BAB 26 🌸
Tok tok tok!
Bunyi pintu diketuk menerpa cuping telinga. Pantas pandanganku mengerling sekilas ke arah jam yang tergantung di dinding. Dah pukul 10 malam. Siapa pula yang nak datang rumah ini?
Entah kenapa, hati serta-merta dirundung rasa yang kurang enak. Seolah-olah ada sesuatu yang bakal berlaku. Aku masih dalam dilema, sama ada hendak membuka pintu ataupun tidak. Ketukan itu pula bertalu-talu tak berhenti. Membuatkan bulu romaku menegak. Entah hantu entah orang yang ketuk pintu sekarang.
"Err... siapa tu?" laungku dari dalam. Tak berani nak intai punya pasal.
"Akulah," balas kelibat itu.
Mulutku pantas terlopong luas. Muz? Dia... dia dah balik? Biar betul? Wah, alhamdulillah! Rasa syukur dipanjatkan ke atas ilahi. Akhirnya, suami aku pulang! Cepat-cepat tombol pintu dipulas.
Saat pintu itu terbuka, terjengul batang tubuh Muz yang selama ini dirindui. Tindakan spontan, aku terus membawanya ke dalam pelukan akibat terlalu teruja. Keras mengejung seluruh tubuh Muz jadinya. Sebaik tersedar, pantas aku menjauh. Aduh, terpeluklah pula!
Senyuman simpul terukir menutup malu. Muka pun automatik rasa berbahang. Aku lantas menghulurkan tangan untuk bersalam. Muz tidak menyambut, sebaliknya memandangku dengan hairan.
"Apa ni? Aku baru balik kau dah minta duit?" soal Muz, tak puas hati.
Aku pula yang tercengang. Apakah? Teruknya level sangka buruk dia. Aku masih ada otak la nak berfikir dengan baik. Takkanlah suami baru balik nak minta duit? Kalau nak minta pun, bukan waktu sekaranglah.
"Tak... awak dah tersesat fahaman ni. Saya nak salamlah," balasku. Tangan masih setia dihulur. Teragak-agak Muz menyambut huluranku bersalam dengannya.
"Jomlah masuk. Kesian awak, mesti dah lama tunggu dekat luar. Dahlah sejuk." Betul, aku kesian dekat Muz. Sewaktu kami bersalaman, sejuk betul tapak tangan Muz. Macam ais ketul!
Sebaik Muz melangkah masuk ke dalam rumah, aku turut mengikut jejaknya. Pintu rumah ditutup perlahan-lahan agar tidak menghasilkan bunyi yang kuat. Lagipun, dah malam. Tak elok ganggu jiran lain beristirahat.
Bayang lelaki itu sudah menghilang. Jadi, aku beranggapan mungkin dia dah masuk bilik dia dulu. Namun telahanku ternyata salah apabila baru saja hendak masuk ke dalam bilikku sendiri, suara Muz lantas memanggil.
"Lela," seru Muz. Aku menoleh ke arahnya yang sedang berpeluk tubuh di muka pintu bilik.
"Tidur dengan aku malam ni," arah Muz sebelum berlalu ke dalam biliknya.
Keningku lantas bertaut hairan. Aku tak salah dengar, kan? Muz minta aku tidur sebilik dengan dia? Biar betul? Bukannya apa, sejak peristiwa itu berlalu sudah lama kami tidak tidur sebilik, jadi rasa pelik pula. Walaupun berat hati, aku akur juga.
"Saya nak tidur mana?" soalku yang masih tercegat di depan pintu. Muz awal-awal lagi dah terbongkang dekat atas katil. Dan kini, sepasang mata itu tak lepas memerhatikanku dari atas sampai bawah. Huish, seramlah pula.
"Kau rasa?"
Oh... aku mengerti. Langkah aku menghampiri birai katil. Dua biji bantal diambil. Cukuplah untuk dibuat tidur malam nanti. Tingkahku terhenti apabila tangan Muz pantas mengambil semula bantal-bantal yang sedia dalam pegangan.
"Lela, kita ini dah kahwin. Takkan kau dah lupa tempat isteri di sisi suami?" Bicara Muz membuatkan aku terkedu. Apa yang Muz cuba sampaikan?
"Awak nak apa sebenarnya?"
Muz lantas turun dari katil lalu bergerak semakin hampir ke arahku.
"Well, cukuplah untuk kau tahu yang aku... nak..." Bicaranya terhenti. Sebelah tangannya bertindak mencapai hujung rambut hitam milikku lalu dibawa ke hidung dan dihidu. Hampir putus nafas rasanya dengan tindakan Muz. Dada tak usah cakap, mulalah nak berdebar tak tentu hala.
"Aku nak kau..."
Aku dah telan air liur sendiri.
"Tidur jelah sebelah aku! Itu pun susah sangat ke?"
Serentak dengan itu, batang tubuhku ditolak kasar ke atas katil. Pintu bilik pula ditutup rapat. Aku mengurut pinggang yang masih terasa sengal seperti sengalnya otak Muz pada malam ini. Gila ke? Agak-agaklah nak main tolak-tolak pun. Sakit tau!
Pandangan tajam aku lemparkan kepada Muz yang kekal dengan riak tak bersalah. Berguni-guni dah agaknya sumpah seranah aku pada dia.
"Ah kau! Apahal pandang aku macam itu? Tak puas hati? Kau nak aku buat lebih-lebih ke malam ini?" gertak Muz. Laju aku menggeleng. Tiba-tiba rasa seram pula. Ngee.
Masing-masing senyap tanpa suara. Aku nak tanya Muz, dia dah tidur ke belum tapi tak terkeluar pula soalan itu. Yalah, melalui ekor mata aku dapat menangkap batang tubuhnya sedang berbaring mengiring betul-betul menghadap aku. Jadinya, aku teruskan saja aktiviti merenung atap zink yang hampir berkarat.
"Err Muz, saya dah nak tidur ni. Saya tutup lampu eh?" Lama-lama, rasa mengantuk pula. Nak terus tidur, tapi aku tak selesa nak tidur dengan lampu bilik terpasang.
Muz menggeleng. "Jangan tutup. Tak puas lagi tengok bidadari depan mata."
What the... apa dia cakap tadi? Bidadari? Aku tak salah dengar kan? Eh, sekejap. Dia tengah puji aku ke apa ini? Aku mengelipkan mata berkali-kali. Terkebil-kebil jadinya.
"No, I'm just kidding. Tutup jelah. Membazir buka lampu lama-lama." See? Muz ini bukan boleh percaya sangat.
Lambat-lambat, aku bergerak menutup suis lampu di tepi pintu. Keadaan bilik bertukar gelap. Penuh hati-hati, aku naik semula ke atas katil bujang itu dengan penuh rasa tak puas hati. Katil single, ada hati nak ajak orang tidur sekali. Sempit tahu tak!
Dalam kesamaran malam, aku dapat lihat Muz beranjak sedikit ke tepi memberi ruang untuk aku berbaring di sebelahnya.
"Muat tak?" soal Muz. Aku dah rasa nak tarik rambut sendiri. Tak ada soalan yang lagi cerdik ke?
"Muat... tapi sempit. Saya rasa nak jatuh katil," balasku. Jadi, untuk mengelakkan pinggang aku patah pula akibat jatuh katil terpaksa aku merapat ke arah Muz. Hah, rasakan! Nak sangat tidur sekatil kan?
"Lela... sekejap. Okay, done." Pinggang aku dirangkul kemas. Buat ke sekian kalinya, aku terkedu lagi. Seluruh tubuh automatik kaku tak bergerak. Spontan aku mengeraskan badan.
"Weh kau dah kenapa? Keras semacam. Aku tolak jatuh katil kang," ugut Muz. Eleh, mentang-mentang dia rapat ke dinding! Bongkak pula!
"Muz, awak dah nak tidur ke?" Selang beberapa minit, masih tiada jawapan. Kepala aku mendongak melihatkan mata Muz yang sudah terpejam. Aku baru saja berkira-kira hendak memberitahu sesuatu. Automatik bibir mengeluh perlahan.
"Apa pandang-pandang?" sergah Muz secara tiba-tiba. Akibat terkejut, badanku sedikit terundur ke belakang. Namun, pantas lelaki itu menahan belakangku daripada terjatuh katil.
"Aduh, susah la kau ni Lela. Yang kau terkejut sangat dah kenapa?" gerutu Muz. Eh, eh dia yang buat kita terkejut nak marah-marah pula. Getusku dalam hati.
Kali ini, pelukannya semakin dieratkan. Sesak nafas aku jadinya. Nak dihalang, tak berani la pula. Dibuatnya nanti dia betul-betul tolak aku jatuh katil, mahu patah pinggang aku. Jadi, aku mengambil keputusan untuk menutup mulut.
Keadaan bertukar sunyi. Bunyi cengkerik pun sekali-sekala menyampuk pendengaran.
"Kau nak kata apa tadi sebenarnya?" Muz membuka mulut. Matanya kekal terpejam. Aku menarik nafas dalam sebelum menyambung bicara.
"Muz, saya dah fikir masak-masak tentang kita. Lepaskan saya, itu yang terbaik."
Akhirnya, kata-kata itu terluah juga daripada mulut. Perkara itulah yang aku fikirkan selama ini. Aku tak sanggup melihat Muz menanggung dosa akibat menikahi aku dengan niat untuk menyeksa. Hukumnya jelas haram di sisi Islam. Tambahan pula, aku sendiri tak pasti sampai bila aku mampu bertahan dengan semua ini.
"Awak pun cintakan Lili, bukannya saya. Jadi saya rasa tak adil untuk biarkan awak terus terikat dengan perkahwinan kita. Carilah bahagia awak Muz... saya izinkan. Tetapi untuk bertahan dan terima Lili sebagai isteri kedua, saya belum cukup mampu."
Mata lelaki itu yang tadinya tertutup kini terbuka perlahan-lahan. Pandangan kami bertaut lama.
"Aku takkan lepaskan kau. Hanya kau isteri aku. Takkan ada yang lain." Seraya itu, pelukannya dieratkan.
*******
"Saya pergi dulu. Takut lambat nanti," ujarku pada Muz yang baru saja tiba di meja makan. Mug yang berisi milo cepat-cepat aku teguk. Takut jalan jammed sebab aku pun masih membiasakan diri dengan jalan baru ini. Memang naya saja kalau lambat.
Kasut bertutup hitam aku sarungkan di kaki sebelum bergegas mendapatkan kereta. Sebelah tangan menggagau mencari kunci kereta dalam beg. Namun, tindakan aku terhenti dengan kehadiran Muz.
Lengan aku ditarik masuk ke dalam kereta miliknya. Aku yang masih terpinga-pinga tak sempat nak bereaksi. Badannya merapat ke sisiku lalu seatbelt dipasangkan.
"Sit down there. Aku hantar kau. Jangan tanya kenapa, aku malas nak jawab."
Stereng kereta dipusing dan kereta meluncur laju meninggalkan perumahan setinggan itu. Aku hanya terdiam, masih speechless dengan kata-katanya tadi.
10 minit kemudian, kereta Muz berhenti di perkarangan kawasan sekolah. Tanganku baru sahaja bertindak hendak membuka pintu kereta, mulut Muz bersuara.
"Balik nanti tunggu aku, kita balik sama-sama." Dalam keadaan teragak-agak, kepalaku mengangguk perlahan. Pelbagai persoalan tak berhenti membelenggu fikiran.
"Dah, keluarlah. Kau tunggu apa lagi?" Muz tayang muka pelik melihatkan aku yang masih belum beredar. Aku mencapai tangan Muz kemudian kekura tangannya kukucup lembut. Riak wajah Muz serta-merta berubah.
"Saya salam tangan awak. Jangan tanya saya kenapa, saya pun malas nak jawab."
Selepas mengucapkannya, aku keluar dari kereta bersama senyuman senget di tepi bibir. Heh, tahu terkejut! Dia tak tahu betapa terkejutnya aku pagi tadi tiba-tiba kena tarik masuk dalam kereta. Kesannya, tepat jam 7.15 pagi baru aku punch card di pejabat sekolah. Nasib baik tak kena punch card merah.
Petang itu, seperti yang dijanjikan kami pulang bersama dalam satu kereta. Namun, Muz tidak terus memandu ke rumah sebaliknya dia memberhentikan keretanya betul-betul di hadapan sebuah kedai tomyam.
"Kita singgah makan dululah, perut aku dah lapar. Tak makan tengah hari pun tadi," ujar Muz. Aku hanya mengangguk mengikutnya keluar dari kereta. Entahlah, kepala terasa berat semacam sampai nak buka mulut pun hendak tak hendak saja.
Meja paling hujung menjadi pilihan. Tak lama kemudian, muncul seorang pelayan wanita datang mengambil pesanan.
"Bagi saya nasi putih dua, tomyam ayam dengan air sirap dua," ujar Muz. Gadis kecil molek itu mengangguk perlahan sambil sibuk mencatat pesanan. Aku menyandarkan badan pada belakang kerusi sambil berpeluk tubuh membuang pandang ke hadapan.
"Kenapa? Kau demam ke? Tak sihat?" Suara Muz lembut bertanya apabila pelayan tersebut menjauh pergi. Prihatin pula dia kali ini. Aku tak tahulah kalau aku yang salah, tetapi sejak kepulangannya ke rumah beberapa hari lalu, Muz seolah-olah sedang cuba berbaik denganku.
"Tak adalah. Migrain sikit je ni," balasku. Tambahan pula, aku memang dah biasa dengan migrain ini. Sakitnya selalu sangat mencengkam apabila tiba masa untuk 'bulan mengambang'. Batang tengkuk yang terasa lenguh aku urut perlahan di sebalik tudung bawal yang dipakai.
Beberapa minit kemudian, hidangan yang dipesan pun sampai. Muz makan dengan penuh berselera tetapi bukan aku. Nasi di pinggan hanya mampu dipandang dan dikuis-kuis sedikit menggunakan sudu. Tiba-tiba, bunyi sudu dan pinggan berlaga. Wajah Muz menjadi tatapan.
"Kau dah kenapa tak nak makan?" Tangannya berhenti mengetuk hujung pinggan dengan sudu.
"Tak lapar lagilah. Saya ingat nak bungkus je nanti."
Muz menggelengkan kepala tanpa suara. Dia tunduk seketika mengaut nasi beserta lauk menggunakan sudu miliknya. Kemudian, sudu itu disua ke mulutku.
"Nah, buka mulut," arahnya.
"Tak nak." Aku geleng. Sasau apa entah dia hari ini. Baik semacam, siap suap segala. Aku pula yang takut. Takut semua ini juga hanyalah sementara.
"Fine! Jangan cakap aku tak payung pula." Suapannya tadi diteruskan. Sepanjang di kedai itu, aku hanya melihat Muz makan dan melantak dengan penuh berselera.
Setibanya di rumah dan selepas menunaikan solat isyak, aku membaringkan tubuh di atas katil bilik. Entah kenapa, sejak petang tadi badan terasa lemah dan berpeluh. Tempurung kepala juga sakit bagai dihempap batu. Sudah berkali-kali aku berpusing ke kiri dan ke kanan untuk melelapkan mata sambil cuba melupakan kesakitan itu namun masih gagal. Malah, semakin mencucuk-cucuk pula.
Akhirnya, aku mengambil keputusan untuk keluar dari bilik. Kaki diturunkan ke bawah perlahan-lahan. Kemudian bergerak mendapatkan pintu. Belum sempat tombol dicapai, pintu terlebih dahulu dibuka dari luar. Wajah Muz muncul menjengah ruang mata.
"Lela, handphone kau berbunyi di ruang tamu tadi."
"Hmm..." Kepala yang terasa berat menyebabkan kata-kata Muz bagaikan angin lalu. Aku mencekak bahagian pinggang yang turut terasa pedih. Dahi mula berkerut-kerut menahan sakit tak terperi.
"Weh, kau... kau okey tak ni? Muka kau pucat teruk sangat ni!" Muz kaget.
Bahu aku dipegang. Kemudian, pandangannya dijatuhkan ke bawah. Matanya membulat. Sipi-sipi aku dapat melihat air mukanya sudah berubah, pastinya lebih risau daripada tadi.
"Lela... kenapa ada da... darah ni?" Riak muka Muz bertukar pucat. Aku tak mampu untuk menjawab. Sakit di pinggang pula semakin kuat mencucuk sehingga ke pangkal ari-ari.
"Aw... awak... tolong... saya." Serentak dengan itu, pandangan mataku terasa gelap dan kelam.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top