10. Pembunuhan Mengejutkan
Api-api tembaga dusun,
Anak leher bergenang kaca,
Bukan mati kerana racun,
Mati terjelir si ekor mata.
WAIMA, anak ekor mata Bidara Kasih yang berbundar merah menyala itu tetap mengekori setiap langkah dan pergerakan sosok tubuh si Beja Tuah yang sedang menahan kesakitan. Beja Tuah yang pada awalnya itu hanya mengikut sahaja rentak langkah adiknya tiba-tiba sahaja tidak sempat mengelak sebelum Bidara Kasih yang dikuasai semangat jahat itu mengambil keputusan untuk menolaknya jatuh di Arena terbabit.
Entah dari mana datangnya sumber kekuatan kudrat si Bidara Kasih yang mempunyai tenaga dalaman yang cukup luar biasa bagi menolak badan abangnya yang maha katang itu. Mungkin inilah yang diperkatakan sebagai koloni 'knightblood' yang tidak dapat diagak tentang sifat kepahlawanan yang terpendam pada setiap individu tertentu.
Sedang si Beja Tuah menahan kesakitan diatas Arena terbabit, Bidara Kasih datang mendekati Beja Tuah lalu mencekik Beja Tuah dengan sepenuh hatinya. Pandangan Bidara Kasih seolah-olah telah ditutup hijabnya, orang-orang yang dikenalinya sudah menjadi asing bagi dirinya.
Otaknya seperti tidak mampu berfikir dengan waras lagi. Jati diri Bidara Kasih seperti telah diserap oleh semangat jahat yang datangnya dari sekeliling Arena itu sendiri. Semangat jahat pahlawan-pahlawan terdahulu yang telah gugur dimedan pertempuran Arena terbabit.
Api-api berpagar dusun,
Anak kelana terkena bisul,
Bukan mati kerana racun,
Mati kerana tidak kenal asal usul.
Didalam keadaan tercungap-cungap akibat kekurangan bekalan udara segar yang mengalir ke paru-paru Beja Tuah, Beja Tuah sempat melontarkan seungkap pantun perlahan-lahan kepada Bidara Kasih. Suaranya kedengaran terketar-ketar merayu simpati. Sungguh dalam maknanya. Tersentak dengan lantunan pantun berkenaan yang mengingatkan Bidara Kasih kepada asal usulnya iaitu keluarga nya, perlahan-lahan Bidara Kasih melepaskan cengkaman ke atas leher Beja Tuah. Matanya yang bundar kemerahan-merahan itu tiba-tiba menitiskan air mata.
Mujur sahaja Beja Tuah sudah banyak berlatih menahan nafas pada kadar masa yang lama, oleh itu, nyawanya masih belum lagi terhenti. Malaikat maut belum sempat menjemput Beja Tuah disisi Arena terbabit. Perjuangan untuk mengakhiri kemelut dendam ini harus diteruskan.
Kucing kurus meniup api,
Api tidak mahu menyala,
Badan kurus menahan hati,
Hati tidak mendengar kata.
Bait-bait pantun ini dilontarkan oleh Bidara Kasih kepada Beja Tuah. Beja Tuah amat faham makna yang cuba disampaikan oleh Bidara Kasih. Sesuatu tentang peribadi, dendam kesumat dan permohonan maaf dari lubuk hati Bidara Kasih, terlalu dalam tak terselam. Bidara Kasih menghulurkan tangannya kepada Beja Tuah supaya bangkit untuk melakukan sesuatu di luar jangkauan minda sedar mereka.
Sambil memandang ke arah Pasak yang kelihatan gelisah itu, mereka berdua berlari ke arah Pasak. Berdegang-dengung bunyi tapak kaki memalukan rentak keberanian, bersahutan sehingga mengalunkan irama kemenangan di atas Arena terbabit. Belum sempat Pasak melarikan diri, Bidara Kasih menarik keras baju si Pasak lalu Beja Tuah mengangkat Pasak dalam keadaan terlentang keatas, dan dihempas-hempaskan tubung kejung si Pasak di permukaan Arena terbabit.
Lalu, atas sisa tenaga yang ada pada Beja Tuah dan Bidara Kasih, kedua-duanya menghempap Pasak sehinggalah terpenyek sekujur tubuh gedempol, nadi dan degupan nafasnya terhenti sambil matanya terbeliak akibat proses sakaratul maut. Mengalir darah hitam 'knightblood' pekat mengalir menandakan kekejaman Pasak keatas Kerajaan NuriSelasih sudah tamat. Penonton yang menyaksikan kejadian tersebut nyata terkejut dan ada juga yang bersorak riang gembira dengan kejatuhan rejim Pasak itu, akhirnya. Koloni Utopia 'knightblood' bakal memperolehi nakhoda baharu.
Kapal api kapitan Jerman,
Teluk Meneluk di Pulau Jawa,
Hitam manis perubuh budiman,
Putih lah kuning pembalut nyawa.
***
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top