25. ππ€πƒπˆππ„ 𝐀𝐑𝐙𝐇𝐀𝐄𝐋

BAD GUY
Β©Arleadanial 2019





--Chapter 025--

*
*
*

"SAYA datang ke sini sebab Leo yang minta saya untuk jumpa Tuan."

Wanita itu mulai membuka bicara. Setiap kali dia memetik nama Leo, sepasang matanya terlihat berkaca.

Danial Haesar sekadar pasang telinga. Dia kurang selesa untuk berbicara tentang gerangan lelaki yang kerap disebut sebut oleh wanita itu. Namun, kedatangan wanita itu ke mari perlu dia sambut. Wanita itu tamunya. Dia mahu ataupun tak mahu, dia perlu dengar asbab wanita itu ke mari.

"Selagi saya tak beritahu Tuan pasal ni, selagi itu saya takkan tenang."

"Bagi pihak Leo, saya nak minta maaf kepada Puan Maria. Saya juga nak minta maaf kepada Tuan. Tuan, saya mohon, Tuan juga maafkan Leo." Ada titis titis air mata tumpah membasahi pipi wanita itu. Cepat cepat dia menyekanya. Dia tidak mahu pula dirinya sehingga menangis di situ, di hadapan Danial Haesar. Lelaki itu sekadar membisukan diri.

Entah bicara wanita itu sampai atau tidak di telinganya.

Atau, barangkali dia sengaja menolak untuk mendengar. Melihat tindak balas pada wajah Danial Haesar, wanita itu meletakkan fail coklat yang dibawa olehnya ke atas meja. Ditolak fail itu ke hadapan Danial Haesar.

"Saya ada bukti, Tuan yang selama ni Tuan cuma menuduh Leo."

Tak semena Danial Haesar bangkit.

Nafasnya menderu kasar. Barangkali dia sudah bertahan cukup lama.

Dia tidak mahu mendengar lagi soal itu. Dia mencuba untuk tidak naik suara. Walauapapun yang berlaku, wanita itu tetamunya. Tidak manis jikalau dia sehingga naik angin kepada tetamunya itu. Mahu tak mahu dia terpaksa pendam amarah yang membuak buak.

Perlahan lahan dia hembus nafas panjang. Dirinya cuba untuk ditenangkan serta merta.

"Puan, maafkan saya."

"Saya ada alasan untuk setiap apa yang saya lakukan."

"Saya tak mahu dengar tentang hal ni dan Puan tak perlu datang jumpa saya semata mata kerana hal ni lagi."

Nada suaranya terlontar rendah. Kala itu wajahnya terlihat tegang.

Dari bicaranya tersirat keinginan untuk wanita itu segera beredar. Dia tidak mahu mendengar dengan lebih lanjut soal itu. Jikalau boleh, hal lama itu usah dibangkitkan semula. Namun, wanita itu berkeras. Kedatangannya ke sini bersebab. Masakan dia mahu pulang dengan tangan kosong.

Sebaik melihat kelibat Danial Haesar menerpa ke pintu, wanita itu lekas menyambar fail coklat. Sayup sayup kedengaran suaranya membicarakan sesuatu bagi melarang lelaki itu daripada pergi terlebih dahulu selagi tidak mendengar tujuannya ke mari.

"Nick Aiden bukan anak Leo."

"Dan, saya ada bukti yang anak tu ialah anak Tuan dan Puan Maria."

Tak semena langkah lelaki itu mati di hadapan bukaan pintu.

Genggamannya pada tombol pintu bertambah erat. Wanita itu masih tidak putus putus mahu berbicara tentang hal itu. Walhal dirinya sudah menolak untuk mendengar.
Meskipun begitu, dia tetap di muka pintu. "Dalam fail ni, ada keputusan ujian DNA. Ini bukti saya, Tuan."

"Tuan lihat sendiri keputusan ujian ni. Lepas tu, terpulang kepada Tuan untuk menilai. Dan, apa yang pasti suami saya tak bersalah. Puan Maria juga tak pernah menipu Tuan. Tuan yang menuduh sembarangan."

*
*
*


DARI kejauhan, matanya memerhati gelagat wanita itu.

Setapak demi setapak langkah diatur olehnya menerpa ke arah wanita itu. Dia hela nafas panjang. Lantaran dia henyak punggung di samping wanita itu, mengambil tempat di sisinya. Ada jarak yang memisahkan mereka.

Namun, cukup untuk dia mendengar suara wanita itu dengan jelas.

Sehinggalah dia rasakan jemarinya diraih oleh jemari hangat itu.

Tak semena Rayne membatu. Pemuda itu mematung dengan tubuh yang menggeletar. Ralit sepasang matanya yang membuntang memerhati telingkah wanita itu menepuk telapak tangannya sambil berlagu lagu kecil. Dadanya berombak. Dia mahu lekas beredar namun hatinya memaksa untuk dia tetap berada di situ.

Lagipula, menemui wanita itu adalah keinginannya. Dia sudah berfikir panjang sebelum ke tempat ini. Apa yang dia mahukan sudah tercapai.

Jadi, mengapa dia perlu melarikan diri? Jikalau bukan sekarang, bila lagi dia akan persiapkan diri untuk menghadap masa lalunya? "Puan..." Nada suaranya bergetar. Ada keraguan pada bait bicaranya.

"Puan kenal siapa saya?" Dia akhirnya mampu menyuarakan isi hatinya.

Padahal dia cukup takut untuk mendengar jawapan balas daripada wanita itu. Wanita itu ralit menatapnya. Asyik mata bundar wanita itu melirik wajah pemuda di hadapannya. Sedikit pun tidak ambil peduli akan pertanyaan yang barusan disoal kepada dirinya itu.

Rayne lelapkan matanya sejenak. Dia terima kenyataan itu. Saban tahun sudah pun berlalu. Wanita ini barangkali tidak lagi mengenalinya.

Mereka berpisah pun ketika dia masih kecil. Rayne Arzhael akui dia cukup kecewa akan respons itu.
Tapi, dia sudah beranikan diri untuk bertanya. Walhal kenyataan yang perlu diterima olehnya cukup perit.

Barangkali kewujudannya hanya satu memori singkat bagi wanita ini.
Memori singkat yang perit disimpan, dan lebih baik jika memori itu dilupakan.

Tak semena setitis manik jernih yang hangat tumpah ke cerun pipinya. Dia tidak menyangka bahawa dirinya akan menangis di hadapan wanita itu. Dia bungkam. Apatah lagi setelah wanita itu kesat air matanya sambil tak putus putus memujuk supaya pemuda ini berhenti menangis.

"Maaf sebab saya menganggu Puan."

"Saya minta diri dulu."

Rayne Arzhael lekas meminta pamit. Dia mahu segera beredar.

Jikalau dia terus berada di situ, air matanya pasti akan tumpah lagi.
Sepasang mata redup wanita itu menghantar pemergian pemuda yang mendatangi dirinya sebentar tadi.

Ralit matanya memerhati pemuda itu sehinggalah kelibat pemuda itu tidak lagi terlihat oleh sepasang matanya. Dia kemudiannya melirik jemarinya yang basah dengan titis air mata. Lantaran jemarinya itu dibawa ke bibir, dikucup lembut.

"Rayne..."

*
*
*

WANITA itu sudah pun beredar pergi meninggalkan dirinya di ruangan ini.

Fail coklat yang kini ada di tangannya ditatap. Entah lelaki itu akan menilik isi fail tersebut atau tidak. Tapi, hatinya mendesak supaya dia teliti isi fail itu dan terima kebenaran yang selama ini dia inginkan. Tapi, lelaki ini tidak kuat untuk tahu.

Sehinggakan dia lebih memilih untuk hidup dalam keadaan hatinya yang masih merasa ragu dan sangsi.

Dia takut sekiranya kebenaran itu sebaliknya membenarkan tuduhan yang selama ini sering meniti di bibirnya. Dan, bukannya menyangkal tuduhan yang diperkatakan orang sebagai tuduhan yang melulu. Danial Haesar genggam kemas fail di tangan.

Jemarinya menggeletar. Dadanya berombak, dek gemuruh rasa hatinya.

"Kalau benar Tuan meragui kelahiran Nick, kenapa Tuan tak buat ujian DNA untuk buktikan keraguan Tuan dan membenarkan setiap hujah Tuan?"

"Sebab Tuan sebenarnya takut untuk tahu yang tuduhan itu salah, bukan? Sebab Tuan takut yang selama ni ibu tidak pernah menipu Tuan sekali pun."

Sayup sayup kedengaran suara Aira menampar nampar telinganya.

Bait bicara itu masih jelas terdengar di telinganya. Bicara yang bikin dia sehingga membisu. Barangkali kerana dia mengaku telah tewas sebaik sahaja bicara itu meniti di bibir Aira.

Danial Haesar meraup wajahnya dek kesal. Jikalau benar dirinya bukan seorang pengecut dan yakin dengan tuduhan itu, mengapa dia takut untuk tahu tentang keputusan ujian itu? Lagipula, keputusan itu sudah ada di hadapan matanya. Cuma tinggal untuk dilihat supaya dia tahu kebenarannya.

Setelah lama dia berfikir melayan apa yang berlegar di minda, akhirnya lelaki itu mengambil kata putus untuk membuka fail coklat di tangan. Isinya dikeluarkan. Kini, sekeping kertas itu sudah ada di tangannya. Dan sekeping kertas itu akan menjadi penjelasan terhadap rasa sangsinya selama ini.




--TBC--

BαΊ‘n Δ‘ang đọc truyện trΓͺn: AzTruyen.Top