56

.
.
.

Perlahan-lahan kelopak matanya dicelikkan. Kipas siling yang sedang berputar perlahan di atasnya tika itu direnung kosong. Sehinggalah dia merasakan jari-jemarinya digenggam lembut dan erat.

Lambat-lambat Taehyung menoleh.

"Awak dah bangun?"

Suara itu..

Suara yang amat dia rindukan.

Sepasang mata yang sedang menatap tepat ke dalam sepasang matanya itu direnung tak percaya. Setelah sekian lama, sepasang mata itu membalas renungan matanya.

"Haneul.."

"Ya, saya.."

Lantas matanya mula dirasakan panas dan membahang tika wanita di sisinya tika itu mengangguk perlahan seraya mengukir senyum untuknya. Luluh hatinya melihat Haneul berada di atas kerusi roda.

"Omma.. Appa.." Soal Taehyung perlahan, sedangkan sejak tadi, ada soalan yang lebih menggusarkan hatinya.

"Awak jangan risau, mereka baik-baik saja.."

"Anak kita.." Terlalu banyak yang Taehyung ingin ungkapkan namun hanya itu yang terungkap dari belahan bibirnya yang bergerak perlahan. Tak semena-mena setitis air matanya mengalir membasahi sisi mata dan telinganya.

Wajah isterinya ditatap sayu, menangis tanpa suara buatkan Haneul turut merasa sebaknya. Dengan senyuman Haneul hanya menggeleng perlahan. Air mata suaminya diseka lembut dan perlahan.

"Tak apa.." Bergetar suara Haneul memujuk buatkan Taehyung tak mampu menahan sebak. Lantas matanya terpejam rapat, hanya air mata yang mengalir.

Air mata yang hampir menitis membasahi pipi cuba Haneul tahan. Kini tangannya mengusap lembut bahu Taehyung, memujuk tanpa suara. Biarlah suaminya itu menangis semahu-mahunya kerana dia tahu, peritnya menahan tangis.

"Berbulan-bulan kau bawa dan jaga dia, semudah itu dia pergi dalam pangkuan aku.. Aku minta maaf, Haneul.." Di dalam esakannya, dirinya memohon maaf buatkan Haneul tak mampu menahan sebak.

"Bukan salah awak, Taehyung.."

"Aku tak jaga dia baik-baik.. Patutnya aku tak lepaskan dia, patutnya aku peluk dia, patutnya aku pegang dia elok-elok dia, jaga dia.. Patutnya aku yang mati Haneul, bukan dia.."

"Taehyung.." Perlahan Haneul memujuk, bahu suaminya itu dipeluk lembut. Wajahnya disebamkan pada bahu Taehyung dan dalam diam, dirinya turut sama menangis.

"Kenapa semua ni jadi dekat kita Haneul.. Kenapa mesti anak-anak kita.."

Rintihan Taehyung yang satu itu sudah cukup buatkan Haneul terdiam, menangis tanpa suara.

"Apa salah aku sampai macam ni sekali.."

Setiap rintihan suaminya mengilukan hatinya. Jarang sekali dia melihat suaminya itu menangis dan merintih seperti itu.

"Aku minta maaf, Haneul.."

"Aku minta maaf.."

.
.
.

"Papa dah tolong kebumikan anak kita, bersebelahan dengan Mansae.."

Taehyung hanya diam.

Masih jelas di dalam ingatannya saat dia mengebumikan Mansae dengan tangannya sendiri.

Ngilu di dadanya yang dirasakan tika itu sama persis seperti apa yang dia rasai sekarang.

Setelah hampir lima belas minit Taehyung ditinggalkan sendirian, akhirnya Haneul kembali kepadanya dengan seorang lagi cahaya mata mereka.

Dengan sepasang matanya yang mula terlihat berkaca, tidak lepas Taehyung merenung Si Kecil itu yang nyenyak di dalam dukungan Haneul.

Bila Haneul hendak menyerahkan anak mereka padanya, lantas Taehyung menggeleng perlahan buatkan Haneul terkedu.

"Saya tak layak untuk dukung dia lepas apa yang jadi pada abang dia.." Tutur Taehyung perlahan dengan renungan matanya tidak pernah lepas dari wajah polos itu.

"Kalau saya tak lepaskan anak kita, mesti anak kita masih ada dengan kita sekarang.."

"Anak kita masih ada dengan kita, Tae.. Kita masih ada anak kita.." Perlahan Haneul memujuk seraya menunduk, memandang sekilas anak keduanya yang masih nyenyak di dalam dukungannya.

"Kalau dah memang ditakdirkan dia cuma pinjaman buat kita, sekuat mana pun awak peluk dia, dia tetap akan pergi dari kita, Taehyung.." Tenang Haneul bersuara, seolah-olah hatinya sudah mengikhlaskan pemergian anaknya.

"Saya cuba ikhlaskan pemergian dia, saya cuba sebab saya tahu, saya masih ada awak dan seorang lagi anak kita.. Kita masih ada anak kita, Tae.."

Perlahan-lahan renungan mata Taehyung kembali beralih pada anak mereka. Wajah bersih tanpa secalit dosa itu direnung lama. Bersihnya wajah polos itu hingga terlihat bercahaya di matanya.

"Terima kasih sebab bawakan dia pada saya sebelum ini.." Tutur Haneul perlahan, mengundang sebak di hati.

"Kalaulah saya serahkan kedua-duanya pada awak, mungkin.." Bibirnya diketap perlahan saat hatinya dipagut rasa pilu.

"Taehyung.." Nama suaminya itu diseru perlahan sebelum tangan Taehyung digenggam lembut.

Terlalu banyak yang mereka lalui namun inilah kali pertama dia melihat betapa rapuhnya hati lelaki itu. Lelaki yang sering ingin terlihat kuat di hadapannya, yang cuba menjadi kekuatan buat dirinya.

"Taehyung.."

Serentak itu Haneul dan Taehyung perlahan-lahan menoleh tika mana suara garau itu menyapa mereka.

Tuan Min.

Dengan air mata yang mengalir, sepasang kaki lelaki tua itu mengatur langkah perlahan menghampiri Taehyung yang masih terlantar di atas katil hospital itu.

Usai dirinya berdiri di sisi katil, tubuh menantunya itu didakap erat. Pada masa yang sama, tangisannya pecah dengan esakan.

"Papa minta maaf.."

"Maafkan, Papa.."

Di dalam tangisan, tenggelam timbul suara Tuan Min memohon maaf. Haneul yang melihat turut sama tak mampu menahan air mata.

Untuk seketika Taehyung hanya diam sebelum perlahan-lahan tangannya membalas pelukan bapa mentuanya itu.

"Saya dah lama maafkan, Papa.."

"Saya tak pernah salahkan Papa.. Saya maafkan Papa.."

.
.
.

[ENAM BULAN KEMUDIAN]

"Selamat hari jadi, sayang."

Sejak tadi, tersenyum-senyum sendiri Haneul tatkala menonton video rakaman semula sambutan hari jadinya yang dirakam oleh Taehyung sebelum ini.

Sebak hatinya saat melihat tatapan mata Taehyung buat dirinya di sepanjang video itu. Tatapan mata yang sarat dengan kasih dan cinta buatnya.

Sesekali sepasang mata suaminya itu bagaikan mencari dan menunggu dirinya membalas renungan mata suaminya itu, menyentak tangkai hatinya. Pastinya sepanjang dirinya tak mampu melihat dulu, suaminya itu cukup merindukan renungan matanya.

Lambat-lambat Haneul menunduk, melihat Taehyung yang sudah nyenyak tidur di sisinya bersama anak lelaki mereka yang turut sama lena di antara mereka berdua.

Di dalam kesamaran bilik tidur itu yang hanya disinari dengan pancaran cahaya dari televisyen, wajah dua lelaki kesayangannya itu direnung lama dengan senyuman halus terukir di bibir.

Tersenyum halus Haneul melihat tangan Taehyung yang tak pernah lepas memeluk anak mereka itu, sehinggakan di dalam tidur pun suaminya itu tak berhenti dari terus melindungi sebahagian nyawa mereka itu.

Alat kawalan televisyen diambil lalu punat 'off' ditekan. Untuk seketika bilik itu gelap gelita sebelum lampu tidur bersebelahan katil dihidupkan.

Posisi selimut yang menyelimuti tubuh suaminya itu dibetulkan. Sesenyap mungkin atas kepala dan kedua-dua belah pipi anaknya yang berada di antara dia dan Taehyung dikucup lembut dan perlahan.

"Selamat malam, Taehyun sayang.." Ucapnya pada Kim Taehyun dengan senyuman. Pada masa tangannya mengusap lembut atas kepala anaknya itu yang kembali ditumbuhi rambut setelah dicukur beberapa bulan yang lalu.

Setelah itu, giliran dahi suaminya pula dikucup lembut dan perlahan, lama. Tak semena-mena hatinya sebak sendiri.

"Selamat malam, Taehyung-ah.." Bisiknya perlahan dengan senyuman. Sama seperti apa yang dia lakukan pada Taejun tadi, rambut Taehyung diusap lembut dan perlahan.

Namun perlahan-lahan tangannya terhenti saat Taehyung tenang membuka mata, merenung anak matanya tepat.

"Taehyun je sayang? Taehyung tak sayang?"

Tergelak Haneul bila bangun-bangun saja dari tidur, lelakinya itu merungut dengki.

"Sayang, cuma sayang Taehyun lebih."

"Huh." Dengan gediknya Taehyung mencebik seraya memusingkan tubuhnya menghadap dinding buatkan Haneul geli hati.

"Dah jadi bapak orang pun nak merajuk-merajuk."

Kali ni Taehyung berpeluk tubuh pula, selimut ditolak hingga ke hujung kaki tanda protes.

Gediknya! Suami siapalah ni?

Tak menahan Haneul hendak menahan gelak tapi tak nak Taehyun terbangun dan meragam, terpaksa dia tahan.

Tiba-tiba idea gila datang, terus Haneul merangkak menghampiri Taehyung sebelum dia menyelit di antara dinding dan tubuh Taehyung buatkan dahi suaminya itu berkerut-kerut tapi tetap juga Taehyung memberi ruang, mengundur sedikit.

"Apa dah serupa cicak nak mengawan melekat dekat dinding ni?" Bisik Taehyung tak puas hati.

Beberapa detik kemudian dua-dua tergelak tapi cepat-cepat masing tahan. Sempat laki bini tu menoleh, melihat Taehyun yang langsung tak terusik lenanya itu sambil bahu masing-masing bergegar menahan tawa.

Bila pasti yang line clear,terus Taehyung tarik selimut menutupi penuh tubuh mereka sebelum bibir isterinya dikucup lembut dan sekilas. Terkejut punya pasal tetiba kena kiss, spontan Haneul menjerit kecil.

"Shhh, karang terbangun budak kecik tu, sampai ke pagi kita tengok Cocomelon."

Haneul pun apa lagi, bergegar satu badan tahan gelak.

"Sampai bila awak nak peluk saya ni? Lemas tahu tak?" Soal Haneul tak puas hati.

"Eloklah lemas dalam pelukan suami daripada dalam pelukan suami jiran sebelah." Tak mahu kalah, Taehyung membalas.

"Tidurlah dah malam." Malas nak melayan, Haneul balas acuh tak acuh.

"Siapa suruh kejutkan saya, kan saya dah tak boleh tidur balik."

"Masalah awak ke masalah saya? Saya boleh tidur."

Geram dengan isterinya itu yang otak geliga ada saja jawapannya, bibir isterinya itu sekali lagi menjadi sasarannya. Cari gaduh punya pasal, kan dah mendapat.

"Jom pergi bilik sebelah."

Tergelak Haneul tatkala mendengar ajakan suaminya itu.

"Nak buat apa? Oh, mentang-mentang Taehyun dah tidur saya pun dah habis pantang- Aduh!"

Belum sempat Haneul habis cakap, selamba Taehyung menjentik lembut dahi isterinya itu.

"Nak kena ruqyah dia ni. Saya nak ajak awak pergi sebelah, tengok movie. Apa awak ingat saya gelojoh macam awak?"

Tak rela dilabel gelojoh, hidung mancung Taehyung dipicitnya geram buatkan lelaki itu terjerit kecil.

Baru je nak sambung gusti, masing-masing terdiam bila terdengar rengekan Taehyun sebelum berganti dengan esakan nyaring.

Nightmare!

Terus Taehyung bangun, menghampiri Taehyun sebelum tubuh kecil itu didukung lalu punggung Taehyun ditepuk-tepuk lembut. Haneul pula pantas menuruni katil lalu botol susu di sisi katil diambil kemudian dihulurkan pada Taehyung.

Lalu sibuklah laki bini itu cuba mendodoikan anak mereka itu yang masih teresak-esak menangis.

"Salah mamalah ni kacau Taehyun tidur."

"Eh salah saya pula, awaklah!"

"Huaaa!!"

"Ha nangis lagi Taehyun nangis lagi biar mama pula tak boleh tidur! Padan muka! Tak apa, Papa teman Taehyun nangis sampai subuh."

"Siapa ajar pujuk anak gitu?! Sini biar saya dukung dia."

"Eh mana boleh! Taehyun anak saya. Awak nak awak buatlah anak sendiri. Kan Taehyun kan? Jom Taehyun kita tinggalkan Mama dekat sini sorang-sorang, tokseh kawan dengan Mama!"

"Taehyung!"

Pukul dua pagi, huru-hara dibuatnya dalam bilik tidur itu. Yang ajaibnya Taehyun yang pada mulanya menangis terus mengekek ketawa melihat pergaduhan manja antara ibu dan ayahnya itu.

Seronok Si Kecil itu ketawa bila ayah dan ibunya itu bagaikan di dalam filem benggali, kejar mengejar di dalam bilik itu sambil berebutkannya.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top