17. ππ€πƒπˆππ„ 𝐀𝐑𝐙𝐇𝐀𝐄𝐋

BAD GUY
Β©Arleadanial 2019





--Chapter 017--

*
*
*


BERUS cat dioles pada kain kanvas sebagai sentuhan terakhir.

Hampir sebulan dia curi masa untuk menyiapkan lukisan ini.

Setiap kali pulang dari sesi rehabilitasi, gadis ini luangkan waktu untuk menyambung lukisan di ruangan kamarnya. Sesekali dia juga akan duduk menung kosong. Seperti si ibu cukup suka akan lukisan, dia lama kelamaan mendapati dirinya juga suka akan hal yang sama.

Dia akui, dia tidak sehebat mendiang Maria Louisa. Untuk jadi hebat seperti ibu juga barangkali mustahil. Tapi, dia punya waktu untuk belajar menjadi lebih baik. Lagipula, sudah lama dia tidak memegang berus lukis.

Sehingga tangannya juga rasa kekok. Acap kali juga dia rasa kesal kerana ada sahaja yang tidak kena pada pandangan matanya itu. Tapi, lukisan ini dapat juga gadis ini siapkan. Walhal ambil masa sebulan. Ralit matanya merenung kain kanvas.
Sehinggalah dia mendengar bunyi riuh rendah dari luar kamar.

Pintu yang sengaja dibiarkan terbuka tidak bertutup membuatkan dia mendengar lebih jelas suara suara di luar kamar. Tak semena dia melirik menatap jam di dinding. Jarum jam barusan tepat mengena pukul lapan. Lantaran matanya kembali merenung ke celah pintu. Kelihatan kelibat Mak Cik Cha berjalan melewati dengan langkah tergesa gesa.

Dahinya berkerut kehairanan. Dek dia mahu tahu apa yang berlaku, gadis itu lekas menolak kerusi rodanya keluar dari ruangan kamar. Dari kejauhan dia melihat kerumunan manusia di tengah ruangan kediaman ini.

Masing masing kelihatannya sedang berbisik antara satu sama lain.

Dia menerpa lebih dekat. Sehinggalah matanya akhirnya tertancap ke arah pusat perhatian. Tak semena sepasang matanya terbeliak sebaik melihat sekujur tubuh yang dipapah masuk.

Ada cecair berwarna merah pekat tak putus putus mengalir ke pangkal tengkuknya. Juga turut tumpah ke sepasang matanya sehingga matanya itu lebih selesa dibiarkan bertutup. Dahinya semakin berkerut. Belenggu kehairanan makin menekannya.
Ralit matanya menatap pemuda itu.

Sehinggalah tatapan matanya itu disambut sebaik pemuda itu perlahan lahan mulai mencelikkan mata. Senyuman tipis tersimpul pada bibir yang pecah.

Barangkali sebagai tanda dirinya itu sedang menyapa gadis ini.

Nadine Aira membisu sambil gadis itu masih kekal dengan reaksi kaget.

Dia mahu bertanya akan sesuatu tapi entah mengapa suaranya seakan akan tersekat di kerongkong. Tak semena niatnya itu terpaksa dikubur dahulu. Dia mahu tahu apa yang telah berlaku kepada pemuda itu?

Dia mahukan penjelasan.

Tapi, tiada sesiapa pun di sini yang kelihatan tahu tentang itu. Matanya yang redup masih melirik pemuda itu. Sehinggalah dia melihat tubuh pemuda itu yang dipapah oleh Louis rebah ke lantai sebelum sempat disambut oleh sesiapa pun.

β€œKalau lukisan kau dah siap, beritahu aku. Aku nak lihat. Boleh?”

β€œOops, aku tak sengaja! Sumpah, aku aku tak sengaja.”

β€œTapi, Aira... Kau pasti yang kau ada bakat melukis? Atau kau saja memperbodohkan aku? Mentang mentang lah aku bukan berjiwa seni.”

β€œOkey! Aku takkan ganggu kau lagi. Kau ambil lah banyak masa sekali pun untuk siapkan lukisan tu. Sumpah, aku takkan curi curi tengok! Tapi, kalau aku ternampak tanpa sengaja... aku takkan minta maaf. Namanya saja tak sengaja. Bukannya sengaja, kan?”

Bait bicara itu masih jelas terngiang ngiang menampar telinganya.

Bicara yang jeda dengan hilaian tawa itu bikin dia yang mendengar buat pertama kalinya merasa cukup sebal. Sekarang, entah apa yang sedang membelenggu dirinya. Perasaan yang menekan dadanya kala itu bercampur baur. Sehingga dia juga sukar untuk tafsir apa yang dia sendiri rasakan.

*
*
*


PEMUDA itu telantar tidak sedarkan diri di atas katil. Dr Caylus barusan usai memeriksa keadaannya.Β 

Lantaran lelaki itu menemui Danial Haesar yang sejak tadi sekadar menjadi pemerhati.

Adam dan Louis masing masing tekad membisukan diri. Dua bersahabat itu mahu mendengar apa yang akan terbit di bibir Dr Caylus. Tekun mereka memasang telinga. Dr Caylus pula masih setia berdiam diri. Lelaki itu bertingkah seolah olah dia sedang mereka bait bicara yang mampu menyedapkan hati yang mendengar.

β€œBuat masa sekarang, saya tak tahu nak kata apa, Tuan. Kecederaan yang Rayne alami cukup serius. Apa yang mampu kita buat sekarang ialah tunggu sampai Rayne sedarkan diri. Tapi, saya tak dapat nak jamin apa apa, Tuan.”

Sedikit pun bicara itu tidak mampu meyakinkan dua bersahabat.

Seolah olah Dr Caylus mengatakan bahawa untuk Rayne Arzhael kembali sedarkan diri itu perkara mustahil. Louis mengepal kemas buku limanya. Dia dan mereka yang lain tidak tahu apa yang telah berlaku. Tadi, saat dia menerima panggilan daripada Rayne, Rayne cuma meminta dia untuk datang menjemputnya pulang.

Sampai sahaja menemui pemuda itu, Louis melihat Rayne sudah cedera seperti ini. Dia hendak bertanya akan apa yang berlaku juga tidak berkesempatan. Dia tergesa gesa ingin membawa Rayne pulang. Persetankan dahulu apa yang terjadi. Ada hal yang lebih penting perlu dia dahulukan. Rayne Arzhael harus diberi rawatan dengan kadar segera.

β€œKau tak perlu risau. Aku yakin Rayne akan sedarkan diri.” Adam cuba menyedapkan hati Louis. Padahal hatinya sendiri merasa gusar. Dia ambil sapu tangan yang sudah dibasahkan dengan air. Lantaran dia lap bersih darah yang mulai mengering pada leher Rayne. Hari ini, baru kali pertama dia melihat Rayne sehingga 'tewas' seperti ini.

Melihat dari kecederaan ini, Rayne seolah olah tidak mampu untuk melawan balas melindungi dirinya sendiri. Atau barangkali, pemuda itu tidak berpeluang untuk berbuat sedemikian pun. Barangkali si pelaku telah menyerang hendap sedang dia dalam keadaan yang berlengah.

β€œKalau Dr Caylus pun tak pasti sama ada Rayne mampu atau tak sedarkan diri, apatah lagi aku? Rayne cedera parah, Adam. Bahagian kepala.”

β€œKalau sampai jadi apa apa macam mana?”

β€œAku juga sama macam kau. Aku juga tak pasti, Louis. Kita sama sama tak pasti apa yang akan berlaku. Tapi, kita tak sepatutnya pandang rendah kepada Rayne. Rayne yang kita kenal ialah orang yang kuat. Aku yakin, cepat atau lambat, dia akan sedarkan diri. Sebagai sahabat, kita perlu doakan yang terbaik sebab itu saja yang kita mampu untuk buat.”

β€œSekarang, kita bagi masa untuk dia berehat. Untuk pulih, memang ambil masa. Kadang kala, cukup lama."

*
*
*

β€œBUDAK lelaki tu kan punca kau lumpuh?"

Tak semena tumpuan matanya yang ralit merenung ke dalam kamar itu beralih melirik lelaki di sampingnya. Lirikan matanya itu tidak bersambut. Sebaliknya lelaki itu turut membuang pandang ke arah yang sama.

Dia ralit memerhati keadaan di dalam ruangan kamar Rayne Arzhael. Nadine Aira membisukan diri.

Dia tidak juga menyahut atau berniat menyambung perbualan.

β€œPadan dengan muka dia.”

Bidas Nick Aiden. Bicaranya terlontar dalam nada perlahan. Namun, cukup jelas disambut halwa telinga Aira. Lantaran lelaki itu lekas beredar. Dia tidak mahu betah berada di situ. Apa yang pasti, kala itu hatinya rasa puas. Dia anggap apa yang berlaku kepada Rayne Arzhael itu ialah karma. Suatu balasan untuk pemuda itu sendiri.

Atas apa yang telah dilakukan oleh pemuda itu kepada adiknya, pemuda itu perlukan balasan yang sepatutnya.

Balasan yang setimpal, biar pemuda itu tahu langit itu tinggi atau rendah.


--TBC--

BαΊ‘n Δ‘ang đọc truyện trΓͺn: AzTruyen.Top