Bab 4


"Zen, kau pasti ke nak ke sini?" bisik lelaki berkaca mata itu dengan nada suara penuh kerisauan. Zen hanya tersengih dalam topeng mukanya. Topi besbol yang terletak elok di atas kepala ditarik ke bawah sedikit untuk menutup wajahnya. Lantas, tanpa berkata apa-apa. Lelaki itu berjalan laju menyusup ke kawasan hospital itu.

Syed hanya mampu menepuk dahinya. Mahu tidak mahu, dia terpaksa menarik zip sweater hitamnya sehingga ke dagu lalu mengikut langkah lincah Zen. Lelaki itu begitu laju sehingga dia tidak sempat untuk membuntutinya.

"Zen, tunggu!" bisik Syed lagi dengan suara yang dikeraskan. Zen berpaling ke arah Syed yang sudah pun termengah-mengah di belakangnya. Saat itu, beberapa orang pegawai polis mula melewati kawasan tersebut. Mata Zen pantas menangkap kelibat anggota polis itu. Tubuh Syed dipaut dan ditarik ke dalam bilik pendawaian elektrik.

"Hmm? Apa tu?" soal salah seorang pegawai polis tersebut.

"Woit, apa yang kau..." Mulut Syed segera ditekup.

"Shh..." Zen bersuara perlahan. Lelaki berkaca mata itu terdiam dan mengangguk perlahan.

"Hmm, bayangan aku je kut. Hah. Sambung cerita," kata pegawai polis tersebut kepada kawannya.

"Malang betul nasib budak tu. Aku dengar dia ada barah otak dan sekarang sudah terlambat untuk membuangnya." Seorang pegawai polis yang memakai tanda nama Dahlia berhenti di hadapan pintu bilik pendawaian elektrik tersebut. Dia dan rakan sekerjanya, Mimi mula berbual mengenai seorang penjenayah yang baru sahaja diberkas hampir tiga bulan yang lalu.

"Kau tahu tak, masa operasi penangkapan dia dulu, dia kelihatan begitu terdesak untuk melepaskan diri. Aku yakin, dia bukan sekadar nak selamatkan diri. Dia macam ada benda penting masa tu. Aku sebak weh masa tu tapi, arahan tetap arahan kan?" kata Mimi.

"Kalau tak silap aku, Inspektor Ahmad dah buat permohonan kat mahkamah untuk ringankan hukuman Kay." Mendengar nama itu, hati Zen mula berdegup kencang. Dia ingin tahu lagi, apa yang berlaku pada Kay.

"Hmm... Aku pun tak faham dengan Inspektor Ahmad tu. Padahal, dialah orang yang paling bersungguh-sungguh nak tangkap Kay tu." Perbualan tersebut tamat di situ. Kedua-dua orang pegawai polis itu segera pergi dari situ setelah mendapat arahan daripada pihak atasan melalui panggilan telefon. Mereka harus bergilir mengawasi seorang banduan yang kini ditempatkan di hospital itu.

"Fuh! Huh... huh..." Syed mula mencari-cari nafas setelah Zen melepaskannya. Wajah Zen saat itu kelihatan benar-benar serius. Syed mengerti. Pastinya tentang lelaki yang bernama Kay tadi.

"Jom!" ajak Syed tiba-tiba. Zen segera mengangkat wajahnya.

"Hah?"

"Jom, kau mesti nak dengar lebih lagi kan? Aku boleh tolong kau dapatkan maklumat tentang Kay." Kata Syed.

"Mustahil. Pihak polis tengah cari aku. Kalau aku dedahkan diri aku semata-mata nak tanya soalan tu, aku akan ditangkap!" ujar Zen. Dia mula kehilangan semangat.

"Hehe, yang tu kau jangan risau. Hmm, kalau kau tak boleh tanya, biar aku yang tanya." Syed mula bergerak ke arah pintu. Tangannya tiba-tiba dipaut dari belakang. Langkahnya serta-merta terhenti.

"Macam mana?" soal Zen. Wajah Syed dipandang serius. Remaja berkaca mata itu tersengih sambil membetulkan kaca matanya.

"Mungkin ini masanya kau tahu siapa aku." Syed menarik tangannya perlahan sebelum berlalu keluar. Zen mengikut dari belakang. Nasib baik ada topeng muka yang mampu melindungi sebahagian daripada wajahnya.

"Assalamualaikum. Boleh saya tahu di mana bilik Khairul Ierza Bin Khalid?" selamba Syed bertanyakan soalan tersebut kepada dua orang pihak polis yang berkawal. Mereka berdua memandang ke arahnya pelik. Hampir jatuh rahang Zen saat itu. Dia mulai cemas.

"Waalaikumussalam. Maaf, adik ni siapa?"soal salah seorang daripada mereka.

"Oh, lupa pula saya nak kenalkan diri. Saya FBI Syed Al-Asr daripada German. Kay sudah tersenarai dalam kalangan penjenayah Interpol. Saya ke sini untuk menyiasat lebih lanjut. Dengar khabar, dia ditempatkan di hospital ini." Syed mengangkat kad pengenalannya. Segala bukti urusannya dikeluarkan sebagai pengesahan untuk dia lepas daripada sebarang soal siasat yang tidak munasabah.

"Oh, maaf. Kami tak tahu. Encik ni nampak masih muda sebab itu kami panggi adik." Pegawai polis tersebut mula tersipu-sipu malu mengenangkan cara dia memanggil Syed sebentar tadi. Lelaki itu hanya tersengih sambil mengeleng perlahan.

"Tidak mengapa. Bukan satu hal yang besar. Saya memang antara pegawai FBI termuda. Umur saya baru 17 tahun," katanya sambil tersenyum mesra.

"Seriuslah!" jerit mereka berdua. Zen yang berada tidak jauh daripada mereka juga hampir terlompat kerana terkejut. Syed ialah anggota FBI dan polis Interpol? Wakil German yang paing muda pula tu. Paling dia tidak percaya, Syed baru berusia 17 tahun!

"Shit!" bisik Zen perlahan. Tak sangka selama ni, Syed sangat jauh lebih muda daripadanya.

"Hehe. Saya seriuslah ni...." Syed tersengih sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

"Kalau macam tu, sila ikut kami." Kedua-dua pegawai polis tersebut mula memandu langkah. Syed sempat berpaling ke belakang sambil mengenyitkan matanya kepada Zen. Dia agak, Zen pasti geram teramat sangat dengannya saat itu.

'Maaf ya, Zen. Hehe.' Syed tertawa kecil dalam hatinya.

Zen hanya mampu mengetap bibirnya. Dia terpaksa mengiringi pemergian Syed bersama kedua-dua pegawai polis itu dengan pandangan sahaja. Hendak dekat-dekat, bimbang dicurigai pula. Tidak mengapalah, dia akan tunggu Syed di lobi sahaja.

***

Zen memandang sayu ke arah van ambulans yang membawa Kay. Tidak lama lagi, Kay akan diterbangkan ke United Kingdom untuk mendapatkan rawatan lanjut daripada pakar kanser di sana. Buku limanya dikepal penuh geram. Dia tidak sangka, nasib Kay sungguh malang.

Syed pula hanya terdiam. Siapa sangka, hari ini juga Kay akan keluar daripada hospital tersebut. Dia sempat berjumpa dengan Inspektor Ahmad yang bertugas untuk mengawasi Kay sepanjang keberadaannya di UK. Perbualannya dengan inspektor itu mula terngiang-ngiang di mindanya.

Tuk! Tuk!

"Masuk!" kedengaran arahan daripada dalam wad persendirian itu yang mengarahnya untuk masuk. Syed meneguk air liurnya yang terasa berat. Sambil menarik nafas panjang, dia mula melangkah masuk.

"Hmm? Siapa kamu?" soal Inspektor Ahmad. Syed tersenyum lalu mengeluarkan kad pengenalannya dan dokumen rasmi daripada pihak Interpol. Dia mula mengenalkan dirinya seperti dia memperkenalkan dirinya kepada dua orang polis tadi.

"Saya ada ketika operasi penangkapan Kay tiga bulan yang lalu di Hotel New Horizon." Fakta itu sangat mengejutkan Inspektor Ahmad.

"Jadi, pihak Interpol mahu kamu menyiasat tentang Kay?" soal Inspektor Ahmad untuk kepastiannya.

"Ya. Dia ialah penjenayah yang belum berjaya diberkas sejak enam tahun yang lalu. Jadi, FBI juga ingin menawarkan bantuan. Tapi, nampaknya semua itu sudah tidak perlu lagi," ujar Syed sambil mengeluh perlahan. Dia melihat ke arah tubuh Kay yang masih lagi terlena dengan wayar oksigen pada wajahnya.

"Kay, dia akan dipindahkan ke salah satu hospital di UK. Mungkin di Bath. Ada pakar kanser di sana." Jelas Inspektor Ahmad. Jelas sekali saat itu yang dia sudah seperti tidak bertenaga lagi. Mungkin asyik berjaga di samping Kay, teka Syed.

"Dalam masa yang terdekat?" Syed mula kerisauan. Apalah agaknya respon yang bakal diberikan oleh Zen sekiranya lelaki itu tahu tentang hal ini? Inspektor Ahmad hanya mengangguk perlahan.

"Kay mungkin ditangkap, tetapi, entah kenapa saya masih tidak puas hati," kata Inspektor Ahmad.

"Err, kenapa pula?"

"Menurut rakan sejawat saya yang turut tercedera ketika operasi memburu Kay, ada seorang lagi rakan Kay. Namanya Zen. Katanya, Zen sudah terkena tembakan dan turut tidak sedarkan diri saat itu, tetapi, jasadnya hilang ketika pasukan bantuan tiba. Sepertinya ada orang ketiga yang masuk campur dalam hal ni. Saya yakin Zen masih hidup!" Hampir tersedak Syed mendengar ayat terakhir itu.

"Zen tidak tersenaraikah dalam penjenayah yang dikehendaki Interpol? Dia lagi lama daripada Kay. 10 tahun pihak polis cuba memberkas dia, tapi sampai sekarang belum berhasil," sambung Inspektor Ahmad lagi.

"Zen? Kami tidak pernah dapat maklumat tentangnya." Syed cuba sedaya upaya untuk melindungi rahsia kedudukan Zen saat itu. Jika pihak polis di Malaysia tahu, dia akan dicop sebagai rakan subahat kepada penjenayah itu.

"Hmm, mungkin kerana dia tiada identiti yang tetap. Kay pasti tahu sesuatu tentang Zen." Lelaki itu melihat ke arah Kay yang masih kaku dalam bius. Dia seperti diulit mimpi indah. Lenanya kelihatan mengasyikkan.

Tanpa membuang masa,Syed meminta diri daripada situ. Maklumat mengenai Kay sudah pun diperolehinya, cuma dia tidak tahu bagaimana hendak memberitahu Zen perkara ini. Kay mungkin akan menjadi ancaman kepada Zen sekiranya dibiarkan terus hidup. Namun, akalnya masih waras. Dia tidak akan sesekali melakukan perkara yang kejam semata-mata untuk menyelamatkan Zen.

Pandangannya kini dilontarkan kepada Zen yang masih lagi termenung melihat ke arah van ambulans yang kian menjauh. Lelaki itu nampaknya sudah mula menerima hakikat. Dia berpaling dan berjalan ke arah Syed yang tersenyum hambar ke arahnya.

"Syed, aku nak menangis tapi tak boleh." Kata Zen perlahan. Dia memandang ke arah Syed mempunyai warna rambut yang sama dengannya iaitu perang gelap.

"Tak mengapa Zen. Allah sayang pada orang yang sabar." Syed menepuk-nepuk bahu Zen perlahan.

"Syed, kau ni banyak sungguh kejutan. Aku rasa banyak lagi yang kau sembunyikan daripada aku. Tak tahu pula kau ni salah seorang anggota FBI," sindir Zen. Syed tersengih lalu tertawa kecil.

"Aku memang nak bagitahu kau pun, cuma tak tahu macam mana."

"Jadi, kenapa kau selamatkan aku?" soal Zen Serius. Situasi yang baru sahaja hendak bertukar harmoni, menjadi serius kembali. Hilang sudah senyuman pada wajah Syed saat mendengar soalan tersebut.

'Lelaki ni... entah bila dia akan berhenti tanya aku soalan tu.'

"Hahahah. Boo! Kau ni, janganlah serius sangat Syed!" Zen kembali tersenyum. Sempat lagi dia mengejek remaja itu. Jika dilihat dari segi usia, semestinya Syed jauh lagi muda namun, sesiapa pun akan salah faham dengan situasi sekarang. Zen sepertinya cuba menceriakan suasana itu kembali.

"Huh. Zen, dahlah. Jom balik!" Syed malas hendak melayan karenah Zen yang seperti budak-budak itu.

"Aip, aip, kapten!" Zen berlari-lari anak mengikut langkah Syed.

'Syed, apa yang kau sembunyikan sebenarnya hah?' getus hati Zen. Dalam senyuman dan gelak ketawanya saat itu, dia mula curiga dengan remaja daripada Jerman itu.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top