ITY 2 BAB 6
ITY2 Bab 6
ENTAH kenapa aku ekori dia dari belakang. Perasaanku masih kurang enak. Pasti ada sesuatu yang dirancang oleh mama dan Yusuff. Padahal masa melawat ada tersisa, nampaknya mereka yang tak sabar nak berbual tanpa aku. Tengok sajalah tingkah Yusuff dengan beri amaran agar aku jangan pedulikan nama Zulaikha.
Seperti firasatku, dua figura yang aku kenali berdiri di sebalik dinding. Berdekatan lif hospital. Aku menyusup ke dalam toilet berdekatan semasa kedua-duanya menghadap satu sama lain. Nampak secebis riak bengang antara mereka. Kerana aku, mungkin?
Pintu toilet aku tutup rapat. Kemudian aku tekap telinga di permukaan pintu itu. Segala resah yang menggunung cuba aku tenangkan kerana besar kemungkinan bilah bicara mama dan Yusuff akan bertanda dengan nama Zulaikha. Aku jamin!
"Mama kenapa sebut nama Zulaikha depan isteri Seif?" soal Yusuff dalam nada yang masih terkawal, namun aku dapat dengar helaan nafasnya berat. Aku bersabar menanti balasan mama.
"Biar dia sakit hati! Mama heran dengan perangai dia. Harta kamu dikejar, tapi anak tak reti pulak nak jaga? Dia tak fikir ke Isha tu bakal jadi pelapis syarikat kamu juga satu hari nanti. Apahal lah bebal sangat dia tu! Tahu menggoda kamu je! Tapi bab jaga anak boleh pulak dia lepas tangan!" Terhenyak dadaku dengan besi konkrit. Tak cukup tuduh aku mata duitan, sanggup pula dia tuduh aku lepas tangan dari menjaga Isha? Tidakkah dia tahu siang malam aku tatang Isha dengan minyak yang penuh. Makan dan minumnya aku jaga dengan rapi.
Hanya kerana dia sakit begini, mama ambil peluang menghina aku seteruk ini? Benci padaku pastu melebihi selautan. Ku kira dia buka hati untuk terima aku sebagai menantu, namun itu hanyalah anggapan aku saja. Atau lebih tepat anganan aku yang terlalu tinggi untuk digapai.
"Apapun alasan mama. Dia tetap isteri Seif. Jangan sebab marah mama tu, mama babitkan Zulaikha yang tak bersalah. Dia dengan Seif dah lama bawa halauan masing-masing. Boleh tak ma jangan babitkan dia lagi? Kesian dia, ma. Sebab Seif, dia merana. Takkanlah Seif nak sakiti dia lagi, ma. Biarkan kami dengan hidup masing-masing. "
Kedengaran seperti ada unsur pembelaan untukku. Tapi, nampak di sini Zulaikha disebut tidak bersalah. Masihkah ada cinta dihati suamiku? Kenapa dia seolah-olah peduli tentang Zulaikha? Ah, benar pun Zulaikha tak bersalah. Aku adalah antagonis dalam keluarga Yusuff. Kenapa aku lupa tentang itu? Tak sedar diri, beginilah jadinya. Mengejar sehingga jatuh terduduk. Tiada siapa akan kasihankan aku jika aku ada terjadi sesuatu kepada aku.
"Seif boleh perbetulkan balik hubungan dengan Zulaikha. Seif, cari balik Zulaikha. Pujuk dia... Sambung hubungan yang terputus tengah jalan, tu."
Kakiku lemah hendak terjatuh. Aku berpaut pada pintu toilet. Menahan dari tersungkur. Air mata turut berlinangan lembut di pelupuk mata. Ternyata mimpiku itu bakal menjadi kenyataan. Ya Allah...
"Ma... Apa ni? Seif dengan Zulaikha dah takde apa-apa. Dia pun tak kan terima Seif sebab Seif khianati cinta dia, ma... Seif tak layak untuk Zulaikha. Dah lah tu, ma. Seif nak balik, nak berehat. Sakit kepala..."
Berdosanya aku. Aku tekup bibir. Yusuff menjadi lelaki jahat kerana aku. Yusuff khianati Zulaikha kerana aku. Perasaan bersalah menghantui aku. Terasa tidak layak menangis sedangkan ada hati yang lebih terluka berbanding aku.
"Zulaikha baik. Hati dia baik. Mama yakin dia terima Seif kalau Seif pandai pujuk. Cukuplah, Seif. Ceraikan perempuan tak sedar dek untung tu! Pemalas! Lebih baik Seif kahwin degan Zulaikha, sama taraf dengan keluarga kita. Budi pekerti pun baik. Jelita, pandai ambil hati mama. Dia sempurna untuk Seif. Mama teringin nak menantukan Ikha." Lantang bicara dari mulut mama. Terasa menusuk ke dalam jiwa, nyilu menghambat hati. Zulaikha jauh sempurna dari aku. Yang paling utama, sempurna di mata mama Yusuff. Dan, aku... Hanyalah parasit dalam keluarga mereka, kan?
"Benda dah jadi. Tak boleh perbetulkan, ma. Biar Zulaikha dengan kebahagiaan dia. Seif pulak ada keluarga dengan Asiah. Nak tau tak nak, Seif dah jadi suami dia yang sah. Baik buruk dia Seif kena terima."
Aku ketap bibir. Terasa diri ini kecil seperti semut. Terasa direndahkan oleh suami sendiri? Kenapa Yusuff berubah begini. Seolah ada nada kesal di setiap butir bicaranya. Dia menyesal ke kahwin dengan aku?
"Mama tak suka menantu hodoh, selekeh macam dia! Kerja pun tak ada. Goyang kaki kat rumah macam mem besar! Padahal harta pun tak ada! Seif nak simpan perempuan tak reti malu macam dia ke? Tahunya menghabiskan duit Seif! Kalau cantik takpe juga. Ini macam apa! Mama yang perempuan ni pun geli nak termuntah tengok muka hodoh dia tu. Seif ni pun buat apa nak ngadap dia lagi? Seif lebih layak dapat Zulaikha. Sempurna serba serbi. Mama pun yakin kalau dia jadi ibu, mesti dijaga rapi cucu mama. Tak macam perempuan pemalas tu!"
Aku membawa diri masuk ke dalam toilet tak sanggup mendengar hibaan dan cercaan yang dilempar oleh mama Yusuff. Aku melepaskan tangisan sendu yang begitu menyesakkan dada. Sampai hati, mama! Kebahagiaan aku, yang aku dambakan bersama Yusuff akan sirna tak lama lagi. Usahaku menggodanya untuk mendapatkan hatinya, bakal tercantas akhirnya. Kerana, dari awal aku tidak layak memiliki hatinya. Aku perempuan tak setaraf. Perempuan hina di mata mama Yusuff! Dan juga hina di mata Yusuff sekarang!
"Padanlah muka kau! Bodoh sangat! Anak pun sakit! Mesti kau ni pemalas macam kat rumah dulu, kan?" Datang saja dalam wad, terus mamaku sembur aku dengan kata-kata keji. Aku dah cukup puas menangis. Biarlah mama memang begitu. Dari dulu tak pernah berkata baik-baik untuk aku. Sebab itu kut, hidupku serba serbi cacat. Lompong sana sini. Dibenci semua orang, dah mama yang kandungkan aku sembilan bulan pun membenci. Inikan orang yang tiada pertalian darah?
"Mama datang naik apa?" soalku lembut, aku hulur tangan untuk salam mama. Dia tak pula sambut. Selalu depan Yusuff je dia sambut salam aku. Mungkin segan dilihat sombong dengan menantu dia. Yusuff tu kan menantu kesayangan dia. Yelah, ada duit dan berharta. Manalah setanding dengan aku yang tak punya apa-apa ini.
"Yusuff hantar aku. Tengoklah suami kau tu lagi berguna dari kau. Kau tu tak berguna sebagai anak. Ingatkan dapatlah ubah perangai bila dah kahwin. Sekali lagi teruk, anak kau pun kau nak bunuh, kan?"
Kejam. Aku menggeleng lemah. Tak pernah ada setitik pun niat untuk menyakiti anakku. Tega benar mama tuduh aku. Dia suka ke anak dia terlihat hina? Ah, bukankah dari dulu aku ini diibaratkan bangkai busuk. Senang-senang diinjak-injak maruah dan tubuhku. Aku ini kan anak tak berguna, tak membawa manfaat buat mama.
"Harta suami kau tu berlambak. Takkanlah kau bebal sangat nak biarkan dia terlepas dari tangan kau? Ke kau bercita-cita nak bercerai dengan dia? Atau kau ada jumpa jantan lain? Menyundal dengan jantan lain?" Mencerlang mata mama. Aku mengertap bibir dengan lebih kuat. Mama memang sangat melampau. Hendak saja aku menghadiahkan penampar ke muka mama. Ingat aku boleh bersabar jika dia fitnah aku ada jantan lain? Turun naik nafasku menghambur amarah.
"Dah lah, mama. Ni wad, bukan tempat nak buat bising. Malu nampak orang." Aku tarik tangan mama. Nurse di sana pun dah pandang banyak kali ke arah kami. Pasti kerana suara mama boleh tahan kuat. Memalukan betul!
Mama rentap tangannya. Dia keluar menonong mendahului aku. Ya Allah, berilah kesabaran dalam hati aku.
Berdiri saja depan wad, mama kembali menghunus bicaranya. Seolah meletakkan aku sebagai perempuan paling tak guna dalam dunia ni.
"Kau tu palit najis kat muka aku, kau tak fikir pulak? Kau tahu tak suami kau pun dah tak mesra dengan aku. Semua ni angkara kau! Bodoh tak bertempat! Lepas ni, kalau kena cerai jangan kau jual body kau lagi dengan dia! Terhegeh-hegeh macam pelacur murahan! Hish, buat malu keturunan aku je! Kenapalah tak mampus saja kau ni dari kecik! Memalukan keturunan aku!" Ditunjal-tunjal dahiku bersama amarahnya yang membuak-buak. Aku terpaksa menelan kepahitan cemuhan mama. Pelacur... Ya, level aku seteruk pelacur mungkin?
"Kalau Siah tahu Siah pun nak mati masa dalam perut mama je. Biar Siah tak malukan mama, kan?" Bibirku bergetar meluahkan rawan di hati. Berkali-kali aku minta nyawaku direntap malaikat maut, namun aku masih berada dalam dunia ini. Bagaimana lagi harus aku lakukan? Ajalku belum sampai.
"Kurang ajar kau, kan!" Sebiji penampar hinggap ke mukaku. Terasa pijar dan memanas. Aku menahan gelora jiwa, berombak-ombak dadaku dihempas tsunami perasaan. Di titik aku berduka kerana anakku sakit, tika itu juga mama Yusuff dan mama mengherdikku tanpa fikir aku sedang berlara. Adakah kejahatan saja terlihat dalam diriku? Tak sedarkah mereka aku sendiri tidak menyangka keadaan Isha akan teruk begitu?
"Kenapa ni, mak?" satu suara menghentikan tangan mak daripada memberi tamparan kedua di mukaku. Aku mengemam bibir, sebak. Mataku menangkap figura tinggi lampai, Yusuff. Wajahnya serius sahaja, dia hampir kami berdua.
Mama kelihatan tak senang duduk. Dia berdiam memerhati suamiku yang sudah menyentuh mukaku. Pipiku diusap lembut, melihat kesan tamparan yang masih merah.
"Kenapa mak tampar isteri Yusuff?"
Aku terasa terharu. Entah mengapa, berlumba-lumba air mata merambu wajah. Aku fikir Yusuff dah tak pedulikan aku. Ternyata masih ada sisa prihatin di matanya. Masih dia peduli aku ini isterinya.
"M... Mak geram dia lawan kata-kata mak. Dia buat cucu mak sakit. Mak sakit hati..." Pandai sekali mama susun kata. Masih salahkan aku.
"Sudahlah, mak. Benda dah jadi. Takkan sebab tu mak nak tampar dia. Dia pun sedih, mak. Bukan mak sorang."
Mendengarkan itu, aku sembamkan wajahku di dadanya. Merangkul tubuhnya. Belakang bahuku disalut lembut, memujuk aku.
"Hm, mak nak jenguk Isha dulu. Kejap lagi mak balik." Ada unsur merajuk.
"Nanti Yusuff hantar mak balik. Mak jangan susah hati. Isha akan sembuh nanti." Putus Yusuff. Aku bangga dengannya, masih melayan mamaku dengan baik. Aku saja yang jahat. Mungkin benar, aku ini tak berguna. Lambat laun pasti aku akan dibuang Yusuff. Bersediakah aku untuk hadapi hari yang mendatang itu?
...
Writer's comment : Sakitnya jadi Asiah 😭
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top