Teaser 3 Hadir Dengan Rindu 🌨️ RINSYA CHASIANI
Bab 2
AKU parkirkan motor berkuasa tinggi kepunyaan Cai di halaman rumah. Pintu pagar kutarik agar menutup laluan utama masuk ke rumah. Motor tu aku pakai pergi dan balik kerja sebab Cai tak guna sejak dia beli kereta Hondanya. Lagipun motor lama aku selalu meragam. Jadi aku bantai pakai aje walaupun Cai dah berkali-kali pesan jangan sentuh ‘awek’ dia.
Dalam rumah ni, sebagai anak sulung, aku ada motto kehidupan. Barang-barang kepunyaan Cai adalah milikku. Barang-barang aku, tak boleh disentuh oleh adik beradik lain. Dan sebab Cai tu setahun muda dari aku, jadi nak tak nak dia terpaksa mengalah. Sebab setiap kali bertikam mulut pun mak dan ayah selalu sebelahkan aku. Cuma akhir-akhir ni ayah bising juga minta aku beli kereta untuk pergi dan balik kerja sebab dia tak sedap hati nampak aku tertonggeng dekat motor besar Cai.
‘Mana orang ada duit, ayah. Cai lainlah. Dia arkitek. Company besar pula tu. Duit berlonggok. Cubalah belanja kakak dia ni kereta sebiji.’
Tak pasal-pasal Cai maki hamun aku minggu lepas sebab aku bagi alasan tu pada ayah. Dia kata dia pun tengah miskin sebab banyak ambil loan.
Apabila aku buka pintu rumah, aku nampak Cai sedang melepak dengan Raziq di depan tv. Main game. Ayah pula tengah tenung skrin telefon pintar dekat kerusi meja makan.
“Baru balik ke?” Ayah menegur masa aku buka kasut.
Aku mengangguk.
Aku pandang ke arah Raziq yang sedang tekun merenung tv. Tiba-tiba aje muncul selepas tiga bulan hilang dari radar. “Kau apa khabar?” Soalku pada Raziq.
Raziq melirik lima saat ke wajahku. Lepas tu dia sambung main game balik. Agaknya takut kalah dengan Cai tapi aku rasa sia-sia aje sebab Cai tu kira dah cukup pro. Hari-hari pun hadap game yang sama.
“Dah makan tak? Kalau belum makan, makan dulu.” Mak muncul dari pintu dapur. Tangan mak pegang dulang berisi sepinggan cucur. Ada teko dan gelas plastik. Teko dan gelas plastik warna biru tu bertahan betul sejak zaman kita orang sekolah dulu. Hairan betul aku.
“Dah tadi, makan dengan kawan-kawan. Ada yang belanja.” Aku duduk di atas sofa berdekatan dengan Raziq. Mak letak dulang di depan kami, di atas meja.
Aku terus ambil satu cucur dan sumbat kat dalam mulut. Sedap betul cucur pisang ni. Rangup. Macam bukan mak yang masak.
“Ziq yang beli cucur ni tadi,” ujar mak sambil pandang ke arahku.
“Makan tu cubalah cuci tangan dulu,” tegur mak apabila aku ambil lagi sebiji.
Aku cuma tersengih membalas teguran mak. Mak ke dapur semula dan muncul dengan sepinggan lagi cucur untuk ayah di meja makan.
Aku ambil teko dan tuang air ke dalam gelas legend kita orang bertiga.
“Nak ke? Mak buat teh.”
“Tuang aje,” balas Cai apabila aku tanya.
Aku tuang penuh tiga gelas. Untuk Cai, Raziq dan aku sendiri.
“Game over!” Cai angkat tangannya tinggi-tinggi tanda kemenangan. Raziq buat muka kosong seperti biasa. Yelah, ni dah masuk ke lima belas ratus tujuh puluh ribu kali dia kalah main game dengan Cai. Nak hairan apa setakat kalah main game.
Cai letak alat main game ke atas meja. Dia ambil cucur dengan senyuman lebar.
Aku jeling Raziq yang sedang membetulkan duduknya. “Dah habis ke shooting kat Penang?”
Dia mengangguk tanpa memandangku. Sia-sia aje tanya soalan dengan mamat ni.
“Eh, haah la. Aku nak tanya hari tu tapi lupa. Betul ke cerita pasal kau dan Raihana tengah hangat bercinta?” Soal Cai.
Aku pun tertunggu-tunggu jawapan Raziq. Aku rasa baru minggu lepas berita pasal Raziq dan Raihana couple. Kebetulan dia orang tengah berlakon dalam drama yang sama, jadi makin ramailah yang duk shipping mereka berdua. Yang aku tahu pasal Raihana ni, dia tua tiga tahun daripada kami. Dan dia pun memang pelakon wanita popular.
Setakat ni tak pernah dengar Raihana ada skandal dengan mana-mana lelaki walaupun umur dia dah patut kahwin dan beranak pinak. Kiranya Raziq dah pecahkan tradisi Raihana lah tu.
“Lawa gila Raihana tu. Tak rugi couple dengan dia.” Aku menambah apabila nampak Raziq seperti teragak-agak nak balas pertanyaan Cai.
Raziq tak menjawab. Dia ambil air yang aku tuang tadi dan minum senyap-senyap.
“Tapi ngerilah. Sebab Raihana tu Malaysia’s sweetheart. Aku tengok setiap kali kau update instagram, peminat Raihana maki-maki kau.” Cai tersengih lebar. Macam suka kawan baik dia kena maki.
“Orang lawa, ramailah yang jadi kipas susah mati. Kadang-kadang mereka anggap artis tu mereka yang punya.” Aku memberi komen sambil memerhati reaksi Raziq yang senyap aje dari tadi. Mungkin dia tak selesa kut kita orang berbual pasal hal peribadi dia.
“Aku naik atas dulu,” ujarku seraya mengangkat beg sandang yang kuletakkan di tepi kaki.
Raziq memandang ke arahku. “Lepaklah dulu.”
“Dah lepak tadi. Sekarang aku nak mandi, nak solat, nak tidur.”
“Pukul 6 solat apa? Awal betul kau nak tidur.” Dia masih memandang wajahku.
“Lah, kan kena mandi dulu sebelum solat?” Aku tak jadi nak bangun.
“Lepaklah dulu.” Dua kali dia buat permintaan.
“Aku duduk kat sini pun kau diam aje. Lagi baik aku duduk dalam bilik.”
Cai tersengih-sengih memerhatikan kami berdua.
“Kau rindu my sister ke? Tu lah jual mahal dari dulu. Sekarang ni my sister tak hairan dekat kau, Ziq.” Cai tergelak.
Aku mengerut dahi. “Bila masa akak jual mahal?” Apa benda Cai ni mengarut? Dia tahu yang aku dan Raziq tak pernah ada apa-apa. Try-try pun tak pernah. Yang aku tahu, Raziq anggap aku ni macam kembar dia, dan aku pula anggap dia macam anak mak aku. Gila apa nak jual mahal dengan adik beradik sendiri?
“Yelah tak jual mahal. Tapi Ziq rindukan akak. Duduklah lama sikit kat sini. Dua bulan kut tak jumpa.” Cai angkat-angkat keningnya.
Aku bangun dari duduk sambil berjalan menuju ke arah tangga. Sebelum tu, sempat juga aku tolak kepala Cai dari belakang.
“Weh, patah kepala aku ni, siap kau kak.” Cai menggertak.
Aku buat tak dengar sambil terus menaiki anak tangga.
Aku toleh ke bawah masa dah kat tengah-tengah tangga, dan aku nampak Raziq tengah termenung walaupun Cai di sisi dia bercakap ini dan itu. Dia ada masalah ke? Aku rasa dia tengah ada problem. Tak apalah, nanti-nanti aku mesej, tanya kat dia.
Tapi selalunya masalah Raziq hanya berkaitan dengan bidang hiburan aje. Gosip dia bertubi-tubi sampai orang gelar dia pelakon playboy Malaysia. Dah 10 tahun berlalu. Sampai sekarang aku tak faham kenapa Raziq pilih bidang ni. Dia keluarkan album masa kami SPM lagi. Jadi kena pergi consert sana sini dan sibuk sampai jarang turun sekolah. Sekolah pun macam bangga sebab yelah salah seorang anak murid tengah hot kat media hiburan. Mujur SPM dia skor.
Tapi skor pun, dia ambil degree bidang sastera. Tak ingat pula aku apa nama course dia. Yang pasti bahagian pembikinan drama ke apa ke... Tak lama lepas tu dia debut jadi pelakon pula. Aku tahu dia ramai follower. Instagram dia aje ada 8 juta follower.
Dan aku tahu dia kaya gila sebab banyak jadi ambassador. Tapi masih juga aku rasa dia tak patut masuk dalam bidang hiburan sebab orangnya agak introvert.
Masa aku tengah bersiap nak mandi, skrin handphone menyala. Sempat lagi aku jenguk WhatsApp. Apabila aku nampak nama Raziq jadi penghantar, aku buka mesej dia.
‘Malam ni temankan aku lepak.’
‘Nak lepak kat mana?’
‘Kat mana-mana.’
‘Ayah aku tak bagi kut. Kecuali Cai ikut.’
Raziq tak balas WhatsApp aku lepas tu. Aku masuk bilik air dan mandi. Apabila aku keluar, aku buka kotak WhatsApp.
‘Taman depan sana aje. Tak boleh ke?’
Aku hela nafas dalam. ‘Okeylah.’
Aku letak telefon kat atas meja dan buka almari. Pakai baju jersi lengan panjang dan seluar tracksuit aje. Mana tahu Raziq nak ajak joging ke.
Aku tunggu sampai isyak barulah turun ke tingkat bawah.
Raziq, Cai dan ayah tengah solat kat ruang tamu. Aku masuk ke dapur untuk cari makanan ringan.
“Dah solat ke?” Soal mak yang tengah cuci pinggan.
“Dah, mak. Dia orang dah makan ke?”
“Baru habis. Sofea nak makan tak? Mak tak panggil makan sebab tadi kata dah makan dengan kawan-kawan.”
Aku mengangguk kepala. “Haah, dah makan. Tapi mulut nak mengunyah pula.” Aku buka peti sejuk dan keluarkan coklat Cadbury. Makan ni pun sedap juga.
“Mak, Raziq ajak keluar,” ujarku.
“Dengan Cai ke?”
Aku menggeleng kepala. “Kat taman depan tu aje.”
Mak lap tangannya setelah menyusun pinggan mangkuk. Mata mak terarah ke wajahku.
“Berdua aje? Ayah tu dah banyak kali pesan, jangan keluar berdua walaupun kau orang berkawan dari kecil lagi.”
Aku menggaru kepala. Betul tu. Ayah bukan tak suka aku dan Raziq rapat. Tapi ada batasnya sebab sekarang masing-masing dah dewasa. Tapi habit lama susah juga nak kikis.
“Kali ni aje. Sebab Raziq macam ada problem besar. Takut jadi stress nanti kalau dia tak luah kat orang.”
“Pasal Raihana tu ya?”
Aku tersengih-sengih. “Tau pula mak yang dia tengah digosip dengan Raihana?”
Mak ikut tersenyum. “Baik-baik jalan berdua. Raziq tu ramai yang kenal.”
Aku mengangguk. “Nanti mak bagitau ayah ek.”
“Yelah...” Mak mengangguk dan keluar dari dapur. “Mak solat dulu.”
Aku ikut keluar daripada dapur.
Cepat-cepat aku keluar dari pintu utama menuju ke motor masa Cai, ayah dan Raziq menadah doa.
Aku lap dan cuci badan motor Cai agar nampak berkilat balik. Dalam 10 minit kemudian, Raziq muncul di muka pintu.
Dia berjalan dengan kedua-dua tangannya dimasukkan ke dalam poket.
“Aku dah cakap dengan ayah kau. Jomlah. Naik kereta aku.” Raziq menuju keluar halaman rumahku untuk ke rumah dia yang betul-betul berada di depan rumahku.
“Uncle ada kat rumah ke?” Soalku apabila nampak lampu dari dalam rumah Raziq terpasang.
“Dia kat KL,” balas Raziq sambil membuka pintu keretanya.
Aku mengekori langkah Raziq dan masuk ke dalam perut kereta import. Merasa jugalah aku duduk di kereta berkerusi dua ni sebab berkawan dengan jutawan muda walaupun aku tak tahu apa jenama kereta pendek ni.
“Apa yang kau nak cerita?” Soalku ketika Raziq memandu.
“Raihana...”
Uish, betul-betul pasal Raihana ke?
Mataku membulat. “Ada kemungkinan ke kita orang bakal dapat ipar?” Aku soal tanpa menunggu ayat seterusnya dari bibir Raziq.
“Dia kata dia sukakan aku,” luah Raziq.
“Untungnya weh, ada orang lawa suka. Kalau aku jadi kau, dah lama aku say yes.”
“Dia ajak kahwin.”
0198817140
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top