I

           ❝KITA putus!❞

Daiyan tergamam. Kepala digeleng berkali-kali, tidak percaya apa yang baru sahaja didengari beberapa saat tadi. Adakah telinganya tersalah menangkap setiap perkataan yang meniti di bibir jejaka itu? Fikirannya mula menerawang jauh memikirkan kemungkinan yang bakal berlaku di kemudian hari sekiranya cinta hatinya itu tiada di sisinya kelak. Hatinya benar-benar rapuh ketika ini.

Beberapa pasang mata mulai tertumpu sepenuhnya pada mereka berdua, air liur ditelan kelat. Walaupun ada mata-mata yang sibuk menjaga tepi kain orang tetapi tetap juga Nur Daiyan Qaisarah tidak endahkan sahaja. Biarlah mereka, urusannya dengan Haziq lagi penting daripada mereka.

‘Saya berjanji yang kita akan bersama sehingga kita naik pelamin suatu hari nanti. Saya janji, sayang.’

Itulah kata-kata yang pernah diucapkan oleh jejaka di hadapannya ini beberapa tahun lepas dan sekarang perkara ini terjadi sebaliknya. Cecair jernih meluncur laju membasahi pipinya, tanpa sedar. Air liur ditelan, perit. Terasa ada sesuatu yang menghimpit dadanya ketika ini. Sakit dan sungguh memeritkan rasa.

“Sayang... apa awak cakap ni?”

Nur Daiyan Qaisarah datang merapati jejaka bertubuh tegap di hadapannya itu. Cuba mencari kepastian, mana tahu kata-kata itu hanya sekadar gurauan kasar sahaja. Kerana jejaka itu benar-benar gemar bergurau kasar dengannya. Dia masih lagi tidak percaya perkataan yang meluncur laju di bibir jejaka itu. Sumpah dia katakan. Dia tidak percaya!

“Dai... tolonglah.”

Haziq mengundur setapak ke belakang agar berjauhan daripada gadis itu. Jelas kelihatan bahawa Nur Daiyan Qaisarah cuba meraih simpatinya agar menarik kembali setiap tutur bicaranya sebentar tadi atau gadis itu masih lagi tidak percaya apa yang baru sahaja didengari sebentar tadi.

“Awak serius ke? Awak merepek kan, Haz?” Suara Nur Daiyan Qaisarah naik seoktaf.

Keadaan di Cantaloupe Restaurant sedikit kecoh dengan suaranya tetapi apa boleh buat jiwanya terlalu rapuh ketika ini. Adakah ini satu jenaka yang harus diiyakan? Dia manusia bukannya robot. Dia ada hati dan juga perasaan, mana mungkin dia akan bertepuk tangan sekiranya jejaka itu benar-benar ingin mengakhiri hubungan mereka berdua.

Langkah kakinya semakin mara ke hadapan dan merenung lama wajah Haziq sambil mencari kepastian disebalik percakapan jejaka itu tadi. Dia cukup yakin dan percaya, apa yang diujarkan oleh jejaka itu sebentar tadi merupakan satu jenaka kasar. Selepas ini tiada apa-apa yang berlaku dan akan kembali seperti biasa.

Bebola mata Haziq memandang sayu wajah sawo matang milik Nur Daiyan Qaisarah, dia seakan cuba untuk menahan diri daripada terus-terusan terpujuk oleh gadis itu. Perasaannya bercampur-baur ketika ini antara marah, kecewa dan hiba.

Dia rasa marah apabila gadis itu seakan tidak menunjukkan perasaan marah kepadanya, dia juga rasa kecewa kerana sanggup memperlakukan sebegitu kepada gadis yang dicintainya separuh mati itu. Hiba kerana tidak mampu menanggung perpisahan ini.

“Saya serius Dai. Saya nak putus dengan awak, Dai.” Sekali lagi Haziq berani bersuara. Kali ini nada suaranya berubah. Sedikit keras.

Tidak sewenang-wenangnya air mata mengalir semakin laju membasahi pipi gadis itu bersama esakan tangisnya. Arghhh! Luluh hatinya ketika ini hanya Tuhan sahaja yang mengetahuinya. Mengapa begini pengakhiran hubungan mereka berdua? Dia tidak mampu menanggung segala keperitan ini keseorangan. Tolonglah...

“Haz...” Air liur ditelan. Terasa perit.

Haz cepat-cepat mengalihkan pandangan ke arah lain, tidak sanggup lagi melihat air mata itu mengalir kerananya. Sebenarnya dia mahu minta putus dan beredar pergi dari sini secepat mungkin tetapi sekarang ini dia seakan terperangkap dalam jeratnya sendiri.

“Ke... ke... kenapa awak buat saya macam ni? Kenapa baru sekarang awak nak putuskan hubungan kita, Haz? Kenapa Haz? Jawablah...” Bebola mata Nur Daiyan Qaisarah menjelajah ke serata wajah itu. Wajah yang akan dirinduinya selepas ini.

“Jawablah Haz...” rayu Nur Daiyan Qaisarah lagi apabila melihat tiada jawapan yang keluar dari bibir jejaka itu.

Bahu Haziq ditolak kasar sambil menangis teresak-esak. Dipukul dada jejaka itu berulang kali sehingga dia puas hati. Kenapa jejaka di hadapannya ini bertindak sekejam ini? Kenapa dirinya juga yang merasai kesengsaraan ini? Kenapa mesti dia?

“Dai... janganlah macam ni. Awak tak boleh macam ni, Dai. Ini bukan diri awak, Dai. Sedarlah Dai, saya tak layak untuk awak. Anggaplah kita tiada jodoh,” ujar Haziq, sebak di dada sekali gus menyambar kedua-dua belah tangan gadis itu agar berhenti memukul tubuhnya.

Mata mereka berdua bertembung antara satu sama lain, mereka berbicara dari hati ke hati. Semakin kuat air mata Nur Daiyan Qaisarah jatuh berguguran, adakah dia bersalah dalam situasi ini? Adakah dia terlampau mengharapkan seseorang melebihi Sang Pencipta?

Lututnya terasa goyah, hatinya terasa benar-benar sakit ketika ini. Bagaikan ada sesuatu yang tajam menghunus tepat mengenai jiwanya. Peritnya rasa ini tiada sesiapa yang memahami. Sesungguhnya dia benar-benar mencintai insan yang bernama Haziq. Tiada seorang pun jejaka yang mampu menambat hatinya melainkan jejaka itu. Tiada sesiapa pun.

“Dai...”

Haziq cuba untuk menenangkan gadis itu, sumpah dia katakan perpisahan ini bukan kemahuannya tetapi paksaan hati yang memujuk dirinya untuk bertindak sedemikian.

Bebola mata bergerak merenung sayu wajah Haziq, tiada lagi tangisan melainkan perasaan sayu. Wajah Haziq direnung lama berserta linangan air mata, cukuplah wajah itu menjadi imbasan memori buat kali terakhir. Cukuplah juga malam ini menjadi malam yang paling menyedihkan ditambah pula dengan berakhirnya kisah cinta mereka berdua.

“Awak nak tahu tak, apa silap awak di mata saya, Dai?” Bebola mata lelakinya merenung sepasang mata coklat kehitaman itu dengan pelbagai rasa. Nur Daiyan Qaisarah sedia memasang telinga walaupun kata-kata itu bakal menyakiti hatinya sekali lagi.

“Awak terlalu sibuk Dai sehingga awak lupakan saya. Awak lupakan saya, Dai. Mana saya dalam hidup awak? Mana? Bila saya ajak awak makan, seribu alasan awak bagi. Saya nak luangkan masa dengan awak sekejap aje tapi awak. Apa awak buat pada saya? Awak terlalu sibuk dengan kerjaya awak yang entah apa-apa tu.”

Luahan hati Haziq mengundang sebak di hati Nur Daiyan Qaisarah. Luluh hatinya mendengarkan kata-kata itu, betapa sakit jiwanya ketika ini hanya Tuhan yang mengetahui. Dia sibuk bukan bermakna dia terus melupakan jejaka itu. Kenapa sukar sangat Haziq ingin memahami kerjayanya sebagai seorang penulis sepenuh masa? 

Nur Daiyan Qaisarah angguk kepala sambil menangis, kali ini dia gagal mengawal diri, gagal bukan bermakna dia kalah tetapi dia berjaya menepis segala kemarahan di hatinya dan diluahkan melalui kesedihan. Bibir dikemam, air mata masih lagi tidak henti-henti mengalir. Kedua-dua belah tangannya ditarik dari pegangan tangan Haziq. 

“Haz... saya boleh berubah. Bagilah saya masa sayang...”

Haziq geleng perlahan.

“Tak boleh Dai. Tak boleh. Berapa lama saya bagi awak masa? Berapa lama saya cuba faham awak? Awak tak faham saya dan macam mana pula saya nak faham awak, Dai? Cuba awak bayangkan, kalau kita tetap teruskan hubungan kita dalam keadaan macam ni. Apa yang akan berlaku nanti? Tetap sama, kita akan berpisah.” Haziq segera mencapai kunci keretanya di atas meja makan lantas ingin mengorak pergi dari situ.

"Haz... jangan macam ni,” halang Nur Daiyan Qaisarah dengan mendepakan kedua-dua belah tangannya sekali gus menghalang jejaka itu. Haziq tergamam.

“Apa lagi Dai?” soal Haziq, lemah. Dia tidak dapat mengawal perasaannya ketika ini. Sumpah! Bila-bila masa sahaja air matanya akan tumpah di situ.

“Awak... awak dah tak cintakan saya ke Haziq?”


          NUR Daiyan Qaisarah merenung lama sebuah potret yang elok tergantung pada dinding biliknya. Potret itu memaparkan dirinya bersama Haziq yang diambil semasa bercuti di Cameron Highlands, Pahang, dua tahun lalu. Percutian itu dianggap satu kenangan yang sangat indah bagaikan sebuah syurga. Walaupun potret itu sudah lama tetapi ianya seakan baru sahaja diambil.

“Sudah-sudahlah Dai tenung potret tu. Dia takkan kembali pada kau lagi.”

Mariam menyapa di muka pintu yang terbuka luas itu, tanpa dipinta terus dia melabuh duduk di bucu katil mengadap rakan baiknya itu.

Pejam celik, pejam celik. Sudah beberapa hari masa berlalu begitu pantas. Seakan peristiwa itu tidak pernah berlaku dalam hidupnya kerana dia masih lagi berharap yang perkara itu merupakan suatu khayalannya sahaja.

Air mata diseka, dengan hujung jari. Nur Daiyan Qaisarah menundukkan kepala ke bawah. Setiap kali dia cuba untuk melupakan lelaki bernama Haziq itu pasti segala kenangan akan menjengah memorinya kembali. Setiap kali dia cuba untuk membenci lelaki itu, pasti akan terbit rasa sayang pula. Adakah dia sudah gila?

Gilakan lelaki bernama Haziq.

“Aku bukan tak nak lupakan dia, Yam. Tapi..." Kata-katanya tersekat di hujung kerongkong, peritnya ingin meluahkan segala isi hati yang sekian lama terpendam.

Mariam angguk kepala tanda faham. Walaupun dia tidak pernah bercinta tetapi dia cukup faham apa yang dirasai oleh rakan baiknya itu. Perit apabila ditinggalkan oleh orang yang tersayang. Lebih-lebih lagi hubungan itu dibina selama lima tahun lamanya. Siapa sahaja yang tidak mahu mempertahankan hubungan seperti itu? Lama kut.

“Aku rasa sakit Yam. Aku terlampau cintakan Haziq. Aku cintakan dia...” Air mata sekali lagi mengalir membasahi pipi.

Mariam yang melihatkan rakan baiknya itu menangis teresak-esak segera mendapatkan Nur Daiyan Qaisarah, dipeluk erat tubuh rakan baiknya itu sambil berselawat agar gadis itu kembali tenang seperti biasa. Selalunya begitulah cara dirinya memujuk, bukan dengan kata-kata tetapi hanya selawat. Terlukanya hati seorang perempuan pasti akan pulih jua tetapi mungkin mengambil masa yang agak lama.

“Aku sayangkan Haziq...”

✿ BERSAMBUNG

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top