BAB 2 🌸
"Awat hang tak jumpa dia hari itu?" soal Kak Tim.
Waktu petang macam ini seperti biasa, kami berdua melepak di depan televisyen melayan sinetron walaupun aku sendiri tak berapa minat. Terpaksa sebenarnya mengikut kehendak mak buyung seorang ini.
"Lupalah kak. Lagipun tiba-tiba ada hal. Terpaksa ganti class kawan sebab dia warded kena denggi." Aku menjelaskan perkara sebenar. Kak Tim hanya mengangguk. Ralit matanya menonton lakonan Baim Wong di televisyen. Tiba-tiba aku teringatkan sesuatu.
"Ayah dah tolak pinangan itukan kak?" soalku. Kebiasaannya ayah akan menolak kerana mengikut kata-kataku sebagai anak kesayangannya tapi tak tahulah pula untuk kali ini.
Kak Tim sekadar mengangkat kedua belah bahunya. Tanda tidak tahu.
Seperti biasa, menginjak jam enam kami sekeluarga berkumpul bersama di pangkin ayah. Namun entah kenapa, udara petang itu langsung hilang nyamannya. Langsung tiada gelak tawa dan gurauan yang selalu menjadi penyeri. Ayah memandang aku. Ibu memandang aku. Kak Tim memandang aku. Suami dia, Abang Zul pun turut memandang aku.
Kecuali Ahmad. Budak gemuk itu sedang seronok melayan Didi & Friends di ruang tamu.
Aku pula awkward sendiri. Masing-masing pakat pandang aku ini dah kenapa? Takkan aku ada buat salah? Cucur udang yang ditelan pun seperti tersekat di kerongkong. Tak nak masuk. Rasa nak keluar balik.
"Ayah dah terima tau," ujar ayah. Kali ini aku tak mudah melatah. Belajar daripada pengalaman. Ceh.
"Boleh tolak lagi kan? Ayah cuma nak tanya Kak Je setuju atau tak, kan?"
Bibir tersenyum bangga kerana masih ingat peristiwa yang berlaku dulu. Habis segala hujah-hujah yang ada aku bentang. Sempat lagi seketul cucur udang masuk ke dalam mulut.
"Kak Je, kali ini ayah serius," tegas si ayah.
Uhuk! Uhuk! Woo... aku tak boleh tahan dah. Aku rasa udang yang baru masuk tadi pun macam nak berenang keluar. Nasib baik kali ini ada air. Air kopi dihirup perlahan-lahan. Tangan Kak tim memainkan peranan mengurut belakang aku dengan lembut.
"Kak Je... Sampai bila nak hidup membujang ni," keluh ibu pula.
"Orang muda lagilah ibu," jawabku acuh tak acuh saja, malah langsung tak menoleh. Bukannya apa, hati ini mudah sangat berubah. Lagi-lagi tatkala mendengar nada lirih ibu memanggil nama manjaku.
"Muda apanya! Geng-geng masjid ayah semua dah bawa cucu berderet-deret pergi masjid tau!" Pantas ayah mengambil peluang menyampuk.
Aku memandang ayah dengan riak tak puas hati. Amboi ayah, tak perlu rasanya nak mention geng-geng masjid itu. Lain macam saja aku dengar. Tak takut timbul sifat riak ke ayah?
"Comel je ayah tengok semua pergi masjid dengan cucu-cucu," komen ayah lagi.
Aha! Aku tahu, ayah sengaja nak highlight perkataan cucu-cucu itu. Nampak sangat Ahmad seorang tak cukup lagi. Tapi ayah nak rushing buat apa, Kak Timkan tengah mengandung cucu kedua dia?
Lagi satu... Ayah kata apa tadi? Comel? Seriously? Askar pencen kata comel? Langsung tak padan dengan muka garang ayah aku ini padahal dalam hati ada taman! Aku tersengih sendiri.
"Tengok anak dara kau ini, Mas! Orang tengah bercakap sengih-sengih pula dia," garang suara ayah menerpa telinga.
Aku memandang Kak Tim di sisi. Cis! Dia pun tahan gelak juga. Abang Zul siap tolong tutupkan mulut dia lagi supaya ayah tak nampak. Ish, kenapa asyik aku saja yang kena? Bentakku dalam hati.
"Tak kira, kali ini ayah akan terima juga! Lantaklah Kak Je suka atau tak!"
"Ayah!"
Masing-masing yang berada di situ terkejut dengan jeritan nyaring itu. Semua mata kini memandang tepat ke arahku. Nafas dalam dihela seketika sebelum lidah mula berbicara.
"Ya, orang kahwin! Tetapi bukan dengan entah siapa-siapa," terangku.
"Kak Je nak kahwin dengan siapa?" Ayah menyoal kembali sambil berkerut dahi. Ibu masih senyap walaupun aku tahu ibu juga ternanti-nanti dengan jawapan aku.
"Kalau dengan Diff bolehlah." Bibir menggumam perlahan.
"Diff? Diff mana pula ini? Dif-dif kehormat itu ka? Hang biaq betui Kak Je?"
Ayah menggosok dada. Penyakit asmanya mula menyerang. Allah! Ke situ pula dah! Aku dah geleng-geleng kepala. Hancur!
*******
Kaki aku tak henti-henti bergoyang sementara menunggu kedatangan si dia. Lambat pula mamat ini. Aku dah bagitahu kan bila dan di mana. Sesat ke apa?
"Lela!"
Aku berpusing.
"Diff! Hah, datang pun kau. Ingatkan kau tak nak jumpa aku," ujarku sambil berpeluk tubuh dan memerhati kelibatnya yang semakin mendekat.
Duduknya dilabuhkan di sebelahku. Bukannya betul-betul sebelah pun, kerusi sebelah sana! Apa, nak mati cepat ke duduk sebelah aku?
"Mana ada! Ada hal la!" jerit Diff dengan kuat supaya aku dengar.
"Lela, jomlah borak depan sana. Kita menghadap tasik. Aku takut orang ingat aku gila jerit-jerit macam ini. Kau tak apa, kau memang gila. Aku pun tak kisah." Dalam menyindir, sempat lagi Diff mengutuk. Cis, bedebah betul!
Aku turut tergelak mendengar katanya. Ikut kaulah Diff. Aku menuruti langkahnya menghampiri tasik yang terbentang seluas mata memandang.
"Diff, kau still belajar ke sekarang?" soalku, memulakan perbualan setelah sekian lama.
"Aku dah habis belajar. Dah kerja pun," ujar Diff. Sekilas wajahku di sisi dikerling dari ekor mata.
"Kau kerja apa? Jadi orang-orang dekat kebun Pak Abu ke?" Sempat aku mengusik.
"Adalah." Diff dah senyum-senyum. Enggan memberitahu perkara sebenar.
Aku mencebik bibir. Cis! Ada hati nak rahsiakan. Don't worry, nanti aku boleh tanya Lili. Adik dia merangkap geng rebel aku di sekolah dulu.
"Kau nak jumpa aku ini apa kes? Kata ada benda pentinglah sangat." Diff merujuk kepada topik utama. Aku pula yang serba salah sekarang.
"Aku nak tanya dengan syarat kau kena jujurlah. Boleh?" pintaku. Badan dipusingkan supaya betul-betul menghadap muka Diff.
"Tengoklah, tak janji. Kalau aku rasa nak kelentong aku buatlah," ujar Diff lagi. Aku jeling dia. Lantak kaulah. Diff main-main saja. Dia manalah reti nak kelentong orang. Apatah lagi dengan aku, rakannya selama empat tahun sejak di universiti.
"Diff, kau dah berpunya ke?" soalku tanpa berselindung lagi. Aku rasa ini dikira paling direct dah.
"Berpunya? Meaning? " Kening Diff terangkat di sebalik kaca mata hitamnya.
Aku tahu di sebalik kaca mata hitam Diff, sepasang mata itu sedang memberikan aku renungan yang teramatlah tajam. Takut pula nak teruskan soalan.
"Ala, susahlah kau ini. Berpunya... hmm kau ada suka atau jatuh cinta dengan sesiapa tak?" tanyaku lagi. Wajah Diff dilihat dengan riak teruja.
"Oh dulu ada la. Sekarang entah. Tak ada rasanya," terang lelaki itu. Aku menarik nafas lega. Alhamdulillah, senang kerja aku kali ini! Kedua tapak tangan diraup ke muka.
"Kenapa?" tanya Diff. Mungkin pelik melihat tindakanku tadi.
"Kau nak kahwin dengan aku tak?"
Diff terdiam. Pandangan kosong dilemparkan pada tasik di hadapan mata. Lama dia berdiam diri. Aku pula yang tidak sabar melihat reaksinya.
"Lela apa kau merapu, merepek dan meraban pagi-pagi ini?" Diff pula menyoalku dengan nada serius. Langsung tiada unsur gurauan. Mulutku terlopong. Ya Allah, boleh pula dia fikir aku main-main?
"Kau tak buat benda tak elok kan, Lela?" Soalan kedua pula muncul kali ini daripada mulut lelaki itu. Zzzappp! Terlopong aku mendengarnya. Oit! Jauhnya mamat ini fikir!
"Woi! Agak-agaklah. Melebih sungguh kau ini. Cakap macam aku tak ada maruah pula. Kau kenal aku dah lama. Takkanlah aku sanggup gadaikan maruah aku macam itu je?" marahku dengan suara yang tertahan-tahan. Sedar kami berada di tempat awam.
Aku menangkap Diff mula menarik nafas lega. Tidak lama kemudian, dia tersengih-sengih sambil mempamerkan riak bersahaja.
"Hehe. Manalah tahu kan kot-kot kau dah..." Diff membuat andaian. Aku faham sangat. Tak lain tak bukan mesti dia fikir aku dah kena tebuk!
"Kuajaq la kau! Aku tahulah nak jaga diri macam mana!" Keras aku menafikannya. Serius aku rasa nak sepak terajang Diff. Kenapalah aku tiba-tiba sopan pakai kain hari ini? Melepas.
"Ala janganlah marah, Lela. Aku minta maaf sangat-sangat. Tak sengaja pun tadi," kata Diff. Aku pandang tempat lain. Marah bercampur bengang lagi sebenarnya.
"Sorry, okey? Please..." rayunya lagi. Diff memuncungkan bibir sambil meletakkan tangan di pipi. Sesekali kelopak mata dikerdipkan beberapa kali. Acah-acah comel tapi tak comel pun. Sekilas pandang serupa macam monyet hingusan. Berbulu mata aku melihatnya.
"Ah, kau senyap! Cair tahi telinga aku. Jijik betul!" kutukku. Telinga aku tutup dengan tangan. Geli aku dengan suara acah comel macam ini. Meremang bulu roma. Diff pula dah bantai gelak kuat-kuat. Siap menggeleng-gelengkan kepala lagi.
"Maafkan aku tak?" soalnya lagi.
"Ya... Aku maafkan," balasku. Malas nak memanjangkan lagi hal itu.
"Okey. Cakap pasal tadi. Kau ajak aku kahwin?" Diff kembali mengungkit bicaraku tadi. Dia berpeluk tubuh sambil tajam memerhatikan aku.
"Kalau ya pun, kau nak terima ke?"
Sengaja aku bermain tarik tali. Takkan nak mengaku terus. Malulah saya!
"Kau rasa?"
Diff pun nak bermain tarik tali juga. Tak nak mengalah nampak. Cis!
"Kalau tak nak tak apalah, nak buat macam mana," keluhku dengan nada perlahan. Orang itu dah tak nak, apa kita boleh buat. Reda. Langkah kaki aku perlahan-lahan pergi meninggalkan dia.
Satu tapak...
Dua tapak...
Tiga tapak...
Enpat tapak...
Lima tapak...
Enam tapak...
Tujuh tapak...
"Woi Lela! Bila aku boleh masuk meminang ni?" Diff jerit dari jauh.
Yeay, jodoh dah sampai!
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top