Bab 5~[Terpisah]
Ketukan di pintu mengganggu lena si gadis.
Bantal yang digunakannya sebagai bantal peluk terus ditekup pada telinga. Ketukan yang membingitkan telinga itu membuatkan lena si gadis terganggu. Terbantut dunia mimpinya tatkala disapa dengan bunyi ketukan itu.
"Schwi!"
Schwi terus terduduk tegak saat terdengar hentakan pintu pada dinding biliknya.
Pandangan tertancap pada Kazu yang berdiri di muka pintu dengan riak muka menahan marah.
"Apa kau ni? Tutup balik pintu tu. Aku nak tidur ni," Schwi kembali menyelubungkan tubuhnya sehingga paras kepala.
Kemarahan Kazu langsung tidak diambil pusing. Dia malas hendak bertanya mengapa lelaki itu kelihatan marah. Baginya, tidur amatlah penting!
Kazu menghampiri katil. Dia berdiri di hujung kaki Schwi.
Hujung selimut digenggam, lalu selimut itu ditarik kasar sehingga mendedahkan Schwi yang tidur mengerekot di balik selimut itu.
Kesejukan yang menggigit kulit membuatkan Schwi terjaga semula. Dia duduk menghadap Kazu dengan muka yang kusut.
"Bagilah balik selimut tu," pinta Schwi dalam mamainya.
Kazu diam. Langsung tiada niat hendak memulangkan selimut itu semula kepada Schwi.
"Kazu Ereki! Bagilah balik!" Schwi terus menerpa ke arah Kazu bagi mengambil semula selimutnya.
Kazu dengan sengajanya menjauhkan selimut itu daripada dapat dicapai si gadis.
Buat seketika, berlaku perebutan selimut di antara mereka berdua.
Lina yang melintasi bilik itu terus terhenti langkahnya apabila terdengar pekikan suara Schwi.
Menggeleng si remaja melihat telatah Schwi dan Kazu.
Disebabkan malas hendak masuk campur, si gadis terus berlalu meninggalkan kawasan bilik itu. Dia turun ke bawah bersama sebakul pakaian kotor yang diambil dari biliknya.
"Kazu!"
Kazu menggumpal selimut ditangannya lalu mencampak ia tinggi sehingga mendarat di atas sebuah almari yang terletak bersebelahan dengan bilik mandi.
"Apa masalah kau ni, ha?!" Schwi memekik dengan suara yang tinggi. Hilang rasa mengantuknya melayankan sikap Kazu.
"Bukan kau kata kau nak ikut aku ke semalam?" Kazu memeluk tubuh. Matanya tajam membalas pandangan penuh marah Schwi.
Schwi mengerling pada jam loceng yang ada di sebelah katilnya.
"Kau gila ke?! Sekarang baru jam 7," Schwi mengusutkan rambutnya. Dia kembali duduk di atas katil.
"Kalau pergi lambat, nanti pekan tu akan sesak dengan manusia. Sebab tu aku nak pergi awal!" Kazu pula melempiaskan rasa marahnya.
Schwi meraup wajah.
"Kalau kau tak nak ikut, tak payah nak menyusahkan aku. Dah la, aku dah lambat ni. Kalau bertikam lidah dengan kau ni, sampai bila-bila pun tak akan jadinya kerja aku."
Kazu berpaling. Dia ingin menapak keluar daripada bilik Schwi. Belum pun sempat lelaki itu menapak, terasa belakang bajunya ditarik oleh seseorang.
"Aku nak ikut. Bagi aku 10 minit boleh?"
Kazu mengeluh perlahan. Disabarkan hati melayankan kerenah Schwi.
"10 minit. Kau lambat, aku akan tinggalkan kau. Kali ni aku serius." Tutur Kazu tanpa menoleh.
Schwi tersenyum kecil. Dia mengangguk akur sebelum melepaskan genggamannya pada baju lelaki itu.
Kazu melangkah keluar. Pintu bilik ditutup rapat.
Schwi mengeluh. Matanya memandang ke arah selimut yang dibaling tadi.
"Tsk... Tak guna punya lelaki," Schwi mengetap gigi. Dia bangkit dari duduk. Tuala dicapai sebelum dia melangkah masuk ke dalam bilik mandi.
▶◀▶◀
Schwi menapak turun ke ruang tamu.
Turun saja ke ruang tamu, matanya terpandang kelibat Kazu yang duduk di atas sofa dan membelakanginya.
Langkah diatur menghampiri lelaki itu.
"Ka..." Terbantut niatnya hendak memanggil nama lelaki itu. Wajah tenang Kazu yang sedang lena menjadi tatapannya.
Schwi mengambil tempat di sebelah Kazu. Matanya meneliti wajah Kazu.
Baginya, Kazu mempunyai rupa yang sangat sempurna. Dengan dagunya yang runcing dan terbelah, bibir yang cantik bentuknya, bulu mata yang cantik dan kesan lesung pipit di sebelah kanan pipi lelaki itu.
Semuanya kelihatan sempurna. Cumanya, sikap serius dan dingin lelaki itu yang mencacatkan ketampanannya.
Tiba-tiba keluhan meniti di bibir si gadis.
"Kak Schwi buat apa tu?" Lina yang baru keluar dari dapur menyapa.
Pandangan Schwi terus dialihkan. Wajahnya berubah merah.
Kazu terjaga. Matanya terkebil-kebil dek cuba menyesuaikan pandangannya.
Lelaki itu menoleh. Memandang Schwi yang duduk di sebelahnya.
"Kau dah siap rupanya. Kenapa tak kejut aku?" Kazu menutup mulutnya tatkala menguap.
"Kau nampak penat. Kau tak cukup tidur ke?" Schwi bertanya penuh prihatin.
"Tak payah tahulah. Dah siapkan? Jomlah kita gerak sekarang." Kazu berdiri. Melakukan sedikit regangan sebelum berlalu ke pintu utama.
"Lina, tutup pintu dan tingkap ya!" Kazu sempat memesan sebelum keluar rumah.
Schwi mengekori langkah Kazu. Mereka keluar daripada rumah dan sebuah portal kelihatan sudah terbuka.
Di saat berdiri di hadapan portal, tiba-tiba Kazu menghulurkan tangannya pada Schwi.
Schwi terkedu buat seketika. Dia tidak faham akan tujuan lelaki itu menghulurkan tangan kepadanya.
"Jomlah. Bukan ke kau takut nak masuk sana?" Kata Kazu seolah-olah faham akan kekeliruan Schwi.
Schwi tersentak. Tak sangka yang lelaki itu masih mengingati traumanya.
"Tak apalah. Aku percayakan kau. Kau tak mungkin akan khianati aku." Kata Schwi sebenarnya malu hendak menyambut huluran tangan lelaki itu.
Baginya, cukuplah sekali dia berpegangan tangan dengan Kazu. Dia dah tak mahu lagi, memandangkan ia amat berbahaya untuk jantungya.
"Kau yakin?" Kazu bertanya untuk kepastian.
Schwi mengangguk dan tersenyum penuh yakin.
"Baiklah." Kazu terpaksa akur.
"Tapi, kalau apa-apa jadi, aku tak akan bertanggungjawab tau." Kazu mengingatkan tetapi berbaur ugutan.
Schwi mendengus.
"Kita dah lambat ni, Kazu. Jangan buang masa boleh tak?" Schwi cuba berdalih.
Kazu kelihatan akur. Dia menoleh pantas membelakangkan Schwi.
Schwi tekedu buat seketika. Entah mengapa di matanya, Kazu kelihatan kecewa kerana dirinya menolak pelawaan lelaki itu.
'Aku salah nampak ke? Atau, mata aku menipu?'
Kazu melangkah masuk, tetapi Schwi masih tegak berdiri di luar portal itu.
"Cassia." Satu bisikan menyapa gegendang telinga.
Schwi tertoleh-toleh mencari punca suara itu, tetapi langsung tidak kelihatan sesiapa pun di matanya.
Langkah diatur pantas memasuki portal itu.
Lina yang sejak tadi memerhati dari tingkap ruang tamu, disapa kehairanan apabila melihat tingkah Schwi.
Langsir terus ditarik. Remaja itu segera memastikan semua tingkap dan pintu dikunci rapi. Dia takut jika ada sesiapa di kawasan rumahnya.
▶◀▶◀
"Kenapa lambat?" Kazu bertanya saat Schwi baru melangkah keluar dari portal.
"Tak ada apa," tipu Schwi. Dia tak mahu membuatkan lelaki itu risau dengan apa yang baru didengarinya tadi.
"Jom. Pekan mesti dah sesak tu."
Schwi mengangguk. Dia mengekori langkah Kazu yang besar dan laju.
Masuk saja ke kawasan pekan, ternyata kata-kata Kazu itu benar.
Ramai manusia di kawasan itu.
Ada yang berjual, ada yang membeli. Suasana juga bising dengan suara manusia.
'Ergh! Ramainya manusia,' Schwi mula disapa rasa tidak selesa. Menyesal dia mengikut Kazu!
"Jangan jauh dari aku. Nanti terpisah, susah pula," Kazu sempat memesan.
Schwi akur. Belakang baju Kazu digenggam erat sehingga menarik perhatian lelaki itu.
Kazu tidak mengendahkan Schwi. Dia terus mengatur langkah memasuki lautan manusia itu.
Sepanjang perjalanan, Schwi setia memegang baju Kazu.
Sehinggalah satu ketika, beberapa orang kanak-kanak berlari melintasinya lalu melanggar tangan yang menggenggam baju Kazu.
Pegangan Schwi terlepas dan tubuhnya terasa tidak stabil.
Nasibnya baik kerana seseorang sempat menahan dirinya daripada terjatuh.
"Cik tak apa-apa?" suara seorang lelaki bertanya saat Schwi kembali berdiri tegak.
Schwi tidak mengendahkan suara itu. Dia terjingkit-jingkit mencari kelibat Kazu yang sudah hilang dari pandangannya.
"Cik," lelaki itu memanggil lagi.
'Argh! Anak manusia tak guna!' Schwi memberontak di dalam hati.
"Cik cari siapa?" kali ini sapaan si lelaki besertakan cuitan di bahu Schwi.
Schwi menoleh memandang si lelaki.
"Aku terpisah dari kawan aku. Tolong aku cari dia, boleh?" Schwi meminta pertolongan daripada manusia yang tidak dikenalinya itu.
"Hmmm... Apa kata cik ikut saya dulu? Saya akan hantarkan beberapa orang budak saya untuk carikan kawan cik tu," cadang si lelaki dengan niat yang tersendiri.
Schwi ragu-ragu. Dia tak mahu berada di dalam kelompok manusia itu sendirian. Tetapi dalam masa yang sama, dia ragu-ragu dengan lelaki itu.
"Cik," tangan Schwi cuba dicapai.
Schwi terus menyorokkan tangannya.
"Baiklah. Tapi, apa jaminan yang kau akan cari kawan aku dan dalam masa yang sama, tak akan apa-apa kan aku?"
Lelaki itu kelihatan befikir.
"Baiklah. Kalau saya tipu cik, cik boleh laporkan saya pada pihak berkuasa. Saya sedia menerima apa saja hukumannya."
Schwi masih ragu-ragu. Tetapi, dia tiada pilihan lain.
"Baiklah," kata putus diberikan.
Lelaki itu kelihatan berpuas hati dengan keputusan Schwi.
"Mari. Saya tak nak cik terpisah dari saya pula," lengan Schwi terus dicapainya.
Schwi ditarik mengekori langkah si lelaki.
"Kita nak ke mana?" Schwi bertanya ingin tahu.
"Tempat yang selalu aku lepak," jawabnya tanpa berpaling memandang Schwi.
Rasa tidak sedap hati menyapa hati. Tetapi Schwi segera menepis perasaan itu. Apa yang penting baginya sekarang, dia tak mahu berada di dalam lautan manusia itu.
Sementara itu, Kazu yang sejak tadi melangkah, terus terhenti langkahnya.
Dan saat itu, baru dia perasan. Dia merasakan sesuatu atau seseorang sudah hilang.
Segera lelaki itu menoleh.
Kazu terkejut.
Kelibat Schwi langsung tidak ada bersamanya.
Perasaan cemas mula menyapa dirinya.
'Sejak bila kami terpisah?' Kazu berpatah balik. Dia perlu mecari Schwi semula sebelum manusia lain menemuinya dan mengetahui asal si gadis itu.
Jika identiti Schwi terdedah, pasti gadis itu akan ditahan oleh kumpulan kongsi gelap. Dan itulah yang amat merisaukannya tika ini.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top