34

.
.
.

"Macam mana dengan Haneul?"

"Masih rehat, Mama. Taehyung tak nak ganggu dia tidur." Tersenyum halus Taehyung menjawab soalan ibu mentuanya itu. Walaupun hatinya sendiri risau melihat isterinya itu yang tidurnya terlalu nyenyak bagaikan tidak sedarkan diri.

Tuan dan Puan Min hanya mengangguk perlahan. Dalam hati meratapi nasib anak menantunya itu.

"Taehyung dah tengok anak kamu dengan Haneul?"

"Dah, Ma. Baru tengok dia dekat wad tadi. Tae ada ambil gambar dia, nak bagi Haneul tengok nanti. Mama dengan Papa nak tengok?" Cerita Taehyung dengan senyuman seraya menunduk, mengeluarkan telefon pintarnya dari dalam poket seluar.

Sempat Tuan dan Puan Min dengan senyap berbalas renungan, sebak sendiri melihat menantunya saat itu. Dapat mereka rasakan betapa sayangnya menantu itu pada satu-satunya anak perempuan mereka itu.

Tersenyum sendiri Taehyung melihat semula gambar-gambarnya bersama Mansae tadi sebelum telefon pintarnya dihulurkan pada ibu dan ayah mentuanya.

Lantas Tuan dan Puan Min turut sama tersenyum, setitis demi setitis air mata Puan Min mengalir menatap wajah cucu sulungnya itu. Tuan Min yang melihat hanya mampu menahan air mata lelakinya, bahu isterinya diusap lembut dan perlahan.

Taehyung yang melihat hanya mampu tersenyum hambar. Tahu apa yang dirasai ibu dan ayah mentuanya saat ini. Dia sendiri sudah puas menangis sendirian malam tadi, tika tiada siapa yang mendengar mahupun melihat. Segalanya dipendam dan dilepaskan sendiri.

"Kim Taehyung."

Lantas mereka semua serentak mengangkat kepala. Terlihat Tuan Kim sudah ada di depan mereka bersama Puan Kim di belakangnya, seolah-olah dia sendiri terpaksa untuk berada di situ bersama suaminya.

Sempat Tuan Kim menunduk hormat seraya tersenyum pada besannya sebelum fokusnya kembali pada anak sulungnya itu.

"Macam mana isteri dengan anak kamu?" Soal Tuan Kim peduli. Lantas Taehyung bangun, tubuh ayahnya itu dipeluk.

"Haneul tengah rehat, baby masih dekat NICU. Omma,.." Perlahan Taehyung memanggil ibunya itu, tahu hubungannya dengan ibunya itu sudah tak serapat dulu.

Bila dia sendiri membuat keputusan untuk lebih memihak pada isterinya tika mana ibunya memilih untuk bersengketa dan menjauh hati dari mereka.

Nak tak nak Puan Kim membiarkan anak sulungnya itu menyalami tangannya, mengucup lembut kekura tangan tua itu.

"Omma dengan appa nak tengok anak Taehyung—"

"Tak payah."

Terdiam Taehyung tika laju saja ibunya memintas pertanyaannya.

"Kalau nak lawat Haneul, Haneul belum bangun lagi."

"Siapa datang sini nak lawat dia?"

"Sudah." Tegas Tuan Kim bersuara seraya menoleh, merenung tajam isterinya itu.

"Kamu bersabar ya, appa doakan isteri dengan anak kamu baik-baik saja nanti." Tenang Tuan Kim bersuara seraya kembali memandang anak sulungnya itu. Bahu Taehyung digenggam lembut. Taehyung hanya tersenyum hambar seraya mengangguk perlahan.

"Bila dah jadi macam ni barulah ingat kita mak bapak dia ni. Cuba waktu tengah bahagia, mana nak ingat kita?" Selamba Puan Kim memerli seraya berpeluk tubuh.

"Sudahlah tu. Awak kalau tak ada benda elok nak cakap, awak duduk dekat dalam kereta. Anak kita tengah ditimpa musibah, masih nak tunjuk perangai budak-budak kamu tu?" Marah Tuan Kim, intonasi suaranya masih cuba dikawal memikirkan yang kini mereka berada di hospital dengan besannya yang tampak serba-salah memerhati.

"Itulah padah dia kalau lebihkan isteri dari mak, bapak sendiri. Balasan buat isteri dia sebab regangkan hubungan kami anak beranak. Biar dia rasa."

"Omma."

Bila ibunya mencacinya dia masih boleh diam dan bertahan tanpa melawan tapi bila kata kesat yang keluar dari mulut ibunya adalah untuk isterinya, dia tak mampu berdiam lagi.

"Saya diam sejak tadi sebab saya masih ada rasa hormat buat omma tapi itu tak bermakna omma boleh cakap isteri saya sampai macam tu sekali. Dia tak pernah regangkan hubungan Tae dengan omma. Tiap hari, dia pujuk Tae untuk pujuk omma, tiap hari dia minta maaf dengan Tae sebab dia rasa dialah punca kita jadi macam ni.."

"Tiap hari dia tanya Tae, omma benci dia atau tidak.. Kenapa omma tak nak jumpa dia, dia nak sangat jumpa omma, dia nak minta maaf,.. Semua dia luahkan pada Tae cuma omma, omma yang tak nak ambil tahu tentang dia.."

Wajah ibunya itu terlihat kabur di pandangannya. Sebak hatinya setiap kali bercerita tentang isterinya itu. Tidak boleh menerima bila ibunya sendiri mengatakan nasib malang yang menimpa isterinya saat ini merupakan 'balasan' buat isterinya. Baginya, isterinya itu sebaik-baik bidadari..

"Dah terlalu banyak yang dia lalui, omma.. dah terlalu banyak yang dia korbankan untuk Tae.. Tae minta pada omma, Tae merayu pada omma.. Tolong jangan benci dia.." Pintanya dengan sepasang matanya yang berkaca menahan air matanya dari jatuh.

Puan Kim yang mendengar hanya diam walhal hati seorang ibunya dirasakan luluh. Tak semena-mena matanya turut sama dirasakan panas dan membahang.

Perlahan-lahan Taehyung menoleh tika terdengar telefon pintarnya yang sejak tadi di tangan ibu mentunya berbunyi. Langkahnya diatur menghampiri Puan Min sebelum huluran telefon pintarnya itu dicapai lalu panggilan telefon itu diangkat.

"Selamat tengah hari, ini Encik Kim Taehyung, suami kepada Puan Min Haneul dan ayah kepada Kim Mansae ke?"

"Ya, saya."

"Saya jururawat dari unit wad NICU, boleh Encik datang ke sini segera?"

.
.
.

"Keadaan anak Encik makin lemah, kadar denyutan jantungnya semakin perlahan. Kami tak dapat lakukan pembedahan pada anak Encik kerana keadaannya yang tak stabil, terlalu banyak komplikasinya nanti andai diteruskan."

"Jadi apa pilihan yang saya ada.."

"Maafkan kami, Encik.. Kita tiada pilihan lain selain lepaskan baby pergi.. Sekarang ini pun dia hanya bergantung pada alat bantuan dan sokongan. Kadar degupan jantungnya pun semakin lemah."

Hampir luruh jantungnya tika kenyataan itu bagaikan bebanan yang memberatkan kedua-dua bahunya saat ini. Sungguh hatinya tak lagi kuat untuk berdepan dengan dugaan dan rintangan yang datang menjengahnya silih berganti.

"B—bagi saya masa untuk fikir.." Pintanya dengan kedua-dua kakinya bagaikan tak lagi berpijak di bumi nyata.

"Taehyung.." Terdengar suara ibu mentuanya memanggil namanya lembut. Sayu hati wanita itu melihat menantunya yang tampak bagaikan putus harapan, hanyut dengan dunianya sendiri.

Akhirnya tubuh tinggi lampai menantunya itu dipeluk. Untuk seketika Taehyung hanya membiarkan sebelum lambat-lambat tubuh tua ibu mentuanya yang sudah dianggap seperti ibu kandungnya sendiri sejak dia dan Haneul sama-sama di bangku sekolah dulu itu dipeluk. 

Saat ini, dia betul-betul memerlukan pelukan hangat seorang ibu untuk menenangkan hatinya yang tak henti-henti diduga.

Matanya dipejamkan, menangis tanpa suara di bahu wanita yang melahirkan isterinya ke dunia itu.

"Apa saya perlu buat, mama.." Rintihnya dengan air mata. Tiada lagi seorang ibu kandung yang ingin mendengar rintihannya, segalanya diluahkan pada ibu mentuanya.

"Apa akan jadi pada Haneul nanti.. Saya tak nak dia sedih lagi.."

Walau hatinya turut sama disayat pilu dengan perkhabaran itu, dia tetap lebih mementingkan soal hati dan perasaan isterinya. Untuk kesekian kali, mereka bakal merasakan sebuah kehilangan..

Baru sebentar tadi dia berbual dengan malaikat kecil itu, satu nyawa yang dihadirkan di dalam rahim isterinya walau hanya untuk sementara. Baru sekejap tadi, dia berbalas senyuman dengan si kecil itu. Merasakan sendiri genggaman jari-jemari kecil itu di tangannya. Membiarkan bau syurga itu menyapa pucuk hidungnya.

Tak adil buatnya bila isterinya sendiri, ibu kepada anaknya itu sendiri, tidak berpeluang untuk semua itu.. Melihat sendiri wajah anak mereka untuk kali yang terakhir..

"Lepaskanlah Mansae pergi, Taehyung.. Kasihankan dia.. Dia dah cuba bertahan untuk kamu dengan Haneul tapi kalau dah tertulis hanya sampai sini saja dia mampu bertahan, biarkan dia pergi.."

"Dia kecil lagi mama.." Bergetar suara lelaki itu menahan sebak. Matanya yang basah dengan air mata itu menatap sayu anaknya yang terbaring kaku di dalam inkubator di ruang dalam NICU itu. Matanya dipejam lagi, tak sanggup untuk terus melihat.

"Dia hanya sebesar telapak tangan saya, ma.." Bagaikan anak kecil, dia berbicara dengan tangisan.

"Haneul tak sempat tengok dia, mama.."

"Jangan kejutkan Haneul, jangan bagitahu dia.. Biarkanlah dia berehat.. Kita tak nak tengok dia sedih lagi kan?" Pinta Puan Min dengan tangisan. Terasa berat bebanan di hatinya memikirkan nasib malang yang menimpa anak tunggal kesayangannya itu.

"Apa yang perlu saya beritahu pada Haneul kalau dia bangun nanti, Mama.. Taehyung tak kuat, Mama.. Mesti sekarang dia tengah mimpikan anak kami dengan harapan bila bangun nanti, anak kami ada dengan kami.. Taehyung tak nak tengok dia putus harapan lagi.."

Bersungguh-sungguh dia berbicara walaupun dadanya dirasakan sesak menahan rasa hiba yang mengilukan hati.

"Mama tahu, Taehyung pun tahu, Haneul kuat.."

Masih kuatkah wanita itu jika diuji berulang-ulang kali? Terlalu berat ujiannya kali ini..

"Kalau dia tak kuat sekali pun, kamu kena kuat untuk dia ya?"

Taehyung terdiam, dia sendiri tidak pasti sama ada dia cukup kuat untuk menghadapi semua itu. Sebelum perlahan-lahan dirinya mengangguk.

.
.
.

Perlahan-lahan Taehyung duduk di atas kerusi itu, menunggu jururawat membawa Mansae kepadanya. Permintaan terakhirnya buat anaknya itu, ingin memangku si kecil itu untuk kali yang terakhir.

Air matanya cuba ditahan, tak mahu air matanya mengalir di saat-saat terakhirnya bersama malaikat kecilnya itu. Tersenyum dia tika jururawat menyerahkan si kecil itu padanya.

Perlahan-lahan dia menyandarkan tubuhnya pada belakang kerusi itu, membiarkan tubuh kecil itu terbaring lemah di dadanya. Sayu hatinya tika sepasang mata bayi itu merenungnya lemah namun hatinya cuba dikuatkan.

"Kita jumpa lagi, anak mama dengan papa.." Perlahan Taehyung bersuara, telapak tangan kecil itu digenggam lembut sebelum dia hanya tersenyum tika jari-jemari Mansae lebih tangkas, mengenggam lembut jari kelengkengkanya.

"Sakit ya? Papa minta maaf.." Pintanya tika mendengar suara bayi itu merengek kecil dengan matanya yang semakin lama semakin terkatup rapat.

"Tunggu Mama dengan Papa dekat syurga ya? Terima kasih sebab pernah hadir dalam hidup Papa dengan Mama, Mansae-ah.."

Wajah si kecil itu mula terlihat kabur di pandangannya saat tubir matanya semakin sarat dengan air mata. Terlalu banyak kenangan manisnya bersama si kecil itu walaupun tak sampai sehari mereka bertemu..

"Tidurlah, Papa teman sampai Mansae tidur.." Punggung anaknya itu ditepuk-tepuk perlahan, mendodoikannya tika melihat anaknya itu mula memejamkan mata. Genggaman jari-jemari Mansae di jadi kelengkengkanya turut dirasakan kian melonggar.

"Mainlah di taman syurga sementara Papa cuba bahagiakan Mama dekat sini. Sampai masanya nanti kita main sama-sama, ya? Doakan Mama dengan Papa kuat dekat sini lepas kamu pergi ya?"

Sebak hatinya tika terdengar suara Mansae menggumam perlahan dengan kedua-dua kelopak matanya sudah terpejam rapat.

Tuhan, hatinya dirasakan tidak kuat saat melihat sendiri dada si kecil itu turun naik terlihat payah mengatur nafas, semakin laju sebelum perlahan-lahan terhenti.

Matanya dipejamkan, air mata yang cuba ditahan akhirnya pecah. Tubuh kecil itu dipeluk dengan tangisan. Membiarkan pipi si kecil itu menyentuh pipinya yang basah dengan air mata. Tuhan, beratnya dugaan ini.

Hanya 13 jam, Tuhan meminjamkan nyawa itu untuknya dan isterinya. Kim Mansae, malaikat kecilnya yang pernah menjadi penghuni di dalam rahim isterinya dan pernah ada di dalam dukungannya walau hanya untuk sementara.

Semoga Tuhan menggantikan sesuatu yang lebih baik buat mereka..

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top