36
.
.
.
Hari ini genap seminggu dari hari aku melahirkan Mansae namun sehingga ke saat ini, aku masih belum dapat berjumpa dengannya. Seringkali aku mimpikan dia, mungkin juga kerana beratnya menanggung rindu.
Sudah beberapa hari aku duduk di rumah mama dan papa seusai aku keluar dari hospital. Kata mama, papa dan Taehyung, lebih baik aku ada di sini. Ramai yang dapat menjaga aku di dalam pantang di sini, ditambah dengan keadaan aku yang sekarang.
Setiap hari aku bertanyakan pada mereka, di mana anak aku?
Katanya Mansae masih di hospital. Atas nasihat doktor, lebih baik Mansae ada di sana untuk sementara waktu. Berada di bawah pemantauan doktor dengan keadaan Mansae yang masih perlukan rawatan di dalam inkubator. Aku faham dengan keadaan Mansae yang lahir tidak cukup bulan.
Tapi sampai bila?
Ingin sekali aku mendukungnya, mencium dan mendakapnya erat walaupun aku harus menerima hakikat yang aku tak mampu melihat sama ada wajahnya seiras aku atau Taehyung. Tapi aku tak kisah semua itu, yang aku mahukan hanya berjumpa dengannya. Sekejap pun jadilah.
Hari ini Taehyung sudah mula kembali bekerja. Itu pun setelah puas aku memujuk dan meyakinkan dia yang aku baik-baik saja di rumah tanpanya. Lagi pun ada mama menemani dan menjaga aku.
Kesiankan Mama yang perlu menjaga aku sekaligus menguruskan kerja rumah yang tiada sudahnya di rumah ini, Taehyung mengupah seorang pembantu rumah untuk membantu mama membuat kerja di rumah ini di samping menjaga aku.
Sudah puas aku dan mama menegah tapi Taehyung tetap berdegil akhirnya hari ini sudah masuk hari ketiga Ahjumma Jung, wanita separuh abad itu bekerja sebagai pembantu rumah di sini. Baik dan peramah orangnya, sangat rajin.
Kerjanya dari tujuh pagi hingga tujuh petang, kecuali hari Sabtu dan Ahad perkhidmatannya tidak diperlukan. Berulang-alik dari rumahnya yang terletak tidak jauh dari rumah kami.
"Tak apa ke mama tinggalkan kamu sorang-sorang ni?"
"Tak apa, mama. Ahjumma Jung kan ada?" Balasku dengan senyuman.
"Hmm yalah. Mama pergi sekejap je ni, nanti mama balik. Kamu kalau nak apa-apa panggil Ahjumma Jung, jangan memandai-mandai buat sendiri. Nanti apa-apa jadi Mama juga yang kena marah dengan Taehyung."
Tertawa perlahan aku mendengar mama yang sudah tergesa-gesa mengatur langkah ke pintu rumah tapi mulut masih rancak membebel.
"Puan jangan risaulah, saya ada. Boleh tengok-tengokkan Haneul."
Aku hanya tersenyum di atas sofa ini sementelah mama dan Ahjumma Jung berbual sambil mengatur langkah ke pintu rumah.
Beberapa detik berlalu, suasana jadi sunyi sepi sebelum terdengar pintu rumah ditutup perlahan. Mungkin Mama dah keluar.
"Ahjumma Jung."
"Ya, Haneul nak apa-apa?"
Tersenyum aku seraya menggeleng perlahan.
"Mama dah pergi?"
"Dah."
"Oh, okay."
Seusai aku berbicara, terdengar pintu loceng rumah ditekan beberapa kali. Terdengar derapan kaki Ahjumma Jung kembali ke muka pintu sebelum terdengar pintu rumah dibuka perlahan.
"Siapa, Ahjumma?"
.
.
.
"Jemput minum, omma."
Sopan aku mempelawa. Segan bertemu dengannya sekarang, dengan keadaanku yang sekarang. Sekian lama kami tidak bertemu, kini aku bertemu dengan ibu mentuaku dengan diri aku yang tidak lagi sempurna.
Dapat aku rasakan Ahjumma Jung kembali ke dapur seusai menghidang teh pada kami, seolah-olah memberi ruang buat kami dan tak mahu memasang telinga.
Untuk seketika suasana antara kami sunyi sepi buatkan hati aku resah sendiri. Entah apa reaksi ibu mentuaku saat ini aku sendiri tidak pasti.
"Mak, bapak kamu mana?"
"Mama keluar sekejap, ada hal. Papa kerja."
"Berani pula dia orang biarkan kamu sorang-sorang dekat rumah dengan keadaan kamu macam ni? Suami kamu tak kisah?"
Tersenyum aku mendengar soalan omma.
"Tak apa, Ahjumma Jung ada. Taehyung yang upah Ahjumma untuk tengok-tengokkan saya sekali tolong Mama uruskan rumah ni."
"Bukan main lagi ya? Selama ni mak dia sendiri macam nak mati buat kerja rumah, uruskan dia dengan adik-adik dia, tak ada pula beria sibuk nak tolong upahkan pembantu rumah ke apa."
Peritnya hati tika mendengar suami sendiri diperli dan dicaci sinis oleh ibu kandungnya sendiri. Ingin saja aku bersuara, membela Taehyung namun lidah dirasakan kelu.
"Omma datang hari ni kenapa?" Soalku dengan senyuman, cuba menukar topik dan suasana di antara kami yang mula dirasakan tegang.
"Aku datang melawat salah, tak datang lagilah salah. Omma datang nak tengok kaulah. Karang omma tak datang, kata tak peduli pula? Tak kan nak tunggu ada yang mati dulu baru nak datang melawat? "
Tersentap aku bila kata-kata omma itu bagaikan belati tajam menghiris-hiris hati.
"Maaf, omma. Haneul saja tanya." Balas aku seraya tersenyum halus.
Lambat-lambat aku menunduk, kain bedung yang pernah dipakai oleh Mansae di dalam wad yang Taehyung berikan pada aku sebelum ini aku genggam lembut.
Bauan seperti bedak bayi yang melekat di kain itu cukup menenangkan aku, terlepas sedikit bebanan rindu aku buat si kecil itu.
"Rindu anak kamu?"
Terangkat kepala aku tika mendengar soalan omma itu sebelum lambat-lambat aku tersenyum seraya mengangguk perlahan.
"Rindu.. Tak sabar rasanya nak tunggu dia balik.." Ceritaku perlahan seraya menunduk. Kain bedung itu aku bawa dekat ke hidung, mencium lembut kain itu bagaikan mengucup pipi gebu milik Mansae.
"Kesian."
Tersentak aku tatkala mendengar sepatah kata itu datangnya dari mulut omma.
"Kena tipu hidup-hidup dengan suami sendiri, dengan mak bapak sendiri."
Terngadah kepala aku tika kata-kata sinis itu menyapa gegendang telingaku, berdesing. Jantung kian dirasakan berdegup laju.
"Kau rasa kenapa sampai sekarang mereka tak bagi kau jumpa anak kau sendiri, Haneul? Sebab anak kau masih dekat hospital? Kau percaya?"
"M—maksud omma?"
"Macam mana mereka nak bawa Mansae jumpa kau kalau dia dah mati? Anak kau hidup tak sampai sehari pun Haneul. Mereka tanam anak kau sebelum kau bangun. Anak kau dah mati."
.
.
.
"Ahjumma Jung baru je balik tadi, katanya ada emergency. Tu yang tak dapat temankan Haneul sampai malam. Maaflah Taehyung disebabkan kami nak keluar malam ni kamu pula yang kena balik awal."
"Tak apalah, mama. Taehyung memang tak banyak kerja pun hari ni. Haneul mana?"
"Ada tu ha dekat dalam bilik. Tadi mama tengok dia tengah tidur."
"Oh, okaylah kalau macam tu. Dating elok-elok."
Tertawa Tuan dan Puan Min mendengar usikan Taehyung itu.
"Kami pergi dulu ya. Jagakan Haneul untuk kami ya?"
"Dah memang tanggungjawab saya, papa." Balas Taehyung dengan senyuman sebelum hanya panahan matanya mengiringi langkah ayah dan ibu mentuanya itu ke kereta.
Sempat tangannya melambai ke arah kereta bapa mentuanya itu yang perlahan-lahan mengundur keluar dari halaman rumah itu. Tika pintu pagar sudah tertutup rapat, barulah daun pintu rumah itu ditutup perlahan.
Baru saja derapan kakinya hendak diatur ke tingkat atas, langkahnya terhenti dek bunyi dentingan yang datangnya dari dapur. Panahan matanya kini tertumpu lama pada laluan ke dapur itu.
Siapa pula? Setahunya sekarang ini hanya ada dia dan Haneul di rumah. Tak kan isterinya pula?
Lantas beg dan blazer miliknya diletakkan semula di atas sofa di ruang tamu itu sebelum langkahnya diatur ke dapur.
"Haneul?" Nama isterinya meniti di bibir seraya langkahnya sudah memasuki ruangan dapur.
Serta-merta dia menjadi kaku, tergamam di situ saat melihat Haneul sedang berdiri di hadapan kabinet dapur dengan sebilah pisau di tangan kanannya.
"Sayang.."
Lembut suara Taehyung memanggil isterinya itu, dalam diam langkahnya diatur perlahan menghampiri wanita itu.
"Haneul, please, don't do this." Pinta Taehyung perlahan, separa merayu. Hampir putus nafasnya saat melihat isterinya itu mula meletakkan bilah tajam pisau itu ke pergelangan tangannya sendiri.
"Tolong, jangan buat macam ni.. Aku merayu.." Walaupun jantungnya menggila diterjah rasa cemas, riak tenangnya masih cuba dikawal.
Hatinya dirasakan luluh saat melihat isterinya sekarang yang hanya diam, menunduk dengan wajah yang tak berperasaan namun sepasang mata wanita itu jelas berkaca. Tiada lagi sinar pada sepasang mata itu, hanya kelam.
Terlihat darah merah mula mengalir saat Haneul perlahan-lahan menekan bilah tajam pisau itu ke pergelangan tangannya sendiri, lantas Taehyung tak mampu berdiam diri lagi.
Pantas tangannya menarik tangan Haneul dari terus menekan bilah pisau itu ke kulitnya sendiri namun belum sempat Taehyung merampas pisau itu, Haneul terlebih dulu menepis kuat tangan Taehyung.
Tanpa diduga pisau di tangannya mengena tangan Taehyung, menghiris lengan itu sehingga menitisnya darah merah ke lengan baju lelaki itu.
"Jangan dekat!"
Tanpa gentar, bilah pisau itu dihunus ke hadapan. Lantas Taehyung menjadi kaku. Wajah isterinya yang sedang marah itu direnung sayu. Semakin sayu hatinya saat melihat air mata isterinya itu mengalir membasahi pipi.
"Apa kau cuba buat ni, Haneul.." Perlahan Taehyung merintih, berkaca-kaca sepasang matanya menatap isterinya saat itu. Rasa sakit di lengannya saat itu dirasakan tidak setanding rasa pedih di dadanya saat ini menanggung pilu.
"Aku nak mati! Untuk apa aku hidup kalau anak aku dah mati?! Kenapa Tuhan tak matikan saja aku sekali dengan Mansae waktu aku kemalangan haritu kalau macam ni Dia buat pada aku.."
Luluh hatinya mendengar rintihan isterinya itu yang mula teresak-esak menangis di hadapannya.
"Aku dah tahu semuanya,.. Sekarang aku nak dengar dari mulut kau sendiri.. Mana anak kita, Taehyung.."
Tanpa dipinta, setitis air mata lelaki itu mengalir tika soalan itu ditujukan padanya. Kini setitis demi setitis air matanya jatuh membasahi pipi.
"Anak kita dah tak ada, Haneul.." Bergetar suaranya tika mengucapkan kata-kata itu, tangisannya cuba dikawal.
"Dia cuma bertahan 13 jam lepas lahir.. Doktor cakap jantung dia berlubang.. Aku sendiri yang kebumikan dia sebelum kau bangun, aku sendiri yang tak nak bangunkan kau dan aku sendiri yang minta mama dengan papa rahsiakan hal ni dari kau." Tenang Taehyung bersuara, tak mahu isterinya itu menyalahkan ibu dan ayah mentuanya.
"Aku sempat jumpa Mansae masa dia masih hidup, aku sempat borak dengan dia, aku sempat dukung dia, pegang, peluk, cium dia.. Aku minta maaf sebab aku tahu, kau yang selayaknya dapat buat semua tu, bukan aku.."
"Aku tak tipu bila aku cakap dia handsome macam aku.. Tapi setiap kali tengok muka dia, dia mengingatkan aku pada kau.. Mama, Papa pun cakap benda sama.. He's a little version of you.."
Dengan air mata yang mengalir perlahan, semuanya diceritakan pada isterinya.
"Dan aku juga tak tipu bila aku kata kain bedung yang aku bagi pada kau tu adalah kain bedung yang Mansae pakai. Dia pakai kain tu masa kali terakhir aku dukung dia.. Dia meninggal dalam dakapan aku.. "
"Aku minta maaf,.. sebab tak bangunkan kau untuk jumpa dengan dia.. Sampai sekarang aku menyesal Haneul.."
Lantas pisau di tangan Haneul jatuh berdenting di atas lantai. Yang terdengar kini hanya esakan isterinya yang menyesakkan dadanya. Depan matanya sendiri, Taehyung melihat isterinya itu melutut di atas lantai, menangis semahu-mahunya.
Lambat-lambat Taehyung turut sama melutut di hadapan isterinya itu. Pisau di atas lantai diambil lalu diletakkan di atas kabinet dapur di sisi mereka lalu wajah isterinya itu ditatap sayu.
"Kalau kau marahkan aku, pukul aku, sakitkan aku, jangan sakitkan diri kau, Haneul.."
Kemejanya dibuka dari tubuh sebelum diikat pada pergelangan isterinya. Dirinya tak lagi menangis namun hatinya turut sama menangis mendengar tangisan isterinya saat itu. Lengannya yang dirasakan kebas itu dibiarkan.
"Masa aku bawa Mansae dekat kubur, kulit dia putih, bersih, comel sangat. Pipi dia merah, bibir dia pun merekah merah. Cantik sangat walaupun dia lelaki. Kening dia lebat macam kening aku. Hidung dia, bibir dia, macam aku. Jari tangan, kaki dia, semua cukup. Aku boleh dukung dia dengan hanya dua telapak tangan aku, kecil sangat sampaikan menggigil tangan aku masa bawa dia.."
Perlahan Taehyung bercerita seraya masih menunduk. Tangisan Haneul juga semakin lama semakin mereda mendengar cerita suaminya itu yang tenang.
"Masa aku kuburkan dia, hari tu hujan.. Bagaikan langit ikut sama menangis melihat betapa kecilnya penghuni syurga yang baru.. Masa aku tatap wajah dia untuk kali yang terakhir, bibir dia bagaikan sedang tersenyum.. Seolah-olah dia tahu dia dah dijaminkan syurga sebaik saja dia tinggalkan kita.."
Cerita Taehyung lagi seraya mengangkat muka memandang isterinya, senyuman hambar terukir di bibirnya.
"Aku minta maaf Haneul kalau kau rasa hidup kau malang sejak dari awal kau jadi isteri aku.." Tutur Taehyung perlahan dengan matanya yang mula dirasakan kembali panas dan membahang tika menatapnya isteri itu.
"Tapi Demi Tuhan, menjadi suami kau dan ayah kepada anak-anak kita adalah anugerah yang terindah buat aku.. Walaupun kalau aku tahu dari awal macam inilah perjalanan hidup kita, aku akan tetap pilih untuk bersama dengan kau.."
Pipi isterinya itu dielus lembut, menghapus air mata isterinya itu dengan genangan air mata wujud memenuhi tubir matanya. Sebak hatinya mengenang nasib yang menimpa isterinya itu satu demi satu.
"Walaupun Mansae dah tak ada, kau masih ada aku, Haneul.."
"Kau boleh bencikan aku sekarang, kau berhak untuk rasa semua tu lepas apa yang aku dah buat pada kau tapi aku nak kau tahu, sampai bila-bila, aku sayang kau.. Sebenci mana pun kau pada aku, masih ada rasa sayang dan cinta aku buat kau.."
Bergetar hatinya tika mengungkapkan kata-kata itu buat isterinya. Runtun hatinya saat melihat isterinya itu bagaikan jasad tanpa nyawa, hanya diam.
Terdiam Taehyung, hanya membiarkan tika isterinya itu bangun dari terus melutut di hadapannya sebelum wanita itu mengatur langkah perlahan meninggalkannya sendirian.
Matanya dipejamkan perlahan, membiarkan air mata lelakinya mengalir setitis membasahi pipi. Ngilunya hati dirasakan saat wanita yang dia paling cintai kini adalah manusia yang paling membencinya.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top