Bab 10
Wanita berambut perang keemasan itu keluar daripada balai ketibaan sambil mengheret bagasinya yang berwarna merah jambu. Suasana yang sibuk itu diperhatikan tanpa sebarang senyuman pada wajahnya. Dia melihat jam antarabangsa yang terpapar pada skrin besar lapangan terbang antarabangsa itu. Sekarang pukul 4 petang waktu tempatan. Badannya sudah melekit kerana suasana di Malaysia ternyata lebih panas daripada tempatnya. Kot labuh yang membalut tubuh ditanggalkan. Tubuhnya yang hanya memakai t-shirt putih tanpa lengan dan seluar jeans ketat berwarna hitam itu benar-benar mengiurkan mata yang memandang. Tanpa menghiraukan mata-mata nakal yang memandangnya, dia segera mencari kaunter pertanyaan.
"Excuse me, saya nak tahu, macam mana untuk ke hotel yang berdekatan dengan penjara utama negara ni?" soal gadis itu dengan wajah tanpa perasaan. Gadis penjaga kaunter terkedu mendengar tempat yang dimaksudkan pelancong itu.
"Oh, cik mungkin boleh cari di kawasan Kajang. Di situ penjara utama terletak." Terketar-ketar gadis itu menjawab pertanyaan pelancong itu.
"Kajang... okay, terima kasih. By the way, Malaysia is so hot right?" Wanita itu terus berlalu. Telefon bimbitnya segera dikeluarkan.
"Hello, Daichi, kau pasti lelaki tu bernama Saigon?" soal wanita itu.
"Asyley! Kau dah sampai di Malaysia? Err, ya, namanya mungkin pelik sikit tapi Saigon memang pelik. Hehehe." Suara tua itu tertawa kecil di hujung corong. Asyley segera menjauhkan telefon bimbit dari telinga. Lantas, panggilan itu dimatikan. Yang penting sekarang, dia harus bertemu dengan Saigon. Mujurlah Daichi sudah memberikan beberapa dokumen palsu yang membolehkannya untuk melawat Saigon di penjara nanti.
"Ke tepi! Minta beri laluan!" Beberapa anggota polis yang berkawal mula mengepung kawasan. Asyley cemas. Sangkanya, polis-polis itu mahu mendapatkannya. Dahinya mula berkerut menahan gentar. Jika di negara sendiri, dia ada tenteranya sendiri untuk melindunginya. Tapi kini, dia di Malaysia. Negara yang terkenal dengan suasana aman damainya itu. Perkiraannya tersasar. Polis-polis itu langsung tidak mempedulikan pelancong asing sepertinya. Badan-badan beruniform itu hanya melepasinya tanpa sebarang syak.
Asyley tertanya-tanya dengan apa yang berlaku. Ternyata, polis-polis tersebut sedang berkawal kerana mereka hendak membawa seorang banduan yang sakit menaiki pesawat khas. Asyley mengintai dari kejauhan. Lelaki yang disorong menggunakan stroli itu langsung tidak kelihatan seperti penjenayah. Wajahnya bersih, seolah-olah sedang tidur nyenyak. Apakah jenayah dia agaknya?
Di sisinya, ada yang mengambil gambar dan muat naik berita hangat itu ke media sosial. Suara-suara sumbang di belakang mula berbicara mengenai seorang lelaki yang bernama Kay. Dia ialah lambang keadilan yang sebenar, bagi mereka. Menurut mereka juga, Kay ialah satu-satunya penyeleweng yang mampu memberikan keadilan kepada mangsa-mangsa penjenayah yang lain. Dia ibarat Robin Hood versi Malaysia di zaman millennia ini.
"Ceh, penjenayah di sini pun disanjung?" Asyley mencebik lalu berpaling daripada kerumunan orang ramai yang sedang merekod situasi itu.
Buat masa ini, dia harus mencari tempat penginapan terlebih dahulu.
***
"Saigon! Kau ada pelawat!" sapa suara garau warden penjara.
Lelaki tua itu mengangkat wajahnya perlahan-lahan. Dia langsung tidak menjangkakan sebarang pelawat setelah dilawat oleh Inspektor Ahmad lebih kurang tiga bulan yang lalu. Apakah lelaki itu punya berita baharu mengenai Kay?
Sebaik sahaja pintu besi itu dibuka, dia dipandu warden penjara menuju ke bilik pelawat yang dipisahkan dengan cermin berlubang-lubang. Seorang wanita berambut perang keemasan sedang menantinya di situ. Wanita itu merenungnya lama sebelum Saigon mula memecahkan kesunyian itu.
"Kau... siapa?" soal Saigon. Asyley tersengih.
"Salam perkenalan. Aku Asyley, Komander Black Tosa daerah Munich." Saigon mula meluaskan bukaan kelopak matanya. Dia tahu tentang Black Tosa. Tapi atas urusan apa dia dicari sehingga ke sini?
"Aku agak, kau kenal aku daripada Daichi. Hanya dia yang mampu membina hubungan daripada organisasi gelap seperti Black Tosa. Heh." Asyley tersenyum sambil mendekatkan wajahnya pada cermin tersebut.
"Black Tosa, umumnya dikenali sebagai parti pembangkang di Jerman, bukan seperti organisasi hitam kelas rendah di Malaysia." Asyley membalas sindiran itu dengan sindiran.
"Mmm, aku tak kisah apa yang orang ramai tahu. Aku lebih suka benda yang banyak rahsia dan hanya aku yang tahu. Heheh... uhuk, uhuk!" Saigon mula terbatuk-batuk. Jika dulu ada pembantunya, Serina datang mengurut belakang badannya ketika batuk. Namun, kenangan kini tinggal kenangan. Asyley menjauhkan wajahnya kerana bimbang terkena virus dari batuk Saigon. Lelaki tua itu dipandang jengkel.
"Sudah! Berbalik kepada topik. Aku ada tujuan datang ke sini."
"Silakan. Apa tujuan kau ke sini?" soal Saigon dengan suara yang lemah, kesan daripada batuk tadi.
"Betulkah, Daichi diburu oleh seorang penjenayah muda? Boleh aku tahu dia di mana?" soal Asyley tanpa berselindung lagi.
"Heh, hehehe... Daichi, Daichi. Pasti dia hidup dalam ketakutan sekarang. Dia dah tak boleh ke mana-mana lagi, jadi dia minta perlindungan daripada organisasi yang belum tentu boleh dipercayai. Kuat sungguh hubungan dengan kumpulan haluan kiri. Wah, ini memang Daichi yang aku kenal. Penakut!" Saigon tertawa besar. Asyley mengetap bibirnya kegeraman. Meja dihadapannya ditepuk deras.
"Jawab soalan aku Saigon! Aku benci dengan manusia cakap banyak macam kau ni. Mujur sahaja aku di negara orang...." bisik wanita itu kasar sambil merenung tajam ke arah Saigon.
"Jika kau bercakap tentang Kay, dia sudah ditangkap dan sekarang sudah tak mampu melawan lagi. Dia dah nak mati!" Saigon membalas serius. Asyley terdiam. Jadi, Kay yang dia nampak di lapangan terbang semalam ialah Kay! Kay yang berjaya buat Daichi mencicit ketakutan sehingga melarikan diri ke Jerman. Ceh, sungguh hebat kebetulan ini!
"Wah! Aku langsung tak jangka!" Asyley menyandar pada kerusinya sambil mengeleng tidak percaya. Lelaki muda itu, Kay?
"Heh, dia penjenayah yang baik hati. Langsung tak sama dengan mana-mana penjenayah yang pernah beli maklumat dengan aku. Dan aku, pergunakan dia untuk keuntungan aku sendiri." Saigon mula menunduk. Sepertinya, ada penyesalan dalam nada suaranya. Asyley meraup rambut panjangnya itu. Kerusi dibetulkan.
"Bagitahu aku, kelemahan Daichi." Saigon memandang lama wajah Asyley. Saigon tersenyum hambar lalu mengangguk perlahan.
"Dia ada satu lagi musuh yang langsung tak terjangka. Musuh yang dia sendiri bela dari kecil," ujar Saigon seraya menarik nafasnya panjang.
"Siapa? Aku nak cari dia!" Asyley mula tidak sabar.
"Zen," jawab Saigon ringkas.
"Hah? Zen? Tu nama dia? So, macam mana caranya untuk aku cari dia?"
"Aku tak pastilah Zen masih hidup atau tak. Selepas Kay ditangkap, dia hilang. Hanya darah dia yang tinggal di tempat kejadian. Untuk cari Zen, bukannya mudah. Tiada siapa tahu wajahnya yang sebenar. Dia selalu melakukan jenayah secara bersembunyi. Nasihat aku, kau putus asa sajalah." Saigon memeluk tubuhnya yang kian susut itu. Duduk di penjara, selera makannya semakin berkurang. Entah mengapa, tuhan masih mahu panjangkan umurnya.
Asyley mengeluh perlahan saat mendengar kata-kata Saigon. Takkanlah mustahil? Zen itu manusia bukannya makhluk ghaib. Jika dia gigih mencari, pastinya usaha itu tidak akan sia-sia.
"Hmm, aku tak perlukan nasihat daripada banduan. Zen ya? Aku akan cari dia!" Asyley bingkas bangun dari kerusi besi itu. Dia segera keluar daripada bilik pelawat sambil ditemani warden penjara. Masa yang masih berbaki akan digunakan untuk mencari Zen. Ada seminggu sebelum tarikh penerbangannya ke Jerman.
***
"Shark, kau dah sedar?" tegur satu suara.
Matanya dicelik perlahan-lahan. Samar-samar cahaya mula menerjah masuk ke dalam retina. Silau.
"A... aku kat mana ni?" soal Shark. Wajah insan yang berada di sisinya itu dipandang lama. Zen tersenyum. Tiba-tiba Syed masuk sambil membawa masuk ubat dan segelas air mineral.
"Apa? Kau orang ni macam laki bini." Selamba ayat itu keluar daripada mulut Shark. Zen terkedu. Dia segera memandang Syed yang jelas tidak faham dengan situasi tersebut.
"Syed, kenapa kau pakai apron? Yang ada ropol-ropol dengan gambar hati pula tu!" Zen bersuara kegeraman.
"Eh? Apa salahnya? Apron ni, aku ambil kau punya, di dapur. Maaflah, dah tiga bulan, aku lupa bagitahu, aku pinjam apron kau selama ni untuk memasak," jelas Syed yang masih tidak faham. Merah padam muka Zen saat itu. Shark yang masih terbaring hanya mampu menahan tawanya.
"Ka... kau tipu! Aku tak ada apron macam tu! Shark jangan percaya helah Syed." Zen memandang ke arah Shark. Matanya jelas cuba menafikan. Aduh, habislah hilang kemacoannya di hadapan Shark. Bukan main lagi dia susun ayat untuk menegur Shark setelah sedar daripada tidurnya. Kini, rancangan itu musnah kerana Syed!
Syed mendekati mereka dengan perasaan tidak bersalah. Ubat dan air mineral dihulurkan kepada Shark. Zen pula sudah kehilangan arah. Tak perlulah duduk di sisinya dengan tangan di atas paha. Jangan berlagak sopan sangatlah Syed!
"Terima kasih," ucap Shark.
"Kau dah kenapa Zen?" soal Syed yang tidak faham dengan tingkah laku Zen. Lelaki itu tidak suka ke dia guna apron tu?
"Dahlah! Syed, nanti bagitahu Shark objektif kita!" Zen segera bangkit dan keluar daripada bilik tersebut. Dari luar bilik, dia mampu dengar Shark mula tertawa besar. Geram betul Zen. Dia segera berlalu dari situ.
"Shark, kau pasti penat setelah berhari-hari tidak tidur. Sekarang kau dah dapat tidur kau. Kami ada permintaan yang memerlukan kau," kata Syed serius.
"Err, apa?"
"Sertai misi kami." Syed menjelaskan situasi yang akan mereka hadapi selepas ini. Mendengarkan penjelasan panjang lebar daripada Syed, Shark terdiam sebentar.
"Kau boleh tolak kalau tak setuju...."
"Tak! Aku setuju! Lagipun, Zen pasti ada sebab dia pilih aku." Shark membuat keputusannya. Dia percaya kepada Zen. Peminatnya dalam Sukan Parkour.
* Hai semua pembaca Zen. Tahukah kalian saya bercadang untuk jadikan cerita Zen ni Trilogi?
* Hendak juga saya bertegur sapa dengan pembaca. Jadi, ada beberapa soalan untuk kalian di samping untuk membaik pulih gaya penulisan saya
- Dalam banyak-banyak karakter, anda suka karakter mana?
-Apabila baca, anda rasa teruja atau bosan?
-Dari segi penceritaan, adakah terlalu cepat, atau, terlalu meleret-leret?Jika okay, katakan okay...dapat sikit motivasi pun tak mengapa...
-akhir sekali, jika best,jangan lupa vote..heheh
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top