Teaser 2 KBSS 🌹 ATEEN KHALID

“Kalau tak nak bagi duit sudahlah tak payah nak membebel dan bagi ceramah dekat aku! Semak betul.”

Tengoklah. Ayana rasa yang kakaknya itu langsung faham dengan apa yang dia cakap. Diibaratkan masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Bukan sekali dia bebelkan kakaknya perihal ini. Tapi dah berkali-kali. Apa yang dapat, habuk pun tak ada. Diperlinya lagi adalah.

Cuma, orang yang bodoh dalam rumah ini, bukan kakaknya saja.
Tapi, dia juga sama. Bodoh sebab tidak pergi dari sini.
Kenapa dia masih bertahan?
Kelibat Anim dicuri pandang.

Sebab dia sayang. Ya, dia sayang kakaknya. Wanita itu saja yang dia punya dalam dunia  ini selepas kematian ibu bapa mereka lima tahun yang lepas. Itu yang mengikat kakinya dari tinggalkan rumah ini. Dia tak sampai hati.

Sayang.
Satu perasaan yang mampu membodohkan seseorang, Jadi, dia tak layak berkata kakaknya bodoh.
Dia bodoh sayangkan kakaknya, dan kakaknya bodoh sayangkan biawak hidup tu.

Mereka berdualah paling tak guna dalam rumah ni.

Ayana kembali teruskan kerjanya. Usai mengutip semua pakaian, dia campak ke dalam raga. Nak basuh pinggan mangkuk, dia malas. Nak buang sampah, tengoklah nanti. Dia dah cukup letih. Dia cuma letakkan semua sampah ke dalam tong dan ikat. Esok pagi, barulah dia buang. Dia sudah tak larat nak turun naik tangga. Dahlah lif asyik buat hal. Mujurlah rumahnya di tingkat tiga saja. Kalau tingkat lima belas, boleh lembik lutut.

Dia terus masuk dalam bilik. Usai pintu ditutup, dia kunci dari dalam. Termasuklah kunci tambahan. Dia tak percayakan Nazim. Dengan cara ini barulah dia dapat tidur dengan aman.

Ayana baring. Nak makan pun, duit yang ada hanya cukup untuknya makan sehari sekali. Dia dah buat kira-kira. Kalau dia beli makanan dua kali sehari, duit yang ada takkan cukup untuk membayar kos lain sampailah dia dapat gaji.

Nanti dapat gaji pun, semua bil dalam rumah ni dia yang kena bayar. Jadi yang tinggal padanya cukup-cukup makan saja. Kerjanya cuma basuh pinggan di sebuah restoran yang menyajikan makanan kampung pada waktu tengah hari sampai petang. Itu saja kerja yang dia mampu cari buat masa ini. Dengan hanya keputusan SPM cukup-cukup makan, dia tidak layak untuk memilih kerja.

Walaupun bosnya berperangai teruk, dia tak mampu nak buat apa-apa. Dia cuma boleh bertahan sementara waktu sambil cuba mencari kerja lain yang lebih stabil. Dah dapat nanti, barulah dia berhambus dari situ.
Anak mata merenung jam di dinding. Serentak itu, telinganya menangkap azan maghrib  berkumandang. Ayana kembali bangun. Kalau dia nak tidur pun, dia perlu solat dulu. Alang-alang tu, baik dia mandi siap-siap. Lagipun, biawak hidup tu tak ada dalam rumah.

Tuala dicapai dan dia keluar dari bilik. Tak lama masa yang dia ambil untuk mandi dan mengambil wuduk.

Dia segera tunaikan solat dan berdoa, berbicara dengan Allah. Bercerita... apa yang berlaku padanya hari ini, apa perasaannya hari ini, apa harapannya selepas ini.  Hanya dengan cara itu yang membuat dadanya berasa sedikit ringan.

Hanya pada Allah saja Ayana bercerita kerana dia tidak punya teman rapat untuk berkongsi masalah. Kawan ada, sahabat… tiada. Kalau cerita pada orang lain pun, bukan semuanya memahami.
Perlahan-lahan dia baringkan badan setelah mengaminkan doa. Tangan mengusap perut yang berkeroncong berkali-kali. Ayana mengerekot di atas sejadah.

Tidur. Itu saja yang mampu buat dia lupakan soal makan. Berharap dengan tidur dia boleh lupakan semuanya.
Tapi Ayana silap.

Dia terjaga dan sedar jam sudah menunjukkan pukul 10 malam. Cepat-cepat dia bangun sambil tanggalkan telekung dan keluar dari bilik untuk mengambil wuduk.
Sekembalinya dia dari bilik air, dia segera sarungkan telekung dan tunaikan solat. Sedang dia mengucap salam, bagai nak luruh jantungnya melihat kelibat Nazim ada di dalam bilik itu. Nazim sedang bersandar pada pintu sambil memeluk tubuh.

Mata Ayana terbeliak. Ya Allah, macam mana Nazim boleh masuk? Dia terlupa kunci pintu ke tadi?
Belum sempat dia menjerit, tangan kasar Nazim menutup mulutnya dan menolak Ayana agar baring di lantai. Badan Ayana ditindih. Sebelah tangan Ayana juga tidak mampu bergerak kerana ditekan dengan lutut.

“Dah lama aku sabar dengan kau.”

Sebelah lagi tangan Ayana yang masih bebas dicengkam dengan tangan kiri Nazim dan ditekan di lantai. Itu membuatkan Ayana sukar untuk lepaskan diri. Badannya pulak kecil saja jika nak dibandingkan dengan Nazim.

Namun untuk berdiam tidak sama sekali, Ayana meronta dengan kudrat yang ada dan itu menyebabkan makin kuat tangan Nazim menekan mulutnya.

“Kau selalu cabar aku. Kau selalu naikkan darah aku. Dah lama sangat aku geram dengan perangai kau. Selalunya kau berhati-hati. Tapi hari ni aku bertuah sebab kau buat silap. Dan aku balik tepat pada masanya.

Kau keluar dan masuk bilik tak kunci pintu. Peluang yang jarang-jarang aku dapat. Takkan aku nak lepaskan, betul tak?”

Ayana mahu menangis tapi dia tidak boleh berdiam macam ni. Dia tidak boleh lemah dan menyerah!
“Kakak kau dah tidur tau. Jadi, kau jangan bising sangat, eh?”

Bunyi telefon bimbit lelaki itu membuatkan tumpuan Nazim padanya beralih pada telefon di dalam poketnya. Itu membuatkan pegangan Nazim menjadi sedikit longgar. Ini peluang Ayana.

Dia menggigit tapak tangan Nazim. Bila lelaki itu mengerang sakit dan melepaskan tangannya... tubuh lelaki itu ditolak dengan sekuat hati.

Ayana sudah tidak fikir panjang, dalam keadaan masih bertelekung, dia berlari keluar dari bilik dan rumah. Barang peribadi seperti dompet dan telefon bimbit pun dia dah tak terfikir nak ambil. Malah selipar pun dia tidak sarungkan. Ayana cuma capai selipar dengan tangan dan berlari keluar. Melilau juga memandang sekeliling, namun saat itu, tiada sorang pun yang kelihatan.

Jadi, dia kalut menuruni anak tangga. Dia takut Nazim mengejarnya sampaikan dia langsung tidak berpaling ke belakang.

Ada masa, dia jugak tidak mampu berfikir dengan waras bila berdepan dengan situasi macam ni. Otaknya tiba-tiba gagal berfungsi.

Sekarang dia cuma mahu lari dan pergi.
Mahu jauh dari lelaki itu. 



0198817140


Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top