Bab 23~[Kazu, Kau Bodoh!]


Schwi dan Kazu turun ke ruang makan bersama.

"Wah! Pengantin baru dah bangun." Lina menyambut pasangan itu dengan gembira.

"Amacam malam pertama?" Zas bertanya dengan tujuan hendak mengusik.

"Merepek!" Schwi membaling sebuah kotak merah lalu terkena tepat pada kepala lelaki itu.

"Sakitlah." Zas menggosok
kepalanya yang sakit. Mana taknya, bucu kotak itu mencium kepalanya dulu.

Kazu diam saja. Kerusi ditarik, mempelawa Schwi untuk duduk di situ.

Schwi melabuhkan punggungnya di atas kerusi yang ditarik si suami.

"Hu~" Lina mengusik.

Pasangan itu langsung tidak berkata apa. Seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku antara mereka berdua.

Mereka mengambil tempat di meja makan.

"Apa ni?" Zas meletak kotak merah yang dibaling Schwi tadi di atas meja.

"Bukalah." Schwi tersenyum penuh makna.

Zas akur saja memandangkan rasa ingin tahunya terlalu tinggi.

Matanya bersinar tatkala melihat isi dalam kotak merah itu.

"Aku perasan, kau ada suka pada seorang pelayan bar perempuan dekat bar yang pernah kau bawa aku sebelum ni."

Zas mengangkat muka. Matanya merenung dalam ke dalam anak mata Schwi.

"Kau tahu?"

Schwi senyum saja.

"Cincin tu hadiah dari kami untuk kau. Terima kasih sebab sudi hadiri majlis kami semalam." Kazu menyatakan tanda penghargaannya.

"Wah! Seronoknya. Lina punya tak ada ke?" Lina juga teruja tatkala melihat sebentuk cincin yang berada di dalam kotak merah itu.

"Lina punya hadiah tunggu dulu. Beberapa bula nanti adalah," kata Kazu dengan niat mahu mengusik Schwi.

"Apa kau ni?" Wajah sudah memerah. Pandangannya menunduk, tertumpu pada pinggan kosong di depan mata.

Mereka ketawa melihat tingkah Schwi.

"Apa-apa pun, terima kasih sebab berikan cincin ni. Kalau ada masa nanti, aku lamarlah dia." Kotak ditutup semula.

"Semoga berjaya."

Ruang makan menjadi senyap ketika makanan sudah terhidang di atas pinggan masing-masing.

↭↭↭

"Kazu." Schwi memeluk Kazu dari belakang saat lelaki itu sedang menggeledah almari bajunya.

"Lain macam kau ni. Mesti ada sesuatu ni."

Schwi mengangguk.

"Aku nak minta izin ni."

"Cakap jelah."

"Aku nak jumpa Emilia dekat butik dia, boleh?"

Kazu tidak menjawab terus. Dia mengeluarkan sehelai baju berwarna biru. Pintu almari ditutup lalu tubuh dipusingkan terus menghadap Schwi.

Pelukan Schwi masih tetap pada pinggang Kazu.

"Nak buat apa ke sana?" Leher Schwi dipeluk. Dia terpaksa membongkok sedikit dek faktor tinggi Schwi yang tak berapa nak meninggi.

"Nak pulangkan gaun kahwin kita semalam."

"Ulang balik." Wajah dirapatkan dengan wajah Schwi.

Schwi sudah memerah wajahnya. Sapaan nafas Kazu pada wajah membuatkan dia gemuruh.

"Na-nak pu-pulangkan gaun." Gagap terus si gadis. Pandangan terus ditundukkan.

Kazu tersenyum sendiri. Dia berasa senang apabila dapat mengusik si isteri yang dulunya kepala batu, hati beku.

"Satu syarat."

Wajah diangkat. Memandang wajah Kazu dengan penuh tanda tanya.

Tidak semena-mena bibirnya dikucup oleh si suami.

Schwi terkedu.

"Terima kasih sayang." Hujung hidung si isteri dicuit dengan gaya manja.

Schwi terkaku, manakala Kazu tersenyum suka. Baju ditangan terus disarungkan pada tubuh.

"Pergilah. Tapi hati-hati. Jangan nak buat perangai dan menyusahkan Emilia pula." Kazu memberi pesanan seolah-olah Schwi itu seorang anak kecil yang nakal.

"Tahulah." Schwi mencebik.

"Jangan nak memuncung sangat. Gigit baru tau."

Bibir terus ditekup dengan tangan. Laju saja dia menggeleng tidak mahu.

"Hahaha." Kazu tertawa suka.

Schwi pula memandang Kazu dengan perasaan geram.

"Bila nak pergi?"

"Lepas ni."

Kazu mengangguk saja.

"Kau pergilah. Aku nak berehat dekat rumah je."

Kazu menghampiri katil lalu merebahkan badannya di atas tilam empuk itu. Mata dipejam rapat.

Schwi tersenyum sendiri. Hatinya disapa rasa gembira dan bahagia apabila diusik Kazu, walaupun usikan itu membuatkan dirinya malu sendiri.

Dia mendekati si suami yang kelihatan sudah terlena semula.

"Terima kasih untuk kebahagiaan ini." Pipi Kazu dikucup sebelum dia melangkah keluar daripada bilik dengan membawa gaun perkahwinannya.

Kazu tersenyum sendiri selepas ditinggalkan Schwi.

"Sama-sama sayang."

↭↭↭

"Emilia." Schwi menyapa dengan suara yang ceria.

Emilia yang sibuk menggantung baju-baju jualannya terus menoleh dan membalas senyuman Schwi.

"Wah, bahagianya dia."

Schwi senyum saja.

"Ada apa datang sini?" Emilia berlalu ke arah sebuah kerusi, lalu melabuhkan punggungnya di situ.

Schwi mengekori langkah Emilia dan duduk di hadapan kawannya itu.

"Aku nak pulangkan gaun kahwin semalam." Gaun kahwinnya diletakkan di atas meja kopi.

"Eh! Kenapa nak pulangkan pulak? Gaun tu adalah hadiah perkahwinan awak dari saya."

"La, ya ke. Kenapalah kau tak cakap awal-awal? Kalau tak, tak adalah aku susah-susah nak ke sini."

"Kazu tak beritahu awak ke?"

"Beritahu apa?"

Emilia menggeleng.

Schwi pula disapa dengan rasa hairan.

"Pada hari dia datang jumpa saya untuk berbincang tentang pengurusan majlis tu, saya berikan dia gaun tu pada dia. Saya kata pada dia, gaun itu adalah hadiah dari saya, dan saya mahu melihat awak memakainya pada hari perkahwinan kalian berdua." Panjang lebar Emilia bercerita hal gaun kahwin itu.

"Tsk! Tak guna. Siap kau balik nanti." Schwi berdecit dan bergumam sendiri.

Emilia hairan melihat tingkah Schwi.

"Ada apa lagi, Schwi?"

"Tak. Tak ada apa. Terima kasih sebab beritahu aku tentang gaun ni."

"Sama-sama." Emilia tersenyum. Senyuman itu langsung tidak pudar dari bibir wanita itu.

"Awak nampak bahagia."

"Ha?"

"Kazu pun mesti bahagiakan?"

Schwi menunduk.

"Entah la," katanya perlahan.

"Kenapa ni?"

"Aku risau. Risau jika aku tak mampu nak bahagiakan dia. Aku takut kalau suatu hari nanti dia menjauhkan diri daripada aku."

"Kenapa cakap macam tu?"

Schwi menggeleng.

"Tak ada sebab."

Emilia merenung wajah Schwi yang tiba-tiba saja berubah muram. Dirinya disapa dengan tanda tanya.

"Schwi, saya yakin, Kazu tak akan menjauhkan diri dari awak walau apa pun yang berlaku. Saya dapat lihat dari kaca matanya, dia sangat sayang akan awak."

Schwi tersenyum.

Ya, dia akui. Kazu amat mencintai dirinya walaupun pertemuan kali pertama antara mereka agak tidak menyeronokkan dan penuh dengan pertelingkahan.

Sedang mereka melayan perasaan, tiba-tiba loceng pada pintu butik Emilia berbunyi, menandakan ada pelanggan yang baru masuk.

Emilia pantas berdiri dan segera menyambut pelangganya itu.

"Selamat da... tang." Tingkahnya terhenti. Mata memandang tepat pada tiga orang lelaki yang berbadan tegap.

"Boleh saya bantu?" Emilia bertanya dengan lembut.

Schwi abaikan saja. Dia tidak mahu mengganggu Emilia yang sedang melayan pelanggannya.

Majalah yang berada di atas meja kopi dicapai. Diselaknya satu persatu muka surat tanpa perasaan.

BUM!

Schwi tersentak.

Majalah terus ditutup dan dihempas di atas meja. Membara hatinya apabila bunyi itu mengejutkan diri yang sedang leka termenung.

Dia berdiri lalu menoleh.

Mata mengecil tatkala memandang tiga orang lelaki yang berhadapan dengan Emilia.

Lirikan mata beralih pula pada parang yang tercacak tegak di atas meja kaunter.

"Apa masalah ni?" Schwi bertanya dengan riak wajah tidak berperasaan. Dia melangkah menghampiri mereka semua.

"Schwi, jangan." Emilia cuba menahan Schwi.

"Oh! Kau mesti dari kumpulan penyangak hari tu, kan? Apa khabar dengan budak kau sebelum ni?" Schwi tersenyum sinis apabila mengingati tiga orang lelaki yang tumpas di tangannya hari tu.

"Jadi, kaulah perempuan tu ya? Bagus. Tak payah susah-susah aku nak gertak penduduk dekat sini semata-mata nak cari kau."

Sepucuk pistol dikeluarkan dari balik baju. Hujung pistol diacukan tepat pada kepala Schwi.

"Schwi." Emilia menjadi cemas.

Schwi masih tidak bereaksi wajahnya.

"Lelaki yang kau potong tangannya tu adalah adik aku. Aku cari kau untuk balas dendam dengan nyawa kau."

"Dasar pengecut." Schwi berkata perlahan.

"Apa kau cakap?"

"Pengecut!"

Schwi menunduk.

BANG!

DBUK!

Tembakan tersasar dan terkena pada dinding.

Tumbukan Schwi kena di bawah dagu lelaki itu.

"Argh!" Tepi kepala lelaki itu disepak dengan sepenuh tenaga.

Lelaki itu teranjak sehingga melanggar kaunter kayu, lalu ia runtuh.

"Siapa pula?" Schwi berubah sikapnya. Wajahnya kosong tanpa perasaan.

Getah rambut dikeluarkan dari dalam poket. Rambut diikat sanggul dengan tinggi.

Dua lagi lelaki mengeluarkan senjata tajam mereka. Mereka menerpa ke arah Schwi dengan serentak.

Seorang dari mereka cuba menikam. Schwi mengelak. Lengan lelaki itu ditangkap.

Seorang lagi menerjah pantas.

Schwi tersenyum sinis.

Lengan lelaki tadi ditarik, lalu pisau yang dipegang terbenam pada perut rakannya itu.

Mereka berdua tergamam.

"Sakit?"

Lelaki yang ditikam itu terus disepak sehingga dia melanggar dinding.

"Giliran kau pula."

PRAK!

Lengan lelaki itu dipulas sehingga terdengar bunyi tulang-tulang yang entah retak ataupun patah.

"AARGGHH! SAKIT!" Meraung dan menggelupur lelaki itu dek tidak tahan dengan derita itu.

Tidak habis dengan itu, Schwi mengilas tangan yang sudah patah itu ke belakang. Pelipat lutut disepak sehingga si lelaki jatuh melutut.

"Dasar tak guna. Parasit macam kalian ni yang akan membuatkan dua kerajaan musnah dan saling berbalah." Schwi meluahkan rasa marahnya.

"Aku tak akan lepaskan manusia seperti kau."

Tangan sudah bersedia mahu mematahkan tengkuk lelaki itu. Tetapi tiba-tiba...

"Arghh! Sakit! Lepaslah!" Rambut Schwi direntap ke atas sehingga dia terangkat tidak menjejak tanah.

"Dasar perempuan tak guna!" Seorang lelaki yang entah siapa pula, mengherdik Schwi dengan lantangnya.

"Kau siapa ha?" Dalam pada menahan sakit, Schwi sempat bertanya.

"Akulah ketua kumpulan ni. Berani kau cederakan budak-budak aku ya, perempuan!"

"Ah! Budak kau yang tak guna! Pengecut! Lembik macam perempuan! Pondan!" Schwi menghina bersungguh-sungguh. Dia benci! Benci dengan manusia seperti mereka.

"Lepaskan Schwi." Emilia bersuara dengan berani setelah sejak tadi menjadi pemerhati.

"Huh! Baik kau diam perempuan lemah. Kau tak berhak nak bersuara."

Emilia mengetap gigi.

"Aku tak akan lepaskan perempuan biadab ni. Lagipula, dia amat berharga." Lelaki itu tersenyum sinis.

Schwi menggelupur ingin melepaskan diri. Kakinya menendang-nendang angin.

"Lambang di belakang leher kau jelas menunjukkan yang kau bukanlah manusia. Jika ia tatu sekalipun, kekurangan masih dapat dilihat. Tetapi lambang Zodiak Leo pada leher kau ni, langsung tiada kecacatan dan ia bukanlah dilakar hasil dari dakwat tatu."

Schwi tersentak. Tingkahnya bertukar ganas.

"Jangan bergeraklah!" Pisau yang masih berkilat diacukan pada leher Schwi.

Schwi tersentak. Tindakannya terhenti.

Lelaki itu tersenyum sinis.

"Kalau aku jual kau pada pasaran gelap, aku yakin, ramai yang berebut mahukan kau. Barang baik, siapa yang tak mahukan."

Lelaki itu tertawa. Bangga mengenangkan kekayaan yang bakal dihasilkanya dengan hanya menjual tubuh Schwi pada pasaran gelap.

Emilia baran mendengarnya. Penumbuk dikepal. Tanpa sedar, anak matanya berubah hitam sepenuhnya.

Dalam lelaki itu leka dengan angan-angannya, tiba-tiba dia diserang dari sisi.

Schwi terjatuh di atas lantai. Pisau juga berdenting jatuh di atas lantai.

"Sakitnya." Schwi memegang kepalanya yang pedih.

"Berani kau acukan pisau pada isteri aku." Suara keras dari seorang lelaki membuatkan Schwi mendongak.

Dia memandang Kazu yang dilanda amarah. Dada lelaki itu berombak ganas.

Seram pula dia melihat si suami.

"Bagi tu."

Schwi memandang ke arah pisau. Pisau itu diambil lalu dihulurkan pada Kazu.

Kazu megambilnya lalu menggengam ia kemas. Langkah pantas menerpa ke arah lelaki tadi.

"Schwi." Emilia menarik Schwi agar bangun. Gadis itu dibawa ke meja tempat mereka berbual sebentar tadi.

Mereka hanya memerhati saja perlawanan antara Kazu dan lelaki yang tidak dikenali itu.

Dalam pada berlawan, beberapa orang lelaki yang mungkin ahli kumpulan itu menerjah masuk ke dalam butik lalu mencampur tangan dalam perlawanan itu.

Schwi gelisah melihat Kazu berlawan dengan mereka yang ramai.

"Jangan." Tingkah Emilia, seolah-olah tahu yang Schwi ingin masuk campur juga.

"Tapi..."

"Percayakan Kazu. Dia mampu uruskan mereka semua."

Schwi memandang Emilia.

Gadis itu kelihatan tegas dan serius tak mahu dia masuk campur.

Schwi akur saja.

Mereka terus menjadi pemerhati.
"Kau tak kisah ke butik ni bersepah macam ni?"

"Tak. Aku tak kisah pun."

Schwi kehairanan. Senyuman menghiasi wajah Emilia.

'Dia tak marah ke?'

Beberapa jam berlalu, kumpulan itu tumbang kesemuanya.

Kazu pula masih teguh berdiri meskipun tubuhnya lebam-lebam dan terdapat kesan hirisan pisau yang masih segar dan mengalirkan sejumlah darah.

"Kazu." Schwi segera mendapatkan si suami.

Kazu dipapah ke arah tempat dia berlindung sejak tadi. Kazu didudukkan dengan selesa.

Schwi duduk melutut di hadapan Kazu.

"Teruknya luka kau."

Kazu senyum saja pada Schwi.

"Dia ada cederakan kau?" Kazu bertanya penuh risau. Lelaki itu seperti tidak kisah dengan keadaan dirinya.

Air mata Schwi bergenang di tubir mata.

"Eh? Kenapa ni?" Kazu menjadi panik.

"Kenapa kau pedulikan diri aku? Kau yang cedera teruk! Jangan nak tanya tentang aku yang tak apa-apa ni!" Schwi berasa geram. Dia menunduk memandang lantai.

"Baguslah kau tak apa-apa."

Schwi terkedu dengan tindak balas Kazu. Dia mendongak memandang wajah Kazu.

Ternyata, lelaki itu amat mengambil berat tentang dirinya.

"Kazu bodoh!" Schwi menangis pada lutut Kazu.

Kazu tersenyum saja. Kepala Schwi diusap penuh kasih dan rasa cinta.

Emilia yang baru keluar dari tandas dengan membawa sebekas air hanya tersenyum memandang pasangan itu. Dia tumpang bahagia buat mereka berdua.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top