4. ππ€πƒπˆππ„ 𝐀𝐑𝐙𝐇𝐀𝐄𝐋

BAD GUY
Β©Arleadanial 2019

--Chapter 004--

*
*
*


CECAIR likat berwarna merah pekat menitik ke pangkal lehernya.

Cepat cepat dia tutup luka di leher dengan telapak tangan. Atau, cecair itu akan mengotori baju putihnya. Tak semena dia menyumpah seranah dalam diam.

Gadis muda itu sudah berlari keluar entah ke mana. Dia tak juga mengejar. Sebaliknya, dia masih berada di ruangan kamar itu. Luka di lehernya bikin dia mengaduh kesakitan. Lehernya juga rasa kebas. Kepalanya juga sehingga rasa pusing.

Lari.

Lari sejauh mana yang kau mampu.

Tapi, malang sekali, kau takkan dapat lari dari neraka dunia ni.

β€œRayne?”

Sayup sayup kedengaran suara memanggil manggil akan namanya. Sehinggalah kelibat seorang pemuda muncul di muka pintu. Alangkah terkejutnya pemuda itu saat melihat lelaki ini tersandar layu di dinding.

Matanya kemudian meliar ke segenap ruangan kamar yang hening.

Tak kelihatan kelibat gadis itu di mana mana. Dia cuba baca suasana. Pasti sudah berlaku sesuatu. Jikalau lelaki muda di hadapannya ini sehingga cedera seperti ini, pasti kerana ulang gadis itu.

Jikalau namanya api, memang lawannya juga api. Buat sejenak, dia jadi bingung sendiri. Anehnya, lelaki muda ini tampak bersahaja. Padahal tawanannya baru saja berhasil lolos.

β€œRayne, Cik...?”

β€œKau tak perlu risau. Dia sendiri yang akan kembali ke sini.”

*
*
*

SERPIHAN kaca dalam genggaman dia lempar ke atas lantai.

Cepat cepat dia berlari menuruni anak tangga. Sesekali, dia curi pandang ke belakang. Dia mahu memastikan bahawa lelaki muda itu tidak mengekori dirinya. Atau, dirinya akan kembali terkurung di dalam bilik itu.

Dia tidak tahu hendak ke mana. Tapi, apa yang pasti, dia mahu melarikan diri. Apa yang pertama terlintas di benak fikirannya setelah berjaya meloloskan diri daripada lelaki muda itu ialah berlari sajauh yang mungkin.

Berlari sehingga dirinya tidak lagi perlu kembali ke neraka dunia ini.

Namun, langkahan kakinya mati tepat di muka pintu sebaik matanya terpandang akan sebuah kereta yang barusan tiba. Tak semena dia lekas mengundur setapak ke belakang.
Gadis itu kini mematung. Apatah lagi sebaik dia melihat Louis cepat cepat menghampiri kereta mewah itu.

Sepasang matanya perlahan lahan membuntang sebaik melihat sekujur tubuh yang menapak keluar dari perut kereta. Melihat kunjungan lelaki itu, dia lekas berlari mendaki semula anak tangga.

Mulutnya dikatup rapat rapat, dia tak mahu sehingga membuat sebarang suara. Niatnya untuk kabur kini lenyap sekelip mata. Dia sebaliknya kembali ke aras dua.

Bilik kosong menjadi tempat dirinya untuk menyembunyikan diri. Dari dalam bilik kosong itu, dia curi pandang ke luar dari celah pintu yang terbuka. Dari kejauhan, dia melihat lelaki itu menapak masuk dibuntuti oleh Louis. Ralit matanya memerhati lelaki itu yang memandang ke segenap ruangan.

Sehinggalah lirikan mata lelaki itu singgah ke aras dua. Tak semena gadis itu lekas menutup pintu.Β  Dia tak mahu sehingga ketahuan. Apatah lagi saat mendapati bahawa iris mata lelaki itu tepat ke arahnya. Selang kemudian, daun pintu kembali dikuak perlahan lahan.

Dia melirik ke luar dari celah pintu. Kelibat lelaki itu tak lagi kelihatan oleh matanya.

Ayah.

Mata redupnya menyimpan takungan lantas dia tekup mulutnya.

Tubuhnya melorot jatuh ke atas lantai bersandarkan pintu kayu. Sebesar mana pun rasa kebenciannya terhadap lelaki itu, tidak akan dapat menyangkal kenyataan bahawa lelaki itu ialah bapanya.

Bapa kandungnya, darah dagingnya sendiri. Jikalau ibu sehingga tahu bahawa di dalam dirinya ini punya rasa benci terhadap lelaki itu, wanita itu pasti berasa cukup kesal akan anaknya ini. Tapi, gadis ini sudah dewasa. Dia sudah melalui banyak hal dalam hidup.

Ibu tentu faham, bukan?

*
*
*

β€œTUAN.”

Sapaan hormat itu automatik keluar dari celah bibirnya sebaik mendekati sang majikan yang duduk di ruang tamu. Lelaki dewasa berusia lewat 50-an itu berkalih ke sisi buat sekilas usai mencicip kopi hangat.

Kemudian, dia letak kembali cawan kaca ke atas meja. Buat sejenak, matanya sempat mengerling ke aras dua.

β€œCik Muda ada di atas, Tuan. Tuan mahu berjumpa dengan Cik Muda?”

Dia yang dapat membaca air muka tuannya itu lekas bertanya. Namun, si Tuan cuma membisu. Pertanyaan lelaki muda itu dibiarkan sepi tanpa sebarang respons. Namun, lelaki muda ini dapat tebak apa isi hati majikannya itu. Lantaran, dia cepat mencari satu akal.

β€œSebelum pulang, Tuan Danial makan lah dahulu. Saya dah masak. Cuma tinggal nak panaskan lauk.” Si majikan sekadar mengangguk. Si Tuan akur akan permintaan itu.

β€œKalau macam tu, Tuan tunggu sebentar. Saya akan panggilkan Cik Muda untuk turun makan sekali bersama Tuan.” Air muka si Tuan terlihat berubah drastik. Namun, lelaki itu tidak juga berniat menegah perbuatan Rayne. Sebaliknya, sekali lagi dia akur sahaja.

Lantaran pemuda itu pamit hendak ke aras dua sebentar.

Sehinggalah lelaki tua itu memanggil akan namanya. Tak semena pemuda ini kembali berkalih ke belakang menyahut panggilan si Tuan.
Matanya menatap wajah Tuan Danial sedikit bingung.

Sehinggalah dia tersedar akan lirikan mata majikannya itu yang tajam merenung lehernya yang berbalut kain kasa. Oh ya, dia terlupa akan sesuatu! Tapi, masakan dia mahu melaporkan kepada lelaki akan perbuatan anak gadisnya yang semakin hari semakin menjadi jadi.

Dia tidak mahu pula lelaki ini merasa khawatir dan putus asa memikirkan apa lagi yang perlu dilakukan. Dia melihat lelaki itu sudah mencuba banyak cara namun satu pun tiada yang membuahkan hasil.

Jikalau kali ini juga gagal, entah apa lagi yang dapat dilakukan.

*
*
*

SAKI baki minuman dia teguk habis.

Hidangan di atas meja di hadapan mata itu dilahap olehnya penuh rakus. Sedari tadi, kelakuan aneh gadis itu menjadi tontonan mata Tuan Danial. Rasa khawatirnya terhadap gadis itu semakin hari semakin menggunung.

Apatah lagi sebaik matanya melirik tubuh gadis muda di hadapan matanya itu. Lengannya itu dihiasi parut luka dek β€˜didera’ oleh dirinya sendiri. Seolah olah sedikit pun tak peduli andai perbuatan itu mampu meragut nyawa sendiri.

β€œPerempuan gila ni memang tak reti nak cover lengan dia ke?” Rayne berbisik sendiri.

Dia tepuk dahi sendiri dengan kepalan tangan.

Dia cuma memerhati dari kejauhan.
Gadis muda itu bukannya boleh dia biarkan bebas tanpa sebarang pengawasan.

β€œSampai bila kamu nak terus dera diri kamu sendiri? Dan, berapa banyak kali lagi saya pergi pesan pada kamu? Jangan cederakan diri sendiri.” Nada suaranya satu ton sahaja.

Dingin.

Seolah olah mereka itu cukup asing.

Tiada lagi nada mesra dalam setiap bait bicaranya kepada gadis itu.
Sepasang matanya juga tidak betah menatap wajah si anak.

β€œSaya tak suka kalau kamu bahayakan diri sendiri cuma untuk perhatian orang lain.” Tak semena si gadis muda ketawa dek geli hatinya.

Dia hentak kasar sudu besi ke atas meja sambil mengunyah makanan yang barusan disuap ke dalam mulut. Ah, selera makannya baru sahaja membaik sehingga hidangan di hadapan mata rakus dilahap. Tapi, bicara itu pula bikin selera makannya kembali lenyap dalam sekelip mata.

Sehinggakan dirinya tak lagi lalu untuk makan. Bahkan hatinya juga meronta untuk lekas angkat kaki.

β€œPerhatian? Tuan, saya tak minta pun untuk jadi macam ni.”

β€œKalau Tuan bencikan saya, Tuan tak perlu bazirkan masa Tuan untuk datang ke sini. Tuan tak perlu paksa diri Tuan untuk duduk semeja makan bersama saya. Sebab saya tahu, Tuan tentu jijik dengan saya, kan? Saya pun tak minta lah Tuan untuk datang ke sini. Saya lebih suka, saya lebih senang hati kalau Tuan tiada di sini.”

β€œSaya minta diri dulu.” Pamitnya. Dia mahu lekas beredar dari situ. Jikalau dia terus terusan berada di situ, dia alamatnya perlu makan hati sendiri.

β€œIbu kamu tak pernah ajar kamu ke untuk hormati saya?”

β€œAtau, dia bela kamu untuk bencikan ayah kandung dia sendiri?”

Tak semena langkahan kakinya mati sebaik bicara itu menampar gegendang telinganya. Dia kepal buku limanya sambil menahan amarah di dada yang semakin membuak. Bukan main panas hatinya kala itu. Jikalau bukan menuduh sembarangan, memang bukan namanya lelaki ini.

Suka bercakap main lepas. Sedikit pun tak ambil peduli apa kesan sebalik bicaranya.

β€œMengapa saya perlu hormati Tuan sebagai ayah saya?”

β€œTolong tanya diri Tuan dahulu. Layak tak Tuan bergelar seorang ayah? Tuan kurung saya dalam rumah ni macam binatang sebab Tuan malu ada anak yang sakit macam saya, kan? Dengan apa yang Tuan buat ni, layak ke? Tuan cuma tahu pentingkan diri sendiri!”

β€œNadine Aira!”

--TBC--

BαΊ‘n Δ‘ang đọc truyện trΓͺn: AzTruyen.Top