Bab 4~[Perubahan]


Schwi terjaga dari lenanya.

Bunyi riuh di dapur menyapa gegendang telinganya.

Schwi berdiri. Regangan ringan dilakukan sedikit bagi membetulkan sendi-sendi yang terasa sengal.

Langkah diatur ke dapur dengan malas.

"Lina buat apa?" Schwi bertanya lalu duduk di meja makan. Dagu ditongkat pada permukaan meja. Mata dipejam malas.

"Makan tengah hari. Akak tak lapar ke?" Lina bertanya dengan tangan yang lincah membuat kerjanya.

"Lapar?"

Grukk~

Perut ditekan.

"Lapar," jawab Schwi seolah-olah merengek.

Lina tersenyum sendiri.

"Sabar ya kak."

Schwi mengangguk terpaksa.

30 minit menunggu, akhirnya semua makanan sudah siap dimasak. Dengan perlahan dan cermat Lina menghidang setiap masakannya.

Schwi terus terduduk tegak saat terhidu bau makanan.

Kecur liurnya melihat setiap makanan yang terhidang di depannya.

"Kita tunggu Kazu balik, ya. Katanya hari ni nak makan bersama," kata Lina lalu membantutkan niat Schwi yang baru hendak mencedok nasi.

Schwi mencebik.

Lina duduk bertentangan dengan Schwi. Senyuman manis terlakar di bibir remaja itu.

Schwi menjongket kening melihat tingkah Lina yang kelihatan teruja dan ceria.

"Kau dan kenapa? Senyum je dari tadi." Schwi bertanya juga walaupun ikutkan hati, dia malas hendak membuka mulut.

"Saya gembira sangat sebab Kazu nak makan bersama. Selama ni, saya makan seorang diri je. Kadang-kala saya tak makan langsung sebab tak ada selera nak makan sesorang.

Kazu selalu saja sibuk. Dia jarang sekali datang jenguk saya dekat sini." Lina bercerita dengan tenang.

Schwi menatap wajah Lina. Dia dapat merasakan aura kegembiraan yang mengelilingi remaja itu. Dan dia juga dapat mengesan kekosongan yang menghuni hati Lina.

Schwi ingin membuka mulut untuk bertanya lebih lagi, tetapi bunyi kuakan pintu hadapan membantutkan niatnya.

Lina yang mendengar bunyi pintu, sudah berlari ke ruang tamu untuk menyambut kepulangan lelaki itu.

Seminit Schwi menunggu di dapur, akhirnya muncul juga kelibat dua manusia itu.

Schwi mencebik. Sudah la dia tengah lapar, sempat lagi mereka berbual sesama sendiri.

Kazu mengambil tempat di bahagian depan sekali.

Schwi memandang tajam pada Kazu.

Kazu menjeling si gadis di sebelahnya.

"Kau ada masalah dengan aku ke?" Kazu bertanya dan seperti biasa, langsung tidak bernada. Mendatar saja kedengaran.

"Aku lapar," kata Schwi singkat. Dia lapar tersangat-sangat sekarang ni.

"Jadi?" Kazu bertanya. Tidak faham akan tujuan Schwi berkata sebegitu.

Schwi menggeleng. Malas hendak menerangkannya.

"Makanlah. Apa yang dibualkan lagi tu?" Lina yang baru menghidang jus oren sejuk menegur.

Schwi pantas mencedok nasi. Sup bebola ikan dan seketul ayam diambil.

Lina dan Kazu menggeleng melihat telatah Schwi yang seperti sudah lama tak jumpa makanan saja lagaknya.

"Makan perlahan-lahan, kak." Lina menegur.

Senang hatinya melihat Schwi menikmati masakannya dengan penuh berselera.

Pandangan dialihkan pada Kazu.

"Kazu, barang basah dan barang kering dalam dapur dah banyak habis la." Lina memberitahu. Itulah rutinnya setiap hari. Memberitahu kekurangan di dalam rumah itu dan lelaki itu sendiri yang akan pergi membelinya.

Kazu mengangguk faham.

"Tuliskan senarainya. Aku akan keluar ke pekan esok pagi."

Lina tersenyum.

"Aku nak ikut." Tiba-tiba Schwi menyampuk dengan mulut yang penuh.

"Tak boleh. Tugas kau adalah temankan Lina ni dekat sini." Tegas Kazu tidak membenarkan, lantas memberitahu tujuan dia membawa Schwi ke situ.

Schwi menelan makanannya.

"Aku nak ikut juga." Mata tajam menikam wajah Kazu yang kelihatan meluat dengan sikapnya.

"Kau jangan nak degil boleh tak!" Sudu dan garpu dihempas di atas meja. Kazu berdiri lalu meninggalkan meja makan.

Dua orang gadis itu terkejut sehingga terhinjut bahu mereka dek tersentak dengan sikap Kazu yang tiba-tiba berubah.

Schwi diselubungi rasa serba salah. Dia mula menyalahkan dirinya yang menjadi punca kemarahan Kazu.

"Makan je, kak. Kazu tu sekejap je anginnya. Lepas ni sejuklah tu hatinya," pujuk Lina yang perasaan akan mood Schwi yang sudah berubah.

Lina pun sebenarnya terkejut melihat sikap Kazu yang berubah secara tiba-tiba. Tidak pernah dia melihat lelaki itu melempiaskan marahnya pada sesiapa pun sebelum ini. Dan Schwi adalah mangsa pertamanya.

"Schwi." Lina menegur tatkala melihat Schwi yang hanya menguis-nguis makanannya.

"Aku dah kenyang." Schwi berdiri lalu meninggalkan Lina keseorangan di meja makan.

Si remaja termangu sendiri. Keluhan meniti di bibir nipisnya.

"Sakit kepala aku melayan orang dewasa ni." Rungut Lina bersama cebikan.

※※※

Malam pun kini sudah mengambil alih tugasnya

Schwi menyisir rambutnya yang hitam berkilat. Sambil itu, dia termenung mengenangkan sikap Kazu semasa di meja makan tengah hari tadi.

Lelaki itu terus keluar meninggalkan rumah tanpa sempat menghabiskan makanan tengah harinya.

Satu keluhan terluah.

"Schwi."

Schwi terkejut dengan sapaan itu. Sikat di tangan dibawa ke dada.

Matanya terus tertumpu ke arah Kazu yang berdiri di muka pintu.
Lelaki itu kelihatan serba salah di mata Schwi walaupun riak wajah lelaki itu memaparkan keseriusan dirinya.

"Kenapa tak ketuk dulu?!" Schwi bertanya agak marah dengan kebiadapan lelaki itu.

"Aku malas," jawab lelaki itu dengan mudah, semudah memetik jari.

Schwi mendengus marah.

"Kalau aku baru naik mandi waktu macam ni, kau nak redah masuk juga?" Schwi masih marah.

"Apa salahnya," jawab Kazu dengan reaksi muka tidak bersalah.

Schwi geram dengan jawapan yang diberi. Sikat di tangan terus dibaling ke arah Kazu.

Kazu mengelak dan kebetulan Lina melintasi bilik itu, lalu sikat yang dibaling itu mengena pada kepalanya.

Membulat mata Schwi. Mulut ditekup kerana terkejut dek balingannya yang tersasar pada gadis itu.

Lina menoleh. Di dalam matanya terpancar api kemarahan.

BUM!

Kazu memasuki bilik lalu menutup pintu dan menguncinya kemas.

"Siap korang berdua lepas ni!" Jerit Lina dari luar bilik.

Kazu menghela nafas lega.

Schwi dikerumi rasa serba salah.

Sudah dua kesilapan dilakukannya hari ini.

Pertama, membuatkan Kazu marah, dan kali ni, terbaling sikat pada Lina dan membuatkan gadis itu pula marah terhadapnya.

'Matilah aku lepas ni.' Gumamnya di dalam hati.

"Ni semua salah kau!" Schwi menyalahkan Kazu. Siapa suruh dia mengelak? Jika tidak, pasti sikat itu tidak akan tersasar sehingga terkena kepala Lina.

"Diamlah! Aku datang bilik kau ni bukan sebab nak bertengkar." Jujur Kazu tanpa selindung.

Schwi berkerut dahi. Dia hairan melihat tingkah Kazu. Lelaki itu memang susah hendak diduga anginnya.

Kazu menghampiri Schwi yang duduk terkaku di hadapan cermin solek.

Schwi yang melihat tingkah Kazu, terus memusingkan tubuhnya menghadap cermin semula. Rambut disisir dengan tangan tanpa mempedulikan Kazu yang semakin mendekat.

Dia tidak mempedulikan Kazu, tetapi degupan jantungnya membuatkan dia berasa tidak senang duduk.

"Kau nak ikut aku tak?" Tiba-tiba Kazu bertanya.

Schwi memandang Kazu melalui pantulan cermin.

Jarak antara mereka terlalu hampir.

Schwi menganjakkan sedikit tubuhnya agar menjauhi lelaki itu.

"Nak ke mana?"

Kazu mengeluh.

Schwi kehairanan. Pelik sungguh sikap lelaki itu.

"Bukan tadi kau ke yang beria-ia sangat nak ikut aku ke pekan esok?"

Pandangan mata Schwi bersinar. Dia segera menoleh lalu tersenyum suka.

"Betul ni?" Soal Schwi untuk kepastian.

Kazu mengangguk sekali.

Schwi bertepuk tangan keriangan.

"Esok jam lapan. Kau lambat aku tinggal."

Schwi mengangguk.

Kazu berlalu ke arah pintu dan lelaki itu melangkah keluar.

Pemergian Kazu hanya dihantar dengan lirikan mata.

Helaan nafas lega terluah dari bibir Schwi.

Tangan menekap dadanya. Rentak degupan jatungnya masih tidak menentu.

"Kenapa dengan aku ni? Dah gila agaknya," katanya lalu menggeleng bersama senyuman kecil yang terukir.

※※※

Seorang gadis yang pucat wajahnya kelihatan terlantar lemah di atas sebuah katil yang besar.

Di sisinya, si ibu setia menemani. Wajah wanita itu kelihatan penat dan terdapat lingkaran hitam di bawah matanya. Sisa air mata juga terdapat pada bulu matanya.

"Diera, kamu macam mana hari ni? Ada rasa sihat sikit?" Si ibu bertanya prihatin. Air mata ditahan daripada mengalir tatkala menghadap puterinya itu.

Bibir pucat Diera melakar senyuman yang memendam seribu satu perasaan.

"Diera nak keluar," katanya meminta. Sudah sebulan dia sakit dan sepanjang sebulan itu, dia langsung tidak dibenarkan bergerak ke mana-mana mahupun keluar daripada istana.

"Hari dah malam, sayang. Esok saja ya," pujuk si ibu. Kepala anak gadisnya diusap penuh kasih.

Riak wajah Diera berubah sedih.

Dia memalingkan kepala ke arah lain. Mata dipejam rapat. Dia merajuk dengan si ibu.

Ibunya hanya mampu tersenyum tawar melihat telatah anaknya.

"Ibu keluar dulu." Ubun-ubun Diera dikucup.

Wanita itu bangkit lalu berlalu keluar dari bilik.

Diera membuka semula kelopak matanya. Esak tangis menyapa halwa telingannya.

Dia tahu, ibunya pasti menangis lagi apabila melihat keadaan diri yang langsung tiada perubahan. Walaupun sudah ramai perawat dari pelbagai daerah mahupun kerajaan datang merawat, malangnya kesihatannya tetap saja sama. Langsung tiada perubahan.

Diera juga sudah bosan kerana asyik terkurung dan terbaring di dalam biliknya. Dia berasa sungguh penat dan lemah badan meskipun tidak melakukan apa-apa aktiviti.

Pandangan dihalakan ke luar tingkap. Kegelapan diluar sana membuatkan Diera rindu akan angin malam dan kesejukan embun.

Dia rindu untuk menatap bintang-bintang sambil ditemai kemeriahan nyanyian cengkerik.

Kelopak mata ditutup rapat.

'Aku nak sembuh.' Harapnya setiap kali sebelum tidur.

Sementara itu,di ruang menghadap...

Raja Czer sudah kebuntuan.

Pelbagai cara dan telah ramai orang dipanggilnya untuk menyembuhkan si puteri Diera. Malangnya, semua itu langsung tidak membuahkan hasil. Semunya menemui jalan buntu.

Orang kanannya memerhatikan saja tingkah si raja.

"Tolonglah beta. Beta buntu. Macam mana caranya untuk memulihkan puteri beta semula? Beta tak mahu kehilangan satu-satunya puteri beta." Raja Czer merayu. Dia meminta buah fikiran daripada orang kanannya.

"Tuanku." Seorang pengawal datang menghadap.

Dia melutut hormat.

"Ada apa kamu datang menghadap beta?" tanya Raja Czer sedikit marah. Dia tidak gemar orang mengganggunya tika ini.

"Saya ada kenal seorang lelaki yang mungkin boleh menyembuhkan tuan puteri," katanya.

Raja Czer duduk tegak tatkala mendengarnya.

"Di manakah dia berada?"

"Di sebuah perkampungan yang agak terpinggir dari kerajaan ini."

"Adakah perkampungan itu di bawah taklukan kerajaan beta?"

Pengawal itu mengangguk sebagai jawapan.

"Ya, tuanku. Tetapi perkampungan itu terletak di kawasan pedalaman. Kerana itu tiada sesiapa pun yang menyedari akan kewujudan perkampungan itu. Lagipula, perkampungan itu dikelilingi oleh sebuah tembok yang kukuh."

Raja Czer kelihatan terkejut.

Ternyata si raja langsung tidak mengetahui akan kewujudan perkampungan yang dinyatakannya itu.

"Di manakah ia berada?"

"Mengikut perkiraan, perkampungan itu terletak sejauh 5 hari perjalanan dari sini."

Raja Czer kelihatan seperti sedang memikirkan sesuatu.

"Baiklah! Hantarkan beberapa orang jeneral ke sana. Hantarkan utusan beta padanya di sana," arahan mula dikeluarkan.

Pengawal itu akur. Dia terus berlalu meninggalkan balai menghadap.

Harapan mula terpancar buat Diera.

Si raja mengharapkan lelaki yang dinyatakan oleh pengawalnya tadi dapat membantu menyembuhkan puterinya.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top