BAB 5 🌸

Dua tahun kemudian...

"Kak Je! Boleh tolong pergi pasar tak? Barang dapur dah habislah," pinta ibu. Suara ibu yang memanggil dari arah dapur mematikan kekhusyukanku menonton filem Munafik 2. Ish, ibu ini salah waktulah. Hantu itu baru nak keluar.

"Okey ibu..." Lemah saja balasan diberi. Nak tak nak, memang kena buat juga. Dahlah aku seorang saja yang berada di rumah sekarang. Abang Zul outstation, Kak Tim pula pergi ke taman dan dibawa sekali kedua-dua hero ciliknya, Ahmad dan Akhyar. Baru aku sedar, dah bertambah anak buah aku. Cepat betul Kak Tim buat kerja. Haha. 

Aku menekan butang pause dan tatkala itu barulah kelibat hantu gatal-gatal menunjukkan mukanya di layar skrin komputer riba milikku. Cis! Sempat aku mengurut dada sendiri. Terkejut dibuatnya. Time aku tunggu tadi tak nak keluar pula! Huh!

Langkah kakiku menapak mendapatkan ibu di dapur. Ibu sedang asyik mengeluarkan isi perut ikan untuk dibuat gulai. Ikan yang telah disiang bersih kemudian dibilas dengan air sinki lalu diasingkan ke dalam bekas. Sekilas ibu memandang ke arahku.

"Hah, dengar ni ibu nak cakap. Nanti Kak Je belikan bawang putih, bawang merah, bawang kecil, bawang besar, bawang Holland, bawang India, bawang...." 

"Mak cik bawang tak nak order sekali, bu?" soalku penuh sarkastik. Kemain betul ibu minta bawang banyak-banyak. Nak buat pesta membawang ke apa? Kalau macam ini, lebih baik aku himpunkan saja mak cik-mak cik bawang Malaysia. Confirm pedih mata.

Ibu terdiam seketika. Jelingan tajam dihadiahkan. "Amboi, perli nampak?" 

Sengihan tak bersalah dipamerkan terhadap ibu tercinta. "Ala ibu, janganlah emo. Orang gurau je noh. Okey, okey. Orang tak buat dah. Ibu nak beli apa lagi, bu? Nanti orang belikan ek?"

"Beli bawang jelah Kak Je. Itu je yang dah habis pun. Beli tu biar banyak-banyak, ibu nak buat stok sebulan terus," pesan ibu lagi. Aku berkerut dahi. Takkanlah semua jenis bawang itu bertahan sampai sebulan saja? Aku punyalah target tahun depan baru beli bawang lagi. 

"Memang stok bawang ibu tahan sampai sebulan je ke? Kenapa tak sampai setahun?" 

Ibu mengeluh perlahan. Tangannya dilap dengan menggunakan kain bersih di tepi tingkap. Kemudian, ibu berpusing menghadap batang tubuhku sambil bercekak pinggang.

"Kak Je, cuba tengok jam pukul berapa sekarang." Akur dengan arahan ibu, aku menolehkan kepala mencari jam dinding yang terletak di dinding ruang dapur.

"Pukul 12.30 tengah hari. Kenapa?" Sungguh, otak aku dah beku. Apa pula kaitan bawang dengan jam ini? Teori konspirasi apa pula yang bakal tersingkap hari ini? Wah... aku dah dapat rasa aura Princemeed meresap ke dalam diri. 

"Dah nak pukul satu Kak Je... tapi ibu tak masak makan tengah hari lagi. Boleh tak jangan banyak tanya? Pergi sekarang! Ada yang ibu tak mengaku anak nanti kang," ugut ibu. Huish ibu, mendengar ugutannya saja cukup untuk buat aku terluka. Rasa macam anak pungut sekejap. Huhu. 

"Yalah ibu... patik menurut perintah." Akhirnya aku mengalah. Surrender dengan ibu. Dibuatnya ibu betul-betul tak mengaku aku ini anak dia macam mana? Tak ke haru jadinya? Tak pasal-pasal jadi sinetron Indonesia terbaru dengan 1000 episod, Anakmu Bukan Anakku Tetapi Anak Dia Yang Tak Mengaku Sebagai Anaknya. 

*******

Akhirnya, aku sampai juga di hadapan pintu masuk pasar raya besar Tesco Extra. Sebaik saja terjumpa parking port yang paling dekat dengan pintu masuk utama, enjin kereta segera dimatikan. Letak tudungku yang sudah senget dibetulkan seketika di balik cermin pandang belakang sebelum melangkah keluar.

Pertama sekali, bebola mataku ralit memerhati kawasan di sekitar ruang legar itu. Cuba mencari mana-mana troli kosong yang boleh digunakan. Bukannya apa, aku nak jimat masa. Mesti ibu pun dah tak sabar nak mula memasak masakan tengah harinya. 

Aha! Jumpa satu troli. Cepat-cepat aku bergerak menghampiri. Takut juga kalau ada orang yang nak berebut sekali nanti. Aku tak naklah jadi macam dalam drama itu. Tak best langsung! Kalau boleh, aku nak jumpa jodoh aku dengan rare. Heh, sempat lagi aku memasang angan-angan Mat Jenin.

Tanpa berlengah lagi, kaki menuju ke ruang yang tersedia dengan buah-buahan dan sayur-sayuran untuk melunaskan hajat ibu. Rambang mataku melihat pelbagai jenis bawang yang tersedia. Ibu nak apa tadi? 

"Bawang India, bawang Holland... bawang kecil, bawang besar..." Sambil bibir menyebut semula barangan yang diminta ibu, tangan bergerak lincah memasukkan bawang ke dalam plastik jernih sebelum ditimbang. 

Okey, dah siap! Aku tersenyum puas melihat kesemua barangan sudah selamat berada di dalam troli. Hanya tinggal masa untuk bayar saja. Hmm... boleh tahan penuh troli aku sekarang. Tak apa, beli saja banyak-banyak. Yang penting, duit nanti aku claim. Hahaha! Aku tergelak jahat.

"Cik, kad kredit ada? Ataupun guna cash? " tanya cik adik manis bertudung hitam di kaunter pembayaran. Sesekali cermin matanya yang hampir melorot jatuh dibetulkan.

"Cash." Ehem, rasa riak pula apabila masuk bab cash-cash duit ini. Adik manis itu pula hanya mengangguk sambil tangannya lincah masukkan segala bawang yang aku borong sampai penuh troli tadi. Plastik putih yang siap diisi barang kemudian aku masukkan ke dalam troli. Senang nak dibawa keluar nanti.

"Seratus dua puluh ringgit sepuluh sen." Adik itu menyebut harga yang tertera pada skrin.

Beberapa keping not 50 ringgit aku hulurkan kepadanya. Selesai urusan jual beli, aku menolak troli itu keluar menghampiri kereta. Ketika sedang menyusun plastik di dalam bonet belakang, mataku tertancap pada sebuah plastik kecil yang terletak di hujung troli.

Eh? Plastik apa ini?

Aku buka ikatan plastik itu. Perfume? Sejak bila aku singgah beli perfume ini? Tak ada dalam list pun. Paling penting, kenapa men perfume? Berkerut terus dahi aku memikirkannya. Aku syak ini mesti pengguna troli sebelum aku yang tertinggal barang. Ish, cuai betul! Perfume mahal ini! Sampai berbelit lidah aku nak menyebut.

Tak lama kemudian, baru aku sedar ada wallet juga dalam plastik. Wallet tersebut dibuka untuk mencari maklumat berkenaan si pemilik plastik. Dua baris nama yang tertera pada IC aku sebut perlahan.

"Tuan Salahuddin Muzaffar Shah Al-Din bin Tuan Muhammad Alam Shah Al-Din."

Dahi aku berkerut sekali lagi. Wah! Sultan negeri mana yang tertinggal perfume di troli aku ini? Agak-agak kalau aku serah diri di istana dapat jadi permaisuri tak? Sempat pula otak aku merepek.

Mata aku beralih pada gambar pemilik nama yang 'unik' tersebut. Aku membuka kelopak mata dengan besar, sebesar-besarnya. Muka dia...

Hensem.

Ada rupa.

Dan... nampak macam berharta. Astaghfirullahaladzim, dah gaya pisau cukur pula aku ini. Gurau, gurau.

Setelah tamat sesi berta'aruf secara tak sengaja, otak geliga aku ligat berfikir macam mana nak pulangkan semula kepada pemiliknya. Kalau disimpan, macam tak proper la pula. Aku terfikir sesuatu. Alamat mesti ada pada IC!

IC yang aku simpan tadi dikeluarkan. Pantas aku mencari alamatnya menggunakan aplikasi Waze. Mata aku mengecil. Apalah, alamat rumah pun susah aku nak sebut. Nampak sangat set-set putera mahkota.

Kepala aku menimbang-nimbang keputusan sendiri. Nak pulang hari ni ke tak ya? Rumah dia taklah jauh sangat. Jam di tangan kanan aku lirik dengan ekor mata. Hidung menghela nafas berat. Aku malas sebenarnya. Jari aku mendail nombor telefon Kak Tim.

"Assalamualaikum Kak Tim. Dah ada dekat rumah ke tu? Orang nak minta tolong." Aku bergerak masuk ke dalam bahagian pemandu. Enjin kereta dihidupkan.

"Waalaikumussalam. Dekat rumah dah ni. Hah, apa dia?" Suara Kak Tim kedengaran di hujung talian.

"Bagitahu ibu orang balik lewat sikit noh. Ada hal nak kena settle. Insya-Allah, nanti dekat nak masuk waktu zohor orang sampai rumah." Sebaik memaklumkan kepada Kak Tim, kereta mula bergerak menuju ke rumah lelaki itu.



Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top