III
SEBAIK sahaja melabuh duduk di atas kerusi, Nur Daiyan Qaisarah memandang wajah Tuan Mikhail. Pelbagai persoalan bermain di fikirannya sekarang. Adakah dia melakukan apa-apa kesalahan sepanjang tempoh dia bekerja? Kalau tidak pun dia kurang fokus kerana perihal peribadi. Ya, dia sedar akan perkara itu. Fokusnya seakan lari entah ke mana. Apa yang dia lakukan menjadi serba tidak kena. Ini tidak kena, itu pun tidak kena juga. Serba salah jadinya.
"Awak tahu kenapa saya panggil awak jumpa saya?" soal Tuan Mikhail, serius.
Nur Daiyan Qaisarah geleng kepala tanda benar-benar tidak tahu. Selalunya ada perkara yang berlaku barulah Tuan Mikhail akan mencarinya, itu pun mungkin benar-benar perkara mustahak.
"Awak tahu tak keadaan awak macam mana sekarang?"
Terpinga-pinga Nur Daiyan Qaisarah mendengarkan soalan itu. Eh, kejap! Keadaan apa? Dia tidak faham.
"Keadaan? Mak... maksud Tuan apa? Saya tak faham." Berkerut seribu dahinya mengalahkan nenek kebayan yang hidup berzaman-zaman tahun dahulu.
Tuan Mikhail menghembus nafas seketika, anak matanya mulai terpaku pada raut wajah bujur sirih milik gadis itu. Senyuman dilemparkan kepada gadis itu sekejap. Nur Daiyan Qaisarah senyum-senyum siput. Naik pelik dirinya dengan kelakuan bosnya itu.
Setahunya, bosnya itu yakini Tuan Mikhail begitu sukar untuk menghadiahkan senyuman kepada mana-mana orang. Boleh dikatakan kedekut senyuman betullah lelaki ini! Tetapi hari ini lain pula tabiat lelaki itu. Ubah selera barangkali.
"Ya, keadaan awak. Saya tahu awak ada masalah peribadi. Tapi... saya tak nak ambik tahu masalah apa yang awak hadapi, cuma saya tak nak pekerja saya campurkan urusan peribadi dengan kerja. Itu dipanggil melanggar etika sebagai seorang pekerja di syarikat ini. Awak faham, kan?" Serius Tuan Mikhail berbicara, berbaur tegas.
Nur Daiyan Qaisarah tersenyum tipis dan mengangguk kepala perlahan. Tanda faham. Masalah peribadi, yang menjadi punca dia jadi begini. Dia seakan gagal menjadi seorang yang profesional sekiranya melibatkan diri dalam urusan peribadi.
"Dan... disebabkan hal itu juga saya tengok keadaan awak semakin lama semakin tidak bermaya. Saya rasa awak patut berehat dan ambil masa untuk kembali bersemangat macam dulu." Sambung Tuan Mikhail, lagi.
"Eh! Eh! Tak-tak. Saya sihat, saya tak perlukan rehat Tuan. Saya masih lagi bersemangat untuk bekerja." Cepat-cepat Nur Daiyan Qaisarah menindakkan kata-kata itu. Dia tidak mahu sama sekali untuk mengambil cuti.
"Daiyan. Awak kenal diri awak sendiri. Saya pula sebagai seorang majikan patut bagi awak cuti. Awak perlukan rehat sebab sejak dua menjak ni awak tak bermaya. Fikiran awak selalu menerawang jauh macam fikirkan sesuatu. Okey! Saya bukan nak sibuk pasal masalah peribadi awak tapi saya sebagai seorang bos berhak bagi awak cuti. Berehatlah Dai..." pujuk Tuan Mikhail, kasihankan kepada pekerjanya itu. Nur Daiyan Qaisarah diam seketika. Seakan berfikir.
"Tapi Tuan... kerja saya macam mana pulak?"
Tuan Mikhail membulatkan biji mata, tanda marah. Marah-marah manja dengan gadis itu sebenarnya. Sibuk aje fikirkan kerja padahal kesihatan itu lebih penting daripada pekerjaan. Kecur liur Nur Daiyan Qaisarah melihatkan wajah Tuan Mikhail berubah menjadi bengis.
"Masih lagi kau fikirkan kerja ya, Dai? Tak sayangkan kesihatan ke apa kau ni? Dah! Jangan kau risau soal kerja. Semuanya aku akan bereskan. Kau cuma perlu ambik cuti and rehat aje. Susah sangat ke?" marah Tuan Mikhail. Tadi bersaya - awak, kini beraku - kau pula.
"Tapi Tuan Mikhail... kalau saya ambik cuti, saya nak bercuti kat mana?" soal Nur Daiyan Qaisarah yang seakan protes dengan cuti paksaan ini. Bukan kehendaknya pun hendak ambil cuti.
"Isy... tanya aku pulak. Manalah aku tahu! Kau pergilah bercuti kat luar negara ke, tak pun kat Langkawi. Haa... tak pun bercuti kat dalam hati aku."
Ops! Tersasul pula. Membulat anak mata Nur Daiyan Qaisarah mendengarkan kata-kata terakhir itu. Adakah dia tersalah dengar?
"Lupakan kata-kata aku tadi. Ni saya nak bagitahu awak Cik Daiyan, disebabkan awak terlalu banyak sangat bertanya dan buat hati saya menggelegak marah. Saya akan bagi awak cuti selama seminggu. Puas hati!"
Tuan Mikhail menandatangani sehelai kertas bersaiz A4, iaitu surat cuti kepada pekerja lantas dihulur kepada gadis itu.
"Tapi Tuan..." Belum sempat Nur Daiyan Qaisarah habis berbicara lagi, laju sahaja kata-kata itu dipotong oleh Tuan Mikhail.
"Sekali lagi kau bagi alasan. Nanti aku pecat kau! Baru kau tahu langit tinggi ke rendah. Dah, Pergi!" halau Tuan Mikhail, sambil membuat gaya mengusir.
Lambat-lambat Nur Daiyan Qaisarah bangkit dari kerusi dan berganjak pergi dari situ. Berat hatinya untuk menerima cuti paksaan ini. Bukannya keinginannya pun. Sudahlah seminggu, nanti jenuhlah dia bercuti. Mana best! Dia bukannya seorang gadis yang gemar bercuti tetapi dia seorang gadis yang gemar bekerja. Dia sukakan kerja!
MARIAM menyedut jus lemon minuman kegemarannya itu hampir separuh, dahaganya mulai berkurangan. Alangkah baiknya jika dia dapat mengisi air lazat itu sedari awal lagi. Mana tidaknya, hendak ajak Si Daiyan ini punyalah susah. Ajak pergi makan aje itupun berat punggung. Anak matanya menjeling wajah seseorang di hadapannya ini. Hendak kata dia bertemankan hantu, bayang kelihatan apabila dipantulkan oleh cahaya mentari pula. Ini bukan hantu, tapi manusia yang sengaja jadi hantu. Isy...
"Dai. Kau boleh tak berborak dengan aku. Aku bosanlah." Mariam menarik muka. Nur Daiyan Qaisarah menoleh sekilas pada wajah gadis itu.
"Borak apa?" soal Nur Daiyan Qaisarah acuh tidak acuh. Mariam menunjukkan wajah geram. Ya Tuhan! Apa hendak jadi dengan rakan baiknya sekarang?
"Eh, kau dah kenapa? Tolonglah jangan macam ni Dai. Ya aku tahu. Kau jadi macam ni lepas kau putus cinta dengan jantan tak guna tu, kan? Tapi... janganlah sampai makan minum and kesihatan kau pun tak jaga babe. Kau manusia babe bukan robot," bebel Mariam yang terselit sedikit pesanan yang tidak berbayar itu. Gelas yang berisi jus lemon tadi terus diambil dan disedut laju. Geram.
Keluhan berat dilepaskan. Nur Daiyan Qaisarah mengalihkan pandangan ke arah lain. Rimas apabila sudah acap kali dibebel oleh gadis itu. Bukannya dia tidak cuba untuk melupakan lelaki itu tetapi... isy! Susahlah nak cakap. Orang yang tidak pernah putus cinta masakan pula mahu faham isi hati si pematah hati.
"Yam. Kau faham tak erti cinta?"
Hampir tersedak Mariam apabila mendengarkan soalan itu. Isy... soalan apa ini? Mariam mengalihkan pandangan tepat pada wajah rakan baiknya itu. Serius semacam, naik gerun pula dia melihatnya. Ini kes tidak berpuas hati atau kes apa?
"Ermmm... tak."
Tersengih Mariam sambil menggaru kepalanya yang berlapikkan tudung shawl itu. Nur Daiyan Qaisarah tersenyum sinis. Sudah agak.
"Kalau kau tak faham apa itu cinta. Baik kau diam aje," sindir Nur Daiyan Qaisarah, selamba. Semenjak dua menjak ini perasaannya kian berubah. Tidak seperti dulu, ceria dan gemar tersenyum.
"Amboi, sedapnya mengata orang ya. Kau sepatutnya mencintai Allah dulu barulah manusia. Ini tak, mencintai manusia melebihi segala-galanya, sedangkan saat ini Allah menguji kau adakah kau masih lagi mencintai-Nya atau mencintai ciptaan-Nya."
Tersentap Nur Daiyan Qaisarah mendengarkan kata-kata itu. Bagaikan menyentak tangkai hatinya. Keluhan berat dilepaskan. Kadang-kala berbisa juga mulut Si Mariam ini ya.
✿ BERSAMBUNG
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top