Teaser 1 Hadir Dengan Rindu 🌨️ RINSYA CHASIANI
Prolog
“SERIUS ke? Bukan scammer ke Ziq?” Aku tenung wajah Raziq. Kutlah dia kena scam, tak pasal-pasal menyesal pula nanti.
“Dia orang nak scam aku untuk apa?” Raziq meletakkan kepalanya di atas meja. Cap yang ada di tangan diletakkan menutup muka. Aku tarik cap tu tanda masih mahu meneruskan perbualan kami tentang kontrak yang bakal dia tandatangani petang ni.
“Okey, aku tukar soalan. Kau betul-betul bulat hati ke nak jadi penyanyi?”
Raziq mengangkat kepalanya. Dia mengambil semula capnya dari tanganku.
“Betullah.”
“Tahun ni kita SPM. Kau cakaplah dengan syarikat management tu, tunda sign kontrak sampai tahun depan.” Aku memberikan cadangan.
Bukan apa, Raziq kira budak pandai sekolah. Dia ketua pengawas, dia juga bintang sekolah kami. Setiap kali pertandingan perbahasan, syarahan, dan lain-lain, memang dia digeruni oleh sekolah lain. Jadi aku fikir mesti dia nak kejar bidang akademik berbanding dunia glamour. Lagipun menyanyi ni bukannya boleh jadi popular betul-betul. Kutlah jadi penyanyi suam-suam kuku ke.
“Aku tak nak lepaskan peluang ni.”
“Rugi kau tak jadi doktor.” Aku tarik kerusi meja sebelah yang kosong di sebelah Raziq. Duduk dekat sikit dengan dia.
“Aku tak minat.”
“Tapi kau pandai.” Aku terus mengasak.
“Kau ni macam abah aku jugak.” Dia menjuih bibir.
“Abah kau setuju ke kau sign kontrak?” Dahlah abah dia pun doktor. Aku selalu dengar Uncle Nuh kata dia memang nak Raziq masuk bidang perubatan. Mesti kecewa orang tua tu apabila Raziq nak jadi artis.
“Setujulah. Aku under age, mana boleh sign sendiri. Penjaga kena ada untuk sign sama-sama.”
Aku lebih terkejut dengan jawapan bersahaja Raziq. Agaknya dia gunakan kelebihan berdebat untuk buat Uncle Nuh setuju dengan keputusan tu. Sebab kalau aku jadi abah dia, memang aku tak setuju. Mujur aku bukan abah dia.
“Bila abah kau nak ambil?” Soalku. Jam kat dinding kelas kupandang sekilas. Nak masuk waktu prep, pukul 2 petang.
Masa rehat tadi, aku yang minta Raziq untuk jumpa kat kelas ni sebelum waktu prep bermula.
“Pukul 3.”
“Cikgu-cikgu tahu ke?”
“Banyak betul soalan kau ni.” Raziq menghela nafas panjang. Dia menyandar di bangku kayu.
“Yelah, kau mesti terangkan kat aku supaya aku faham. Dulu kita janji nak jadi doktor sama-sama. Tiba-tiba kau berubah arah...”
“Kau betul-betul nak jadi doktor ke?” Soal Raziq dengan kening yang hampir bercantum.
Aku tersengih panjang. Sah-sahlah tak. Aku kat kelas perakaunan. Tapi dia ada peluang sebab dia duduk kat kelas ni, kelas sains. Setiap kali peperiksaan, dia dapat nombor 1. Semua mata pelajaran pun dia boleh dapat A tanpa berusaha keras macam aku. Kadang-kadang aku rasa dunia ni tak adil. Ada ke patut insan rajin seperti aku susah nak dapat A, tapi manusia pemalas macam Raziq, tak belajar pun boleh score. Tapi lama-lama, aku faham. ALLAH bagi setiap orang berbeza kelebihan. Tak perlu cemburu dengan rezeki kelebihan yang ALLAH beri pada orang lain apabila diri sendiri kurang bersyukur dengan kelebihan yang ALLAH pinjamkan.
Rezeki Raziq, dia menyerlah di mata orang lain. Tapi dari kecil dia dah tak ada mak. Uncle Nuh pula selalu sibuk. Tak ada adik beradik pun. Selalunya abah dia akan singgahkan Raziq ke rumah aku terutama bila Uncle Nuh ada konferens jauh-jauh. Pernah juga dekat dua minggu dia tinggal kat rumah kami sebab abah dia konferens ke Jepun. Kadang-kadang aku kesian dekat Raziq sebab dari kecil dia memang dah berdikari. Masak sendiri, makan sendiri, kemas rumah sendiri, main sendiri...
Kami kenal sejak kecil sebab dia jiran sebelah rumah. Sejak tadika, sekolah rendah sampailah sekolah menengah, aku dah jadi kawan rapat Aryan Raziq. Sampaikan ada orang silap faham dengan hubungan rapat kami.
“Aku jadi apa pun tak da masalah.”
“Jadi, apa masalahnya kalau aku nak jadi penyanyi?” Raziq merenung tajam ke anak mataku.
Aku terkulat-kulat dengan soalannya. Entahlah. Tiba-tiba aku rasa macam dah tak kenal dengan Raziq.
Kata-katanya tadi berbaur amaran. Seolah-olah dia nak bagi tau aku, ‘kau jangan menyibuk dengan hidup aku’.
“Hmmm, lepas kau sign kontrak tu, kau masih sekolah, kan?” Aku mengendurkan suara.
Raziq mengangguk.
“Masih boleh jadi doktor, kan?”
Kali ini dia menggelengkan kepala.
Aku menggaru hujung kening. “Tak pasal-pasal aku yang rasa rugi sebab aku tahu kemampuan kau dari segi pelajaran.”
“Aku tak minat.”
Aku bangun selepas mendengar kata-katanya. “Aku nak masuk kelas. Good luck. Dah jadi penyanyi popular nanti jangan lupa kat aku,” ujarku separuh bergurau.
Dia diam saja. Aku tinggalkan dia apabila ternampak ada beberapa orang pelajar masuk ke blok kelas.
0198817140
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top