Teaser 2 Bukan Cinta Pertama 💙 TULIP UNGU
SEPERTI yang dijangka, mulut emaknya terbuka luas. Terkejut dengan berita yang baru dia sampaikan.
“Apa keputusan Lin?” Soal Puan Aini. Tiba-tiba disapa berita begitu, dia pun tak tahu nak bereaksi bagaimana. Apa pun, semua keputusan terserah kepada anak daranya itu.
“Entahlah mak...” Darlina angkat bahu. Jika difikir, memang sudah layak dia berkahwin. Cuma dia belum bersedia.
“Mak dulu kahwin umur berapa?” Soal Darlina.
“18 tahun.”
Tersedak air yang baru Darlina hirup.
Puan Aini tepuk belakang anak daranya. Bukankah dulu dia pernah cerita kepada Darlina umurnya berkahwin? Lupa lagilah tu. Maklumlah sibuk sangat dengan kerjaya.
“Ya, Lin baru ingat mak cerita dulu.” Balas Darlina. Muda betul usia Puan Aini ketika mendirikan rumah tangga.
“Terimalah Lin, mak selalu risau Lin tak kahwin-kahwin. Lagipun Mirza tu doktor.” Usul Puan Aini. Bukan senang hendak berjodoh dengan doktor. Kecil tapak tangan nyiru dia tadahkan.
Darlina termenung seketika. Dia berfikir.
“Emak restu?” Soalnya lagi.
Puan Aini angguk. Aneh memang aneh tetapi kalau dah ketentuan jodoh, apa cara sekalipun akan datang juga.
Ikan di laut, asam di darat, dalam periuk bertemu jua, bisik Puan Aini dalam hati.
KELIBAT lelaki di sebelah keretanya itu memang buat dia terkejut beruk. Baru habis waktu kerja diterjah pula dengan kehadiran yang tak dijangka. Siapa yang tidak terkejut?
“Dah buat keputusan?” Soal lelaki itu sambil tersengih memandangnya.
Darlina rasa serabut. Baru saja habis mengajar, otak pun belum sempat berehat, dah diganggu oleh lelaki ini.
“Saya belum fikir.” Jawab Darlina sambil membuka bonet kereta. Tangannya penuh dengan buku latihan murid yang hendak dibawa pulang untuk ditanda. Darlina kemudian bergerak ke ruang bonet tetapi lelaki itu mengekori dari belakang. Dia rasa tidak selesa.
“Macam mana boleh lepas masuk ke dalam?” Soal Darlina hairan. Ruang dalam kawasan sekolah merupakan ruang untuk guru-guru dan para staf sahaja. Bagaimana pula lelaki itu boleh terlepas masuk?
“Guard kenal saya, dia bagi masuk.” Mirza tersengih sambil menunjukkan pas pelawat. Nasib baik jaga sekolah itu pernah mendapat rawatan di kliniknya, jadi mudah saja dia dibenarkan masuk.
Darlina geleng kepala. Macam ni pun boleh? Getusnya dalam hati.
“Meh saya tolong Cik Darling masukkan buku dalam bonet.” Pelawa Mirza sambil menyambut buku di tangan Darlina, membuatkan tubuh Darlina tersentak ke belakang.
“Nama saya Darlina.” Tegas Darlina. Dah beberapa kali lelaki itu memanggilnya Cik Darling, sampai dia naik rimas.
“Ye, Cik Darlina Darling.” Mirza sengih, menunjukkan giginya yang tersusun sebaris.
Darlina peluk tubuh. Dia kemudiannya memandang tepat ke wajah kacak doktor itu.
“Doktor tak boleh datang dan kacau saya macam ni, nanti apa pula orang akan kata?”
Dia bimbang sebenarnya, kalau ada mata yang memandang, susah dia nanti. Nasib baiklah hari ini dia menjadi orang terakhir yang meninggalkan sekolah. Lagipun, sekolah ialah kawasan larangan untuk orang luar masuk sesuka hati. Dia tidak mahu disebabkan lelaki itu, namanya buruk pula nanti.
“Kalau tak nak saya datang dan kacau, tolong setuju. Terima saya jadi suami. Boleh?”
Sekali lagi Darlina rasa geram. Nak kata bodoh, lelaki ini seorang doktor. Tetapi gelojohnya tak boleh nak bawak berbincang.
“Apa yang saya dapat kalau kahwin dengan doktor?”
“Awak dapat saya.” Mirza sengih lagi.
Darlina julingkan matanya ke atas. Jawapan Mirza buat dia rasa hendak luku saja kepala doktor kacak itu.
“Bagilah saya masa seminggu. Lepas tu saya bagi jawapan.” Janji Darlina. Biar dia fikir masak-masak dahulu.
0198817140
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top