Bab 5
Cuaca begitu baik hari ini. Seorang lelaki yang berambut panjang, hitam berkilat mula meregangkan tubuhnya di sisi motorsikal milik syarikat. Rambutnya yang paras bahu itu diikat gaya ekor kuda agar tidak menjadi kusut apabila dia memakai topi keledar kelak. Kerjanya sebagai posmen sentiasa dilakukannya dengan penuh tanggungjawab. Memandangkan hari ini cuacanya lebih baik, dia menjadi lebih bersemangat untuk bekerja.
Sambil bernyanyi-nyanyi perlahan, dia mula memasukkan bungkusan-bungkusan yang dikirim ke dalam ruangan simpanan pada bahagian belakang motorsikalnya.
"Assalamualaikum. Shark?" tegur satu suara. Lelaki itu berhenti menyanyi saat mendengar nama itu. Sudah lama dia tidak dipanggil dengan nama itu. Wajahnya dipalingkan ke sisi. Kelihatan seorang pemuda berambut perang gelap dengan kaca mata berdiri tegak tidak lebih 1 meter daripada kedudukannya. Sebelah keningnya dijongket. Siapa lelaki ini?
Syed melangkah perlahan menghampiri Shark yang masih tertanya-tanya dengan kehadirannya.
"Assalamualaikum, Shakir." Syed tersenyum lalu menghulurkan tangan kanannya untuk bersalam. Shark tersentak saat nama sebenarnya disebut. Dia segera menjawab salam dan menyambut tangan Syed sambil tersengih malu. Mungkin dia tersilap dengar yang lelaki itu memanggilnya dengan nama Shark tadi.
"Ya, saya. Err, saudara ni, siapa ya?" sopan Shark bertanya.
"Oh, nama saya Syed. Selamat berkenalan. Sebenarnya, saya ada sesuatu yang hendak diberitahu kepada saudara Shakir," ujar Syed.
"Oh, boleh-boleh. Apa ya?"
"Saya ingin sampaikan satu jemputan daripada kawan saya. Tapi, awak mungkin tak kenal dia kerana dia tiada nama yang tetap," kata Syed. Shark termenung sebentar lalu mengeleng laju.
"Maaf, saya ada kerja ni. Saya mesti hantar bungkusan-bungkusan ini dulu. Syed, ada masa, kita jumpa lagi ya?" Shark tersenyum mesra sebelum bersalam dengan Syed. Dia segera mencapai topi keledarnya. Enjin motorsikal dihidupkan sebelum berlalu meniggalkan Syed. Pemuda Jerman itu mengeluh perlahan.
'Bagaimana caranya untuk aku ajak dia sertai kami?' akalnya mula memikirkan cara. Mungkin dia terpaksa berterus terang sahaja.
***
"Dia tidak akan setuju walaupun kau bagitahu kebenaran," kata Zen sambil jarinya tangkas menyentuh skrin telefon pintarnya. Zaman sekarang, permainan video kian lebih canggih. Mereka tidak perlu beli kaset permainan seperti zaman dahulu untuk berhibur.
"Yargh! Yargh! Mati! Ha... tembak! Yeay!" Zen bersorak kegirangan setelah musuh dalam permainan video atas taliannya telah kalah dan mati. Syed hanya mengeluh melihat sikap Zen yang selalu sahaja tidak serius.
"Lepas tu, macam mana ni? Kata nak ajak dia sertai kita." Syed mengambil tempat di sisi Zen. Tubuhnya dihempas penuh nikmat di atas sofa buruk milik Zen.
"Teruskan apa yang kau buat sekarang. Biar dia kenal kau. Tapi, jangan bagitahu identiti kau. Aku kenal sangat orang macam Shark ni. Ada kelemahan dia yang aku sorang je tau. Hehe." Syed memuncungkan bibirnya tanda tidak puas hati. Dia memejamkan matanya sebentar.
'Ini bermakna aku harus berjumpa dengan dia lagi,' desis hati Syed.
"Apa-apa ajelah Zen...,"kata Syed lemah. Dia hanya mampu menjeling Zen yang tidak henti-henti bermain permainan video dari tadi.
'Huh... betul ke dia ni abang aku?'
***
Lelaki berjaket biru itu berjalan pantas. Topi besbol dipegang agar wajahnya tidak mampu dicam oleh sesiapa. Seperti kerja-kerjanya sejak 10 tahun yang lalu, dia mula menyelinap masuk ke dalam sebuah rumah agam yang tersergam megah di bandar itu. Kelihatan beberapa pengawal peribadi yang berpakaian ala-ala'men in black' sedang berkawal di kawasan halaman. Mujurlah dia sudah siasat awal-awal di mana kawasan yang tidak mempunyai kawalan ketat seperti itu.
Tempat yang paling selamat, semestinya dapur, getus hati Zen. Bangga betul dia kerana dapat menyelinap masuk ke dalam rumah manusia yang paling berpengaruh di bandar ini. Rumah siapa lagi kalau bukan milik Datuk Bandar Himada.
"Kau siapa?" tegur satu suara kecil. Terkejut beruk Zen dibuatnya. Dia segera berpaling. Seorang kanak-kanak lelaki sedang berdiri di belakangnya sambil berpeluk tubuh. Wajahnya kelihatan sangat menjengkelkan. Zen menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. 'Budak kecik?'soalnya dalam hati.
"Ah... kau mesti cucu Datuk Bandar Himada kan?" Zen meneka. Kanak-kanak lelaki yang berusia 10 tahun itu hanya mencebik.
"Kalau kau penceroboh, aku bagi peluang untuk kau lari sekarang." Angkuh sekali nada bicara kanak-kanak lelaki itu. Zen tersengih sinis. Dia pernah dengar tentang cucu lelaki datuk bandar. Nama budak ini Ren dan kembar perempuannya pula bernama Rissa.
"Heh. Aku suka kau budak." Kata Zen perlahan sambil merenung wajah Ren dalam-dalam. Kanak-kanak itu tidak senang dengan jelingan tajam daripada lelaki asing itu.
"Kau dah kenapa hah? Dasar orang gila!" Ren meninggikan suaranya. Geram betul dia dengan Zen yang muncul entah dari mana itu. Zen tersenyum mesra lalu mendekatkan wajahnya dengan Ren.
"Aku bukan penceroboh. Aku datang sebab nak jumpa kau," ujar Zen sambil tersenyum. Ren memandang lama ke arah Zen.
"Ap... apa yang kau nak hah?" Kanak-kanak itu mula tergagap-gagap. Zen ibarat satu ancaman buatnya saat itu. Bermacam-macam telahan muncul di benak fikirannya. Mungkin sahaja lelaki bertopi di hadapannya itu ialah penculik yang hendak menjadikannya tebusan. Namun, dia sendiri tahu yang semua itu tidak akan berkesan kepada datuknya. Jika dia hilang, mungkin itu lebih baik bagi orang tua itu.
Zen tidak mahu bercakap panjang. Lengan kanak-kanak itu ditarik kasar. Butang lengan baju dicabut kasar lalu lengan baju Ren disinsing sehingga ke bahu.
"Hei! Apa kau cuba buat hah?" Ren menarik tangannya kembali. Wajah Zen kelihatan serius saat itu.
"Aku dah agak...," bisik Zen perlahan.
"Kau... kau ni siapa?" soal Ren perlahan. Dia mula takut dengan Zen saat itu.
Zen menepuk kepala Ren perlahan. Dia tidak buta. Kesan lebam pada tangan Ren sudah cukup menjelaskan bahawa kanak-kanak itu sering didera. Oleh siapa? Dia rasa, dia sudah boleh mengagak siapa.
"Bawa aku ke tempat yang lebih tersembunyi. Kita tak boleh berbual panjang di sini. Aku akan jelaskan sebab aku ke sini," tegas Zen. Ren mengangguk perlahan. Dia membawa Zen menuju ke kamarnya yang agak tersorok di tingkat atas. Saat itu, datuknya tiada di rumah kerana perlu menghadiri beberapa mesyuarat. Tugas sebagai pemimpin menjadikan lelaki tua itu sangat sibuk tidak kira pada waktu siang mahupun malam.
"Sekarang, bo... boleh pak cik bagitahu siapa pakcik?" Ren mengubah kata ganti nama diri yang diberikan kepada Zen. Mungkin Zen lebih layak dipanggil pakcik. Zen tersentap saat mendengarnya.
'Pa... pakcik?' dia memandang ke arah Ren tanda tidak percaya. Sedih pun ada. Nampak tua sangatkah dia?
"Err, aku... bukan pakcik kaulah. Hesy, berbalik kepada topik. Ren, kau didera bukan?" soal Zen. Ren terdiam lalu mengangguk perlahan. Zen segera memeluk tubuh kecil itu. Dia seolah-olah dapat memahami perasaan itu sedangkan dia sendiri tidak tahu mengapa.
"Ri... Rissa. Dia kena lagi teruk! Isk, Isk..." Ren mula menangis teresak-esak. Pertama kali, ada insan yang memahaminya.
"Jangan risau, aku akan tolong kau!" bisik Zen perlahan. Pada mulanya, dia cuma berniat untuk mempengaruhi minda Ren, namun entah mengapa, terbit rasa simpati dalam dirinya. Kanak-kanak itu mengangguk laju sambil mengesat air matanya.
"Nah, ambil ni. Dalam masa 2 hari, berikan pil-pil ni kepada semua pengawal setiap kali mereka makan makanan berasaskan udang. Tugas kau, pastikan, setiap menu ada udang!" kata Zen. Ren mengangguk faham. Dia menyambut botol kaca berisi pil daripada Zen.
"Vitamin C?" soal Ren. Zen mengangguk perlahan sambil tersenyum penuh makna.
"Ya. Aku akan ajar kau cipta racun daripada Vitamin C. Selepas itu, kau sendiri yang tentukan nasib kau. Hanya kau yang mampu tolong diri kau sendiri budak. Ren,kau kena lebih matang untuk terus hidup!" Zen bangkit dari duduknya. Sudah tiba masa untuk dia pergi. Matanya mencari tingkap yang berdekatan. Dengan bantuan Ren, lelaki itu berjaya melarikan diri tanpa disedari oleh pengawal-pengawal keselamatan dirumah agam itu.
Kemungkinan untuk rancangannya berjaya sebenarnya agak tipis. Dia hanya mampu berharap bahawa kanak-kanak itu cukup terdesak untuk mengikut kata-katanya. Yang paling penting, setiap perkara yang dilakukan oleh Ren selepas ini tidak akan melibatkan dirinya. Zon selamat berjaya dicipta!
Syed tidak boleh tahu bahawa dia ada kaitan dengan kes yang bakal berlaku nanti! Kanak-kanak itu akan dipergunakan untuk kepentingan dirinya. Hatinya menjerit meminta maaf, namun tiada sesiapa pun yang mendengar.
'Budak, maafkan aku...'
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top