Teaser 1 KBSS 🌹 ATEEN KHALID

Bab 1

SAYUP-SAYUP kedengaran suara tengkingan, makian silih berganti di antara lelaki dan wanita. Langkah Ayana terhenti pada anak tangga terakhir yang didaki. Anak mata terarah dari mana datangnya suara itu.

Dari luar, nampak keadaan rumah flat itu seperti kebanyakan rumah lain. Namun hakikatnya, tiap-tiap hari ada ribut yang melanda.

Dia pusingkan badan dan mengambil keputusan untuk duduk di anak tangga. Dia malas nak masuk ke dalam rumah buat masa sekarang.

Letih mental apabila terpaksa melihat semua itu setiap hari, jadi dia memilih untuk rehatkan mindanya hari ini.

Sedang dia asyik termenung, ada beberapa penghuni rumah flat yang sedang mendaki anak tangga menjeling ke arahnya.

Ayana tunduk. Malu pada orang lain yang turut dengar pergaduhan di dalam rumah itu, tapi dia buat tidak peduli saja. Semua penghuni flat sudah tahu siapa empunya suara itu. Dia juga sudah sedia maklum, memang setiap hari, mereka akan menjadi buah mulut jiran tetangga.

Malah jiran-jiran pun sudah mengambil sikap tidak mahu ambil peduli. Mana tidaknya, pernah sekali ada jiran yang menegur.
Nah… dipukulnya orang itu.

Apatah lagi yang tinggal di sini juga masing-masing punya masalah sendiri. Jadi, untuk mencampuri urusan orang lain, memang tidaklah.
Lamunan Ayana terbang apabila terdengar bunyi pintu dihempas kuat. Suara tengkingan pun berhenti diganti dengan jeritan dan tangisan.

Nafas dihela perlahan. Memang begitulah pengakhirannya.
Dia bangun dan berpaling, namun belum sempat dia melangkah, dia bertembung dengan lelaki yang paling dia benci. Ayana mendengus.

“Eh, kau tak malu ke ada kakak tak guna macam tu?” Nazim mengeluarkan rokok dan dikepitnya di mulut. Tangan meraba poket, mencari pemetik api.

Segaris senyuman sinis terbit di bibir Ayana. Dia memerhati Nazim yang sedang seronok menghembus asap rokok padanya dengan penuh rasa benci.

“Aku lagi malu ada biawak hidup dalam rumah aku. Jadi kau tak de hak nak kata kakak aku tak guna. Kau tu berganda tak guna. Dah tu perangai pun macam setan.” Ayana mahu melangkah namun pergelangan tangannya digenggam kuat membuatkan pergerakkan dia terhenti. Wajahnya berkerut menahan sakit.

“Kau ni nak kena dengan aku ke, hah? Mulut kau tu jaga sikit. Macam-macam aku boleh buat dengan kau ni! Tahu tak?”

“Kau nak buat apa? Nak pukul aku, dekat sini? Pukullah. Kau depan perempuan ja jadi jantan, depan orang lain bukan kau berani.” Ayana melawan. Dia tidak boleh nampak lemah. Nanti kena pijak!

“Ei...” Nazim angkat tangan yang masih bebas, berkira-kira mahu menampar pipi mulus Ayana namun pergerakkannya terhenti apabila dia ternampak kelibat orang lain tidak jauh dari situ. Dia ketap gigi sebelum mendengus.

“Apa tengok-tengok? Teringin nak rasa penumbuk aku? Eh, pergi berhambus sana, jangan nak menyibuk hal orang!” Laung Nazim. Pantang betul jenis manusia yang asyik menyibuk ni. Tengkingannya membuatkan orang itu mula menjauhkan diri.

“Kau… tengoklah nanti apa aku buat! Kau tunggu...” Gumam Nazim perlahan apabila melihat orang itu seperti ketakutan. Bibirnya tersenyum sinis. Dia melepaskan tangan Ayana dengan kasar dan terus melangkah pergi dari situ.
Kelibat Nazim hanya diekori dengan lirikan mata.

“Jantan tak guna,” bisik Ayana perlahan. Dia teruskan langkah. Setibanya dia di depan pintu, langkahnya mati. Ayana menarik dalam nafas dan menghembusnya perlahan. Dada ditampar berkali-kali, mahu mengurangkan rasa sesak yang dia rasakan. Mahu kuatkan diri sebelum dia melangkah masuk.

Matanya melilau memandang keadaan rumah. Semuanya berselerak. Dia tunduk mengutip baju yang berada di hujung kakinya dan dibawa ke ruang tamu. Rumah seperti tongkang pecah. Mata dipejam rapat.

Letih.
Penat.
Mental dan fizikal.
Rumah sepatutnya menjadi tempat yang paling selesa. Untuk beristirahat, untuk melepaskan lelah seharian bekerja di luar. Tapi rumah ini, tak ubah macam penjara. Buat dadanya semakin berat dengan hanya memandang.

Derap tapak kaki menghampiri membuatkan Ayana kembali mencelikkan mata. Kelibat kakaknya, Anim dipandang sekilas.
Serabut, sama seperti keadaan dalam rumah ini sekarang. Ayana dapat menangkap kesan merah di pipi kakaknya itu.

Dia hanya mampu menggeleng kepala. Ayana langsung tidak bersuara dan hanya tunduk mengutip baju, seluar. Tin kosong juga dikutip dan diletakkan bersama bekas makanan yang berada di atas meja. Disebabkan sisa makanan terbiar tidak berkemas, rumah ini dah berbau lain macam.

Masam. Busuk.
“Aku nak pakai duit sikit. Kau ada duit tak?”

Soalan itu buat Ayana mendengus. Nampak muka dia aje, soalan itu yang ditanya.
“Jangan tanya aku. Aku ni makan pun belum.”

“Eh, bos kau tu kedekut sangat ke tak bagi makan dekat pekerja? Dia ada restoran. Setakat bagi makan sepinggan, tak rugi pun.”

“Dah dia kedekut, aku boleh buat apa? Yang kau ni, kalau tau tak ada duit... jimat! Yang mengada pergi beli air tin ni kenapa? Beli makanan luar. Masak tak boleh ke? Air kosong kan ada, minum ajelah yang tu!”

“Hoi, tu bukan aku!”

“Dah tu kau bagitahulah biawak hidup yang kau bela tu! Hidup menyusahkan orang! Fikirkan tekak dia aje. Kerja tak nak. Tapi makan nak sedap-sedap. Tak guna. Tak sedar diri!”

“Oi, tu suami aku, tau? Kau jangan nak lebih-lebih mengata dia! Aku tak izinkan.”

Baju yang ada di tangan dihempas ke lantai. Akhirnya Ayana bertentang mana dengan Anim.

“Peduli apa aku dengan kau punya izin ke tak? Jantan macam tu tak layak dipanggil suami. Kau jangan jadi bodoh sebab dia! Apa yang dia buat dekat kau tiap-tiap hari?” Ayana mengangkat tangannya. “Tengking, maki, pukul, mintak duit!” Satu persatu jari diturunkan ketika menyebut perkataan itu.

“Tu pun kau tak serik-serik. Tu pun kau masih bela dia. Ini bukan cinta tapi ni gila! Kau tu gila! Tak mati pun kalau bercerai. Silap hari bulan, kau tu yang mati sebab tak nak bercerai!
Anim membalas kata-kata itu dengan jelingan. Dia mencebik bibir.


0198817140

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top