Bab 8
Alat kawalan televisyen diletakkan ke tepi. Berita utama mengenai pembunuhan Datuk Bandar Himada benar-benar mengejutkan orang awam. Dia hanya tersengih kecil.
"Padan muka kau orang tua!" bisik Zen sendiri. Kacang tanah yang setia menjadi peneman di saat menonton rancangan televisyen diambil satu-persatu sebelum dimasukkan ke dalam mulut. Asyik sekali dia mengunyah sumber protein itu.
Kaca televisyen ditenung tajam seolah-olah menembusi skrin tersebut. Dalam fikiran, dia mula merancang strategi yang seterusnya. Setakat ini, segalanya berjalan mengikut kemahuannya. Namun, dia sendiri tidak menjangka bahawa kanak-kanak tersebut akan bertindak sejauh itu dengan membunuh datuknya sendiri. Kanak-kanak itu sangat menakutkan andai terus dibiarkan. Hatinya mula gelisah andai Ren membesar dan menjadi penjenayah sepertinya.
"Budak ni macam raksasa. Raksasa kecil. Hehe." Zen tertawa kecil sambil terus mengunyah kacang tanah itu. Telefon bimbit yang terletak di atas meja ditenung sepintas lalu. Masih tiada berita daripada Syed. Dia agak, lelaki itu pasti dalam masalah sekarang. Dia tersengih saat teringat rancangan saat-saat akhirnya semalam.
Bungkusan yang sepatutnya dikirim kerumah Datuk Bandar Himada adalah penambah perisa. Sengaja dia menghantar kotak yang dipenuhi polistrin dan kain-kain perca. Semuanya demi menggerakkan kaki Shark ke rumah agam itu!
Hendak dijadikan cerita. Segalanya bermula dengan rancangan kecil Zen.
Hidup selama hampir 10 tahun bersama dua orang ayah angkatnya iaitu Saigon, penjual maklumat dalam pasaran gelap serta Daichi, perancang jenayah serba sedikit mengajar Zen untuk menciplak gaya kedua-dua orang tua itu. lantas, dia membawa diri pula sebagai penyeleweng tanpa nama selama 10 tahun.
Semua pengalaman itu cukup untuk mengajar Zen cara untuk bertindak dalam pelbagai kemungkinan. Fikirannya lebih jauh daripada manusia biasa meskipun mempunyai satu rahsia. Hanya dia, dan Saigon sahaja yang tahu.
Pertemuannya dengan Kay telah membuka ruang hatinya yang sudah lama mati. Kay juga penyeleweng, namun dia bertindak atas nama keadilan, bukan sepertinya, yang hanya berlandaskan nafsu dan keseronokan semata-mata. Namun, nasib temannya itu sungguh malang. Perjuangannya langsung tidak tercapai dan akhirnya meninggalkan Zen sendiri, terkontang-kanting melawan perasaan bersalah di dalam jiwa. Kerana itulah, lelaki tanpa identiti ini tekad untuk mencari Daichi. Sedar mahupun tidak, dia sendiri bagaikan Daichi junior.
Ya, semuanya bermula dengan sebab yang kecil ini. Mungkin kelibatnya hanya kelihatan seperti watak sampingan dalam kes pembunuhan Datuk Bandar Himada, namun segalanya sudah dirancang dari awal lagi! Dan, kanak-kanak itu ialah bonekanya!
Zen mengetap bibirnya saat melihat berita terkini yang terpampang di kaca televisyen. Telefon bimbitnya segera dicapai. Satu-satunya nama yang tersimpan dalam senarai kenalannya ditekan.
"Assalamualaikum..." Kedengaran suara di sana terlebih dahulu memberi salam. Zen terdiam. Dia tidak tahu sama ada dia perlu membalas ataupun tidak salam itu.
"Err... Hello. Syed, kau masih intip Shark?" soal Zen pantas. Terdengar keluhan dari hujung sana.
"Shark hilang! Pihak polis tengah jejak dia sekarang. Aku ada juga kejar, tapi dia terlalu pantas. Macam mana dia boleh hilang di sebalik bangunan-bangunan tinggi dengan begitu pantas? Hisy..."
"Dia... atlit sukan parker." Zen menjawab perlahan namun kedengaran begitu yakin.
"Hah? Sukan parker? Jadi..." suara Syed kedengaran agak terkejut. Namun Zen tahu, kini Syed sendiri boleh mengagak bagaimana Shark dapat menghilang dengan mudah.
"Tak mengapa. Shark seorang yang jujur. Dia tidak akan terus menjadi buruan polis!" Zen menamatkan perbualan tersebut. Dalam hati Zen, dia hanya mampu berharap.
"Mula-mula, seseorang harus dicampakkan dalam sesuatu krisis. Rasai pengalaman dikhianati kemudian...." Bisiknya perlahan.
Zen tidak mahu terus berfikir. Dia sudah tahu apa yang perlu dilakukan selepas ini. Sekarang ialah masa untuk menjadi penonton dan menikmati rancangan hidup manusia. Dia tertawa sendiri meskipun kedengaran tidak ikhlas. Jauh di sudut hatinya, dia benci dirinya sendiri.
'Aku, memang tak guna!'
***
Air liur diteguk perlahan. Skrin telefon pintar ditenung lama. Siapakah lelaki yang siap memanggilnya dengan nama penuh itu? Dia melihat ke hadapan. Seorang lelaki berambut perang dan berkaca mata sedang meletakkan telefon bimbitnya di telinga. Tubuhnya yang tinggi lampai menghalang bias-bias cahaya daripada menerjah masuk.
"Si... siapa?"
Lelaki misteri itu mula mara ke arahnya. Dia tersenyum nipis seolah-olah memahami situasi saat itu. Shark tergamam melihat insan di hadapannya. Kakinya terundur selangkah ke belakang.
"Shark, masih ingat aku?" soal Syed sambil mematikan panggilan pada telefon bimbitnya. Dia dapat lihat riak wajah Shark yang masih terkejut.
"Kau... yang datang jumpa aku tempoh hari...." Teka Shark. Syed mengangguk mengiyakan.
"Ap... apa maksud kau yang kau perlukan bantuan aku? Dan, macam mana kau dapat nombor telefon aku ni?" Shark mula sangsi terhadap lelaki di hadapannya ini.
"Shark, ada orang nak jumpa kau. Dia tiada nama yang tetap..." kata-kata Syed segera dipintas.
"Dari hari tu lagi kau cakap dia tiada nama yang tetap! Macam mana aku nak kenal dia kalau macam ni?" Shark memintas bicara Syed kasar. Remaja itu mengeluh. Dia pun tidak tahu bagaimana lagi hendak menerangkan tentang Zen memandangkan lelaki itu sendiri tiada identiti yang tetap.
"Jadi, kau harus berjumpa dia sendiri," balas Syed.
"Mengarut! Kau fikir aku akan ikut? Sudahlah... aku letih dengan banyak benda sejak akhir-akhir ni. Aku perlukan rehat." Shark mula berlalu pergi. Tubuh tinggi lampai Syed dilintas begitu sahaja. Dalam beberapa hari ini, banyak betul dugaan yang telah ditempuhinya. Dia tiada masa hendak berurusan dengan lelaki yang tidak dikenali.
"Berhenti," ujar Syed dengan suara mendatar. Dia cuba menahan perasaan geramnya saat itu. Geram apabila Shark langsung tidak mengendahkan kata-katanya. Syed masih lagi buat tidak endah. Dia meneruskan langkahnya.
"Baik kau berhenti sekiranya tidak mahu menjadi sasaran anggota FBI dan Interpol. Kau sekarang sedang berurusan dengan salah seorang daripada mereka!" Syed bersuara tegas. Ugutannya itu berjaya menghentikan langkah lelaki berambut paras bahu itu.
"Ap... apa maksud kau hah? Huh, setakat cakap kosong macam tu, aku pun boleh. Kalau kau FBI, aku kawan bos kau!" selamba Shark membalas. Syed mengetap bibirnya perlahan. Kakinya mula dipacu laju ke arah lelaki berambut hitam berkilat itu.
"Oh ya? Bagaimana dengan ini?" Syed mengeluarkan sepucuk pistol lalu dirapatkan pada pinggang Shark. Semestinya, dia mempunyai lesen untuk membawa senjata api tersebut.
"Aa... pistol! Pistol...." Shark menjadi gelabah saat senjata api itu benar-benar rapat di pinggangnya. Tersilap langkah, dia boleh mati di situ. Nafasnya mula tercungap-cungap menahan debaran. Berdebar kerana takut mati! Syed hanya tersenyum melihat respon Shark. Dalam hatinya, rasa kasihan pun ada terhadap lelaki ini.
"Now, just be nice and cooperate," tambah Syed lagi sebelum memaut leher Shark. Lelaki itu hanya menurut sahaja langkah Shark. Dalam hati Shark, dia mula menangis.
'Ya Allah! Dugaan apa lagi ni!'
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top