BAB 22 🌸
Pagi itu, awal-awal lagi kelibat aku dah terlihat di dapur. Maklumlah, cuti sekolah a.k.a cuti kahwin tak habis lagi. Kalau tak, memang tepat pukul tujuh aku chow dulu. Bunyi sudip dan kuali berlaga lagi. Guess what? Hari ini aku yang sediakan sarapan. Bukan selalu, saja nak menunjuk depan suami apabila dah kahwin ini. Hahahaha.
"Wah, pengantin baru awalnya bangun! Ehem, boleh tidur tak malam tadi?" Suara nyaring Kak Tim memecah telinga. Soalannya yang terakhir dalam nada berbisik diiringi dengan muka gatal. Eee... tak senonoh betul kakak aku ini.
Mi goreng yang dah siap masak dan masih berasap itu aku sendukkan ke dalam mangkuk. Kemudian, badan berpusing untuk menghidangkannya di atas meja makan. Bebola mata lantas terarah pada Kak Tim yang masih setia memerhati tindak-tandukku sedari tadi.
"Apa pula tak boleh tidurnya? Dah mengantuk, penat... tidurlah. Apa susah?" Riak muka aku kawal sehabis mungkin padahal dalam hati rasa nak meletup!
Kak Tim gelak kuat-kuat mendengarkan jawapan aku. Malas nak layan, teko di rak kabinet aku capai untuk menyediakan kopi panas pula. Kelihatan figura ibu dan ayah mulai masuk ke ruang dapur.
"Ya Allah akak, kenapa gelak kuat sangat tu? Malu kalau Muz dengar nanti," tegur ibu. Aku dah simpan senyum. Padan muka Kak Tim kena sebiji dengan ibu!
Ayah pandang aku. "Kak Je, pergi panggil Muz ajak sarapan."
Terus mati senyuman aku tadi. Err... kena juga ke? Kak Tim dah tersenyum mengejek. Cis!
"Kak Tim pun sama juga, panggil Zul sekali," sambung ayah lagi. Hahaha! Yang ini aku suka! Kak Tim dah kena dua das daripada ayah dan ibu.
"Ayah, why not Kak Tim saja yang panggilkan dua-dua? Senang, sekali jalan terus." Sengaja aku cari helah lain, sebab aku tak nak jumpa Muz!
Kak Tim dah membulatkan mata tanda tak setuju. Ayah sempat mencicip kopi panas yang baru aku tuang tadi sebelum membalas. Tisu dicapai lalu tepi mulutnya dilap cermat.
"Ehem. Selepas ini, tak hairanlah kalau Muz pasang dua ya. Ada isteri pun nak tak nak saja layan suami." Shoot! Kata-kata ayah menusuk tembus ke jantung.
Kak Tim pun terlopong sebab tak sangka. Aku? Apa lagi, tak payah tunggu lama terus pergi masuk bilik. Ish, ayah ini pun cakap tak berlapik. Sakit pula hati kita.
Aik, mana Muz? Aku meliarkan pandangan ke sekitar bilik tidur. Pintu tandas dibuka.
Hmm... dalam bilik air pun tiada orang. Apabila intai dari celah tingkap baru perasan, Muz sedang duduk sendirian mengambil angin di pangkin ayah rupanya. Senyuman kecil mula terbit di bibir.
"Aii... termenungkan apa itu cik abang?" Bahu dia aku tepuk lembut. Perlahan-lahan aku melabuhkan tempat di sisinya.
"Eh, mana ada termenung. Cuma tak sangka kita dah kahwin!" Muz tersengih. Rasa kelakar pula apabila dengar dia cakap macam itu.
"Kenapa tak sangka pula? Tak percaya?" Muka Muz aku pandang sekilas sebelum kembali membuang pandang ke arah pokok pisang ayah yang terletak tidak jauh dari pangkin. Wah, pisangnya dah mula berbuah la! Kalau buat pengat mesti sedap. Eh, menyempat lagi aku ini.
"Kalau sayang nak tahu, saya hampir putus asa tahu tak nak pikat orang itu. Kerasnya hati dia... memang tak boleh bawa bincang! Sekarang, tahu-tahu saja bidadari yang saya tunggu selama ini dah ada dekat sebelah saya." Redup matanya merenung jauh ke dalam anak mataku. Pipi serta-merta rasa berbahang. Aisey, janganlah pandang saya macam tu! Malu tahu!
"Eh, Ya Allah..." Seakan tersedar sesuatu, aku menepuk dahi dengan tapak tangan.
"Sebenarnya, saya nak ajak awak sarapan. Jom sarapan jom!" Aku bingkas turun dari pangkin kayu itu dan menjejakkan kaki di atas tanah.
"Nantilah... saya tak puas lagi nak bermanja dengan sayang." Muz mencengkam pergelangan tanganku. Dia menggeleng kepala tidak membenarkan aku masuk. Aku mencebik bibir. Ceh, sebiji macam budak-budak!
"Hei, dah dah. Tak payah nak mengada. Ibu dan ayah semua dah tunggu tau. Nanti apa pula dia orang cakap." Cengkamannya cuba untuk dileraikan. Namun sayangnya gagal kerana Muz terlebih dahulu mengeratkan pegangan itu.
"Tak apalah, semua mesti dah faham. Kitakan pengantin baru?" Muz kenyit sebelah mata. Muka aku dah merah menyala. Bangga sangat dia dengan title pengantin baru itu.
"Eee... gatalnya! Tak sanggup saya nak layan. Saya nak sarapan." Tangan yang digenggam cepat-cepat aku lepaskan. Aku berdiri menghadap encik suami sambil bercekak pinggang.
"Nak angkat..." Muz dah merengek macam budak tak cukup makan. Nak tak nak, dilayankan juga perangai yang tak serupa orang itu. Lengan dia yang berat aku tarik untuk bangun. Setelah berdiri tegak, pinggang aku lantas dibawa rapat ke dalam pelukan. Aku pandang dia. Muz pandang aku balik.
"Kenapa?" Muz bertanya seperti tiada apa-apa yang berlaku. Huh, muka suci habis! Sesuci kain kapan gitu!
"Tangan awak itu, tak boleh duduk diam eh?" Aura bengang aku dah mula menerpa. Muz tergelak. Ish, aku betul-betul la! Anda fikir saya ada masa untuk main-main? Hah, pinjam ayat Panadol sekejap.
"Nope! Cause you're totally mine." Dia dah berikan senyuman menggoda. Aku menjulingkan mata ke atas. Tak lama lagi boleh potong kaki dah gamaknya. Dos gula terlebih.
"Awak tak malu ayah dan ibu tengok nanti?" Nada suara aku bertukar geram. Ops, baru teringat. Sesungguhnya suami aku ini sangatlah tak mengenal erti malu yang dia tahu mahu saja.
"Buat apa nak malu? Dah halal pun kan." Tak tahu dah nak campak dekat mana muka aku sekarang. Itu bukan suara Muz, tetapi suara ayah! Tak sedar pula kami dah sampai di ruang dapur ini.
"Dah, cepat duduk. Berjanggut dah kami tunggu pengantin baru," kata ayah lagi.
Muz dah sekadar tersengih menutup malu. Tangannya yang tadi melingkar pada pinggangku dileraikan perlahan-lahan dan kami mengisi kerusi kosong yang berbaki. Ingatkan selepas ditegur ayah, dia dah tak berani dah nak berkata-kata. Sangkaanku ternyata silap.
"Alah ayah pun... macam tak biasa. Ayah dengan ibu dulu macam ini juga, kan? Jadi apa salahnya kami mengikut jejak langkah yang lebih tua." Sejenak tawa kecil Muz meletus.
Masing-masing yang berada di meja makan itu memandangnya tak berkelip mata. Wah, beraninya awak encik suami! Boleh pula selamba badak saja dia menyakat ayah? Abang Zul yang dah jadi menantu hampir lima tahun pun tak pernah buat macam itu. Muz tak tahu ke yang ayah itu bekas askar dulu?
Dari hadapan, dapat kulihat renungan ayah terpaku lama menghadap menantu barunya. Rahang mulutnya juga bergerak-gerak seolah ingin menuturkan sesuatu. Alamak, perang apa pula yang terjadi ini?
Ayah mengeluh perlahan. "Bukan tak boleh, Muz. Cuma ayah takut tengok cara kamu pandang Kak Je tu. Macam orang mabuk ketum dah gayanya," balas ayah. Kepalanya turut digeleng-gelengkan.
Seisi ruang dapur itu gamat dengan tawa masing-masing. Aku pun ikut tergelak juga mendengar kata-kata ayah. Adoilah ayahku... ayah memang sempoi! Terbaik! Nasib baik tak jadi perang dunia tadi. Takut juga aku.
"Huish, jangan cakap macam tu ayah. Ini bukan mabuk ketum, ini namanya sayangkan isteri." Muz tersengih buat ke sekian kali, mempamerkan gigi hadapannya yang tersusun cantik.
"Alhamdulillah, eloklah tu. Ayah nak pesan, hidup berumah tangga ada banyak dugaannya. Apapun yang jadi, ayah harap kamu berdua laluinya dengan sabar. Nak bahagia bukan senang. Dua-dua kena berkorban. Kalau ada masalah, berbincang dulu. Jangan buat keputusan terburu-buru," nasihat ayah.
"Kak Je..." Kedengaran suara tua ayah menyeruku dengan panggilan manja itu. Pandanganku terangkat menghadap tepat wajah kedut ayah.
"Kak Je dah jadi isteri Muz, jadi Muz yang akan jagakan Kak Je untuk ayah. Ingat, sekarang ini syurga Kak Je bawah tapak kaki dia. Jangan pernah derhaka dengan perintah suami selagi tak melanggar syariat. Sebagaimana Kak Je jadi anak yang baik untuk kami, sebegitu juga Kak Je kena jadi isteri yang baik untuk Muz." Begitu lembut pesanan ayah sehingga mampu meninggalkan kesan di hati. Dalam diam, aku mula memasang niat untuk melakukan yang terbaik.
Kemudian, Muz yang berada di kerusi sebelahku pula menjadi sasaran mata ayah. Bezanya kali ini, bukan lagi renungan tajam tetapi renungan redup yang penuh kasih sayang.
"Muz... ayah tak minta banyak. Tiga perkara ini je dah cukup. Didik anak ayah dengan baik... sayangi dia sepenuh hati dan jangan lukakan hati dia. Andai satu hari nanti, Muz tak mampu nak bersama Lela lagi, ayah minta sangat-sangat pulangkan dia semula pada ayah. Orang tua ini sanggup terima. Sebab kasih sayang seorang ayah takkan pernah hilang untuk anak perempuannya," tutur ayah lagi.
Muz menunduk sebelum membalas dengan senyuman pahit. Terkesan agaknya dengan kata-kata ayah.
Pandanganku serta-merta terasa kabur. Tubir mata turut berkaca digenangi air mata. Kak Tim juga merasakan perasaan yang sama. Rasa sebak mendengar luahan dan permintaan tulus seorang bapa.
Melihatkan masing-masing yang kian tenggelam melayani perasaan, ibu lantas menjadi penceria suasana. Walaupun hakikatnya aku tahu, si ibu juga sedang memendam sebak yang menggila.
"Eh, jomlah kita sarapan. Mesti perut semua dah buat konsert rock Wings tu," canda ibu. Kami tertawa kecil. Pelupuk mata yang basah dilap dengan hujung jari.
"Hah makan, makan. Hari ini ada mi goreng, nasi goreng... lauk kurma semalam pun ada juga! Wah... mewah betul menu kita hari ni!" Teruja sungguh Abang Zul memperkenalkan menu sarapan pagi.
Ahli keluargaku yang lain mulai menyenduk juadah pilihan mereka. Gelagat setiap seorang diperhatikan. Alhamdulillah, aku mempunyai keluarga bahagia.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top