13. ππ€πƒπˆππ„ 𝐀𝐑𝐙𝐇𝐀𝐄𝐋

BAD GUY
Β©Arleadanial 2019





--Chapter 013--


*
*
*


BEREDAR sahaja kelibat wanita itu dari ruangan kamar, dia ditinggalkan bersama Danial Haesar.

Lelaki itu masih tekad mendiamkan dirinya di bukaan pintu.

Nadine Aira juga tak berniat hendak bersuara. Padahal dirinya mahu berbicara bersama lelaki itu. Tapi, dia sedar keinginan itu lebih baik andai dikubur sahaja. Akhirnya, gadis itu memilih untuk membisu. Nadine Aira lekas merebahkan tubuh ke atas katil, dia selimuti tubuhnya. Dia berbaring membelakangi lelaki itu.

Dari ekor mata, dia melihat si ayah masih terdiam tak berkutik.

Sehinggalah kelibat lelaki itu terlihat beredar dari kamar anaknya ini.

Tak semena air mata Aira kembali bertakung. Cepat cepat gadis itu menggigit kepalan buku limanya. Dia tidak mahu esak tangisannya sehingga berjaya sampai ke pendengaran lelaki itu yang barusan sahaja beredar pergi. Namun, lama kelamaan dia tidak lagi mampu menampan bunyi esak tangisannya.

Akhirnya, gadis itu menangis di situ semahu mahunya.

Dia tak lagi peduli andai tangisannya itu mampu didengari oleh orang.
Tanpa gadis itu ketahui, si ayah masih berdiri di luar. Cuma kelibatnya tak lagi kelihatan oleh mata anak gadisnya itu. Dia akui, dirinya itu punya ego. Ego itu lah yang memaksa dirinya untuk berdiam diri sahaja.

Padahal, dia yang sepatutnya ada bersama Aira.

Membelai kasih anaknya supaya Aira tak lagi dibelenggu ketakutan.

Bukannya bertelingkah seperti orang yang pengecut. Padahal, untuk mengatakan maaf atau kasih kepada Nadine Aira itu cukup mudah. Bahkan, hanya lewat bicara sahaja.
Dari kejauhan, Rayne Arzhael sekadar menjadi pemerhati.

Sepasang mata bundarnya menatap sayu ke arah si Tuan.

Dia tahu apa itu kasih seorang bapa walaupun dirinya tidak pernah merasai kasih itu daripada bapa kandungnya sendiri. Tapi, pada mata Danial Haesar, dia dapat melihat kasih lelaki itu terhadap anak gadisnya. Sayang sekali. Kasihnya itu masih dipendam, tak pernah sekali disampaikan kepada Nadine Aira.

Daripada Danial Haesar juga lah, dia kenal apa erti kasih seorang bapa, kasih ibu.

Jikalau bukan kerana lelaki itu, dia barangkali tidak pernah tahu.

*
*
*


β€œREHAB?”

Nadine Aira mengerutkan dahi. Gadis itu menatap wajah Rayne.

Pagi pagi lagi Rayne sudah menemui dirinya untuk memaklumkan hal itu. Menurut pemuda itu, dia akan menjalani sesi rehabilitasi untuk kembali pulih dan untuk kembali berjalan seperti biasa.

Entah akan mengambil masa berapa lama, dia juga tidak pasti. Sekurang kurangnya, mereka ada usaha. Lagipula kelumpuhan pada kakinya itu bukan lah satu kecacatan yang kekal. Dr. Caylus juga pernah menyebut, rawatan boleh membantu.

β€œMulai esok, kau akan jalankan rehab. Tuan sendiri yang telah pilih pusat rehab yang terbaik untuk merawat kau. Memang akan ambil masa, tapi tak mustahil untuk kau pulih seperti sedia kala. Kau masih ada peluang untuk sembuh. Takkan kau nak sia siakan.” Matanya melirik sebentar ke wajah Nadine Aira yang berdiam diri. Lantaran kelibat pemuda itu beredar.

Nadine Aira hantar pemergian Rayne dengan sepasang matanya.

Barangkali memang benar pemuda itu ada masalah kecelaruan identiti. Atau, barangkali kepalanya itu baru lepas terhantuk sehingga dia lupa jati diri yang sebenarnya. Rayne Arzhael itu jenis orang yang tidak peduli akan apa apa pun. Dia lah yang paling tidak suka akan perbuatan menjaga tepi kain orang lain.

Lain lah jikalau atas arahan daripada si Tuan.

Tempoh hari, dia juga tak menyangka bahawa Rayne akan membantunya.
Bukannya dia tidak tahu Rayne ialah jenis orang yang benci masuk campur urusan orang lain. Apatah lagi jikalau perlu menggunakan tenaga dan waktunya. Dia sebaliknya lebih selesa menjadi pemerhati sahaja. Juga jauh sekali hendak menawarkan pertolongan.

Tapi, sterotaipnya terhadap pemuda itu perlahan lahan berubah.

Ternyata Rayne Arzhael juga punya rasa ihsan.

Bukan hanya kerana arahan.

Rayne Arzhael.

Dia mengenali pemuda itu dah lama. Pertama kali mereka bertemu adalah ketika usianya masih kecil. Kala itu, Rayne cuma seorang anak kecil yang pada pandangan matanya cukup lemah. Si lemah yang sentiasa perlukan pertolongan. Si lemah yang mudah ditindas.

Tak pernah sekali terlintas di minda Nadine Aira bahawa Rayne Arzhael akan tumbuh dewasa menjadi orang yang seperti ini.

Pertemuan kali kedua adalah setelah masing masing pada usia remaja.
Pertemuan itu bikin Aira cukup kaget. Lelaki muda yang diminta untuk mengawasinya di kotej itu ternyata ialah Rayne Arzhael. Anak kecil yang kini sudah tumbuh dewasa. Tumbuh sebagai seorang lelaki asing yang dia tidak pernah kenal. Seolah olah mereka tidak pernah sama sekali ketemu sebelumnya.

Pada matanya itu kosong. Seolah olah tiada apa yang menggerunkan dirinya. Selain Tuan, tiada manusia lain pun yang ditakuti olehnya. Hati pemuda itu kental. Mindanya seolah olah sudah dibasuh untuk membuatkan lelaki ini yakin bahawa dirinya seorang predator.

Nadine Aira tidak pernah tahu akan asal usul Rayne Arzhael.

Asalnya dari mana?

Masih punya keluarga ataupun tidak?

Dan, barangkali nama Rayne Arzhael itu juga bukan nama aslinya. Dalam banyak banyak hal tentang lelaki ini, Nadine Aira paling tidak suka akan kesetiaan Rayne kepada Danial Haesar. Kesetiaan lelaki ini cukup utuh sehingga dia beranggapan bahawa Rayne Arzhael sanggup mati untuk Tuannya.

*
*
*


SESI rehabilitasi kali pertama tamat.
Nadine Aira seperti jangkaan mampu untuk menunjukkan yang terbaik.

Melihat dari sesi yang pertama, gadis itu perlahan lahan mulai yakin. Untuk dirinya kembali sembuh itu bukan lah satu yang mustahil. Dia ucap pamit, hendak berangkat pulang. Dia kemudiannya dihantar oleh seorang ahli pusat rehab keluar dari ruangan itu.

Sehinggalah matanya melirik ke arah seorang pemuda yang duduk menunggu di kerusi. Sesekali pemuda itu ralit memerhati sekitarnya. Asyik matanya melirik ke segenap ruangan sehingga matanya jatuh menatap Aira. Lantaran pemuda itu bangkit. Dia menerpa ke arah Nadine Aira.

β€œMana Adam?”

Seperti tekaan, pertanyaan itu pasti akan meniti di bibir Aira.

Pemuda itu melihat ke kirinya seraya beralih melirik ke kanan buat sejenak. Dia angkat bahunya sambil bibir dicebikkan tanda tidak tahu. Nadine Aira merengus halus. Dia tahu pemuda itu sekadar mengusiknya. Buat bazir masa sahaja dia bertanya.

β€œAku ada dekat sini maknanya aku lah yang datang untuk jemput kau.”

Lelaki muda itu kemudiannya ambil alih untuk menolak kerusi roda. Aira akhirnya cuma mampu berdiam diri. Dia tidak lagi mahu berdebat. Dia penat. Dia mahu lekas pulang untuk berehat. Rayne Arzhael menolak kerusi roda keluar dari pusat rehab ke kawasan parkir kereta bawah tanah.

Pprang!

Selang kemudian, sayup sayup kedengaran bunyi hempasan botol kaca ke atas tanah. Tak semena Aira bungkam. Apatah lagi setelah melihat Rayne duduk bertinggung di sebelahnya. Anehnya pemuda itu lekas menekup telinga seolah olah dia tidak mahu untuk terus mendengar bunyi kaca itu.

β€œRayne?” Tubuh pemuda itu bergetar. Dia berkeringat dingin dek ketakutan.

Aira mengerutkan dahi kehairanan. Masakan dia tidak merasa bingung. Ini kali pertama dia melihat pemuda ini bertingkah sedemikian. Melihat Rayne Arzhael seperti dalam ketakutan itu adalah satu perkara yang boleh dikatakan mustahil.

Tapi, jikalau hanya kerana mendengar bunyi hempasan kaca yang sehingga bikin dia bertingkah seperti ini, pasti ada sesuatu tentang bunyi kaca itu dengan dirinya. Lagipula Rayne juga seorang pemuda. Mustahil untuk lelaki itu menjadi sesempurna satu ciptaan. Lelaki itu pastinya juga ada cacat cela sebagai seorang insan biasa.

Dia melihat Rayne menarik hembus nafas. Barangkali nafasnya itu lagi sesak.

Cepat cepat gadis itu menyelongkar tas tangannya. Dia mahu menelefon Adam. Dalam keadaan sebegini, Rayne barangkali tidak akan mampu untuk memandu pulang. Namun, niatnya terbantut sebaik tangannya direntap perlahan oleh Rayne.

Tak semena sepasang mata bundar Aira beralih menatap wajah Rayne.
Pemuda itu menggeleng. Barangkali dia tahu akan niat Aira yang ingin menelefon Adam. Lantaran pemuda itu perlahan lahan bangkit. Nafasnya menderu lemah. Wajahnya juga terlihat pucat.

Kala itu, untuk berbicara juga dia tidak berdaya dek suara yang seakan akan tersekat di kerongkong.

β€œTapi, Rayne. Kau...?”

β€œJangan call Adam. Aku tak apa apa.”



--TBC--

BαΊ‘n Δ‘ang đọc truyện trΓͺn: AzTruyen.Top