Kisahnya ...

"Aaaaa! Aaaarghhhh!!"

Perempuan itu asyik menjerit-jerit sambil kelam-kabut berlari. Dia keseorangan. Tiada sesiapa yang menemaninya di kiri dan kanan. Aku kejar dia dengan muka malas. Muka macam itu saja aku tahu buat. Sempat juga aku menyumpah kaki kanan sendiri kerana kaki ini sedikit tempang. Menyukarkan aku untuk mempercepatkan larian.

Di tangan perempuan itu masih tergenggam erat satu beg plastik lutsinar berisi tiga bungkusan biskut. Aku terleka memerhati beg plastik itu tergoyang laju ke sana ke sini disebabkan momentum lariannya. Tak semena-mena, beg plastik yang berisi biskut itu melayang, mendarat tepat di muka aku.

"Wuarghh!" Aku menderam. Aku dapat dengar bunyi beg plastik berisi biskut jatuh ke lantai.

Agak sakit juga muka aku. Tapi rasa sakit itu hilang sebaik saja aku lihat perempuan itu tersembam ke lantai akibat terpijak sebiji tomato yang tergolek di lantai. Aku mahu ketawa. Tapi aku tak boleh ketawa. Aku lupa macam mana mahu ketawa.

Aku lihat dia cuba mengangkat badannya supaya berdiri. Namun dia terjelepuk kembali ke lantai. Kakinya kelihatan lembik. Aku hayunkan kaki dengan lebih cepat, hingga aku sampai dekat dengan perempuan itu. Tangan aku juga ikut terhayun, seakan teruja. Melihatkan aku yang semakin hampir, dia sedaya-upaya mengengsot menuju lorong peralatan dapur. Setakat ini dia masih mendahului aku. Aku perlu berusaha lebih keras untuk sampai dekat dia. Ingat senang jadi aku?

Waktu aku sampai dekat lorong itu, aku lihat dia menangis semahu-mahunya. Di tangan kirinya ada sebilah pisau yang agak panjang, yang dia ambil dari atas rak pasaraya ini. Dia pegang pisau guna tangan kiri? Mungkin dia kidal. Aku tahu, dia mesti mahu baling pisau itu dekat aku.

"WAAAARRGHHHH!!!"

Itu bukan bunyi aku menjerit. Bukan. Itu bunyi perempuan tadi. Dia meraung kuat sebelum dia tikam pisau itu dekat tengah dadanya sendiri. Okey, tekaan aku tadi silap. Baguslah dia bunuh diri. Senang sikit kerja aku. Mungkin rezeki aku dapat makan dengan senang hari ini setelah berhempas-pulas mengejar dia. Aku mahu senyum. Tapi tak boleh. Aku lupa bagaimana caranya mahu senyum. Sudah banyak juga benda yang aku lupa sebenarnya.

Dengan mulut yang sedikit ternganga dan kepala yang terteleng ke kiri, aku perhati saja perempuan tadi. Hampir-hampir saja liur aku meleleh membayangkan sedapnya otak dia. Dia rebah terlentang dan menggeletik. Cecair merah membasahi pakaiannya yang berwarna kuning dari hujung rambut sampai ke hujung kaki. Waktu darah bergenang dan meleleh sampai ke bawah rak, aku lihat pergerakan dia makin perlahan. Aku duduk bersila atas lantai, menunggu sampai dia tidak bergerak langsung.

"Ughhhh ...."

Kepala aku tertoleh ke kanan sebaik aku dengar suara itu. Aku lihat ada seorang budak kecil lingkungan umur lima tahun, yang matanya sudah hilang sebelah, dengan warna kulit yang sama macam aku. Ya, dia pun mayat hidup juga. Atau dalam bahasa yang lebih urban, zombie. Kakinya melangkah mendekati perempuan yang sudah jadi mayat itu.

"Naaakkkk ...."

Belum sempat dia habiskan kata-kata, aku bangun dan terajang budak itu. Walaupun pergerakan aku agak perlahan, tapi cukup padu untuk aku jatuhkan dia ke lantai, sampai membuatkan dia menangis keluar air mata nanah. Biar dia. Nak makan pergilah cari sendiri. Otak perempuan itu aku yang punya. Sebenarnya kalau dah jadi zombie macam aku, kalau tak makan tak mati pun. Cuma kalau dapat makan otak manusia yang belum terjangkit, kami akan dapat sesuatu. Memang susah nak dapat makan otak. Bukan apa, kami kena betul-betul tahan rasa nak menggigit orang itu, dalam erti kata lain, kena cuba untuk tidak menjangkitkan orang itu dengan virus zombie. Kalau dia tak bunuh diri tadi, maka makin susahlah aku. Kena tahan rasa nak menggigit sambil cuba bunuh orang dan kopak kepala dia sampai terbuka. Sekarang aku cuma perlu kopak kepala dia saja.

Aku capai kaki perempuan itu dan seret dia keluar dari pasaraya. Sampai di luar, aku dukung dengan cara meletak badan dia atas bahu aku. Aku berjalan dengan tujuan ingin sampai ke rumah yang letaknya 40 minit berjalan kaki. Masa aku sihat dan boleh menunggang motosikal, jarak pasaraya dengan rumah cuma 20 minit perjalanan. Sejak sebulan yang lalu, setiap pagi aku akan ke pasaraya itu dengan harapan ada manusia-manusia yang masih sihat menyelinap ke dalam pasaraya untuk mengambil barang keperluan. Dulu ramai, tapi sekarang lebih ramai yang jadi zombie. Kalau mengikut apa yang aku lihat di tivi, hanya kira-kira 10 peratus rakyat Malaysia yang masih belum dijangkiti dengan virus zombie.

Aku pun antara yang menjangkitkan orang dengan virus ini. Sebab aku suka makan makanan dalam tin terutama sekali ikan sardin dalam tin. Walaupun dulu masa tahun 2018 heboh tentang cacing dalam ikan sardin tin, aku tetap beli sardin tin banyak-banyak. Sebab aku suka, apatah lagi apabila harga sardin tin merudum sampai jadi hanya RM2 untuk tin besar. Dan sebenarnya, aku banyak buat kerja amal. Beri makan pada orang gelandangan dan orang susah. Pilihan yang paling mudah tentulah makanan dalam tin. Sebab makanan dalam tin tahan lama dan lebih mudah disimpan berbanding makanan segar. Dan juga sebenarnya, aku banyak bela kucing. Aku bagi kucing-kucing aku makan sardin dalam tin. Itu juga salah satu faktor.

Apa? Pelik?

Ya, mungkin kedengaran pelik. Jadi, dalam perjalanan aku ke rumah, biar aku ceritakan apa yang sudah terjadi sebenarnya.

Malaysia, 1 Jun 2022. Kira-kira tiga bulan yang lalu. Aku baru siap beri lima ekor kucing aku makan ikan sardin dalam tin. Kucing-kucing jalanan yang singgah dekat rumah, juga aku beri makan ikan sardin dalam tin. Makcik-makcik bawang yang melepak dekat rumah Cik Muna Montok menjeling-jeling pada aku yang asyik buat bunyi kucing di samping kucing-kucing tersayang. Aku tahu mereka semua cemburu dengan aku. Duduk rumah saja tapi banyak duit dan boleh pakai kereta Honda yang jadi kegilaan ramai gadis-gadis mata duitan. Aku juga ada Mustang. Hehehe.

Senang saja untuk dapat banyak duit. Aku berniaga barang kosmetik secara atas talian. Pakai saja ayat-ayat manis, ayat-ayat yang boleh membangkitkan rasa insecurities pada wanita, maka lakulah produk aku. Konon kosmetik tiada Hydroquinone. Haprak semua itu! Lepas itu, aku laburkan duit dengan membeli produk timbang kilo. Aku acah-acah jadi founder dan perkenalkan produk sendiri yang kononnya aku hasilkan dengan bahan-bahan organik, mengikut resepi nenek moyang sebelah ibu. Walaupun aku baru berumur 23 tahun dan bersekolah takat SPM, tak pandai cakap bahasa Inggeris, orang masih yakin dengan aku sebab nama aku sudah naik waktu aku jual produk-produk lain dulu. Disebabkan keberkesanan produk timbang kilo yang aku pasarkan, aku berhenti kerja kilang dan tumpukan terus pada perusahaan aku yang satu itu.

Maaf kerana melalut. Rasa bangga juga bercerita tentang kejayaan diri. Okey, abaikan makcik-makcik bawang dan kembali pada point kita tadi. Aku nak ceritakan macam mana virus zombie merebak. Satu pagi, lepas aku makan roti bakar sapu jem nenas dilengkapkan dengan secangkir kopi panas, aku duduk atas kerusi empuk yang letaknya di depan tivi. Aku buka tivi. Buletin jam 8.30 pagi.

"Satu lagi kejadian aneh. Seorang lelaki menggigit leher seorang lagi pelanggan lain di Ali Mamak Corner selepas dipercayai memakan roti canai sardin yang dimasak di kedai itu. Punca kejadian masih disiasat. Oh, kita terima maklumat baru! Seorang makcik yang menjadi pelanggan di gerai Kuih-muih Anak Dara mengganas di gerai itu selepas makan dua ketul roti sardin sambil bersembang dengan rakannya di sebelah gerai."

Dahi aku berkerut menonton rakaman yang ditayangkan. Seorang lelaki yang menggigit seorang lelaki lain, dengan air liur dan roti sardin yang sudah dikunyah menjejes keluar dari mulut dia. Sungguh jijik. Lelaki yang digigit itu meronta-ronta sambil menjerit nyaring. Kalau aku jadi lelaki yang digigit tu, aku akan failkan saman malu. Mana tidaknya, satu Malaysia dah tengok muka aku dekat tivi. Ini bikin kemaluan besar!

Kemudiannya diikuti rakaman seorang makcik bawang yang menggeletik atas tanah sebelah meja gerai. Sesaat dua menggeletik, dia bangkit dan menggigit seorang lagi makcik bawang. Aku geleng kepala. Teruknya!

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membeli dan memakan produk ikan sardin dalam tin hingga maklumat lanjut dapat diperolehi."

Alah, merapu apanya? Makan sardin dalam tin pun boleh sampai menggila macam tu? Menipulah!

Tapi masa tu aku salah. Bukan saja sardin dalam tin yang buat manusia bertukar 'gila'. Tapi semua makanan dalam tin memberi efek yang sama. Dari desas-desus yang aku dengar, satu jenis virus telah dimasukkan ke dalam makanan-makanan dalam tin. Makanan dalam tin dimakan oleh hampir seluruh isi dunia. Ia target yang sangat besar, bukan? Antidote untuk penyakit itu, dijual dengan harga yang mahal. Tapi setakat ini, yang membeli antidote dan menggunakannya, tetap tidak sembuh. Termasuk aku. Dan kucing-kucing aku. Kesian. Lama-kelamaan, bilangan manusia yang terjangkit semakin meningkat disebabkan kecenderungan kami yang terjangkit ini menggigit sesiapa saja yang sihat. Kucing-kucing aku pun sudah menggigit jiran-jiran aku. Termasuk Cik Muna Montok. Double kesian. Rasa nak menggigit memang tak dapat ditahan-tahan.

Salah seorang kawan aku kata, "muuung ... kiiiinn ... seee ... muuuu ... aaaa... niii ... aag ... genn ... daaa ... iiii ... luuuu ... miiii ... naaa ... tiiiiiii!"

Ya, aku mengantuk tunggu dia habis bicara. Tapi apa boleh buat? Lepas berubah jadi zombie, bila bercakap jadi lembap nak mati.    

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top