14. 𝐀𝐑𝐙𝐇𝐀𝐄𝐋

γ…‘ ARZHAEL, 2024 γ…‘

Chapter 014

.
.
.

SIANG sebelum dia ke ekspo seni atas permintaan Nadine Aira.

Panggilan telefon yang diterima awal pagi itu bawa dia ke tempat ini.

Ralit matanya mengerling ke segenap ruangan sehinggalah dia melihat seorang remaja melambai lambai ke arahnya. Sebaik melihat remaja lelaki itu, dia hayun langkahnya mendekati. Tempat kosong di hadapan remaja itu diduduki olehnya. Kala itu, dalam dirinya menyimpan debar.

Entah mengapa remaja ini sehingga meminta untuk menemuinya.

Dan, apa tujuan remaja ini menemui dirinya setelah sekian lama.

"Saya nak cakap sesuatu."

"Saya nak beritahu encik pasal hari kejadian empat tahun yang lepas."

Rayne Arzhael tersentak. Dia genggam kemas jemarinya yang menggigil.

Hatinya mendesak supaya dia angkat kaki, tapi mindanya pula diulit perasaan ingin tahu. Jikalau remaja ini sehingga sanggup datang jauh jauh semata mata untuk menemuinya, apa yang ingin dia bicarakan itu pasti hal yang cukup penting bagi Rayne.

"Maaf sebab baru sekarang saya nak datang jumpa encik."

"Pasal kejadian tu, saya..."

Pprang!

Bunyi hempasan kaca ke atas lantai melenyapkan lamunan lelaki itu.

Tak semena mindanya tiba tiba kacau apatah lagi setelah mendengar bunyi mangkuk kaca terhempas berkecai. Rayne terduduk dek lemah lututnya. Cepat cepat dia menekup telinga. Dia mahu menepis bunyi bising yang menampar nampar telinga.

Sehinggalah dia rasakan sehelai tuala diletakkan di kepalanya.

Dia angkat matanya yang menggeletar sehingga jatuh menatap wajah itu.

Senyuman hangat terlukis pada bibir isterinya, menyambut tatapan mata redupnya yang berkaca. Nadine Aira elus lembut rambut suaminya lantas dia raih tubuh lelaki itu, didakapnya erat. Tubuh Rayne yang tadinya menggigil ketakutan perlahan lahan berubah tenang. Telinganya yang tak henti dibaham bunyi bising juga perlahan lahan memudar bunyi itu.

Telapak tangan isterinya terasa menepuk lembut belakang tubuhnya.

Perlahan lahan bagi menenangkan lelaki itu yang diserang gelisah.

Rayne diam seribu bahasa.

Setitis air mata tumpah ke cerun pipi dari sepasang mata yang berkaca.

Namun, dakapan isterinya bikin dia rasa selamat. Sehingga ketakutan yang menekan dirinya lama kelamaan hilang. Dia rasa nyaman di sisi gadis itu sehingga dia rasa yakin, 'rumah' untuk dia berteduh masih ada setelah kematian mendiang ibunya, Sophia.

"Mulai sekarang, kau tak perlu risau."

"Aku ada untuk kau, Rayne."

.
.
.

Padahal mindanya lagi diulit tanda tanya, tapi tidak pula dia buka suara.

Setiap permintaan isterinya itu walau kadang kala kedengaran tak masuk akal di mindanya, lelaki ini turuti saja setiap idea gadis itu. Barangkali Nadine Aira sudah arif akan perangai suaminya ini. Rayne Arzhael takkan mengatakan tidak kepada isterinya.

"Kenapa kotej ni?" Rayne ekori jejak langkah gadis itu.

Sambil sambil lelaki itu tarik bagasi di kedua dua belah tangannya.

"Saja, since we spent most of our times here before. Kotej ni best apa."

Sepasang mata bersinar sinar gadis itu menatap wajah suaminya.

Gadis itu lekas mengamit suaminya untuk segera masuk. Rayne tak banyak suara. Dia ekori sahaja jejak langkah isterinya menapak masuk ke ruangan rumah kotej itu. Entah apa yang bermain main di fikiran Nadine Aira sehingga tiba tiba sahaja ingin kembali ke kediaman ini.

Padahal dahulu, dia lah yang paling tak suka duduk di kotej ini.

Rayne tampil di sebelah isterinya.

Mata lelaki itu ralit memerhati gerak geri Nadine Aira di sampingnya.

Sesekali gadis itu berpusing, menari dalam bulatan melampiaskan rasa teruja. Barangkali dirinya sudah lama menyimpan angan untuk kembali ke kediaman ini. Dan, keinginan itu tersimpan dalam dirinya sudah lama. Cuma, dia tunggu waktu yang sesuai untuk kembali lagi ke tempat ini.

"Betul kau nak ke sini lagi? Walaupun rumah ni adalah memori pahit kau?"

"Aku dah lupakan segala yang lepas."

"Kau tak perlu risau. Sebab masa lalu aku tu takkan effect aku lagi." Nadine Aira bawa kepalan buku limanya menepuk dada. Dia tayang raut wajah bangga di hadapan suaminya itu.

Rayne Arzhael sekadar geleng kepala. Gadis itu juga bukannya jenis nak mendengar cakap. Apa yang terlintas di fikirannya, dan boleh bikin hatinya itu merasa puas, dia akan lakukannya tanpa peduli apa kesannya kelak. Apa apa pun keputusan gadis itu, Rayne tak pula hendak membantah. Walhal sesekali dia rasa kurang yakin.

"Kalau berlaku apa apa, diri sendiri yang tanggung, ya?"

"Baik!"

*
*
*

Jarum jam mencecah angka 12.

Lelaki itu mengerling sejenak ruang kamar dari celah bukaan pintu.

Isterinya itu sudah terlena. Dia bawa langkahnya menuruni anak tangga. Dia hendak ke ruang tamu. Ruangan rumah kotej itu malap, sekadar disimbahi oleh cahaya yang minima.

Rayne hayun langkahnya ke kerusi panjang di aras satu. Lantaran lelaki itu merebahkan tubuhnya, dia mahu melelapkan mata yang mulai diulit oleh kantuk. Barusan sahaja sepasang matanya ingin lelap, telinganya menangkap bunyi derapan langkah. Langkah itu kedengaran diatur dengan berhati hati dek tidak mahu pergerakannya itu disedari.

Lelaki ini tetap dengan posisi baring di kerusi. Sambil sambil dia pasang telinganya. Dia berjaga jaga.

Sekiranya si pemilik derapan langkah itu punya niat jahat, dia harus peka.

Dalam hati, dia menghitung dari satu.

Dia tunggu masa yang sesuai. Lagipun bertindak dengan tergesa gesa tidak akan memberi untung apa apa.

Entah di mana silap perkiraannya, dia sehingga jatuh perangkap. Apatah lagi setelah wajahnya ditutup mengejut dengan sehelai kain. Kala itu, penglihatannya terbatas. Dia tidak mampu untuk melihat siapa orang yang menyerang hendapnya itu. Apa yang menjadi arah pandu cuma bau.

Alkohol? Tidak.

Orang ini waras, dia ada kekuatan.

Rayne bergelut ingin melepaskan diri dalam lehernya ditekan.

Dengan kudrat yang lama kelamaan mulai melemah, Rayne angkat sebelah kakinya. Dia terajang tubuh milik gerangan misteri itu sehingga lengan yang menekan lehernya kini terlepas. Dari apa yang didengar, dia anggap figura itu tersungkur di lantai. Cepat cepat dia rembat peluang ini untuk menyambar tuala di wajah.

Dalam api yang malap, gerangan itu cuma samar samar kelihatan.

Ditambah lagi dengan tubuh figura itu yang berpakaian serba hitam. Wajahnya juga bertutup.

Rayne mahu bangkit, bertekad untuk menyerang balas. Namun, gerangan figura asing itu lekas mengeluarkan sebilah pisau dari celah poketnya. Dia mengancam bikin niat Rayne sehingga menjadi terbatas. Sudah lah penglihatannya juga terbatas. Andai tersilap langkah, dia juga binasa.

"Apa tujuan kau datang serang aku?"

Rayne bertanya. Namun, pertanyaan itu seperti jangkaan dipekakkan.

Si gerangan misteri di hadapan mata itu tidak berniat untuk menjawab.

Rayne genggam kemas buku limanya. Buat sejenak matanya mengerling ke arah ruangan kamar di aras dua. Dia tidak mahu pula sehingga menganggu lena isterinya itu. Jikalau berlaku apa apa kepada dirinya, tak mustahil gadis itu juga dalam keadaan bahaya. Apatah lagi mengenangkan kediaman mereka ini dipecah masuk orang.

Keselamatan Nadine Aira keutamaan lelaki ini. Apa apa pun, gadis itu perlu dia lindungi walhal sendiri binasa.

Tapi, keadaan sekarang tak memberi kesempatan kepada Rayne.

Dia sudah dihimpit ke penjuru.

"Jawab pertanyaan aku, siapa hantar kau untuk serang aku?"

"Dan, apa motif orang tu serang aku?"

Rayne perlahan lahan bangkit sambil lelaki itu berjaga jaga. Jika sehingga leka, bila bila masa saja sebilah pisau akan dihunus ke arahnya. Si gerangan misteri itu masih berdegil untuk kunci mulut. Setiap pertanyaan yang meniti di bibir Rayne sedikit pun tak diambil peduli. Apa yang dia mahu adalah tugasnya itu dilunaskan.

Lunas serta merta tanpa sesiapapun yang mengetahuinya.

"Kau..." Bicara Rayne mati tiba tiba.

Bukan main membuntang matanya sebaik dia melihat sebuah pasu kaca dilempar laju dari arah hadapan.

Tak semena Rayne lekas tunduk, dia mengelak dari terkena balingan.

Pprang!

Mendengar hempasan pasu mengena dinding, si gerangan misteri itu bergegas melarikan diri seperti tidak cukup tanah. Jikalau dia berlama di situ, tak mustahil dirinya akan kena tangkap. Lagipula, Rayne Arzhael tak berseorangan di rumah ini.

Setelah gerangan misteri itu berjaya melarikan diri, ruangan itu menjadi terang benderang. Rayne yang barusan hampir kena baling dengan pasu kaca terduduk kaget di kerusi. Matanya berkelip kelip sambil lelaki itu melirik ke wajah isterinya yang tersenyum bak kerang busuk. Gadis itu tayang sengih.

"I'm really sorry."

"Excuse me, Madam. Silap hari bulan, saya yang kena masuk hospital."

"Sebab kepala ni kena baling dengan pasu oleh isteri sendiri, tahu?"

.
.
.

Segelas teh panas dihidangkan ke atas meja, buat suaminya.

Gadis itu kemam bibir sambil sesekali dia mencuri pandang ke belakang.

Matanya memerhati gerak geri Rayne yang lagi sibuk membersihkan serpihan kaca di atas lantai. Nadine Aira sembunyi senyum. Bukan main berkerut wajahnya menahan ketawa dek dirinya ditekan rasa malu.

Nadine Aira berdehem. Jemari gadis itu meramas lututnya sendiri.

"Aku buatkan air untuk kau." Gadis itu menoleh lagi ke belakang. Kali ini, lirikan matanya disambut. Tak semena gadis itu lekas mengalihkan pandangan matanya. Cepat cepat dia pusing tubuhnya ke hadapan. Rayne bercekak pinggang. Matanya tajam tertancap ke arah isterinya.

Jelingan maut itu sehingga bikin gadis itu merinding. Dari hujung alis mata, dia melihat wajah Rayne tegang.

Seolah olah ada sesuatu yang menjadi ketidakpuasan hatinya kala ini.

"Lain kali, kalau jadi macam ni lagi, kau duduk je diam diam dalam bilik."

"Bahaya! Kalau jadi apa apa pada kau, aku nanti kena tanam enam kaki sebab mati dekat tangan Nick, tahu?" Nadine Aira sekadar beri jawapan acuh tak acuh. Telingkah gadis itu seperti tidak mengambil peduli akan bicara suaminya. Bicara yang barusan terlontar di bibir Rayne seperti masuk telinga kanan, keluar telinga kirinya.

"Kau dengar apa aku cakap?"

"Rayne, kau bukan pengawal peribadi aku lagi. Aku pun bukan anak kecik."

"Aku pandai jaga diri sendiri. Tadi tu, salah mata aku ni yang 'buta' sampai baling pasu tu hampir kena kau."

Nadine Aira tetap berdegil. Gadis itu tidak mahu dipandang rendah.

"Lagipun sekarang ni, cuma aku yang boleh bantu kau, kan?"

Tak semena pergerakan tangan Rayne menyapu serpihan kaca terhenti. Bicara itu bikin tubuhnya tiba tiba sahaja mematung. Barangkali kerana dirinya tidak tahu reaksi seperti apa yang perlu diberikan sebagai respons. Rayne mengemaskan genggamannya pada batang penyapu di tangan.

Dari hujung alis mata, gadis itu lirik ke belakang. Bibirnya tersenyum puas hati melihat reaksi Rayne Arzhael.

Seolah olah reaksi seperti itu lah yang dia harapkan daripada suaminya.



_

TBC

BαΊ‘n Δ‘ang đọc truyện trΓͺn: AzTruyen.Top