Bab 27~[Kunjungan Dari Aquilla]
"Semuanya sudah sedia, tuanku."
Lysda mengangguk. Riak wajah penuh serius tetap terlakar di wajahnya yang tak pernah berseri.
"Jangan tunggu aku. Aku mungkin akan lama."
"Baiklah tuanku." Akur pembantu perempuannya itu.
"Lagi satu, jika sesiapa cari aku, kata saja kau tak tahu."
"Baiklah."
Lysda berpaling.
Sayapnya dibuka seluas mungkin sebelum dia mengibarkannya.
***
"Mana Kazu? Dari petang sampai malam tak balik-balik." Zes bertanya dari muka pintu bilik Schwi.
"Dia dekat klinik. Katanya nak cari penawar buat Schwi," jelas Lina yang sedang mengelap tubuh Schwi.
"Penawar? Schwi sakit apa?"
Lina menggeleng.
Dia terus merenung wajah pucat Schwi.
"Kazu mahu pun Schwi tak pernah ceritakan apa-apa pada saya. Sebab tu saya tak tahu apa sakit akak."
Riak wajah Lina berubah sedih. Tiba-tiba dia berasa seperti tidak penting di dalam keluarga itu.
Semua mahu dirahsiakan dari pengetahuannya. Semua perkara tak mahu diberitahu.
Zes buat tak nampak dengan perubahan riak wajah Lina.
Dia terus berlalu meninggalkan kawasan bilik.
Anak tangga dituruni.
Dia mahu menenangkan perasaan di luar. Hanya ditemani alam di malan hari.
Punggung dilabuhkan di atas sebuah buaian bulat.
Dia mendongak memandang langit.
"Aku ni menyusahkan ke?"
Balutan pada kepala disentuh.
Dalam pada itu, di atas langit gelap, Lysda mulai masuk lapisan yang memisahkan antara kerajaan langit dengan kerajaan di atas tanah.
Aura Angelnya disembunyikan dari dapat dikesan oleh sesiapa saja.
Tetapi, laluan Qzured yang bercahaya membuatkan Lysda tak mampu untuk menyembunyikan kehadirannya daripada pengetahuan seseorang.
***
Mata yang sejak tadi terpejam rapat kini terbuka luas.
Dia menoleh memandang si remaja yang tertidur.
Schwi tersenyum.
"Maaf sebab dah menyusakan kamu." Kepala Lina diusap lembut.
Schwi bangkit dari pembaringannya lalu turun dari katil.
Langkah perlahan dan tidak bermaya diatur penuh hemat.
Zes yang sejak tadi melepak di luar rumah terkejut dengan kehadiran Schwi.
Sudah la gadis itu tidak sihat, tiba-tiba saja muncul di sebelahnya.
"Schwi... Apa kau buat dekat luar ni?" Dia menegur lalu berdiri.
Schwi menoleh.
"Aku ada urusan yang perlu diselesaikan."
"Tapi kau tak sihat. Kau perlukan rehat."
Schwi mengangkat sebelah tangan. Menghalang Zes dari berniat menghampirinya.
"Jangan pedulikan aku."
Schwi kembali menapak, tetapi dia berhenti sejenak.
"Jika Kazu pulang, aku nak kau pura-pura tidur dan abaikan saja dia."
Zes tersentak mendengar permintaan Schwi itu.
"Kau dengar tak apa yang aku katakan?"
Terus mengangguk laju lelaki itu.
Schwi kembali berpaling. Langkah diatur semula.
Zes hanya memerhatikan saja langkah longlai Schwi. Niat mahu menghalang gadis itu terpaksa dikuburkan di dalam hati. Takut jika Schwi mengamuk kerana menghalangnya.
"Aduh! Matilah aku kalau Kazu balik."
Zes menyerabutkan rambutnya lalu melangkah masuk ke dalam rumah. Pintu utama dirapatkan tanpa dikunci.
Serabut kepalanya melayankan kerenah penghuni rumah itu.
Sementara itu,
Langkah perlahannya terhenti betul-betul di tengah-tengah laluan masuk menghala ke rumah.
Kepala mendongak, memandang langit yang kian kelam tanda hujan bakal turun.
Tetapi bukan itu yang menjadi tarikan perhatiannya.
Senyuman sinis terlakar di wajah. Hilang seri cerianya tatkala senyuman sinis itu terlakar di bibir.
"Aku tahu kau akan datang jua, Lysda."
Tangan diangkat tinggi, menghala tepat pada cahaya keemasan yang terlakar di dada langit.
Tenaga hasil dari laluan itu diserapnya.
Angin bertiup menerbangkan rambutnya yang berubah warna kepada hitam berkilat.
Bayangan sayap terhasil di belakang badannya.
Tangan diturunkan semula.
"Terima kasih untuk tenaga ni."
Telapak tangan dipandang lalu digenggam erat.
Pandangan dikerling pada bayangan sayap yang masih di situ. Di belakang tubuhnya.
Sayap itu cuba digerak-gerakkan.
Schwi tersenyum lagi
"Aku harap ia dapat bertahan lama."
Sayap dibuka luas, lalu Schwi menujahkan dirinya.
Dia terbang tinggi di udara.
"Aku terbang semula!" Girang Schwi saat dia peroleh sesuatu yang amat dirinduinya.
Berpusing-pusing gadis itu di udara.
"Ah! Aku tak ada masa untuk ni. Aku perlu ikut perempuan tu."
Schwi kembali kepada niat asalnya.
Dia perlu jejaki, ke manakah haluan Lysda dan apakah tujuan gadis itu turun ke dunia manusia ini.
***
Lysda mendarat elok di laman utama istana Nova.
Seorang pengawal yang tersedar akan kehadirannya terus mendekati.
"Ada apa-apa yang saya boleh bantu, tuanku?" Pengawal itu menunduk hormat sebelum mengajukan soalan.
"Bawa beta bertemu dengan raja kamu," pinta Lysda tanpa memandang wajah pengawal itu.
Caranya saja sudah menunjukkan bertapa riaknya dia hinggakan wajah orang bawahan itu pun langsung tidak dipandangnya.
"Baiklah, tuanku."
Pengawal itu kembali berdiri lalu berjalan mendahului Lysda.
Lysda mengekori langkahnya.
Sepanjang perjalanan itu, wajahnya sengaja dibengiskan setiap kali bertembung dengan penghuni-penghuni istana itu. Dia benci dengan mereka yang bergelar manusia. Lebih-lebih lagi orang bawahan.
Langkah mereka terhenti di hadapan sebuah pintu.
Pintu diketuk oleh si pengawal.
Pintu dibuka saat si raja membenarkan tetamunya masuk.
"Tuanku, tuanku Lysda dari Kerajaa Aquilla datang bertemu."
Tingkah Raja Czer terhenti.
Pennya dijatuhkan di atas permukaan meja dan dia mendongak. Mata bertemu dengan mata Lysda.
"Terima kasih. Kamu boleh keluar."
Pengawal itu mengangguk akur. Dia berlalu keluar dan sempat menutup rapat pintu pejabat itu.
"Jemput duduk tuanku." Pelawa Raja Czer dengan ramah.
Lysda duduk penuh lagak. Kakinya disilangkan, dengan mata yang memandang tepat pada wajah si raja yang duduk tenang di hadapannya.
"Kenapa datang tak beritahu?"
"Aku dah hantar utusan pada kau beberapa hari lepas."
Raja Czer berkerut dahi.
"Tidak pula saya peroleh apa-apa utusan dari pihak tuanku."
Riak wajah Lysda berubah serius walaupun sudah sememangnya serius.
'Hmmm... Ada sesuatu yang tak kena.'
"Apa-apa jelah. Aku dah pun ada depan mata kau ni. Tak perlu nak persoalkan tentang utusan tu lagi."
Raja Czer akurkan saja walapun dia berasa tidak senang dengan kunjungan gadis di depannya itu.
"Ada apa tuanku datang ke sini?" Raja Czer terus bertanya kepada topik utama.
"Perihal hutan di hujung kerajaan ni."
"Bukankah hal itu dah selesai? Tiada lagi kemusnahan yang dilakukan oleh penduduk di sini."
Lysda menggeleng.
"Kau fikir, dengan ugutan dan acaman kau, mereka akan terus hentikan aktiviti penebangan tu? Hei! Jangan jadi bodoh la."
Raja Czer mengetap gigi.
"Manusia macam kalian semua ni tak pernah nak hormat akan alam. Langsung tak sedar diri, malah masih juga melakukan banyak kemusnahan. Ugutan, ancaman kau bukannya apa-apa pun bagi mereka. Mereka hanya pentingkan kekayaan dan kemewahan saja."
Lysda terus-menerus mempersalahkan manusia di kerajaan itu.
Tiba-tiba seseorang merempuh masuk ke dalam bilik penuh kedinginan itu.
"Saya dah agak! Awak pasti akan datang juga."
"Anakanda! Apa kamu buat di sini? Kenapa masih belum masuk tidur?"
Diera tidak mengendahkan kata-kata ayahandanya.
Dia melangkah menghampiri Lysda lalu berhenti betul-betul di belakang si gadis yang membelakangkannya.
"Awak Schwi, bukan? Schwi Cassia."
Lysda tersenyum sendiri.
Dia berdiri dan Raja Czer turut berdiri sama. Dia risau jika Lysda melakukan apa-apa pada puterinya.
"Nama kau Diera, bukan?" Tekanya tanpa menoleh pada si puteri.
Diera tersenyum. Dia mengangguk mengiakannya.
"Ya, saya. Awak masih ingat saya?"
Lysda berpaling.
Tiba-tiba kecerian di wajah Diera memudar. Dia berundur beberapa tapak.
Saat matanya bertemu dengan mata Lysda, otaknya automatik melabelkan si gadis di hadapannya itu bahaya.
"Awak... Awak bukan... Schwi."
Lysda tersenyum.
"Jika yang kau maksudkan adalah Cassia, dia dah lama mati," kata Lysda penuh bangga.
"Tipu! Schwi tak selemah tu! Dia tak akan kalah pada perempuan angkuh seperti kau!" Tegas Diera marah. Dia sebenarnya disapa kesedihan apabila gadis di depannya itu menyatakan yang sahabat kecilnya itu sudah mati.
Lysda tersenyum sinis.
Dia berpaling wajah, memandang Raja Czer semula.
"Tak sangka akan ada manusia yang mampu menyembuhkan anak perempuan kau ni. Aku ingatkan dia dah mati."
"Apa maksud kau?" Terus hilang panggilan hormat yang digunakan oleh si raja sepanjang perbualan tadi.
Dia berasa sangat marah. Tak sangka yang gadis di hadapannya itu adalah punca puterinya sakit.
"Tak faham ke?" Lysda masih dengan senyuman sinisnya.
"Keluar! Jangan kau berani datang ke sini lagi!" Amarah si raja.
Riak wajah Lysda berubah. Dia berasa terhina kerana dihalau sebegitu rupa.
"Aku akan pergi. Tapi aku beri amaran pada kau. Jika kau tak dapat selesaikan hal ni dengan segera, kerajaan kau akan menjadi bayarannya."
Raja Czer bertambah marah.
Membara hatinya apabila Lysda semakin berani menggunakan kerajaannya sebagai bayaran.
Lyada berpaling ingin pergi.
Langkahnya berhenti di sebelah Diera.
"Cassia tu budak lemah. Sebab tu dia mati."
Sejurus itu, Lysda terus berlalu keluar. Meninggalkan dua beranak itu.
Diera mengepal buku lima. Sakit hatinya apabila Lysda berkata sebegitu tentang Schwi.
"Jadi, perempuan tulah 'lawatan' dari Aquilla?"
"Diera, ayahanda boleh jelaskan segalanya."
Diera mencampak gulungan kertas utusan yang selama ini disembunyikannya dari pengetahuan sesiapa.
"Diera benci ayahanda!"
Diera berlari keluar dari bilik itu.
Raja Czer tak sempat menghalang puterinya. Pandangannya tertancap pada gulungan kertas yang dicampak tadi.
Dia mendekati gulungan itu lalu mengambilnya.
Kertas itu dibuka dan kandungannya dibaca.
Menggeleng si raja dibuatnya.
Dalam pada itu, mereka tidak sedar bahawa setiap satu butir bicara mereka telah pun didengari oleh seseorang.
"Lembap... Kenapalah kau ikat perjanjian dengan perempuan tu."
Dia terbang meninggalkan kawasan istana. Tiada urusan dia di situ melainkan urusan mencuri dengar sebentar tadi.
Lysda berdiri di tengah laman istana itu.
Buku lima dikepal, gigi diketap kuat.
"Siapa pula yang berani ambil tenaga dari laluan ni?"
Membara hati Lysda saat melihat laluan tenaga Qzured yang memudar warnanya.
"Argh! Lantaklah. Ni cukup-cukup je untuk aku balik ke Aquilla."
Lysda terbang meninggalkan perkarangan istana. Urusannya sudah selesai.
Pemergiannya diperhatikan oleh Schwi tanpa disedari Lysda, memandangkan Schwi menyembunyikan auranya.
Ikutkan rasa hati, mahu saja dia menyerang Lysda, tetapi disabarkan hati dan perasaan.
"Belum masanya, Schwi. Sabar dulu."
Schwi juga terbang pulang ke rumahnya.
Dia tak mahu Kazu menunggu kepulangannya dengan lebih lama.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top