Bab 6



Ting tong!

Lelaki yang dikenali sebagai Shark itu tersenyum ceria sambil memegang bungkusan di tangannya. Ini ialah bungkusan terakhir dan selepas ini, dia boleh pulang untuk merehatkan diri. Pekerjaan yang akhirnya diperoleh dengan usaha keras ini sangat memuaskan hati.

Meskipun wajahnya sering disalah ertikan, namun dia tidak peduli. Matanya yang runcing dan parut di sebelah kiri membuatkan wajahnya kelihatan bengis. Padahal, dia sememangnya dilahirkan dengan mata yang sepet dan parut tersebut diperoleh ketika remaja akibat terjatuh daripada basikal. Dia juga hairan mengapa ketika dia tersenyum, ramai yang tidak mahu berkawan dengannya. Jadi, dia membuat keputusan untuk tidak lagi tersenyum sebarangan. Ya, masyarakat sering salah faham dengan fizikalnya, padahal dia seorang yang jujur dan baik hati.

Lama menunggu, namun pintu pagar rumah itu tidak dibuka-buka. Kakinya sudah lenguh berdiri disitu. Melihat jam di tangan,sudah hampir jam 9 malam. Dia mengeluh perlahan. Mungkin dia patut hantar esok sahaja bungkusan ini. Baru sahaja dia hendak berpaling ke arah motornya angin dingin mula menerpa wajah. Hatinya mula berdebar-debar. Dia mula berasa tidak sedap hati.

'Mengapa kawasan ini terlalu sunyi?'

BANG!

Satu bunyi tembakan memecahkan kesunyian. Terperanjat Shark dibuatnya. Bungkusan di tangannya hampir sahaja terlepas daripada pegangan.

'Bunyi apa tu? Takkanlah main mercun. Musim raya dah lepas ...."

BANG!

"Argh!" Kedengaran suara jeritan mengiringi bunyi tembakan yang kedua.

Tanpa berfikir panjang lagi, Shark segera membuka pagar yang tidak berkunci. Dia segera masuk ke dalam rumah agam tersebut. Perasaan hairan bertukar cemas saat melihat tubuh-tubuh pengawal keselamatan yang bergelimpangan di sana sini.

"Tolong!" Sekali lagi suara itu menjerit. Tembakan ketiga mula bergema. Sebaik sahaja masuk ke dalam rumah tersebut, seluruh tubuhnya terasa longlai. Cecair merah pekat membanjiri seluruh marmar putih. Darah merah memercik pada dinding putih, turut terkena pada bingkai gambar keluarga. Sekali lagi Shark terkesima. Jika dia tidak silap, ini ialah rumah Datuk Bandar Himada. Datuk bandar ini sememangnya sangat terkenal dengan keperihatinannya terhadap masyarakat dan sikap penyayangnya pada kanak-kanak. Setelah anak dan menantunya meninggal dunia, dua orang cucu kembarnya dijaga dengan penuh kasih sayang. Seluruh masyarakat kota ini kenal dan sayang kepada Ren dan Rissa.

"Jadi ... I ... ini ..." Shark berpaling ke arah tangga. Kelihatan seorang kanak-kanak perempuan sedang menangis teresak-esak di sisi seorang kanak-kanak lelaki. Darah mengalir daripada paha Ren. Berdekatan dengan mereka, tubuh tua tersandar layu pada dinding. Shark segera menghampiri tubuh tua itu. Dengan tangan yang terketar-ketar, jarinya menjamah nadi di leher Datuk Bandar.

"Hah!" Tangannya segera dilarikan. Lelaki ini, sudah tidak bernyawa. Dia menuju pula ke arah Ren dan Rissa.

"Apa yang dah berlaku?" soal Shark kepada Rissa. Kanak-kanak perempuan itu hanya terdiam dan akhirnya pengsan di sisi abangnya Ren.

"Ta... tak! Weh, budak! Jangan mati! Huh... ap... apa yang perlu aku lakukan?" Terketar-ketar lelaki itu duduk di sisi Ren dan Rissa.

"Tak... tak... jangan matilah budak!" Shark segera memeriksa keadaan mereka berdua. Nampaknya Ren dan Rissa masih lagi bernyawa cuma keadaan Ren agak parah kerana kehilangan banyak darah. Luka tembakan pada lengan dan pahanya jelas menunjukkan betapa terseksanya kanak-kanak tersebut. Shark menggenggam buku limanya dengan perasaan geram. Siapalah yang tidak berhati perut yang telah melakukan perkara sebegini kepada mereka? Tanpa membuang masa dia segera menghubungi ambulans dan pihak polis.

Setelah memberikan keterangan kepada pihak polis, Shark akhirnya pulang ke rumah. Malam itu, dia tidak dapat melelapkan mata. Fikirannya masih lagi lekat pada situasi tadi. Keesokan harinya, dia merancang untuk melawat kanak-kanak tersebut.

Berita tentang pembunuhan Datuk Bandar Himada dan kecederaan semua pengawal keselamatan beliau diratapi oleh seluruh masyarakat. Maklumlah, pemimpin itu merupakan pemimpin kesayangan. Hendak harapkan Ren mewarisi tampuk pemerintahan, kanak-kanak itu masih lagi kecil. Baru sahaja berusia 10 tahun. Lantas, pemilihan baharu dibuat secara demokrasi sementara menanti Ren berusia 18 tahun ke atas. Tidak kurang juga, ada yang mereka-reka cerita untuk menyedapkan tajuk hadapan akhbar. Kisah pembunuhan datuk bandar dikaitkan dengan bermacam-macam perkara. Ada yang mengatakan beliau dibunuh oleh orang yang ingin merebut kuasa. Ada juga yang mengatakan, satu organisasi hitam telah mengupah pembunuh bersiri untuk menghapuskan keluarga tersebut. Masyarakat kian keliru. Lantas perintah daripada pihak polis dikeluarkan agar pihak media tidak lagi menyebarkan berita palsu atau sebarang akhbar tanpa sumber yang sahih. Kebenaran akan terungkap jua setelah kedua-dua cucu datuk bandar tersedar daripada koma.

Hampir setiap hari Shark akan datang melawat. Pada mulanya, pihak polis tidak membenarkan namun atas budi bicara ASP Hassan, dia dibenarkan melawat dengan ditemani oleh pegawai polis yang lain.

Setelah tiga hari berlalu, Rissa tersedar daripada lena panjangnya. Apabila disoal siasat oleh pihak polis, kanak-kanak itu langsung tidak menjawab. Malah reaksinya beku. Traumanya terlalu parah sehingga kanak-kanak itu sudah tidak sedar sama ada dia berada di dunia realiti atau masih di alam mimpi. Saban malam, pasti akan terdengar jeritan histeria diiringi dengan jeritan cemas para jururawat. Rissa akan mengambil pisau bedah yang dijumpai di mana-mana lalu diacukan kepada jururawat. Jelas di situ, dia masih lagi ketakutan.

Kini, peluang yang terakhir untuk mengetahui jawapan sebenar ialah Ren. Doktor-doktor yang merawatnya meluahkan perasaan kagum mereka terhadap Ren. Kanak-kanak lelaki itu dapat menghadapi sesi rawatan tanpa sebarang komplikasi dan sembuh dengan cepat. Seminggu kemudian, Ren tersedar. Tanpa berlengah lagi, Inspektor Melissa bergegas ke hospital untuk menyoal siasat kanak-kanak tersebut.

"Ren, kami minta maaf kerana terpaksa mengkhabarkan satu berita yang mendukacitakan. Datuk kamu telah meninggal dunia pada malam kejadian." Suasana menjadi sebak. Inspektor Melissa menundukkan kepalanya. Shark yang turut berada di sisi katil Ren turut menahan sedih. Belakang tubuh Ren diusap perlahan. Kanak-kanak tersebut hanya mengangguk perlahan tanpa mengalirkan air mata. Dia kelihatannya seperti menahan emosinya daripada terluah.

"Ri... Rissa?" soal Ren dengan suara seraknya.

"Rissa masih tidak boleh bercakap. Dia asyik mengamuk setiap malam. Kami terpaksa menyembunyikan semua senjata yang tajam agar orang lain tidak turut sama tercedera."

"Oh..." Ren menunduk. Ada satu senyuman hambar terukir di bibirnya. Semua yang ada di situ pula yang mula menangis. Bagi mereka, Ren sangat tabah untuk menghadapi ujian sebegini dalam usia yang masih muda, namun lain pula bagi Shark. Dia perasan sesuatu yang pelik dalam diri kanak-kanak tersebut.

'Mustahil dia masih boleh setenang ni!'

"Oh, ya! Kami akan mula menyoal siasat kamu sekarang. Kita harus segera cari siapa pembunuh tersebut," ujar Inspektor Melissa. Sambil membuat isyarat mata, dia mengarahkankan agar semua yang ada di situ keluar daripada bilik tersebut.

Perasaan ingin tahu yang membuak-buak dalam diri Shark mendorong lelaki itu untuk mencuri-curi dengar apa yang diperkatakan oleh Ren mengenai pembunuh tersebut. Setelah semua doktor dan jururawat berlalu pergi, dia mula menekapkan telinganya pada pintu.

"Jadi, Ren, kamu tahu siapa yang datang menyerang keluarga kamu semalam?"

"Ta... tak tahu. Ketika saya turun daripada tingkat atas bersama Rissa, Datuk kelihatan cemas. Kebetulan loceng rumah dibunyikan. Apabila datuk memeriksa kamera yang berada di luar pagar, ada seorang posmen. Tapi... dia tak macam posmen biasa. Mukanya bengis dan ada parut di bahagian mata kiri. Jadi datuk buat keputusan untuk tidak keluar."

"Kamu kata dia ada parut? Di mata kiri?" Ren mengangguk perlahan.

"Kemudian, tidak lama selepas tu, datuk ditembak di dada." Ren menyambung.

"Oh, posmen tersebut mungkin Shark. Dia yang menyelamatkan kamu berdua," ujar Inspektor Melissa. Mata Ren mula terbuntang luas.

"Saya yakin... di... dia yang bunuh datuk! Keadaan waktu itu samar-samar! Sesiapa sahaja boleh menyamar sebagai penyelamat... dia mesti pembunuh tu!" Ren mula mendesak.

"Tapi..." Inspektor Melissa mula berasa serba salah. Selama seminggu ini, Sharklah yang menjaga kanak-kanak tersebut. Susah untuk dia percaya yang Shark ialah pembunuh sebenar.

Bunyi kuat di pintu mengejutkan mereka. Polis wanita itu membuat isyarat, mengarahkan rakan sekerjanya untuk memeriksa. Sebaik sahaja pintu dibuka, Shark segera melarikan diri.

"Puan! Shark lari!"

"Tangkap dia cepat!" kerah Inspektor Melissa. Dia memandang ke arah Ren yang terdiam. Mungkin juga, kanak-kanak ini betul.

"Baiklah, sampai di sini sahaja. Kamu pasti letih. Kita sambung esok pula ya?" Wanita itu berura-ura untuk keluar daripada wad peribadi yang menempatkan Ren.

"Err... saya ada satu permintaan." Ren bersuara secara tiba-tiba. Inspektor Melissa segera berpaling sambil tersenyum.

"Apa sahaja yang boleh kami bantu."

"Saya mahu satu wad dengan Rissa."

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top