Cinta Seorang Sahabat
Masih ingat lagi dulu....
Mata aku meliar melihat di sekeliling. Bulat mataku bagaikan burung hantu, sungguh teliti aku melakukan tugas yang diberi.
"Cepat lah!" Bahu Ahmad aku tampar berkali-kali. Tersedak Ahmad dibuatnya. Habis terkeluar apa yang ditelannya. Aku tergelak kecil.
"Iyalah-iyalah!" Lebihan air yang mengalir dari mulut disapu rakus.
Aku pula yang menunduk berselindung di sebalik badan Ahmad. Tangan aku tadahkan di bawah kepala paip yang perlahan mengalir.
Penuh tempayan tangan, aku hirup air tangkungan itu dengan rakus. Ah, nikmat! Air paip yang selalunya berbau besi karat pun boleh jadi sesedap air Coway bila nafsu sudah membuak-buak.
Puasa-puasa ini, seksa sungguh jiwa raga apabila koperasi melarang pelajar untuk membeli makanan. Mahu beli makanan pun, bakal di denda. Apa? Mahu kami kebulurankah di sini menunggu maghrib nanti?
Benci sungguh bulan Ramadhan! Semuanya tersekat. Mujurlah ada Ahmad yang sejiwa denganku. 4 tahun kami bersahabat, pemikiran kami selalu sama. Aku ingin ponteng, dia ingin ponteng juga. Malah jika aku rasa mahu kentut, dia pun mahu kentut sama!
Sesuai sungguh menjadi kawan, jiwa sama, hati sama, perangai sama. Malah akal fikiran mencari jalan pintas dalam segala hal pun sama! Tak mungkin aku dapat mencari kawan selain dia. Dia kawan aku selamanya.
"Dah ke?" tanya Ahmad perlahan di telingaku.
"Dah. Jom ah!" Ahmad menarik tanganku lari ke belakang sekolah seusai saja aku menjawab. Kami ingin melompat pagar sekolah, mahu cari sesuap nasi. Beginilah runtin harian kami di bulan Ramadhan! Dengan Ahmad, aku dapat rasa erti kebebasan yang sebenar!
Namun itu dulu.... Beberapa tahun lepas yang menjadi tahun terakhir aku mengukir sebuah senyuman atas dasar bahagia....
Siapa sangka, sahabat yang setia selama ini, kini tinggalkan aku sendiri. Hidup aku kucar-kacir sekarang... Sejak-sejak Ahmad tinggalkan sekolah.
Entah ke mana Ahmad dibawa oleh keluarganya. Berpindah ke negeri lain, kah? Berpindah ke sekolah swasta, kah?
Sungguh aku bingung. Hidup aku celaru tanpanya. 5 tahun lepas, satu-satunya semangat aku untuk terus melangkah hanyalah kerana Ahmad. Tekanan aku pada emak dapat aku atasi kerana adanya Ahmad.
Masalah kewangan yang sedang aku alami dibantu oleh Ahmad. Penyakit kanser kulit aku dahulu pun dapat diubati kerana keluarga Ahmad. Mereka bagaikan malaikat buatku, hadir membawa bayangan syurga. Melelapkan aku buat seketika dari azab dunia yang pedih.
Setahun aku lalui tanpa Ahmad, bermacam hal terjadi. Pada tingkatan 4, Ahmad tiba-tiba berpindah tanpa sempat menyucapkan selamat tinggal. Semuanya sepi tanpa maklumat dan berita. Keluarganya juga pindah rumah. Kosong sepenuhnya.
Pada tingkatan 5, aku mula berhenti sekolah gara-gara ketiadaan wang untuk membayar yuran. Keluarga aku miskin, emak aku pelacur. Pelacur murahan. Duit yang dia dapat pula terus dijolikan. Langsung tidak diberikan sedikit padaku. Lagipun, aku jijiklah mahu hidup bergantung pada duit haram itu. Sejahil aku pun, aku ada maruah.
Dipertengahan bulan, aku mula mencuri kerana desakan hidup. Ah! Ahmad buat hidupku benar-benar celaru. Sejujurnya aku rindu Ahmad. Aku rindu pelukan sahabatnya.
Aku rindu kata nasihatnya. Walaupun dia jenis malas belajar, tapi dia bukan pembuli. Peras ugut duit junior pun dia tak pernah. Selalunya aku saja yang ugut begitu. Ada masa, jika terlalu kasar, Ahmad yang hadir menegurku. Dia terlalu baik. Cuma kerana salah pilih kawan sepertiku, dia sedikit rosak.
Mungkin aku juga penyebabnya Ahmad dipindahkan sekolah. Keluarganya keluarga kaya, tak mungkin ibu bapanya selesa bila Ahmad bersahabat dengan orang rosak seperti aku.
Prestasi Ahmad dalam pelajaran pun merosot. Terang lagi bersuluh faktornya adalah aku. Pada usia 12 tahun, dia dapat lima A dalam UPSR. Ujian pada awal tahun tingkatan satu juga dia mendapat tempat pertama. Mungkin kerana dia murid baharu, terpaksa belajar di kelas terakhir dahulu. Dan disitulah persabahatan kami bermula. Disitu jugalah titik jatuh kehidupan Ahmad, dan titik naik kebahagiaan aku.
Ah... mengingatkan itu, serba-salah semakin menebal. Aku memang pembawa bala. Kerana itu tuhan tidak lagi mahu pandang, mungkin. Bibir pucat aku hanya naik sedikit, mengukir satu senyuman sinis. Entah pada siapa, diri sendiri mungkin. Atau lebih tepat, pada nasib diri sendiri yang telah tuhan beri.
Ramadhan tahun ini sudah tiba lagi, walaupun aku tidak pasti sudah hari ke berapa. Aku tahu inipun kerana Yusof Taiyob sedang berperang mati-matian mahu merosakkan pendengaran aku. Ke mana saja aku pergi, pasti iklan Yusof Taiyob tu kedengaran. Tertekan aku jadinya.
Tiada lagi kedai-kedai makan dibuka untuk aku melepak dan makan makanan percuma, lebih spesifiknya untuk aku makan makanan yang dicuri. Mengingati hal ini, perut aku berbunyi tanda lapar. Entah lagu zaman 80-an mana sel-sel tubuh dalam perut ini nyanyikan.
Aduh... Teringat lagi zaman bersama Ahmad dahulu. Mesti sekarang ni aku dan dia sedang mencari kawasan-bebas-manusia untuk mengisi perut.
Dengan perut yang kosong, aku berjalan-jalan di sekitar KLCC. Mahu mencari mana-mana kedai cina yang masih buka. Di Kuala Lumpur, banyak saja penduduk-penduduk cina yang masih menjalankan perniagaan ketika muslim berpuasa. Mereka pun perlu cari sesuap nasi, bukan?
Tiba-tiba aku ternampak satu! Satu kedai kecil berwarna merah penuh dengan perkataan-perkataan cina yang entah apa maksudnya. Ah, rezeki, syukur-syukur bak kata Ahmad selalu.
Aku berjalan biasa menghampiri bangunan kecil itu. Nampaknya, kedai ini seperti sudah dikuasai sepenuhnya oleh orang melayu. Jadi tak perlulah aku malu, kerana bukan aku saja yang ponteng Ramadhan kali ini. Manusia, entah bila mahu insaf sedangkan kiamat semakin mendekat. Ah, sungguh pandai pendosa ini berkata-kata.
Baru saja kaki aku menapak di lantai kedai, seseorang menarik bahuku dari belakang. "Bro?"
Dengan perasaan bengang kerana diganggu, aku berpusing ke belakang dengan kasar. Baru sahaja ingin melenting, aku tergamam terkedu dan terkaku. Satu suara terkeluar dengan getaran rindu, "Ahmad?"
"Ya Allah! Akhirnya Allah jawab doa aku, Muin! Alhamdulillah, Ya Rabb! Dah lama aku cari kau!" Aku langsung ditarik dalam pelukannya. Entah kenapa aku rasa hiba. Langsung aku tidak memahami apa yang diperkatakannya. Dia sudah alim sekarang, berserban dan berjubah putih. Macam... benar-benar malaikat yang turun ke bumi kotor ini semata-mata mencari aku. Pemakaiannya sungguh indah pada mata aku. Sedangkan aku? Baju hitam berlambang tengkorak yang sudah carit sedikit inipun hanyalah baju yang dicuri di kedai dobi. Entah bila dibasuh pun aku sudah lupa. Yang pastinya, sudah lama.
Emak dah lama aku tinggalkan. Dia bukannya kesah pun, yang dia tahu hanyalah melayan lelaki-lelaki demi wang ringgit. Dan jika tidak aku yang meninggalkannya, dia akan meninggalkan aku juga. Aku bukan lagi siapa-siapa baginya. Malah aku juga tidak kesah, sudah bosan hidup dengannya yang sering keluar. Makan minum aku tak terjaga. Jika lapar, aku mencuri. Jika dahaga, ah air paip itu kalau benar-benar terdesak, segarnya lebih segar dari air Coway yang sering dihebohkan itu. Situasi aku memang tak ubah seperti anak yatim.
"Muin?" Ahmad menegur semula bila sedar aku tidak memberi respon— hanyut mengenangkan nasib badan yang teramatlah jauh berbeza dari Ahmad.
"Ah maaf, mengelamun." Badannya ditolak. Tak mahu baju putih bersihnya kotor kerana najis-najis dosa pada diri aku. Nampak wajahnya terkesan, tapi cepat-cepat Muin bersabar semula.
"Alim kau sekarang, ya? Pindah maahad ke apa?" Aku mulakan semula bicara. Kekok, tapi tak mahulah peluang berjumpa seseorang yang paling aku rindui ini disia-siakan kerana rasa sendu pada diri sendiri.
Ahmad tersenyum walaupun kata-kataku berunsur perlian, "Terima kasih, Muin. Tanpa kau, aku bukan aku yang sekarang. Kau penyebab aku ingin berusaha menjadi apa yang aku mahu. Ingat tak dulu? Bulan Ramadhan terakhir kita?"
Aku cuba buka kotak memori. Mencari cebisan kenangan yang dimaksudkan oleh Ahmad. Tapi apakan daya? Terlalu banyak kenangan yang tercipta disitu.
"Aku ingat... kau tarik aku lompat pagar. Kita ponteng, makan senyap-senyap macam banduan." Memori lama aku buka. Terlepas tawa aku dibuatnya. Ianya kenangan terindah. Walau hakikatnya ianya tidaklah seindah mana jika perbuatan kami itu bertikarkan dosa.
"Hahaha! Itu memang la. Tapi ada satu ayat kau bagi pada aku, aku pegang tu sampai aku mati. Kau kata;
"Kalau kau nak ponteng, ponteng sajalah. Aku ada di belakang, selalu tolak badan kau untuk ke depan. Jangan tolak keinginan kau kerana seseorang. Tak bermakna hidup nanti. Setakat pengetua, lekat celah gigi saja. Kitakan bakal pemimpin negara. Jadi buat apa yang kau mahu, jangan malu nak luahkan kehendak. Okey? Jadi nak ikut ponteng tak ni?"
Haa macam tu! Hahaha! Walaupun kau cakap pasal ponteng, aku tetap pegang ayat tu dalam tangan. Aku akhirnya luahkan keinginan aku pada keluarga. Aku ingin ke maahad.
Mulanya aku memang ragu-ragu. Maklumlah, keluarga aku hanya pentingkan pembelajaran dunia. Cita-cita mereka pun mahu aku menjadi seorang pengusaha syarikat yang berjaya. Namun, kau kata, jangan tolak keinginan aku kerana seseorang. Jadi aku cuba berani untuk bersuara. Siapa sangka? Ibu bapa aku setuju, itupun selepas aku menunjukkan semangat aku untuk ke maahad. Kau yang bangkitkan semangat aku. Kau yang tolak aku mendekati Allah. Terima kasih, Muin." Kata-kata Ahmad buat aku tersentak, tidak terkata. Malah sedikit sebak.
Tak sangka kata-kata rawak begitu pun penuh dengan hikmahnya, jika kita mendalami sepenuhnya. Kalau beri kata-kata penuh bermotivasi pun, jika tidak didalami dan difahami, tiada guna juga.
"Jadi, mengapa kau ke sini? Maksud aku, ke kedai cina ni? Mahu mengulang dosa lama?" sindir aku lagi dalam tawa. Bukan sengaja aku mahu menyindir, sindiran itu buat aku sebenarnya. Iyalah, aku rasa malu. Sahabat aku sendiri dah raih cinta Allah, aku? Masih berlegar mencari dosa untuk ke neraka.
Ahmad hanya mengukir senyum lebih lebar. "Kau ingat? Tatkala aku berusaha memanjat pagar sekolah yang lagi tinggi, kau menolak badanku ke atas supaya aku dapat seimbang berada di atas. Kemudian, aku akan hulurkan tangan ke bawah, menarik kau untuk bersama-sama aku di atas pagar. Selepas kita berdua berjaya berada di atas pagar, barulah sama-sama kita melompat turun mencari makanan," ceritanya dengan wajah yang tenang.
Berkerut-kerut dahiku ingin mencari hikmah tersirat di sebalik memori jahil dahulu. "Jadi?" Puas memerah otak, akhirnya aku bertanya saja.
"Dulu kau sudah membantu aku mencari Allah. Kini tiba masanya aku tarik kau pula kepada Allah. Nanti, barulah sama-sama kita melompat riang masuk ke syurga-Nya. Jadi... mahu tak, ikut langkah aku?"
Hati aku rasa syahdu. Tenang namun terasa berat. Berat menampung dosa lama yang tiba-tiba terkenang. Aku tak dapat berkata apa-apa. Sejujurnya sudah lama aku menyimpan hasrat untuk berubah. Namun mengenangkan hidupku yang penuh dengan corak-corak dosa, aku terasa kerdil dan lemah. Lebih-lebih lagi aku tiada sesiapa untuk membantu.
"Kita sahabat, bukan? Sahabat selamanya. Tak mahukah kita bertemu lagi di syurga nanti?" Ahmad memandang tepat ke dalam mataku. Menghantar getaran rasa bersalah jika aku masih lagi mahu berpaling.
Malas lagi menanggung seksa, terus aku memeluk tubuhnya dengan kejap. "Iya! Bantu aku, Ahmad... Tarik aku menuju jalan-Nya!"
Akhirnya aku bersetuju. Badanku tiba-tiba rasa ringan. Beban yang tertanggung selama ini seperti tidak lagi tersangkut di bahuku. Ringan, rasa bagai mahu terbang!! Ya Allah! Belum aku mendekati-Mu lagi Kau sudah menunjukkan nikmat yang besar kepada aku.
"Alhamdulillah..." Pelukan aku terbalas, malah lebih kemas.
"Kaulah sahabat aku selamanya, Ahmad!" ucapku penuh emosi.
Dia tertawa besar, "Kau juga...."
-
Seperti biasa, tak pernah sedap.
Maaf bosan.
Maaf tak best.
Maaf tak de point.
Maaf tak ada nilai murni.
Maaf membazirkan masa kalian membaca ni🌞
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top