8. ππ€πƒπˆππ„ 𝐀𝐑𝐙𝐇𝐀𝐄𝐋

BAD GUY
Β©Arleadanial 2019

--Chapter 008--

*
*
*

NIAT yang pada awalnya lagi sudah tersimpan dalam hati, kini jadi nyata.

Saban tahun dirinya hidup terkurung di kediaman ini yang terletak jauh dari kawasan bandar. Akhirnya, dia berjaya untuk angkat kaki dari tempat ini. Jikalau boleh, dia tak lagi mahu kembali. Lagipun, dia berjaya lolos juga bukan kerana dirinya yang berjaya melarikan diri. Tapi, Danial Haesar sendiri yang telah menghantar dirinya keluar.

Kononnya, akan lebih baik andai anak gadisnya ini tinggal dekat dengannya. Cakap besar! Desis Aira. Lelaki tua itu cuma tahu dalam berkata kata. Entah benar benar dimaksudkan atau pun tidak, dia sendiri juga tidak pasti. Tapi, mengenang akan bicara itu lahir dari mulut Danial Haesar, dia menjadi ragu ragu pula.

Masakan Nadine Aira tidak berfikir sedemikian. Sebelum ini, lelaki tua itu tak pernah pula mengambil peduli akan anak gadisnya ini.

Anaknya ini cukup makan atau tidak, sihat atau tidak. Tak pernah. Sekali pun, tidak pernah.

Nadine Aira mengerling ke luar lewat tingkap kereta. Sehinggalah ekor matanya menangkap figura seorang pemuda yang duduk di kerusi pemandu. Tak semena matanya lekas mencari cari akan keberadaan Adam.

β€œAdam dan Louis akan menyusul. Kau dan aku perlu berangkat sekarang.” Barangkali sudah dapat membaca air muka Nadine Aira, pemuda itu terlebih dahulu lekas membuka bicara. Sedikit pun dia tak beri peluang kepada Aira untuk memberi sebarang respons. Sebaliknya, Rayne lekas menghidupkan enjin kereta.

Lantaran kereta yang dipandu olehnya itu meluncur laju meninggalkan perkarangan kotej.
Nadine Aira menggulingkan matanya. Dia sebal akan telingkah Rayne.

Berdua duaan bersama Rayne bikin hatinya meronta mahu menjerut leher lelaki muda itu dari belakang sedang Rayne santai bersandar di kerusi. Biar apa pun yang berlaku setelah itu. Barangkali dua dua akan mati bersama.

Ah, lebih baik dia sambung lena dari terus mengusutkan fikiran.

*
*
*

PERLAHAN lahan dia mencelikkan mata yang masih hanyut dengan lena. Dia tilik jam di pergelangan tangan.

Hari sudah masuk senja. Detik hatinya. Lantaran dia buang pandang ke luar tingkap kereta. Barusan hendak menikmati langit senja yang menguning dengan deruan angin bertiup dingin, dia rasakan kereta yang dipandu mulai laju.

Tak semena sepasang keningnya rapat bertaut kehairanan.

Automatik matanya berkalih melirik jarum meter yang hampir mencecah maksima. Kelajuan kereta yang dipandu oleh Rayne membelah lebuh raya, meluncur laju memasuki terowong yang gelap gelita. Sesekali lelaki muda itu terlihat mengerling cermin sisi. Keluar sahaja dari dalam terowong, kereta dipandu kembali dengan kelajuan biasa.

Rayne bertingkah seolah olah mereka sedang diekori. Dan, kelajuan kereta yang naik secara mendadak itu adalah kerana mahu meloloskan diri. Ah, sesi kejar mengejar? Konyol! β€œAku belum nak mati lagi, Rayne. Lebih lebih lagi mati bersama dengan kau.”

β€œCik Aira tiba tiba berubah fikiran?”

β€œIt’s my right to change my mind. And from now on, I should live my life to the fullest.”

β€œI can’t die yet, Rayne.”

Senyuman sinis terbit di bibir Rayne. Geli hatinya, barangkali.

Perbualan mereka itu cukup setakat di situ sahaja, tak lagi berlanjut.
Rayne kembali fokus memandu.
Sehinggalah kereta yang dipandu oleh pemuda itu berhenti di hadapan sebuah pagar gergasi yang automatik terbuka luas sebaik keretanya muncul. Dia pandu keretanya masuk ke perkarangan rumah agam yang mewah, tersergam indah.

Nadine Aira yang melihat kediaman itu automatik mengepal buku limanya. Kembali menjejakkan kaki ke kediaman itu tak pernah terlintas di fikirannya setelah dia β€˜diusir’ keluar. Kembali ke kediaman itu seperti sengaja membenarkan luka lama berdarah lagi.

Kediaman itu tempat dirinya membesar.

Kediaman yang sepatutnya dia rasa seperti β€˜rumah’.

Rumah yang sepatutnya dirindukan.
Bukannya merasa jijik melihatnya.

*
*
*

RAYNE Arzhael hela keluhan. Lirikan matanya menatap Aira penuh sebal.

Apatah lagi setelah gadis itu berdegil untuk tidak mahu keluar.

Katanya, tak mahu berpindah masuk semula ke kediaman itu. Dia juga berkeras mahu pulang ke kotej.

Telingkah Aira yang persis anak kecil kadang kala memang bikin dirinya sehingga naik darah. Entah bagaimana dia boleh terus sabar untuk melayan kerenah gadis itu. Ah, jikalau bukan mengenang akan budi si Tuan, sudah lama dia angkat kaki. Rayne merengus.

Sapu tangan yang tersisip kemas di kocek seluarnya ditarik.

Lantaran sapu tangan itu disumbat ke dalam mulut Aira. Sekelip mata, gadis itu yang terkumat kamit membebel sedari tadi kini diam. Gadis itu kaget besar. Tindakan Rayne yang mencempung tubuhnya keluar dari perut kereta membuatkan dia terperanjat. Cepat cepat dia paut lengan pemuda itu.

Takut sekiranya dakapan kemas Rayne itu sehingga terlepas. Tak pasal pasal pula tubuhnya jatuh menghempap tanah. Tubuhnya yang dicempung oleh Rayne kemudian didudukkan di atas kerusi roda. Gadis itu masih tak henti berleter, walhal mulutnya masih disumbat sapu tangan. Bukan main dia menyumpah Rayne Arzhael yang saja saja menyentuh dirinya.

β€œKau suka ke, kau tak suka ke, itu terpulang pada kau."

"Aku langsung tak peduli.”

β€œAku cuma ikut arahan. Kalau Tuan aku kata A, aku juga akan kata A. Begitu juga sebaliknya. Kau tak suka tinggal di sini, aku peduli apa, kan?”
Bahu Aira ditepuk olehnya usai dia berbisik di telinga gadis itu. Lantaran dia tolak kerusi roda masuk ke dalam ruangan rumah agam. Nadine Aira mendengus. Dia kesal.

Pemuda itu ada sahaja akalnya untuk bikin gadis ini rasa sakit hati.

β€œSelamat kembali, Aira.”

Sehinggalah suara seorang wanita menyapa telinganya.

Teguran itu menjadi perbualan kali pertama antara mereka setelah sekian lama. Sepasang mata bundar Aira ralit menatap raut wajah wanita itu yang manis dengan senyuman menyambut kepulangannya. Aira sendeng sejenak wajahnya ke sebelah sisi. Sambil sambil matanya ralit melirik wanita itu.

Dia bertingkah seolah olah dia sedang menilai wanita di hadapan matanya itu. Dia nilai wanita itu dari hujung rambut ke kaki. Kala itu, usianya memang masih muda.

Dia masih seorang gadis kecil yang mentah. Tapi, ingatannya terhadap wanita itu masih utuh. Dia kenal siapa gerangan wanita itu. Bahkan, untuk melupakan kewujudan wanita itu baginya cukup sukar. Pada pertemuan kali pertama lagi, wanita ini sudah meninggalkan luka dalam diri si kecil Nadine Aira. Bagi si kecil Aira, wanita ini lah yang telah merampas kebahagiaan ibunya.

β€œKamu masih ingat siapa saya, kan?”

β€œKalau Aira ingat ingat lupa, nama saya Maleena.” Wajah wanita itu masih tak lekang dengan senyuman sedari tadi. Nada suaranya terlontar cukup mesra. Namun, Aira tak perlukan semua itu. Percubaan wanita ini untuk meraih hatinya akan dia gagalkan. Wanita ini boleh lakukan hal itu kepada sesiapa pun. Bahkan, termasuk Danial Haesar.

Tapi, bukan dirinya.

Selagi masa lalu itu masih segar di ingatan, selagi itu ada benci dalam dirinya buat wanita ini.

β€œSaya penat. Saya nak rehat.”

Nadine Aira mahu lekas beredar. Dia tak mahu betah di situ. Jikalau dia terus terusan berlama menghadap wanita itu, emosinya malah semakin berantakan. Memang asbab utama dia tidak mahu kembali ke kediaman ini adalah kerana wanita ini. Wanita munafik, yang cuma tahu berpura pura baik di hadapan matanya sahaja.

Dia memang tidak suka tinggal sebumbung dengan Rayne Arzhael.
Tapi, jikalau dibandingkan hidup di bawah satu bumbung yang sama bersama wanita ini, dia lebih rela terkurung di kotej itu walhal perlu diawasi oleh Rayne sekali pun.

β€œKalau macam tu, biar saya yang hantar kamu ke bilik ya.”

Maleena lekas ambil alih posisi Rayne Arzhael yang sedari tadi sekadar menjadi pemerhati. Pemuda itu seperti biasa akan bawa lagak bersahaja. Dia tidak juga ambil perhatian akan perbualan antara Maleena dan Nadine Aira.

Sedikit pun pemuda itu tidak tertarik untuk tahu. Sebaliknya dia sibuk melayan apa yang bermain main di mindanya sendiri.

Sibuk dengan dunia sendiri.

β€œTak perlu. Puan tak perlu kasihani saya hanya sebab saya lumpuh.”

β€œSaya boleh buat sendiri. Puan beritahu saja bilik saya ada dekat mana.” Jemari Maleena yang menggenggam kemas penolak kerusi roda ditepis. Tak semena wanita itu terkedu dek tindakan Nadine Aira.

Otot mukanya yang sedari tadi naik menyimpul senyuman perlahan lahan kendur. Namun, dia tetap tayang raut wajah manis di hadapan gadis itu. Barangkali gadis ini penat, dan dia pasti perlukan rehat yang secukupnya. Tubuhnya pasti lelah kerana perjalanan panjang dari kotej ke kediaman ini.

β€œRayne, kamu hantar Aira ke bilik ya. Bilik Aira ada dekat sebelah sana.” Tugas itu diserahkan pula kepada Rayne Arzhael. Nadine Aira merengus halus. Lepas satu masalah, satu masalah lain pula timbul.

Bukan main dia berkeras untuk lepas dari Maleena, kini dia terhumban pula ke dalam β€˜mulut buaya’. Mahu tak mahu, dia terpaksa akur. Lagipula, malam sudah lewat. Dia mahu lekas menghempas tubuh ke katil. Apatah lagi setelah seharian suntuk dia duduk di kereta.
Sendi tubuhnya juga lenguh. Kantuk matanya juga semakin melarat.

Tinggal disorongkan bantal sahaja. Pasti dia akan hanyut melayan lena.

β€œBaik, Puan.”

β€œSaya akan hantar Cik Aira ke bilik.”

--TBC--

BαΊ‘n Δ‘ang đọc truyện trΓͺn: AzTruyen.Top