Bab 9~[Hari Pertama]


"Tak tidur lagi?"

Schwi menoleh ke arah pintu. Senyuman tipis terlakar di bibirnya.

"Sejak bila kau ambil kisah tentang aku ni?" Sebelah kening dijongket. Wajah tenang Kazu dijeling sekilas.

"Entah la." Kazu duduk di birai katil.

Schwi tidak mengendahkan Kazu. Pandangannya hanya tertumpu pada suasana malam yang dingin dan ditemani rintik air yang masih tidak berhenti. Kawasan rumah juga sudah dikelilingi kabus, memandang sekelilingnya hanya dipenuhi pokok-pokok.

"Kau serius nak ikut aku kerja esok?" Kazu bertanya untuk kepastian.

Schwi memandang Kazu.

"Kau dah banyak soal sekarang ni. Apa yang menyebabkan kau berubah sikap, ya?" Soalan dibalas dengan soalan.

Kazu diam sejenak. Gayanya seperti memikirkan sesuatu yang rumit, walhal soalan itu sangat mudah bagi Schwi.

Lama Schwi menantikan jawapan lelaki itu. Tetapi nampak gayanya, lelaki itu seperti tidak mahu memberikan sebarang jawapan.

Schwi tersenyum sendiri.

"Aku nak ikut kau... Itu pun kalau kau tak keberatan." Schwi menjawab soalan Kazu yang sebelum ni.

Kazu berdiri semula.

"Baiklah. Kalau macam tu, esok jangan lambat. Kalau kau lambat, kali ni aku akan betul-betul tinggalkan kau."

Schwi tertawa kecil. Amaran itu langsung tidak menggoyahkan jiwanya. Malah dianggap sebagai satu jenaka buat dirinya.

"Kau pernah ke tinggalkan aku?" Satu senyuman yang tidak diketahui maksudnya terlakar di bibir gadis itu.

"Aku keluar dulu. Ingat apa yang aku katakan tadi." Kazu sempat memberi pesan sebelum dia melangkah keluar dari bilik Schwi.

Si gadis menggeleng melihat sikap Kazu.

"Lari dari kenyataan ke?" ucapnya sinis.

Pandangan dialihkan semula ke luar tingkap.

Angin dingin langsung diabaikan.

"Cassia rindukan bonda." Tiba-tiba saja kata rindu itu terucap di bibir. Setitis air mata mengalir di pipi.

◈◈◈

0730 pagi

Kazu tersenyum sendiri saat melangkah masuk ke dapur.

Dia mengambil tempat di meja makan.

"Awal kau bangun."

"Adakah itu satu perlian atau pujian?" soal Schwi saat menghidangkan secawan kopi panas buat lelaki itu.

"Kau pilih la mana satu kau nak," kata Kazu bersahaja.

Schwi tersenyum.

"Kopi je ke kau buat untuk aku?"

"Kemahiran aku dah tumpul. Aku dah tak ingat macam mana nak pegang perkakas dapur semua ni." Schwi memberi alasan.

"Alasan kau hebatlah." Kazu menggeleng lalu mencicip sedikit minuman panas itu.

Schwi mengambil tempat bertentangan dengan Kazu.

Matanya memandang tepat pada lelaki itu.

"Lina mana?" Kazu bertanya setelah beberapa kali mencicip kopinya.

"Dekat atas. Kemas biliknya."

Kazu mengangguk.

"Kazu." Schwi memanggil dengan nada suara yang perlahan.

"Ya?"

Mata bertemu kejap.

"Kau tahu tentang aku?"

Kazu tidak menjawab terus. Lelaki itu sepertinya sedang mencari jawapan untuk menjawab soalan itu.

"Kau tahu yang aku ni bukan manusia biasa?"

Masih tiada jawapan.

"Siapa kau sebenarnya?"

Tiga soalan. Tetapi satu pun tidak dijawab Kazu. Lelaki itu seolah-olah tidak mahu berkongsi pandangannya.

Schwi mengeluh. Dia berdiri.

"Aku nak bersiap. Kalau kau nak gerak ke klinik kau tu nanti... Panggil aku, ya."

Schwi berlalu meninggalkan ruang dapur.

Kazu termenung sejenak. Dia memandang air kopi hitam pekat yang disediakan Schwi tadi.

"Pahit," katanya perlahan lalu mencicip lagi kopi itu.

◈◈◈

"Jangan keluar rumah." Kazu berpesan pada Lina.

"Sudah la tu. Lina dah muak dengar ayat yang sama. Jangan risau, Lina tak akan ke mana-mana pun."

Kazu mengangguk.

Schwi pula duduk di luar rumah. Menunggu lelaki itu berbual singkat dengan Lina.

"Schwi."

Schwi terkejut dengan sapaan itu. Baru tadi dia tersengguk-sengguk menahan kantuk, datang pula Kazu yang menyapanya secara mengejut.

'Nasib aku tak lemah jantung,' rungut Schwi dalam hati.

"Kau mengantuk?"

"Mana ada."

Kazu tersenyum sendiri. Bukan dia tak nampak mata si gadis yang memerah kerana menahan ngantuk.

"Kalau macam tu, jom lah kita berangkat sekarang."

Schwi mengangguk. Dia berdiri lalu mengibas belakang bajunya.

"Jaga rumah!" Jerit Kazu memberi pesan pada Lina.

Lina melambaikan tangan.

Sebuah portal terbuka dan mereka berdua melangkah masuk.

Tak sampai beberapa minit, mereka berdua sudah tiba di hadapan klinik Kazu.

Kazu mengeluarkan segugus kunci. Kunci dimasukkan ke dalam perumah lalu dipusingkan.

Bunyi kunci terbuka menyapa telinga.

Pintu ditolak dan Kazu yang pertama melangkah masuk. Schwi hanya mengekori langkah Kazu dari belakang.

"Kau kemas bilik pesakit. Aku nak periksa bekalan herba dekat belakang." Kazu mula mengeluarkan arahan dan memberikan tugasan yang pertama buat Schwi.

Schwi mengangguk akur.

Dia memasuki sebuah bilik yang pertama.

Di dalam bilik itu terdapat enam buah katil yang saling berhadapan. Setiap satu katil dipisahkan dengan kain langsir.

Schwi menghampiri katil yang paling hujung. Katil yang terletak di seblah kiri bilik dan bersebelahan dengan tingkap.

Cadar biru yang tersarung pada tilam dicabut dan dikumpulkan di dalam sebuah bakul yang sememangnya sudah tersedia di dalam bilik itu.

Satu persatu cadar dibuka sehinggalah katil yang terakhir. Katil yang paling hampir dengan pintu.

Saat Schwi menyeluk tangannya di bawah tilam, tiba-tiba dia berasa sakit dan pedih pada hujung jarinya.

Dengan segera dia menarik keluar tangannya dari bawah katil.

Darah merah mengalir dari luka itu.

Schwi merenung darah yang mengalir. Dia disapa dengan kehairanan.

"Schwi." Kazu datang menjenguk keadaan Schwi. Risau dirinya apabila gadis itu senyap saja.

"Hoi! Kenapa dengan jari tu?" Kazu segera mendapatkan Schwi.

Schwi tersentak apabila ada satu tangan menggenggam tangannya.

"Yang kau tenung je kenapa? Bahaya tau luka macam ni."

Schwi terus ditarik ke arah sebuah tandas yang berada di dalam bilik itu.

Paip sinki dibuka dan air dibiarkan mengalir pada jari yang luka.

"Kau tunggu sini. Aku nak pergi ambil ubat sapu kejap."

Schwi hanya mengangguk. Dia tak faham mengapa Kazu begitu cemas dengan luka yang sekecil itu?

Kazu keluar dan kembali semula dalam beberapa saat kemudian.

Schwi ditarik lagi. Keluar dari tandas lalu didudukkan di atas sebuah katil tidak bercadar.

"Macam mana boleh luka?" tanya Kazu ingin tahu puncanya.

"Aku buka cadar katil yang dekat dengan pintu tu. Lepas tu tiba-tiba je luka," beritahu Schwi tanpa perasaan.

Kazu yang merawat luka kecil itu mengangguk faham.

Jari Schwi dibalut dengan plaster.

Kazu berdiri lalu menghampiri katil yang dikatakan oleh Schwi.

"Mana satu? Kiri atau kanan?"

"Katil kanan."

Kazu terus mengangkat tilam katil itu.

Dia mengeluh.

Terdapat spring rosak terkeluar dari dalam tilam itu.

Kazu mengangkat tilam itu lalu diletakkan di atas lantai.

Spring itu cuba ditolak masuk semula ke dalam tilam, tetapi tidak berhasil.

Kazu mendengus geram.

Spring itu terus dipotong dengan playar yang kebetulan ada di dalam poket seluarnya.

Setelah selesai membetulkan apa yang patut, tilam itu diangkat semula dan diletakkan di tempatnya.

Kazu memandang Schwi.

"Kau dah kenapa? Sejak tadi asyik tenung jari tu je." Kazu bertanya penuh musyikil.

"Darah aku... Warna merah," kata Schwi seolah-olah terkejut dengan warna darahnya.

"Memanglah. Habis tu darah kau warna apa?"

Schwi mengangkat wajah. Dia memandang wajah Kazu yang seperti tidak puas hati.

"Biru diraja," jawabnya singkat.

Berkerut dahi Kazu mendengarnya.

'Baru aku ingat. Dia ni bukannya manusia. Patut sajalah dia pelik dengan warna darah tu.'

Kazu duduk di sebelah Schwi.

"Aku nak jawab soalan kau yang kau tanya masa dekat rumah tadi." Kazu cuba menarik perhatian Schwi. Ternyata, ia berjaya. Gadis itu memandang tepat pada wajah Kazu.

"Kau... Tahu?"

Kazu menggeleng.

"Aku tak tahu siapa kau. Tapi, aku tahu dari mana asal kau. Kau bukan dari puak manusia. Kau apalah puak Angel."

Schwi pula menggeleng.

"Aku bukan puak Angel asli. Aku adalah campuran dua puak, iaitu puak Zodiak dan puak Angel. Tetapi aku dijaga oleh keluarga puak Angel," Schwi merungkai kebenaran yang disimpannya. Bagi dia, sudah tiba masanya untuk Kazu mengetahui tentang dirinya sedikit demi sedikit.

Kazu agak terkejut mendengar kebenaran itu.

"Macam mana kau tahu aku ni bukan manusia?" Schwi ingin tahu memandangkan dia yakin yang Kazu juga bukanlah manusia biasa.

"Kau ingat pergaduhan kita masa dekat depan kedai Emilia tu?"

Schwi mengangguk.

"Aku nak tanya juga macam mana kau tahu yang aku ni jatuh dari langit. Tapi aku diamkan saja sebab aku anggap kau hanya meneka."

"Tak. Aku tak menekanya. Aku baca pintasan masa saat aku menyentuh kesan di mana kau jatuh. Masa tu lah aku dapat tahu yang kau bukanlah manusia."

Schwi tersenyum kecil.

"Kalau macam tu, biar aku teka kau pula. Kau adalah ahli aihir, bukan?" Sebelah kening dijongket.

Kazu agak terkejut mendengar tekaan secara spontan Schwi.

"Macam mana?"

"Aku banyak mengkaji tentang manusia semasa di Aquilla. Dari situ, aku dapat tahu banyak perkara tentang manusia." Schwi tersenyum bangga.

"Termasuk ahli sihir?"

Schwi mengangguk.

"Kau gunakan kuasa kau..."

Tangan Kazu dicapai. Telapak tangan lelaki itu dibuka.

"Untuk memulihkan orang lain."

Kazu menarik semula tangannya.
"Tepat kata-kata kau tu. Aku kagum."

Schwi beriak bangga.

Kazu berdiri.

"Aku dah lakukan apa yang patut. Kau sambunglah kerja kau tu. Aku pun nak sambung kerja aku ni."

"Cabut cadar lagi ke?" Schwi mencebik. Dia bosan dengan kerja itu.

"Kau buat je dulu. Lepas tu datang jumpa aku dekat bilik hujung sana. Aku nak ajar kau buat ubat menggunakan herba."

Schwi tersenyum suka.

"Baiklah!"

Si gadis terus mencapai bakul lalu menapak ke bilik yang lain.

Kazu tersenyum sendiri.

Tiba-tiba Schwi muncul semula.

"Ada banyak benda yang aku nak tanya pada kau. Tapi nantilah. Kita masih ada masa untuk berbual."

Schwi tersenyum manis. Si gadis terus menghilang setelah berkata sebegitu.

"Schwi... Schwi... Ada-ada saja kau ni." Kazu berjalan keluar dari bilik itu. Pintu bilik ditutup rapat sebelum dia melangkah ke biliknya.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top