BAB 23 🌸

Pelupuk mata terasa basah. Lambaian yang terakhir aku berikan kepada semua. Uuu... sedihnya! Selepas ini dah tak duduk dengan ibu dan ayah. Muz nak bawa aku pergi duduk di rumah dia. Katanya, lebih dekat dengan tempat kerjanya dan sekolahku.

Sejenak pucuk hidungku yang masih merah bagaikan dicuit lembut. Aku menoleh sekilas ke sebelah kanan.

"Sayang, janganlah menangis. Sayakan ada? Kita nak belajar hidup sama-sama, kan?" Lembut suara Muz menenangkan aku. Bahuku diusap perlahan dengan satu tangan. Sebelah tangan lagi digunakan untuk mengawal stereng kereta.

Dengar saja Muz kata macam itu, lagi aku rasa nak menangis. Akibat tak tahan berjauhanlah aku mengambil keputusan meninggalkan rumah sewa dulu dan tinggal bersama ibu dan ayah. 

"Saya sedihlah. Nanti siapa lagi nak tengokkan ibu dan ayah? Siapa lagi nak bermanja dengan dia orang? Kak Tim pun nanti mesti nak jaga anak-anak dia dengan Abang Zul. Tak ada siapa dah nak jaga ibu dan ayah." Air mata ini mengalir lagi bagaikan tidak mahu berhenti. Dasar cengeng! Sempat aku kutuk diri sendiri.

Muz di sebelah tersenyum simpul. Bahagian kepalaku yang berbalut tudung pula digosok perlahan.

"Saya bangga sangat dapat isteri macam awak. Tapi janganlah risau. Mesti Abang Zul dan Kak Tim akan jaga ayah dan ibu baik-baik. Ibu dan ayah pun parents mereka juga, kan?" Muz memujuk lagi. Kali ini jemariku pula digenggam bagi menyalur kekuatan.

Kemudian, ibu jari Muz bertindak menyapu titik jernih di pipi. Serta-merta, rasa segan menyelubungi diri. Apalah aku ini. Boleh pula menangis depan suami. Mengada betul! Sah, aku dah berjangkit dengan penyakit mengada-ngada Muz. Haha.

Kereta Muz berhenti di hadapan sebuah rumah yang boleh tahan besar selepas menempuh 15 minit perjalanan. Tanpa dipinta, otak aku dah sibuk mencongak berapa agaknya harga rumah banglo dua tingkat di corner lot  ini. Kalau ikut gaji semasa, belum tentu aku boleh bayar sebulan. Ish, memang macam ini ke kahwin dengan orang kaya?

"Cantik tak?" Muz bertanya sambil memandangku sekilas.

"Cantik! Cantik gila!" Mulalah kepala aku mengangguk laju-laju. Gilalah! Soalan jenis apa itu? Mestilah cantik! Rumah orang kaya, kan? 

"Saja saya bawa awak tengok rumah contoh yang ada dekat sini."

Terus terhenti mulut dan hati aku memuji. Huh? Rumah contoh? Oh, ini bukan rumah kita ke? Hampa jadinya. Hilang sudah angan-angan yang sedia memenuhi kotak fikiran.

"Cuba tengok persekitaran dia. Tenang dan damai saja. Pokok-pokok hijau pun banyak. Ah... fresh air! "  Muz dah mendepakan kedua belah tangan. Terdengar helaan nafasnya yang dalam menghirup udara segar di tepi telingaku.

"Kalau macam itu, rumah kita dekat mana?" Aku pandang Muz sambil menantikan jawapan.

"Oh, rumah kita? Rumah kita mestilah ada. Dekat saja, dalam 10 minit lagi sampailah," terang lelaki itu. Balasan Muz melegakan gelodak hati. Baru ingat nak duduk dalam reban tadi. 

Namun, kelegaan hatiku tak bertahan lama apabila kereta mewah milik Muz berhenti betul-betul di hadapan sebuah perumahan setinggan. Air liur yang ditelan terasa kesat melepasi kerongkong. Betul ke apa yang aku tengok ini?

"Awak masuklah dulu. Rumah kita tengah-tengah yang pintu coklat itu ha. Saya nak ambil beg dekat bonet sekejap." Tahu-tahu saja, Muz sudah keluar dari kereta. Meninggalkan aku seorang diri.

Maksudnya, betul la ini rumah aku? Rumah aku dan Muz? Dekat tempat kecil ini?

Sebenarnya terlampau banyak persoalan yang bermain di fikiran, tetapi aku memilih untuk menerima saja. Aku tahu, Muz pasti ada sebabnya yang tersendiri. Apapun, aku perlu percayakan suami aku.

Pintu kereta dibuka dan langkahku bergerak mencari rumah yang dimaksudkan Muz tadi. Sampai saja di depan pintu, tombolnya dipulas perlahan. Nampaknya, Muz tak kunci rumah ataupun mungkin dia terlupa. Aku sekadar mengagak. 

Bebola mataku berputar memerhati segenap ruang rumah kecil itu. Ruang tamu yang sempit, bilangan bilik juga terhad hanya ada dua buah. Langkahku menuju ke dapur. Dapur pastinya lebih kecil berbanding ruang tamu. Dari situ, aku dapat menangkap kedudukan tandas yang terletak di belakang dapur. Warna cat pada dinding rumah juga sudah luntur dan terkopek. Di celah bucu rumah penuh dengan kepingan cat kering yang tercabut dari dinding.

Tanpa sedar, bibir mengukir senyum hambar. Buruk pun buruklah! Asal dapat hidup cukup la. Kadang-kadang, dalam hidup ini kita tak boleh nak demand sangat. Kalau tak, sampai bila-bila pun tak kenal erti syukur.

Memandangkan dalam rumah ini terdapat dua buah bilik, aku masuk ke dalam bilik yang dilengkapi sebuah katil bujang. Aku rasa mungkin ini bilik tidur Muz. Telahanku tepat apabila terdapat bingkai gambar yang terisi dengan gambar lelaki itu. Di sebelahnya terletak elok sebuah buku berwarna hitam.

Entah kenapa, hati ini meronta-ronta ingin mengetahui kandungan buku tersebut. Bukan berniat hendak menceroboh privasi Muz, tetapi bukankah sepatutnya tiada rahsia antara suami isteri? Enggan berlawan dengan rasa hati, helaian buku hitam itu diselak. 

Akhirnya perempuan itu jatuh dalam genggaman aku juga.
Terima kasih Diff sebab tinggalkan dia untuk aku.
Tak sia-sia kau mati sebab penyakit bodoh itu.
Lela selamanya milik aku! Hak aku!
Hanya aku yang layak mencintai dia.

Orang lain, langkah mayat aku dulu.

To my dearest wife,
Bila awak dah kahwin dengan saya, tak bermakna awak akan bahagia.
Antara kita masih belum selesai. You owed me a lot, honey.

Tanganku serta-merta menggigil tatkala terbaca tulisan tangan itu. Tubir mata mulai berkaca, hanya tinggal menunggu masa hendak pecah. Jantung juga berdegup kencang. Hati dipenuhi dengan rasa yang berbaur. Apa maksud Muz? Apa kaitan dengan Diff?

"Sayang... awak dah baca?" Figura Muz muncul di muka pintu bersama sebuah senyuman. Sukar untuk ditafsirkan.

"Ap... apa semua ini?" Tajam mataku menikam tepat pada wajah lelaki itu. Muz masih kekal dengan senyumnya yang langsung tak lekang dari bibir. Langkahan kakinya juga semakin menapak hampir. 

"Jangan dekat!" Suaraku bertukar tinggi. Setitis air mata jatuh ke pipi. Jujur, aku terlalu takut dengan Muz sekarang. Automatik gerakan kakinya terhenti. Dia kini berdiri tidak jauh dariku.

"Sayang... sayang. Tak sangka bodoh juga kau ini. Takkan tak nampak lagi? Selama ini, kau dah masuk dalam perangkap aku." Muz tersenyum sinis, bersandar di dinding sambil berpeluk tubuh memandangku.

Perangkap? Perangkap apa pula ini? Sungguh, aku tak mengerti.

"Apa maksud awak?" Rasa ingin tahu membuak-buak tanpa dapat ditahan lagi.

"Aku kesian dengan kau tapi itulah. Hakikatnya aku kahwin dengan kau atas tujuan membalas dendam, Lela. Hanya untuk balas dendam dan buat kau terseksa. Macam mana kau seksa hati aku dulu, macam itulah aku nak kau rasa benda yang sama."

Perlahan-lahan, hati sendiri rasa seperti disiat-siat. Selama ini aku fikir dia ikhlas rupa-rupanya, aku silap. Pandanganku terasa kabur dipenuhi air mata.

"Apa salah saya pada awak Muz? Sampai awak sanggup buat saya macam ini?"

Mendengarkan soalanku, senyuman sinis yang selama ini menghiasi wajahnya perlahan-lahan pudar. Muz menggeleng kepala berkali-kali. Kulit mukanya diraup secara kasar. Sejenak, putih matanya bertukar merah dan merenung tepat ke dalam anak mataku. Jemarinya pula lantas bertindak mencengkam bahu. Tusukan kuku tajam miliknya bagai menembusi lapisan kulit menyebabkan kelopak mata terpejam pedih.

"Hei, betina! Senang-senang macam itu saja kau lupa salah kau dulu? Takkan tak ingat? Oh aku tahu, kau sengaja buat-buat lupa! Biar aku ingatkan. Kau biarkan aku terkontang-kanting, tinggalkan aku dan cipta bahagia dengan Diff! Kau langsung tak endah pasal aku, kau buat aku merana. Semua itu buat aku hampir gila kau tahu tak!"

Pantas aku menggelengkan kepala sambil cuba melepaskan pautannya.

"Muz! Apa awak merepek ini? Saya tak pernah kenal awak pun sebelum ini. Pertama kali kita jumpa pun di rumah bonda!"

"Memang kau tak kenal aku. Diff pun tak kenal aku tapi aku cukup kenal kau orang berdua. Sebab kau dan Diff punca semua ini! Sebab kau dan lelaki bangsat itu aku menderita! Tahu tak betapa sakitnya hati aku bila tengok kau dan Diff bersama? Tahu tak betapa sakitnya mencintai seseorang dalam diam? Lagi-lagi bila jatuh cinta dengan kau!"

"Aku cintakan kau dari dulu lagi sebelum Diff. Aku cintakan kau bagai nak mati! Sayangnya, kau saja yang tak sedar semua itu. Kau bodoh, Lela! Kau buta! Apa, hina sangat ke cinta aku ini sampaikan kau langsung tak pandang hah! Hina sangat ke?"

Serentak dengan itu, bahuku ditolak dan dilepaskan dengan kasar.

Sergahan Muz membuatkan bahuku terhenjut. Pipiku sudah teruk dibasahi air mata. Aku mengangkat muka memberanikan diri bertentang mata dengan mata merah milik Muz. Sungguh, ini bukan Muz yang aku kenal.

"Itu ke yang awak panggil cinta Muz? Get lost! Damn it!  Awak langsung tak ikhlas cintakan saya! Cinta awak dikaburi dendam. Awak sedar tak? Dalam hati awak sekarang penuh dengan dendam pada saya! Bukannya lagi cinta! Cinta itu dah hilang disebabkan dendam awak yang membara!"

"So what kalau cinta itu dah hilang pun? Yang penting sekarang, aku dapat balas dendam. Takkan aku nak sia-siakan susah payah aku nak dapatkan kau? Lagipun, ini waktu yang aku tunggu selama ini. Buatkan kau terseksa!"

Kedengaran pintu bilik berdentum kuat. Muz sudah melangkah keluar daripada bilik.

Di kala itu, hanya Tuhan saja yang tahu perasaanku. Aku tertunduk lemah. Tidak sanggup menatap wajah Muz lagi. Dulu, mungkin dia yang terdekat di sanubari. Tapi kini, dia mulai terasa jauh dari hati. Sungguh perit hendak menerima kenyataan ini. Air mata menitik lagi. Tapak tangan naik menyentuh dada. Ngilu rasanya hati bagai dicucuk jarum tatkala menyedari diriku telah dilukai oleh dia... yang bergelar suami.



Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top