Tuan Arasy | 05
"I just want to feel that I'm important to someone."
Amanda menundukkan wajah memandang lantai. Dia langsung tidak berani untuk mengangkat muka memandang wajah tegang papanya. Dia tahu lelaki itu sedang menahan marah terhadapnya. Mungkin kerana tindakannya yang dianggap keterlaluan. Keterlaluan kah dia jika dia hanya cuba untuk menyelamatkan diri sendiri dari perkahwinan yang papa aturkan?
"Siapa lelaki tu?" Tan Sri Khalid bertanya tanpa nada.
Amanda mengangkat muka memandang papanya. Kini tiga pasang mata memandangnya dengan pandangan musykil. Amanda menghela nafas panjang. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Itulah peribahasa yang sesuai ditujukan kepadanya saat ini.
"Arasy. Arasy Naufal." Jawab Amanda perlahan-lahan.
Mahu tidak mahu, dia terpaksa menarik lelaki itu dalam masalahnya. Siapa lagi yang boleh dia minta pertolongan jika bukan Arasy? Dia tiada kawan lelaki. Hanya Arasy sahaja lelaki yang mampu dia fikirkan saat ini. Malah Arasy juga lelaki yang dia panggil Baby Boo sebentar tadi.
"Dia kerja apa? Manda kenal dia dekat mana? Anak siapa?" Tanya Tan Sri Khalid bertubi-tubi.
Amanda mengeluh dalam diam. Dia tidak suka jika papanya mula menyibuk dalam kehidupannya. Baginya lelaki itu tiada hak untuk mengetahui segalanya tentang hidupnya. Papanya sekadar papa di atas kertas. Itu hakikat yang dia paling benci!
"Manda tak tahu dia kerja apa."
Tan Sri Khalid terkejut. Puan Sri Hasnawati dan Puan Maryani terkedu.
"Kalau Manda tak tahu dia kerja apa, macam mana Manda boleh couple dengan dia? Entah-entah dia tu perompak, penyamun. Entah-entah perogol."
Amanda mula panas hati. Sakit hatinya apabila papanya menuduh Arasy sedemikian rupa. Walaupun dia baru mengenali Arasy tidak sampai seminggu, dia percaya lelaki itu lelaki yang baik. Dia tahu Arasy bukan lelaki yang jahat. Dia percaya!
"Arasy bukan lelaki seperti apa yang papa cakap. Arasy lelaki yang baik. Manda tak suka papa tuduh Arasy macam ni! Manda tak suka!" Marah Amanda yang mula teremosi. Tan Sri Khalid memandang Amandang dengan pandangan tajam.
"Manda dah pandai nak lawan cakap papa? Semata-mata demi lelaki yang Manda sendiri tak tahu asal usul dia? Jawab papa, Amanda!" Marah Tan Sri Khalid kegeraman. Amanda mengeluh kecil. Wajah papanya dipandang dengan riak sayu.
"Arasy lelaki yang baik papa. Kalau Arasy bukan lelaki yang baik, dia dah tak peduli kalau Manda bunuh diri sekali pun." Kata-kata Amanda membuatkan Puan Sri Hasnawati mengucap panjang.
"Kayla Amanda!"
Melengking suara Puan Sri Hasnawati menyebut nama penuh anak gadisnya. Amanda dipandang dengan wajah terkejut. Dia tidak percaya anak gadisnya sanggup mencuba untuk membunuh diri.
Amanda mengeluh kecil. Inilah padah menipu. Sekali menipu pasti dia akan menipu lagi. Dia bukan mahu membunuh diri. Dia hanya duduk di jambatan itu untuk menenangkan diri. Tapi, entahlah..
Amanda tak mahu papanya terus menuduh Arasy yang bukan-bukan. Arasy seorang lelaki yang cukup baik padanya.
"Manda cuba nak bunuh diri dua hari yang lepas. Malam yang Manda balik lewat tu. Manda dah tak boleh fikir panjang bila papa asyik aturkan seluruh hidup Manda demi kepuasan hati papa. Papa buat semua keputusan untuk anak-anak papa sampaikan kami tak boleh pilih apa yang kami suka. Apa yang kami minat dalam hidup ni. Jadi waktu tu Manda ingat kalau Manda bunuh diri, Manda akan tenang." Balas Amanda lemah.
Puan Sri Hasnawati menggelengkan kepalanya perlahan. Dia tidak bersetuju dengan cara pemikiran Amanda.
"Manda dah lupa ke yang Allah tu tak tidur? Kalau Manda bunuh diri sekali pun Manda yakin ke Manda tak terseksa di akhirat nanti? Azab Allah tu ada, Kayla Amanda!" Ujar Puan Sri Hasnawati resah. Dia tahu anak gadisnya terseksa dengan segala perintah dari suaminya. Suaminya ego!
Lelaki itu tak pernah cuba untuk memahami apa yang anak-anaknya mahukan. Semuanya keputusan dibuat atas kehendaknya.
Amanda menundukkan wajahnya. Air matanya mula bergenang. Entah mengapa dia tiba-tiba merasa sedih.
"Kalau.. Kalau masih Adha ada.. Mesti Manda tak akan buat keputusan bodoh macam tu kan?" Tanya Amanda dengan esakkan kecil.
Puan Maryani tersentak. Hatinya mula sebak. Sudah tujuh tahun Adha meninggalkan mereka sekeluarga. Tapi kehilangan Adha masih terkesan di hatinya. Pelukan Adha di tubuhnya seakan-akan masih terasa. Suara Adha masih terngiang-ngiang di kepalanya.
Puan Sri Hasnawati menggosok bahu Puan Maryani perlahan-lahan. Dia tahu wanita itu merindui Adha. Siapa tak terkesan jika anak yang dikandung sembilan bulan sepuluh hari pergi meninggalkannya?
"Saya rindukan Adha, kak Has.." Adu Puan Maryani dalam tangisan. Dia menangis di pelukan Puan Sri Hasnawati.
"Akak tahu Mar. Mar kena kuat.." Pujuk Puan Sri Hasnawati sambil menggosok-gosok bahu Puan Maryani untuk menenangkan wanita itu. Tan Sri Khalid hanya membisu tanpa kata. Kelu lidahnya untuk berkata-kata di saat nama Adha dibawa di dalam perbualan mereka.
"Manda cuba nak terima kematian Abang Adha. Tapi Papa!"
Tan Sri Khalid tergaman apabila namanya tiba-tiba disebut.
"Kenapa papa tak boleh terima yang Abang Adha dah tinggalkan kita? Kenapa papa hukum kami macam ni? Manda tahu Abang Adha anak kesayangan papa. Abang Adha segala-galanya untuk papa. Abang Adha, anak yang papa boleh banggakan. Tapi boleh tak, sekali je Manda minta pada papa. Buka mata papa. Buka hati papa untuk terima Manda, Abang Kayden dan Kak Amel dalam hidup papa. Susah sangat ke papa nak terima kami?"
Amanda bertanya dalam tangisan. Matanya sudah membengkak. Air mata mula membanjiri pipinya. Dia sedih! Dia terkilan dengan perilaku papanya yang seakan-akan membenci mereka bertiga.
Tan Sri Khalid masih membisu. Dia tiada jawapan untuk soalan Amanda. Jujur jauh di sudut hatinya dia terkilan apabila nyawa Adha ditarik seawal ini.
Seketika kemudian Amanda mengukir senyuman sinis.
"Kalau Manda mati Manda rasa papa tak sedih kut. Kalau lah Manda di tempat Abang Adha, Manda rasa papa masih boleh hidup dengan bahagia kan? Betul tak papa?" Tanya Amanda sinis. Entah mengapa dia menjadi kecelaruan emosi. Dia mula berfikir perkara yang bukan-bukan.
"Amanda!" Marah Puan Sri Hasnawati apabila mendengar kata-kata yang keluar dari mulut anak gadisnya itu.
"Manda benci papa!"
Ayat itu Amanda ucapkan sebelum dia berlari ke tingkat atas. Pintu biliknya dihempas kuat lalu dikunci rapat. Dia duduk di sisi katil sambil memeluk lutut. Dia menangis di situ. Bunyi ketukan pintu dan suara mama yang sedari tadi memanggil namanya tidak dia peduli.
Telefonnya yang tiba-tiba berdering membuatkan dia terganggu. Beg tangannya dibuka lalu telefon pintarnya dikeluarkan. My Hero! Entah mengapa lelaki itu sentiasa ada disaat dia kesedihan. Tanpa menunggu lama panggilan itu dijawab.
"Amanda, awak menangis ke?" Tanya Arasy risau apabila dia dapat mendengar dengan jelas esakan kecil sebaik sahaja Amanda menjawab panggilannya. Hatinya semakin gusar apabila Amanda tidak menjawab pertanyaannya. Hanya bunyi esakan sahaja yang dia dengar saat ini.
"Arasy..."
"Ye, Amanda." Sahut Arasy pantas.
"Saya nak mati."
"Hah?" Arasy tergaman. Amanda nak mati? Gadis itu mahu membunuh diri kah?
"Kayla Amanda awak jangan buat kerja gila. Awak dekat mana ni Amanda? Awak jangan buat saya risau boleh tak? Awak dekat mana ni? Saya datang dekat awak. Beritahu saya awak dekat mana sekarang." Arah Arasy bertubi-tubi. Amanda menangis lagi.
"Kenapa saya rasa awak sorang je yang sayang saya?"
Arasy di hujung talian terdiam.
"Kenapa saya rasa bahagia bila awak ambil berat pada saya?"
Arasy diam lagi. Bibirnya digigit perlahan.
"Kenapa saya rasa bahagia bila bersama awak walaupun saya baru jumpa awak dua kali?" Tanya Amanda sedih. Suaranya tenggelam timbul dengan esakan yang masih tersisa.
"Amanda. Saya tak suka awak bunuh diri. Bunuh diri tu berdosa Amanda." Pujuk Arasy lagi.
Saat dia mendengar esakan Amanda saat ini dia tahu gadis itu terlampau sedih. Kemungkinan besar gadis itu tidak mampu membuat keputusan yang betul dan mungkin mengambil langkah mudah dengan membunuh diri. Hanya untuk melarikan diri dari kesedihan yang gadis itu alami saat ini.
"Amanda, saya kan dah janji nak bantu awak cari bahagia awak. Awak masih boleh bahagia Amanda. Awak masih berpeluang. Jangan sia-siakan hidup awak Amanda. Perjalanan awak masih panjang Amanda." Pujuk Arasy lembut. Dia sedaya upaya cuba
menenangkan emosi gadis itu.
Sejenak kemudian, Amanda mula terfikir suatu idea yang dia anggap bagus. Tapi dia tahu Arasy pasti terkejut besar apabila mendengar idea yang dia akan utarakan sebentar nanti.
"Arasy..."
"Ye Amanda.." Ujar Arasy yang sudah mampu menghela nafas lega apabila mendengar suara Amanda yang sudah tenang. Tiada lagi esakan dari gadis itu yang membuatkan dia lega.
"Kahwin dengan saya."
Prang! Arasy tergaman. Telefon pintarnya yang berkecai di atas lantai dipandang kosong. Arasy terduduk di lantai. Kahwin? Semudah itu Amanda mengajaknya kahwin?
Bersambung!
• 06/11/2021
• Don't forget to vote and drop your comments Arasy's Lover✨
• Remember : What you give is what you will get back! Have Fun!✨
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top