BAB 9

Hawa tersentak. Lama dia terpaku tanpa kata kerana terlalu keliru. Asyraf seperti tidak berminat dengannya, tetapi mahu perkahwinan antara mereka dilangsungkan. Sekali lagi Hawa terkepung dengan perasaan yang ganjil.

Hawa telan air liur. Dia palingkan wajahnya ke sisi. Gagal memberikan apa-apa reaksi terhadap kehendak lelaki itu.

"Bagi saya masa untuk berfikir," balas Hawa.

Dia meraba atas meja, mahu mengambil telefon pintarnya. Dia mahu segera meminta Farish mengambilnya kerana tidak betah berlama-lamaan di situ. Setelah tangannya berjaya mencapai telefon pintar, Hawa terus lega.

"Saya minta maaf mengganggu masa Encik Asyraf. Terima kasih sudi datang." Hawa memaniskan wajah.

"You nak balik?" Berkerut dahi Leo.

Hawa mengangguk. Dia bangun dengan tertib. Jika tergesa-gesa, bimbang hilang keseimbangan dan menjatuhkan kerusi pula.

"Insya-Allah ada kesempatan kita jumpa lagi." Hawa tarik senyuman nipis di bibir.

"I nak nombor telefon you," pinta Leo seraya bangun menghampiri Hawa.

Hawa terpaku apabila telefon di tangannya diambil oleh lelaki itu. Dadanya kembali berdebar kencang. Lebih-lebih lagi apabila lelaki itu menyerahkan kembali telefon dengan cara menyentuh jari-jemari Hawa. Tidakkah Asyraf tahu antara mereka tidak sepatutnya ada sentuhan walau sekadar sentuhan bersahaja?

Hawa menarik tangannya ke sisi. Terkejut apabila jari-jemari kasar Asyraf mengenai belakang tangannya.

"Call me anytime. I tunggu you tapi jangan ambil masa yang lama. By the end of this September, it's a perfect time to marry you."

Hawa tidak sempat berkata apa-apa apabila lelaki itu telah pun berlalu pergi. Mendengar bunyi tapak kaki lelaki itu menghilang, Hawa segera menelefon Farish.

"Ya, puan?" Suara Farish kedengaran selepas beberapa ketika.

"Saya nak balik sekarang."

"Sekejap, saya ambil puan."

Talian dimatikan.

Hawa mengambil tongkat yang dilipatnya di dalam beg. Tongkat itu dipanjangkan dan dia bergerak menuju ke luar restoran.

Di luar, hujan sedang turun dengan lebatnya. Hawa menunggu dalam kesejukan malam. Dia termangu-mangu apabila terasa wajah dan tangannya terkena tempias hujan.

Tiba-tiba, lengannya ditarik oleh seseorang. Hawa menapak dua langkah ke belakang. Dalam keadaan terkejut, dia menoleh ke belakang. Dan pada saat itu, Hawa terasa ada sesuatu mengenai dahinya. Sesuatu yang lembut dan agak sensasi. Dua saat kemudian sentuhan itu hilang dari dahinya.

"I just kissed you." Garau.

Hawa segera menjarakkan tubuhnya dengan lelaki itu. Dia tidak menyangka Asyraf masih berada di situ. Dan dia cukup terkejut dengan sepotong ayat yang keluar dari bibir Asyraf. Silapnya kerana terlalu gopoh menoleh. Walhal jika dia menoleh pun, bukan dia nampak siapa yang menariknya.

Menyedari keadaan mereka terlalu dekat, Hawa segera berpaling semula.

Tapi baru saja dia melangkah ke belakang, pinggang Hawa ditarik oleh lelaki itu sehingga menyebabkan tubuh Hawa terdorong ke hadapan. Hampir pecah dadanya apabila berada dalam dakapan Asyraf tanpa sengaja.

"Encik Asyraf!" Tinggi julat suara Hawa. Dia benar-benar tidak suka dengan tindakan Asyraf walau apa pun sebabnya. Dia lebih sanggup basah kehujanan berbanding dipeluk oleh lelaki bukan mahram.

Leo melepaskan tubuh Hawa. Dia bergerak beberapa langkah menjauhi Hawa.

Wajah Hawa yang merah itu dipandang tanpa perasaan. Biarlah perempuan itu marah, bukan dia sengaja mencuri cium dahi wanita itu. Lagipun Hawa sendiri yang menyuakan dahi.

Apabila tidak mendengar suara daripada Asyraf, Hawa kembali cuba bertenang. Dia menggerakkan tongkatnya dan kembali memandang ke arah hujan. Dalam hati dia berdoa agar Farish muncul dengan segera. Dia sudah mahu pengsan dengan situasi yang baru berlaku ini. Baru 15 minit dia bertemu dengan Asyraf. Dan 15 minit itu membuatkan jiwanya kacau-bilau seperti dihempas gulungan ombak ganas.

Sebuah kereta berhenti di hadapan restoran.

Hawa menegakkan kepala, cuba menunggu panggilan Farish.

Leo memandang Hawa sekilas sebelum bergerak menuju ke kereta yang dipandu oleh Farouk. Sebaik sahaja dia masuk ke dalam kereta, Leo menepis rambutnya yang basah terkena air hujan.

"Sekejapnya tuan jumpa dengan Cik Hawa. Itu ke Cik Hawa?" tanya Farouk ingin tahu.

Leo memandang ke arah gadis buta yang berdiri di depan restoran tadi. "Farish yang ambil dia nanti?"

Farouk mengangguk.

"Kalau macam tu, jalan cepat. Mandy tunggu I dekat rumah." Arah Leo tanpa riak.

Farouk hampir tercekik air liur mendengar kata-kata Leo. Kalau beginilah sikap Leo, gadis bernama Hawa itu bakal melalui hidup yang penuh berliku. Leo masih bebas bertemu dengan Mandy. Ini bermakna Leo tidak bersungguh untuk menjalinkan hubungan yang serius dengan Hawa.

Apakah dia perlu ceritakan kepada Farish? Matanya menangkap sebuah kereta yang datang dari belakang. Farouk segera memulakan pemanduan.

Dari cermin belakang, dia ternampak Farish berlari dengan payung ke arah Hawa.

Walau pandangannya tidak begitu jelas, tapi dia boleh nampak Hawa bukan seperti gadis kebanyakan. Hawa nampak tertib dan cantik. Dia pandang pula Leo yang sedang asyik dengan telefon pintar.

Farouk mengeluh tipis.

Mahu saja dia menegur perbuatan Leo. Tapi mengenangkan Leo itu majikannya, Farouk menelan seribu satu perkara yang bermain di dalam kepalanya.  

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top