Bab 7~[Kenangan Yang Menghantui]


Rumah besar itu kelihatan cantik walaupun terletak di belakang istana.

"Cassia." Seorang wanita memanggil dari arah dapur.

"Saya datang!" Si gadis bernama Cassia terkocoh-kocoh berlari ke arah dapur.

"Ya, bonda." Cassia berdiri di sebelah bondanya dengan senyuman yang manis.

"Tolong bonda buatkan kek, nak?"

Cassia mengangguk penuh semangat.

"Bonda nak buat kek apa?" Dia bertanya penuh teruja.

"Adalah." Si bonda tersenyum sendiri.

Dua jam mereka berhempas-pulas menyiapkan dua biji kek yang besar.

Cassia mencalit krim kek perisa coklat lalu dijilatnya.

"Sedaplah kek ni."

"Tengoklah siapa yang buat." Si bonda mencalit hidung Cassia dengan krim kek.

"Bonda." Cassia mengelap hidungnya.

Si bonda tertawa kecil.

Riuh sekejap dapur itu dek telatah dua beranak itu.

※※※

"Kenapa ni?" Cassia bertanya pada adik bongsunya, Elyz.

"Lysda dah melampau! Elyz tak tahu apa masalah dia. Tiba-tiba je nak mengamuk tak tentu pasal!" Elyz meluahkan rasa marahnya.

Cassia jatuh simpati pada adiknya itu. Dahi Elyz yang memerah kerana dibaling benda keras oleh Lysda, diusap dan ditiup lembut.

"Nanti aku cakap dengan dia." Pujuk Cassia tidak mahu adik-adiknya terus bergaduh.

"Tak payah! Perempuan tu hatinya dah mati. Hitam hatinya kerana sikap biadapnya tu."

Cassia terdiam.

※※※

"Lysda." Cassia menegur seorang gadis yang tertiarap di atas katil, di dalam bilik gadis itu.

"Apa kau nak? Ni mesti sebab budak-budak tu mengadu tentang aku kan? Lepas tu kau nak tunjuk baik pula, datang tegur aku. Macam tu?!" Lysda menuduh tanpa menoleh pada Cassia yang berdiri di hujung katil.

"Tapi Lysda, apa salah mereka sampak kau perlu lakukan sebegitu kasar pada mereka?" Cassia bertanya dengan lembut.

Lysda duduk menghadap Cassia. Wajahnya membengis penuh benci saat menatap wajah tenang Cassia.

"Jangan nak masuk campur hal aku boleh tak? Kita ni bukan sesiapa pun tau. Kau, aku, dan semua adik-adik hanyalah anak angkat dalam keluarga ni. Langsung tak ada pertalian darah antara kita semua. Jadinya, kau tak payah nak tunjuk macam kau adalah kakak kepada kami semua!"

Cassia terdiam buat seketika. Dia tertunduk memandang lantai.

Lysda turun daripada katil. Dia berdiri di sebelah Cassia.

"Suatu hari nanti, aku akan buat kau jatuh dan aku akan kuasai tampuk pemerintahan kerajaan ni." Bisik Lysda berbaur ugutan.

Cassia menoleh memandang wajah si gadis.

Wajah Lysda kelihatan serius.

"Berambus dari bilik aku sebelum benda jadi semakin teruk."

"Tapi..."

"Aku serius, Cassia."

Cassia terpaksa akur. Dia melangkah ke arah pintu.

Lysda membuntuti langkah Cassia.

Cassia berpaling setelah berada di luar bilik itu.

"Lysda, walau apa pun yang terjadi, kau tetap adik aku."

"Jangan nak merepek depan bilik aku ni. Dan satu lagi... Jangan masuk dalam bilik aku lagi kalau kau nak berceramah!"

DUM!

Pintu bilik ditutup kasar.

Terkebil-kebil Cassia di depan pintu bilik Lysda.

※※※

Ruang istana digemparkan dengan kehilangan satu permata  yang menjadi sumber kuasa utama bagi puak Angel di kerajaan itu.

"Tuanku, ruang Qzured kosong!" Lapor seorang pengawal.

Si raja kelihatan marah dan tertekan.

"Cari permata itu! Kerahkan para pengawal untuk mencarinya di dalam dan luar istana. Tutup jalan keluar masuk. Jangan izinkan sesiapa pun keluar dari kerajaan ni. Carinya sampai jumpa. Jika ia dibawa jauh dari kerajaan ini, punca kuasa kita akan hilang." Arah si raja penuh tegas dan marah.

"Baiklah tuanku." Akur si pengawal.

"Ayahanda." Lysda datang menghadap si raja selepas pengawal tadi keluar.

"Lysda. Ada apa ni?"

"Anakanda nak beritahu sesuatu ni. Ia berkenaan dengan keberadaan permata tu." Lysda memulakan helahnya.

Si raja terus berdiri dari takhtanya.

"Kamu tahu di mana permata Qzured berada?"

Lysda mengangguk.

"Awal pagi tadi, ketika semua masih lena, Lysda terjaga. Ingat nak ke dapur untuk minum, tetapi tiba-tiba Lysda ternampak kelibat Cassia dalam keadaan yang sangat mencurigakan. Lysda takut nak tegur, jadinya Lysda kembali ke bilik dan berpura-pura tidur."

Riak takut terlakar di wajah Lysda. Gadis itu kelihatan menggigil kecil.

"Mari kita ke bilik Cassia sekarang!"

Lysda mengangguk.

Si raja berjalan mendahului, manakala Lysda hanya mengekori si raja dengan senyuman sinis yang terlakar di bibir.

※※※

Cassia diheret ke atas sebuah pentas yang tinggi letaknya.

Rakyat jelata Kerajaan Aquilla berkumpul mengelilingi pentas yang menjadi saksi atas apa pun hukuman pada puak Angel yang membuat kesalahan.

Schwi dipaksa untuk melutut di atas pentas bersimen itu.

"Cassia tak bersalah! Cassia tak tahu macam mana Qzured boleh ada di dalam bilik Cassia." Cassia merayu di depan ayahanda dan bondanya. Air mata sudah bercucuran membasahi pipi.

Si permaisuri langsung tidak memandang wajah Cassia. Hatinya terluka. Manakala si raja pula memandang Cassia dengan penuh rasa marah.

"Segalanya sudah terbukti, Cassia. Kamu bersalah dan kamu patut dijatuhkan hukuman." Tegas si raja.

Cassia menggeleng. Suara langsung tidak keluar dari mulutnya. Esakannya bergema di kawasan itu.

Kedua-dua belah tangan digari pada gari berantai yang bersambung pada lantai pentas.

Seorang lelaki menghampiri Schwi. Ditangannya terdapat sebatang besi panas yang masih merah dihujungnya. Hujung besi panas itu dicucuhkan pada kaki Cassia.

"ARRGHH!" Gadis itu meraung kesakitan dan secara spontannya, sayapnya yang putih berpelepah hitam terbuka lebar.

Semua terkedu melihat saiz sayap yang luar biasa besarnya. Ia lebih besar dari sayap puak Angel yang biasa.

"Buangkannya! Dia tak layak mempunyai sayap itu!" Arah si raja pada Angel yang bertanggungjawab menjatuhkan hukuman ke atas Schwi.

Angel itu mengangguk akur. Sebilah pisau belati berjalur kuning dikeluarkan. Pisau itu memang dikhaskan untuk hukuman seperti yang ditanggung Schwi. Hanya dengan pisau itu saja, sepasang sayap mampu dipisahkan dengan tuannya.

Cassia sudah menggelupur tidak mahu sayapnya dipotong.

"AAARGGHHH!" Cassia meraung kuat apabila pisau itu menembusi sayapnya dan membelah sayapnya. Bergema suara gadis itu sehingga menggegarkan tanah Aquilla.

Si permaisuri terpejam matanya. Raungan Cassia sangat meruntumkan hatinya. Tetapi dia tak mampu berbuat apa. Suaminya telah membuat keputusan yang sangat drastik sehinggakan dia tak mampu untuk membela anak angkat kesayangannya itu.

Adik-adik yang lain semua tak sanggup melihat hukuman yang dikenakan terhadap kakak mereka. Kecuali Lysda yang seronok melihat penderitaan Cassia.

Ia seolah-olah satu lambang kemenangan buat dirinya.

Cassia tertunduk menahan sakit. Gaun putihnya sudah dibasahi dengan darah biru diraja.

Kedua-dua sayap Cassia sudah dibungkus kemas, sebelum dibawanya jauh daripada Cassia.

"Kurung dia di  dalam penjara!" Arah si raja itu lagi.

Para pengawal mengelilingi Cassia.

Gari dibuka dan gadis itu dipaksa untuk berdiri.

Mulut Cassia terkumat-kamit seperti berkatakan sesuatu.

"Aku bersumpah atas nama puak ku. Kerajaan ini tak akan aman selagi Angel tidak bersalah terus dihukum." Cassia membaca mantera dalam bahasa puaknya, tetapi tiada sesiapa yang mendengarnya atau memahaminya.

Cassia berjalan terbongkok-bongkok menahan sakit apabila menuruni pentas.

※※※

Tiga hari Cassia dikurung di dalam penjara tanpa makan mahupun minum.

Masuk saja hari ke empat, Cassia diheret semula ke pentas di mana hukuman dikenakan pada dirinya.
Seperti sebelum ni, semua rakyat berkumpul memenuhi ruang bawah pentas itu.

Si raja dan permaisuri serta adik-adik yang lain turut ada sama di tempat yang khas. Tetapi tidak Lysda.

Gadis itu berdiri di tengah pentas hukuman. Senyuman sinis terukir kecil di bibirnya.

Wajah Cassia yang tidak terurus membuatkan dia bahagia.

"Schwi Cassia. Tuanku raja kerajaan telah melantik aku sebagai Angel yang akan menentukan hidup mati kau."

Cassia hanya mendengar. Dia langsung tidak mempedulikan setiap mata yang memandangnya. Di hatinya, dia ingin mati dengan segera. Biar dia tidak terus terseksa dengan pendustaan itu lagi.

"Kau akan dicampak ke dunia manusia dan kau tak akan mampu kembali ke kerajaan ini lagi." Putus Lysda dengan angkuh dan rasa puas hati.

Cassia mendongak memandang Lysda melalui celah-celah rambut yang menutupi wajah. Pandangan tajamnya ditujukan buat gadis itu.

Lysda terundur sedikit. Perasaan gentar tiba-tiba saja menyapa hati.

Cassia melakar senyuman sinis melihatkan reaksi Lysda.

Lysda mengetap gigi. Membara hatinya apabila Cassia sempat menggertaknya pada saat-saat akhir gadis itu di Kerajaan Aquilla.

Portal dibuka oleh Lysda. Dia tak mahu melihat Cassia lagi. Tak sabar hendak mencampak gadis itu ke dalam portal yang membawanya ke dunia manusia.

Lysda menarik rantai yang bersambung dengan gari yang dipakai Cassia.

Cassia teranjak ke hadapan portal.

Gari dibuka, dan tanpa rasa serba salah, tubuh Cassia terus ditolak masuk ke dalam portal itu.

Portal ditutup segera.

Cassia dapat merasakan yang dia terapung-apung di dalam ruang portal itu. Dan dunianya semakin gelap.

※※※

Cassia mencelikkan matanya. Terkebil-kebil si gadis apabila membuka mata yang dipanah dengan cahaya.

Siling bilik yang putih ditatapnya.

Bunyi sesuatu menimpa bumbung rumah menarik perhatiannya.

Dia memalingkan kepala, memandang ke arah tingkap. Langsir berkibar ganas. Mungkin ditiup angin yang kuat.

Tetapi Cassia terperasan, langsir itu basah dan lantai di kawasan bawah tingkap itu juga basah.

Si gadis duduk di atas katil. Kepalanya yang sakit dipicit lembut.

Dia menggagahkan diri untuk berdiri. Dunianya terasa berpusing saat dia berdiri.

Langkah kecil diatur menghampiri tingkap.

Cassia berpaut pada tingkap. Dia memandang suasana di luar sana.

Dia terpegun seketika apabila melihat keajaiban yang berlaku di depan matanya.

Air yang membasahi tanah, jatuh dari awan hitam yang berkumpul.

Selama hidupnya di Aquilla, tidak pernah dia melihat suasana sebegitu.

Dia takjub buat seketika.

Angin dingin bertiup kuat menyapa tubuhnya yang hanya berbaju nipis.

Tempias air yang menyapa wajah membuatkan Cassia tersenyum sendiri. Dia mula suka akan air dari awan itu. Sejuk saja rasanya.

"Akak dah sedar?" Lina menyapa. Senyuman tidak lekang dari bibir si remaja.

Cassia menoleh. Dia langsung leka sehingga tidak terdengar kuakan pintu biliknya.

"Berapa lama aku tertidur?" Cassia bertanya ingin tahu.

"Dua hari." Jawab Lina bersahaja.

Cassia memegang kepalanya. Ingatannya membawa kepada kejadian di bar kecil yang disinggahnya beberapa hari lepas.

Satu keluhan meniti di bibir.

"Menyesal aku ikut lelaki tu." Kata Cassia perlahan.

"Kazu selalu cakap. Tak guna nak menyesal akan perkara yang dah lepas." Kata Lina seolah-olah dengar apa yang dikatakan oleh Schwi sebentar tadi.

"Apa akak buat dekat tingkap tu?"

Cassia tidak menjawab. Pandangannya dihalakan ke luar.

"Aku nak keluar boleh?" Pinta Cassia.

"Boleh. Tapi minum air herba ni dulu. Kazu suruh saya berikannya pada akak jika akak dah sedar."

Cassia memandang Lina yang sudah berdiri di belakangnya.

Gelas jernih yang penuh dengan air berwarna coklat, disuakan pada Cassia.

Cassia mengambilnya. Air itu diteguk tanpa perasaan.

Lina pula yang terasa kembang tekak melihat Schwi menelan air herba itu.

Gelas kosong dikembalikan pada Lina.

"Boleh aku keluar sekarang?"

Lina mengangguk membenarkan.

"Terima kasih."

Cassia melangkah perlahan. Dia keluar dari bilik itu. Turun ke ruang tamu, dan menghampiri pintu utama.

Pintu dibuka, dan angin dingin menyerbu masuk ke dalam rumah.

Lina yang sejak tadi mengekori langkah Schwi, hanya memerhatikan tingkah gadis itu.

Schwi melangkah keluar dari rumah.

Air yang turun lebat mula menyapa rambutnya, lalu membasahi seluruh tubuh.

Schwi berdiri di tengah laman.

Matanya dipejam rapat. Memorinya berputar semula.

"Cassia."

Senyuman si permaisuri terimbau di fikiran.

"Kakak."

Sikap manja Elyz bermain di mata.

Tanpa sedar, air mata mengalir perlahan dari kelopak mata Schwi.

Gadis itu berteleku di atas tanah.Wajah ditekup dengan telapak tangan.

Dia menangis semahunya sambil ditemai dengan irama air yang jatuh ke bumi.

Kazu yang memerhati dari dalam biliknya, tertanya sendiri.

"Dia... Menangis ke?" Tingkah Schwi terus diperhatikan dari jauh.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top