Kau Buat Semuanya Sempurna ( Ateen Khalid)

Anak mata merenung jam di dinding. Serentak itu, telinganya menangkap azan maghrib  berkumandang. Ayana kembali bangun. Kalau dia nak tidur pun, dia perlu solat dulu. Alang-alang tu, baik dia mandi siap-siap. Lagipun, biawak hidup tu tak ada dalam rumah.

Tuala dicapai dan dia keluar dari bilik. Tak lama masa yang dia ambil untuk mandi dan mengambil wuduk. Dia segera tunaikan solat dan berdoa, berbicara dengan Allah. Bercerita... apa yang berlaku padanya hari ini, apa perasaannya hari ini.  Itu membuatkan dadanya berasa ringan.

Hanya pada Allah saja dia bercerita kerana dia tidak punya teman rapat untuk berkongsi masalah. Kawan ada, sahabat… tiada. Kalau cerita pada orang lain pun, bukan semuanya memahami.

Perlahan-lahan dia baringkan badan setelah dia mengaminkan doa. Tangan mengusap perut yang berkeroncong berkali-kali. Ayana mengerekot di atas sejadah.

Tidur. Itu saja yang mampu buat dia lupakan soal makan. Berharap dengan tidur dia boleh lupakan semuanya.

Tapi Ayana silap.

Dia terjaga dan sedar jam sudah menunjukkan pukul 10 malam. Cepat-cepat dia bangun sambil tanggalkan telekung dan keluar dari bilik untuk mengambil wuduk.

Sekembalinya dia dari bilik air, dia segera sarungkan telekung dan tunaikan solat.

Sedang dia mengucap salam, bagai nak luruh jantungnya bila melihat kelibat Nazim ada di dalam biliknya. Lelaki itu sedang bersandar pada pintu sambil memeluk tubuh.

Matanya terbeliak. Ya Allah, macam mana Nazim boleh masuk? Dia terlupa kunci pintu ke tadi?

Belum sempat dia menjerit, tangan kasar Nazim menutup mulutnya dan menolaknya agar baring di lantai. Badan Ayana ditindih. Sebelah tangan Ayana juga tidak mampu bergerak kerana ditekan dengan lutut.

“Dah lama aku sabar dengan kau.” Sebelah lagi tangan Ayana yang masih bebas dicengkam dengan tangan kiri Nazim dan ditekan di lantai. Itu membuatkan Ayana sukar untuk lepaskan diri. Badannya pulak kecil saja jika nak dibandingkan dengan Nazim.

Namun untuk berdiam tidak sama sekali, Ayana meronta dengan kudrat yang ada dan itu menyebabkan makin kuat tangan Nazim menekan mulutnya.

“Kau selalu cabar aku. Kau selalu naikkan darah aku. Dah lama sangat aku geram dengan perangai kau. Selalunya kau sangat berhati-hati. Tapi hari ni aku bertuah sebab kau buat silap. Dan aku balik tepat pada masanya. Kau keluar dan masuk bilik tak kunci pintu. Peluang yang jarang-jarang aku dapat. Takkan aku nak lepaskan, betul tak?”

Ayana mahu menangis tapi dia tidak boleh berdiam macam ni. Dia tidak boleh lemah!

“Kakak kau dah tidur tau. Jadi, kau jangan bising sangat, eh?”

Bunyi telefon bimbit lelaki itu membuatkan tumpuan Nazim padanya beralih pada telefon di dalam poketnya. Itu membuatkan pegangan Nazim menjadi sedikit longgar. Ini peluang Ayana.

Dia menggigit tapak tangan Nazim. Bila lelaki itu mengerang sakit dan melepaskan tangannya... tubuh lelaki itu ditolak dengan sekuat hati.

Ayana sudah tidak fikir panjang, dalam keadaan masih bertelekung, dia berlari keluar dari bilik dan rumah. Barang peribadi seperti dompet dan telefon bimbit pun dia dah tak terfikir nak ambil. Malah selipar pun dia tidak sarungkan. Ayana cuma capai dengan tangan dan berlari keluar. Melilau juga memandang sekeliling, namun saat itu, tiada sorang pun yang kelihatan.

Jadi, dia kalut menuruni anak tangga. Dia takut Nazim mengejarnya sampaikan dia langsung tidak berpaling ke belakang.

Ada masa, dia jugak tidak mampu berfikir dengan waras bila berdepan dengan situasi macam ni. Otaknya tiba-tiba tidak mampu berfikir lagi.

Sekarang dia cuma mahu lari dan pergi.
Mahu jauh dari lelaki itu.

****

Cerita ni sarat emosi...  Heronya nanti charmingggg... 

KAU BUAT SEMUANYA SEMPURNA akan diterbitkan dalam Kompilasi #TheFigter. 6 cerpen 6 penulis 1 novel...

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top