangkan jus oren yang dibawa dari rumahnya untuk disantap bersama brownies yang dikukus Edayu siang tadi.
"Tak, dulu kau pernah kata 'couple' yang lagi comel daripada Mun dengan Mas ialah Jelita dengan Norman, kan?" kata Raha mengingatkan.
"Oh, ya, masa tu kita di semester tiga kan? Aku baru jadi saksi Jelita jadi lady in shining armour Norman waktu tu. Jelita tenyeh hidung mamat tu. Norman pula tak menolak. Sesuai betul rupa Norman diangkut dek Jelita ke klinik. Tengok-tengok, ada siaran ulangan rupanya," Ellie mengusik dan dua lagi ketawa.
"Siaran tertunda la!" tambah Edayu. Yang dua orang lagi sambung ketawa.
Jelita tidak ikut serta.
"Apa salahnya kau ajak saja dia keluar Jelita? Dia nakkan peluang kedua la tu.. Sebab kali pertama dulu dia terlepas peluang. Kalau aku jadi dia memang merana, dekat 10 tahun berlalu baru tahu yang rupanya awek paling cun dalam batch kita pernah ajak keluar.." Raha menganalisa.
Edayu memandang Ellie. "Ellie, kau kata Norman pernah jumpa kau sekali lepas dia balik sini. Apa dia cerita?"
Ellie terkedu sekejap. "Ugh, dia macam tahu je aku ada hati pada Izzat Affan, beriya galakkan. Kan 'best buddy' dia tu boss aku! Dia kata Izzat tu senpai paling baik la, setia la, takkan kecewakan aku la," adu Ellie tak puas hati.
"Eh, melalut hal Izzat pula. Maaf ya. Ah Jelita, dia ada kata yang dah sampai masanya aku, dan dia juga, serahkan hati pada orang yang layak dibahagiakan.. Aku rasa sekarang dia dah jumpa calonnya.. Ehemm.." kata Ellie penuh makna.
"Ah, boleh percaya ke kau ni Ellie, kau tengah mabuk suka pada Izzat entah-entah tak dengar apa yang Norman bebelkan. Tapi aku pun rasa Norman nak jadikan kau calon teman istimewa la Jelita," usik Edayu.
"Aku tak mahu lah jadi calon sesiapa. Aku nak bujang sampai ke tua. Bercinta ni akhirnya membunuh hati sendiri je," bantah Jelita degil.
"OK, OK. Dah cukuplah kita dera Jelita. Kita ke Vietnam untuk raikan status bujang kita OK?" kata Raha yang tak tahan lihat muka sedih Jelita.
****
Petang Jumaat itu, Jelita dan sepupunya sedang melangkah ke keretanya yang diletak di Jusco Maluri. Nak ke Rumah Keluarga Besar malam nanti, mestilah bawa buah tangan. Jelita memang rindukan Ishaq dan Anis yang bijak serta Q, Wirda dan Mohsein yang berbakat itu.
Ternampak pula seorang wanita yang agak berusia terkial-kial mengelilingi kereta Honda yang terletak di sebelah kereta Jelita. Tangannya penuh barang.
"Assalamualaikum Auntie, kenapa tu?" tegur Jelita.
Wanita itu cemas saja rupanya. "Waalaikumsalam! Ni ha, kunci kereta tertinggal dalam kereta, tahu-tahu dah terkunci di luar," kata wanita itu.
Jelita dan sepupunya Mila terus jatuh kasihan. Dahlah wanita itu membawa banyak barang basah. Mila terus membantunya dengan mengangkat barang sambil Jelita cuba melihat ke dalam kereta mencari kunci. Di tempat duduk pemandu diamnya.
"Ada kunci 'spare' di mana-mana? Rumah? Pejabat? Kami hantarkan auntie ke situ?" tawar Jelita
"Di rumah ada. Dekat je rumah auntie, di taman seberang jalan besar depan ni saja, tapi tak susahkan anak-anak ke?" tanya wanita itu.
"Eh.. Tak lah, mari kami hantar. Nanti sayang barang-barang basah Auntie beli tu basi di luar ni," kata Jelita lalu dia dan sepupunya mengangkat barang wanita itu masuk ke dalam kereta Jelita.
"Maaflah, susahkan anak berdua je, Auntie tak biasa bawa kereta ni, tapi terdesak. Anak nak balik dari outstation mesti minta gulai kejap lagi," terangnya sambil duduk di kerusi belakang.
"Tak susahlah! Nama Auntie siapa? Saya Mila, ni kakak sepupu saya, Jiji," kata sepupu Jelita ramah.
"Panggil Aina saja.." kata wanita itu. Kemudian Jelita diberitahu lokasinya rumahnya dan mereka memandu perlahan ke situ sambil bersembang tentang Mila yang baru tamat universiti.
Makin dekat dengan rumah Auntie Aina, Jelita mula menggelabah. Sampai depan rumah, berpeluh Jelita jadinya. Seingat Jelita, ini rumah Norman Effendy!
Dia cuba mengingat rekaan pagar banglo era 80an yang pernah dilihat dalam suasana malam ketika mengiring Norman pulang dari klinik Dr Kidir. Rasanya betul, inilah rumahnya. Kalau tak salah tekaannya, Auntie Aina pula, ibu Norman!
Wanita berusia itu mengajak masuk sambil barangnya diambil. Terpaksa jugalah Jelita masuk, takkanlah nak biarkan wanita itu bawa seorang barangnya. Syukurlah Jelita tahu, Norman akan sampai dari Sarawak sekitar pukul 6 petang. Sekarang ini mesti Norman mencari teksi untuk keluar dari KLIA.
"Jiji, Mila, minum dululah," pelawa Auntie Aina. Mila buka mulut mahu setuju, tapi dipotong deras dek Jelita.
"Eh, jangan susah-susah Auntie, baik kita cepat pergi ke Jusco semula. Kereta Auntie terbiar tu. Kuncinya boleh nampak dari luar," pujuk Jelita tidak mahu lama-lama. Sambil itu barang-barang Auntie Aina mereka bawa hingga ke dapur dan yang perlu disimpan terus diletakkan dalam peti ais.
Sempat juga Jelita nampak potret keluarga di dinding rumah mewah itu.
Sah.
Memang dia berada dalam rumah ibu bapa Norman. Pernah Norman ceritakan yang walaupun dia sudah ada rumah sendiri di Cyberjaya, dia duduk dengan ibubapanya kerana tahu mereka sudah terlalu rindukan dia yang lama tidak tinggal sebumbung.
Walaupun menarik sekali banglo 1980an milik ibu bapa rakannya, Jelita tak mahu bertembung dengan Norman di rumahnya sendiri.
"Eh, ya juga. Tak apa, lepas ni makan malam dengan keluarga Auntie ya. Gulai udang dengan kerabu perut tau dalam menu. Rumah ni cuma tinggal Uncle, Auntie dan Didi anak teruna Auntie je. Uncle ni belum balik main golf pula," kata Auntie Aina.
Didi? Hahaha!
Jelita sempat ketawa dalam hati walaupun otaknya sudah keluarkan amaran agar cepat beredar.
"Sedap bunyi gulai udang tu! Tapi maaf ya Auntie, lain kali pula, saya kena bawa Mila balik ke rumah emaknya malam ni," tolak Jelita sambil cuba membayangkan Norman dipanggil Didi dek Auntie Aina.
"Sedap betul bunyi menunya Auntie. Kerabu perut wahhh.. Mesti itu resipi istimewa kan?" celah Mila mengambil hati.
Pada sepupunya Mila buat muka tapi Jelita segera mencuitnya agar diam saja. Geram Mila mengenangkan terlepas peluang merasa kerabu perut.
"Lah, sayangnya. Lain kali datang ya? Auntie memang suka masak. Mila ajak Jiji datang, Auntie buatkan kerabu perut dengan bunga kantan," balas Auntie Aina sedikit kesal kerana dia berkenan betul dengan Jiji yang nampaknya sesuai digandingkan dengan Didi.
****
"Memang lawa-lawa budak-budak yang tolong mama tu Didi. Sopan santun, peramah, mesti keluarganya mesra. Mama ada ambil nombor telefon Mila untuk bagi resipi kerabu, tapi rasanya Jiji tu lebih sesuai dengan Didi sebab nampaknya dia lebih matang," cerita mama Norman waktu makan malam itu.
"Susah nak jumpa orang muda berbudi bahasa sekarang. Syukurlah mama ada orang tolong tadi," kata papanya.
Mendengar kisah ibunya diselamatkan pasangan sepupu yang berbudi itu Norman senyum, tapi tidak dapat menumpukan perhatian. Mungkin ibunya kini ada jula-juli bintang penyelamat, tapi Norman teringatkan gadis penyelamat peribadinya.
Beberapa hari di Kuching dia puas merencana. Norman ada rancangan penting malam ini yang bakal mengubah hubungannya dengan Jelita.
Selesai saja makan malam dengan keluarga, Norman terus menghubungi Jelita.
Bila telefon berdering lama dia mula risau, apakah Jelita sudah tak sudi dengar suaranya. Nasibnya baik sebab pada deringan ketujuh Jelita menjawab.
Jelita: Hi, Norman, seronok di Kuching?
Norman: Hi Jelita. Kuching memang bandar yang happening. Awek pun lawa-lawa. Awak sihat?
Jelita: Sihat...
Jelita ketawa untuk tutup rasa geram yang menghairankan dirinya sendiri bila dengar Norman sebut tentang 'awek'.
Norman: Dah makan? Awak ada di rumah? Jom, 'supper'.
Jelita: Saya dah makan di Rumah Keluarga Besar tadi. Ni baru masuk rumah sendiri. Saya teman awak minum saja boleh?
Norman: OK juga.. Boleh awak turun dalam lima belas minit lagi? Saya dah nak bertolak ke rumah awak ni.
Jelita mula rasa gusar. Macam ada sesuatu akan berlaku. Tadi dia bersetuju sebab gaya Norman mengajak macam ajakan biasa. Dia tak gunakan perkataan 'Sayang' seperti minggu lepas, jadi Jelita mula rasa minggu lepas cuma gurauan saja.
Tapi bila diberitahu yang dia sudah menuju rumahnya, gerak hatinya mengatakan Norman ada hal penting untuk dibicarakan.
Jelita nekad. Kalau Norman minta dia ajak keluar sekali lagi seperti masa U dulu, siaplah, Jelita akan boikot daripada bertemu Norman sampai bila-bila.. yang dia mampu.
Walaupun dia akan kehilangan seorang kawan, sekurang-kurangnya dia takkan sakit jiwa memikirkan cara-cara mengelak jadi 'flirt buddy' Norman dan kecewa sendiri kerana dia masih takut nak menerima orang baru dalam 'love life'nya.
****
Mereka berbual seperti biasa sambil minum kopi dan makan sup tulang di restoren Kantin Sekolah yang dekat lokasinya dengan rumah Jelita. Norman yang sangat rindukan Jelita tidak sentuh langsung tentang hal minggu lepas.
Sebaliknya Norman bercerita tentang hal warga kerjanya di Sarawak yang menyambutnya dengan luar biasa. Jelita pula selesa semula untuk berkongsi hal pelajarnya yang ditawarkan menyambung pelajaran ke Australia tapi tidak ada dana.
"Jangan risaulah, bila surat sokongan awak dan pengetua kolej sampai ke MARA cerahlah masa depan dia," kata Norman.
"Saingan sengit sekarang. Lulusan seni tak macam lulusan sains, Norman," kata Jelita.
"Kalau awak ada pasti semuanya selamat," balas Norman yakin.
"Sebab saya penyelamat tak bertauliah?" kata Jelita
"Yes, awak kan 'my personal Wonder Woman'," usik Norman.
Jelita menjeling saja.
Norman mengeluarkan sekotak hadiah yang agak kecil saiznya. Kotak itu disuakan pada Jelita.
Wanita itu terdiam beberapa saat tapi akhirnya menerima.
"Apa ni?"
"Saya beli untuk awak di Sarawak. Bukalah," minta Norman.
Tak sukar membukanya, dan isinya bukanlah kek lapis Sarawak. Jelita ternampak jam tangan berjenama Tissot di dalam. Mak, mesti mahal harganya.
"Jelita. Saya nak minta sesuatu daripada awak, boleh?" Norman meminta sebelum sempat Jelita cuba menolak hadiahnya. Dia tiba-tiba serius.
Berat jantung Jelita mendengarnya. "Saya nak dengar dulu apa yang awak nak tu."
Norman memandang Jelita, dan dia tahu Jelita menunggu sebutir bom hidrogen daripadanya. Baiklah, dia akan letupkan saja.
"48 jam," katanya.
"Awak nak masa?" tanya Jelita tidak faham.
"Masa awak, untuk diluangkan bersama saya."
"Tu je? Tapi nak buat apa dalam tempoh tu?"
"Jadi girlfriend saya," kata Norman.
"Huh?! Awak nak menyakat saya lagi ke Norman?" tanya Jelita seakan-akan tak percaya apa yang didengarnya.
"Saya nak awak, jadi pasangan saya, untuk tempoh 48 jam. Saya akan minta awak buat tiga perkara, dan awak juga boleh minta tiga perkara daripada saya," terang Norman.
"Kenapa perlu buat semua ni, Norman?" tanya Jelita lagi dan nalurinya mengesan perangkap.
"Saya rasa keinginan saya nak awak ajak saya keluar dating sekali lagi ni, menghalang persahabatan kita. Setiap kali jumpa awak saya terkenang betapa bodohnya saya waktu tu dan 'what if.. What if we're attracted to each other? What if there was chemistry between us? What if we had started dating from that moment on?"
Jelita terdiam. Sebenarnya dia juga ada terfikir begitu.
"Tapi saya tahu awak tak mahu bercinta dengan sesiapa, kan?" ujar Norman tenang.
Jelita mengangguk. Pedih untuk dia akui tapi dia tahu kalau dia cuba bercinta lagi, lebih lagi pedih yang menanti.
"Jadi bagilah saya jadi kekasih awak, untuk satu hujung minggu saja. Lepas tu saya janji takkan bangkitkan lagi hal awak ajak saya keluar di universiti," pinta Norman.
Jelita terdiam. Kenapa dia yang sepatutnya lega ada jalan untuk buat Norman lupakan hal di U itu tiba-tiba rasa hampa mendengar permintaan Norman itu?
Norman meneruskan cadangan. "Saya nak minta, untuk tempoh 48 jam, kita jadi pasangan bercinta. Ada nama panggilan manja, hadiah bertukar tangan, beli bunga, kongsi coklat, jalan mesti berpegangan tangan, tangkap gambar sama, buat aksi comel macam beri 'flying kiss', toreh nama pada pokok, peluk bila tengok filem seram.."
"Say what?!"
"OK pokok tak perlu ditoreh, tulis nama atas pasir pantai boleh kan?" Norman cepat-cepat mengubah.
Muka Jelita masih kabur reaksinya, cuma kerut di keningnya saja yang dapat Norman baca.
"Dan saya akan ajak awak buat tiga perkara romantik bersama dan awak boleh pilih tiga perkara yang awak mahu lakukan bersama saya. Malah awak nak minta lebih-lebih pun tak apa, selagi tak melepasi batas agama," kata Norman lagi.
"Apa tiga perkara yang awak nak minta tu?"
"Kalau awak setuju, di hari mulanya tempoh 48 jam tu, saya akan beritahu, satu demi satu," kata Norman dengan nada penuh misteri.
Dacing akal Jelita bergegar dalam otaknya. Dia menimbang baik buruknya cadangan gila Norman.
"Saya tak nak. Nanti awak paksa saya buat 'bungee jumping' di Menara KL, tak sanggup rasanya."
"Nothing life threatening, awak boleh letak syarat tu kalau awak mahu. Tapi saya pun boleh letak syarat juga. Kalau awak tak mahu aktiviti stunt, saya nak minta awak panggil saya dengan panggilan manja mulai hari ini juga," tawar Norman.
Jelita masih belum pasti. "Jadi sepasang kekasih palsu.. Dua hari.. Tiga permintaan.. Macam budak-budak je Norman," komen Jelita.
"Eh siapa kata fake couple. Real. Tulus. Ikhlas. In a way, yeah, childish. But weren't we just kids back then? 48 hours, young, carefree and in love. What have you got to lose?" cabar Norman.
My heart lah! Bentak Jelita sendiri. Tapi hati remajanya yang pernah sukakan Norman dan tak pernah kecewa bercinta tiba-tiba muncul kembali. Teringin juga nak merasa.
Norman cuba mempengaruhi lagi. "Tamat saja tempoh 48 jam, we come right back to this point. To this very moment. Saat ini kita masih selesa berkawan, kan? Saya sayangkan persahabatan kita, Jelita, awak pun begitu juga kan? Jadi selesai saja semuanya, sahabat selamanya."
Jelita mengangguk. Itu benar, dia memang sayangkan persahabatannya dengan lelaki itu. Mungkin dia patut setuju saja.. Tapi kenapa ada segaris kecewa bila Norman kata mereka akan jadi sahabat selamanya?
"Saya.. Saya fikir dulu, Norman?" pinta Jelita.
"Saya bagi awak tempoh 48 jam juga untuk fikirkan. Tapi kalau awak tolak, saya tak jamin saya boleh tahan diri saya daripada minta awak ajak saya dating lagi, ya? Entah-entah hari-hari saya akan cuba nasib, ya lah, selagi awak masih belum berpunya," Norman ugut sedikit.
C'mon Jelita. Aku mahu kau kata ya. Aku nak tunjukkan yang kita serasi bersama. Aku nak kau nampak yang kau tu untuk aku dan aku ni.. Untuk kau seorang saja.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top