Umar - Bab 11

MIA sampai di hadapan rumah teres setingkat, rumah Umar sekarang. Alamat itu diberi oleh abangnya tadi. Hampir setengah jam juga dia memandu ke rumah itu.

Mia memberi salam dari depan pintu pagar. Tidak sanggup menjejak rumah bujang itu. Trauma ditangkap basah semalam masih bersisa.

"Mak su! Mak su!" jerit Umar dari dalam lalu berlari keluar dan memeluknya.

"Mak su rindu Umar sangat-sangat." Mia membalas pelukan anak saudara kesayangannya. Pipi Umar diciumnya.

"Dah! Dah! Jangan berdrama pula kau dekat sini. Apa hal datang?" sergah Firaz. Hatinya berasa cuak. Manalah tahu, gadis gila itu hendak membawa lari Umar.

"Hachumm!!!" Mia bersin. Tiba-tiba hidungnya berasa gatal.

"Hachumm!!!" Sekali lagi dia terbersin.

Cepat-cepat Firaz mengundur. Dia dapat membayangkan virus berterbangan keluar daripada gadis itu. Dahlah gila, berpenyakit pula. Masak!

"Sorry, mak su. Tadi Umar pegang Momot." Umar menjarakkan tubuhnya sedikit. T-shirtnya diamati. Memang ada bulu Momot melekat.

"Momot? Hachumm!!!" soal Mia. Sekeping tisu sudah digunakan untuk menutup hidungnya.

"Momot tu kucing papa. Comel!" Umar bercerita dengan penuh perasaan. Firaz diam sahaja.

"Kucing???" Mia panik. Dia memang alergi dengan binatang berbulu itu. Dia tidak boleh berada lama di situ. Silap hari bulan, plan Hat Yai bertukar plan masuk hospital.

Dengan sebelah tangan menekup hidung, sebelah lagi tangannya menghulurkan beberapa keping kertas kepada Firaz. Lengannya dilambai-lambai sedikit sebagai isyarat supaya lelaki itu cepat menyambutnya.

Firaz menyambut lemah.

"Hachumm!!!" Mia terbersin lagi mengenai tangan Firaz.

"Hoi!" jerit Firaz spontan. Cepat-cepat dia mendekati pili yang berada di hadapan rumah lalu membasuh tangan. Terbayang kuman melekat di tangannya. Kertas tadi diletakkan di atas seat motosikalnya.

Mia hanya tersengih. 'Nasib baik cuma angin aje. Kalau sekali dengan selemo kan bagus,' detik hati nakalnya.

"Tu dokumen Umar. Itu aje aku nak bagi," ujar Mia satu nafas. Habis sahaja tuturnya, dia bergegas lari masuk ke dalam kereta. Lagi lama dia berada di situ, lagi teruk bersinnya.

"Bye Umar! Love you, take care!"

Umar dan Firaz memandang sahaja.

"Gila." Perlahan suara Firaz sambil menggeleng. Masih tidak boleh diterima akalnya perbuatan gadis itu semalam.

"Kesian mak su," ujar Umar perlahan.

"Kenapa kesian pula?" Bagi Firaz, gadis gila seperti Mia itu tidak patut dikasihani. Humban sahaja ke dalam Hospital Bahagia. Kertas-kertas pemberian Mia dicapai sambil berjalan menuju ke pintu rumah.

"Mak su alergi kucing, sebab tu dia bersin-bersin."

'Ooo... alergi rupanya. Alhamdulillah! Bagus, Momot! Lega hati aku. Sekurang-kurangnya esok bila Umar kena tinggal sorang, tak adalah perempuan gila tu datang kidnap,' detik hati nakal Firaz. Dia sudah membayangkan hendak meletakkan Momot di depan pintu pagar.

Firaz mengamati dokumen yang diberikan kepadanya. Ada sijil kelahiran, MyKid dan sijil kematian kedua ibu bapa Umar. Di samping itu, ada juga beberapa helai kertas kajang yang bertulis tangan. Firaz mengamatinya. Jadual harian Umar, dos and don'ts tentang Umar.

Firaz ketawa. Mengarut sungguh, siap ada dos and don'ts. Kertas kajang bertulis tangan itu Firaz ronyok dan campakkan ke dalam tong sampah.


"PAPA, TENGAH hari ni kita nak makan apa?" Dari tadi Umar lihat bapa saudaranya itu sibuk membelek motosikalnya. Jam di dinding dikerling. Sudah masuk pukul 3 petang. Patutlah perutnya sudah bermain kompang. Setahunya, sarapan pagi roti telur yang dibuat oleh Cik Kay sudah lama habis.

"Umar dah lapar ya?"

Umar mengangguk.

"Patutlah, dah pukul 3. Kejap ya, papa pergi mandi dulu. Melekit badan papa ni." Firaz terus membangun basuh tangan dan berlari masuk ke dalam biliknya.

Tidak lama kemudian, dia keluar dengan berjean hitam dan berT-shirt kolar V. Helmet fullface disambar lalu menuju ke pintu utama. Selesai dikunci semua pintu, dia terus bertenggek di atas motornya. Enjin motor dihidupkan dengan sekali tekan.

"Jom!" ajaknya.

Umar masih tidak bergerak.

"Jom!" ajak Firaz lagi sekali.

Umar masih tercegat di muka pintu. Jari telunjuknya dihalakan ke kepala.

Berkerut dahi Firaz cuba mentafsirkan apa yang dikatakan oleh Umar. Kepalanya terus terasa gatal.

"Cepatlah Umar. Kata tadi lapar." Tidak kiralah apa yang hendak dikatakan oleh Umar, yang pasti perutnya juga minta diisi.

"Papa, helmet mana?"

"Ni." Firaz tunjuk ke arah helmet di kepalanya.

Terus Umar tepuk dahi. Kepalanya terus digelengkan.

"Helmet Umarlah. Papa tak tahu ke, bahaya naik motor tanpa helmet? Malang tak berbau tau. Umar tak mahu tambah statistik jumlah kematian maut dalam kalangan kanak-kanak. Kalau mati terus takpe. Kalau terlantar, tergantung kaki tangan, macam mana? Siapa yang susah? Papa juga, kan?" bebel Umar. Ayat-ayat bebelan mak sunya selama ini diguna pakai. Umar cuma tukar bahagian terakhir sahaja; mak su kepada papa, tali pinggang keledar kepada

helmet.

Giliran Firaz pula tepuk dahi. Dia terlupa. Tidak pasal-pasal dapat tazkirah percuma. Bisa juga mulut Umar ini. Sah-sah menurun daripada gadis gila itu.

"Sorry, lupa." Firaz terpaksa masuk kembali ke dalam rumah dan mengambil sebiji lagi helmet di dalam bilik Kay. Helmet Apollo itu biasa digunakan oleh sahabatnya itu apabila perlu sahaja. Lagipun Firaz bukan suka sangat ada yang membonceng di atas motornya. Tambah-tambah yang membonceng itu Kay. Seram!

Tetapi kali ini dia terdesak. Kereta tidak ada, dibawa oleh Kay. Tinggal motosikalnya sahaja. Terpaksalah dia membawa Umar hari ini dengan motosikalnya.

Helmet biru itu dipakaikan di kepala Umar. Longgar. Tidak apalah, sementara sahaja. Selepas makan nanti dia akan belikan helmet baharu untuk Umar. Bak kata Umar tadi, malang tidak berbau. Beringat sebelum kena. Keselamatan Umar sudah menjadi tanggungjawabnya.

"Nanti kita beli yang baharu." Firaz menyelitkan tuala kecil di celah helmet itu.

Petang itu mereka menuju kedai mamak.

"Nasi goreng ayam dua. Satu biasa, satu lagi tak pedas ya. Air sirap dua," oder Firaz sambil duduk.

Umar terus ikut duduk di hadapan Firaz. Kemudian dia menghulurkan tangan.

"Papa, pinjam telefon sekejap. Nak call mak su." Biasalah, apabila perutnya kosong, automatik fikirannya akan teringat kepada mak sunya.

Firaz menghulurkan telefon bimbitnya tanpa banyak soal. Kebencian meluap-luap kepada gadis gila itu ditolak ke tepi dahulu demi Umar. Segila-gila pun gadis itu, sudah 3 tahun juga dia menjaga Umar. Hidup lagi satu-satunya anak saudaranya ini.

"Umar dekat kedai mamak ni." Kedengaran suara Umar. Mungkin Mia sedang bertanya di mana dia berada. Kemudian Firaz dapati Umar senyap. Budak itu hanya tersenyum sahaja. Sesekali Firaz dapati Umar menjauhkan sikit speaker telefon dari telinganya. Sah-sah mak sunya itu sedang membebel. Nasib kaulah Umar... siapa suruh buat laporan!

Tiba-tiba telefon itu Umar hulurkan kepada Firaz.

"Mak su nak cakap," kata Umar.

Nak tak nak, terpaksa jugalah Firaz menyambutnya. Baru hendak bersuara, terus suara Mia seperti petir menerjah telinganya.

"Kau tahu tak, bukan saja-saja aku bagi list tu. Penat tau aku tulis semua tu kalau kau tak ikut. Ingat sikit, Umar tu orang, bukan teddy bear atau anak patung ikut suka kau aje nak bagi makan ataupun tak." Mia terus membebel.

Firaz hanya dengar sayup-sayup kerana speaker telefon itu sudah lama dia jauhkan dari telinganya.

"Okey, bye!" Terus Firaz mematikan talian sebelum Mia memulakan fasa kedua bebelannya.

Tidak sampai 1 minit, telefon Firaz berdering semula. Ternyata Mia menelefonnya semula. Firaz buat tidak tahu sahaja. Nasi goreng yang masih berasap di hadapannya minta disuap ke dalam mulut.

"Mak su Umar memang suka membebel ke?" tanya Firaz setelah licin nasi goreng ayam tidak pedasnya.

Umar mengangguk. Dia juga fokus menikmati makanannya kerana kelaparan. Licin pinggannya.

"Hari-hari?" tanya Firaz.

Umar mengangguk lagi.

"Fuh, dahsyat! Umar tak bosan ke?" Tidak sampai seminit pun tadi, Firaz dah surrender, inikan pula 3 tahun. Kalau dia di tempat Umar, pasti dia akan menyerah diri di rumah anak yatim ataupun pergi terus ke Hospital Bahagia.

"Bosan juga. Tapi Umar tahu, mak su bebel sebab sayangkan Umar."

Firaz terus terdiam. Sayangkan Umar? Ayat itu membuatkan dia berfikir berkali-kali. Sayang sampai perlu kejar dengan penyapu? Hesy, dahsyat tafsiran sayang itu. Sah, gadis itu gila!

Hendak dikatakan Umar didera, tidak juga. Semalam bersaksikan Kay, dia memeriksa seluruh tubuh Umar. Tidak ada pun kesan lebam-lebam ataupun parut akibat didera.

"Malam kita makan apa?" tanya Umar. Risau Firaz terlupa tentang makan malam pula.

"Umar nak makan apa?" Firaz bertanya perlahan. Risau juga dia. Buatnya Umar hendak makanan yang dia tidak mampu sediakan, macam mana? Setakat masak Maggi, dia tahulah.

"Apa-apa pun boleh. Umar tak kisah. Janji makan."

Huh! Lega Firaz.

"Nanti kita oder fast foodlah." Firaz malas keluar. Lagipun malam nanti dia hendak menyiapkan laporan.

"Boleh ke papa?"

"Kenapa pula tak boleh?"

"Selalunya mak su tak bagi makan fast food. Mak su selalu cakap, lebih baik makan nasi dengan telur berbanding fast food." Akhir-akhir ini segala kata-kata mak sunya bermain dalam minda kecilnya.

"Alah, dia malas nak keluarlah tu. Dekat situ tak banyak orang delivery makanan. Dekat rumah kita

macam-macam ada. Kalau nak mamak hantar roti canai pun boleh."

Umar hanya mengangguk. Ada benarnya kata-kata bapa saudaranya itu. Kawasan perumahan yang didiaminya kini lebih dekat dengan bandar berbanding rumah kampung mak sunya.

"Lepas ini kita pergi beli helmet baharu untuk Umar." Firaz ke kaunter pembayaran.

"Eh, Firaz!"

Firaz menoleh ke arah lelaki yang memanggilnya.

"Adam Chong Lee Fan!" balas Firaz. Siap nama penuh lelaki itu disebutnya. Mereka berpelukan.

"Apa kau buat kat sini?" Firaz terkejut melihat rakan sekolahnya dahulu. Lama juga dia terputus hubungan dengan lelaki itu. Masing-masing membuat haluan sendiri apabila tamat SPM. Hanya Kay dan Noryz yang masih berhubung rapat dengannya sehingga ke hari ini.

"Aku ada buka business dekat-dekat sini. Alah, business kecil-kecil aje," terang Adam Chong.

"Kau buat apa pula kat sini?" soal Adam Chong. Dia tahu Firaz juga bukan berasal dari situ, yang berasal di situ hanya Noryz sahaja.

"Aku kerja sini. Eh, kau ada contact kawan-kawan lama kita?"

Umar hanya berdiam diri. Tidak baik menyampuk perbualan orang tua. Itu pesan mak sunya juga.

"Ada." Adam Chong cuba menyenaraikan satu per satu rakan sekelas mereka.

"Kau tahu tak, aku duduk serumah dengan Kay," cerita Firaz.

Adam Chong tidak menjawab. Matanya liar melihat Firaz atas dan bawah.

"Weh, aku straightlah!" Bahu anak Cina itu Firaz tepuk. Memang sesiapa pun akan salah faham apabila melibatkan Kay. Entah mana silapnya kawannya itu jadi begitu.

"Adam, ni anak saudara aku. Umar, salam uncle ni."

"Wah, handsome macam anak aku!" Bahu Umar turut ditepuk.

"Kau dah kahwin, Adam?" Firaz terkejut. Dia juga kagum dengan bahasa Melayu Adam Chong yang semakin bertambah baik. Semasa sekolah dahulu, dia pernah memberi cadangan kepada lelaki itu supaya mencari kekasih dalam kalangan orang Melayu. Ala kekasih olok-olok aje, bukan suruh serius pun. Namun, tidak diendahkan oleh lelaki itu.

"Dah. Lepas SPM aku kahwin, tapi tak lama. 3 bulan aje bertahan. Kami bercerai sebab dia tak mahu ikut aku masuk Islam. Tapi Allah tu Maha Berkuasa, dia bagi aku rezeki dua orang isteri. Insya-Allah, tak lama lagi tambah seorang lagi," tutur Adam Chong jujur.

'Perghh... boleh tahan curang si Adam Chong ni,' detik hati Firaz.

"Firaz, aku kena gerak dulu ni. Ada nak jumpa orang. Nanti kita calling-calling," ujar Adam Chong sebelum mengundur diri. Mereka turut bertukar kad nama. Tertera nama baharunya, Adam Chong Abdullah.

Firaz tersenyum. Apabila terfikirkan yang Adam Chong sudah berkahwin, kasihan pula dia kepada perempuan yang menjadi kekasih lelaki itu.


*** BOLEH DAPATKAN DI PASARAN ATAU DI KEDAI-KEDAI BUKU BERHAMPIRAN ANDA. BOLEH JUGA HUBUNGI @ WHATSAPP NO DI BAWAH ***

019-3729676 (CIK SHIDA) / 013-4888095 (KAK PEAH)

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top