Bab 22~[Hari Bahagia]
"Okey ke macam ni?" Berkerut dahi Schwi tatkala melihat pantulan wajahnya sendiri.
"Cantik dah ni. Saya yakin, awaklah pengantin yang paling cantik di mata semua orang." Puji Emilia dengan rasa puas hati terhadap kebolehannya menyolek.
Solekan Schwi tidaklah terlalu tebal. Ia masih menyerlahkan keaslian wajah si gadis. Cuma ditambah dengan sedikit bedak, pelembap bibir, celak dan pemerah pipi saja, ia sudah mampu menyerlahkan seri pengantin itu.
"Cuba baju ni pula." Sehelai gaun berwarna putih dengan bunga merah dibawahnya, dihulurkan pada Schwi.
Schwi berpaling. Gaun itu diambilnya.
"Siap cepat ya. Saya nak turun bawah untuk siapkan apa yang patut dulu."
Schwi mengangguk saja. Dia pun sebenarnya mahu bersendirian.
Setelah Emilia keluar, Schwi kembali menghadap pantulan wajahnya.
"Kali pertama dan kali terakhir aku bersolek sebegini semasa majlis pertunangan kita, kan Nolan." Senyuman kecil cuba diukir.
Schwi memandang gaun yang dipegangnya.
"Kenapa aku perlu hidup dalam kenangan? Kazu adalah masa depan aku. Aku perlu menggapai kebahagiaan aku sendiri, bukan?" Semangat cuba dititipkan di dalam diri.
Pakaian yang tersarung pada tubuh dilucutkan satu persatu. Gaun pemberiaan Emilia disarungkan pada tubuh.
Segaris senyuman terlakar tatkala melihat pantulan dirinya sendiri.
"Ia sangat sesuai dengan kau." Schwi memuji dirinya sendiri.
"Mungkin perlukan sedikit sentuhan terakhir."
Mata melirik ke arah pintu melalui cermin. Dia berharap tiada siapa yang akan curi masuk tika ini.
Mata dipejam rapat.
Rambutnya beralun seperti ditiup angin. Perlahan-lahan warna kelabu rambutnya berubah hitam berkilat seperti sebelum ini.
Rambut juga bergerak-gerak membentuk tocang dengan sendirinya.
Mata dicelikkan semula. Kali ini, senyuman yang terbentuk lebih lebar lagi. Dia berpuas hati.
"Schwi, saya masuk ni."
Emilia membuka pintu dan dia terpegun.
"Macam mana?" Schwi memusingkan tubuhnya 360°. Memperagakan gaun yang tersarung pada tubuhnya.
Emilia menghampiri. Bahu Schwi disentuh.
"Awak macam bidadari." Puji Emilia dengan ikhlas. Matanya tidak berkelip memandang kecantikan Schwi.
Schwi tertawa kecil.
"Memang pun. Bidadari dari Aquilla."
Emilia tertawa saja. Dia langsung tidak memahami maksud kata-kata Schwi tadi.
"Sudah. Semua dah menunggu dekat bawah sana."
"Eh? Dah nak kena turun ke?"
Emilia mengangguk.
"Dandanan rambut awak pun dah cantik dah ni. Sempurna je saya tengok."
Schwi tersenyum saja.
Emilia menghulurkan tangannya.
"Dah sedia?"
Dengan rasa gemuruh, Schwi menyambut huluran tangan Emilia.
"Saya takut."
"Jangan risau, saya ada." Tangan Schwi digenggam kemas. Cuba memberi ketenangan buat bakal pengantin itu.
Mereka berjalan beriringan keluar dari bilik.
Dengan berhati-hati, dua gadis itu menuruni anak tangga.
Belum kaki menjejak lantai, satu suara datang menegur.
"Berhenti."
Mereka terhenti melangkah.
Lina menghampiri. Sepasang kasut tumit berwarna silver diletakkan di atas lantai.
"Cuba sarung."
Schwi mengangguk.
Gaun diangkat sedikit. Kasut tu disarungkan pada kaki. Ternyata, ia sangat padan!
"Cantik." Puji Lina dan Emilia serentak.
Gaun diturunkan. Senyuman dilemparkan kepada Lina.
"Terima kasih, Lina."
Lina membalas senyuman.
"Apa saja untuk akak."
"Hei cepat! Kenderaan dah sampai." Seorang wanita yang agak berusia menyapa dari muka pintu.
Dengan bantuan Lina dan Emilia, Schwi berjalan keluar rumah.
Di laman rumah, terdapat sebuah kereta kuda setia menanti.
Schwi menaiki kereta kuda itu dengan bantuan Lina dan Emilia. Dirinya juga diapit oleh dua orang gadis itu tika duduk.
Mereka bertiga dibawa ke tempat di mana dua hati bakal disatukan.
♥♥♥
Bersaksikan alam dan para tetamu, dua jiwa disatukan.
Upacara menyarung cincin berlangsung. Pasangan mempelai menyarungkan cincin pada jari pasangannya.
Schwi menahan air mata daripada mengalir tatkala Kazu menyarungkan cincin pada jarinya.
Kazu mengucup lembut dahi Schwi. Ia menambahkan lagi rasa sayu di hati gadis yang kini sudah bergelar isteri kepada Kazu Ereki.
"Mata merah-merah ni dah kenapa?" Kazu bertanya dengan suara yang perlahan.
Schwi mengangkat wajah. Menatap wajah Kazu yang berseri penuh kebahagiaan.
"Aku... Cuma gembira. Terlalu gembira."
Kazu tersenyum. Tubuh Schwi didakap erat. Ubun-ubun isterinya itu dikucup penuh kasih.
Para tetamu ada yang bersorak dan bersiul. Saja mengusik pasangan pengantin baru itu.
Wajah Schwi sudah berubah merah. Malu kerana dikperlakukan sebegitu rupa di khalayak ramai.
Setelah itu, para tetamu dipelawa untuk menikmati makanan yang sudah disediakan.
Riuh sekejap dewan terbuka itu dengan suara tetamu yang berbual. Ada juga yang datang menyapa pasangan itu dan mengucapkan tahniah buat mereka berdua.
Kazu dan Schwi layankan saja kerenah tetamu mereka.
"Boleh kita bercakap kejap?" Schwi berbisik pada Kazu yang leka melayan tetamu.
Kazu mengangguk saja. Tangan Schwi dicapai lalu ditarik isterinya itu keluar daripada dewan.
Mereka berdua berjalan ke arah sebuah tasik yang berada di belakang dewan. Sebuah bangku yang menghadap sebuah tasik menjadi tempat duduk mereka untuk berbual.
"Macam mana kau mampu siapkan semua persiapan ni?" Schwi meluahkan juga persoalan yang bermain di mindanya sejak sebelum majlis lagi.
"Aku sempat minta tolong Emilia. Lepas kita balik semalam, aku pergi ke butik Emilia cara senyap gunakan portal. Aku yang suruh dia sediakan apa yang patut dengan bantuan orang ramai."
Schwi tersenyum. Tangan Kazu digenggam kemas.
"Terima kasih untuk segalanya." Air mata bertakung di tubir mata. Dia terharu kerana Kazu benar-benar mengotakan janjinya untuk mengahwini diri yang serba kekurangan ini.
"Apa saja untuk kekasih aku ni." Air mata yang sudah mengalir diseka lembut.
"Aku tak mahu kau menangis lagi. Kau dah banyak menderita. Kali ni, izinkan aku untuk padamkan penderitaan tu."
Bibir Kazu singgah pada dahi Schwi.
Schwi mengangguk. Air mata mengalir tanpa henti. Hatinya tersentuh. Dirinya juga sudah lama dahagakan kasih sayang daripada seseorang.
"Terima kasih, Kazu." Wajah disembamkan pada dada Kazu.
Kazu mendakap erat Schwi.
"Shh... Sudah la. Kalau Lina nampak ni, dia mesti ingat yang aku buli kau. Janganlah macam ni."
"Kazu, Schwi. Buat apa dekat sana tu? Jom. Sesi bergambar pula sekarang ni." Emilia menyapa pasangan itu dari jauh.
"Kami datang." Kazu menjawab lalu meleraikan dakapan.
Wajah Schwi ditatap kejap.
"Hodoh."
Schwi menjeling. Air mata dikesat.
"Kotorlah baju tu."
Segera sehelai sapu tangan dihulurkan.
Usai sesi memujuk, mereka berdua kembali ke dewan utama.
"Betul kata raja, kau nampak cantik dengan perhiasan tu." Kazu sempat memuji tatkala mereka berjalan kembali ke dewan.
"Kan. Cantik perhiasan ni. Aku pun sukakannya." Rantai berlian yang dipakai, diusap.
Kazu menjeling Schwi.
Rantai dan anting-anting yang dipakai oleh Schwi kini, merupakan hadiah daripada raja semalam.
Segalanya berjalan dengan lancar. Dari awal hingga akhir, Emilialah yang uruskan segalanya.
Terima kasih buat Emilia yang cekap melakukan tugas dalam menguruskan majlis itu.
♥♥♥
Di taman belakang rumah, Schwi bersendirian. Berdiri di bawah langit yang dipenuhi dengan butiran-butiran bintang.
"Kau buat apa dekat luar ni?"
Pinggang Schwi dipeluk dari belakang. Dagu ditongkatkan di atas kepala Schwi.
"Tak ada apa. Aku cuma tengah cuba nak hantar surat pada bonda." Buku pelepah hitam di tangan, dipandang dengan rasa hiba.
"Tak boleh?"
Schwi menggeleng.
"Tak apalah. Lain kali saja, ya."
Schwi mengeluh kecewa. Dia akur akan kelemahannya.
"Aku nak tanya sesuatulah."
"Ya?"
"Rambut kau dah kembali kepada warna asal semasa majlis pagi tadi. Tapi kenapa sekarang ia berubah kelabu semula?"
Schwi diam sejenak. Dia berfikir untuk menyusun ayat supaya mudah difahami oleh si suami.
"Qzured."
"Ha?"
"Ini semua sebab tenaga Qzured yang aku sempat ambil sedikit sebelum aku dicampakkan ke dunia ni."
Kazu diam. Dengar saja cerita yang bakal diceritakan oleh isterinya itu.
"Tenaga tu dah habis aku gunakan. Sebab tu aku senang jatuh sakit dan selalu pengsan. Tenaga tu membantu dalam daya tahan badan puak aku. Tanpa tenaga tu, beginilah kami. Lemah. Lembik."
Keluhan meniti di bibir.
"Siapa suruh kau gunakannya untuk merawat Diera."
"Kau tahu?"
Kazu mengangguk.
"Apa saja yang mampu kau sembunyikan dari aku, Schwi?"
Schwi tersenyum saja.
Tubuh Schwi dipusingkan terus menghadap dirinya.
"Aku hargai apa yang kau lakukan. Niat kau memang baik, tapi kau langsung tak fikirkan akibatnya. Kaulah perempuan yang paling keras kepala aku pernah jumpa tahu tak." Dahi Schwi dijentik.
"Sakit." Schwi mengusap dahinya.
"Tapi, kaulah perempuan yang paling sempurna di mata aku."
Kazu mengucup bibir si isteri sekilas.
Schwi terkedu. Wajahnya juga sudah memerah
Mata memandang wajah Kazu yang bersahaja.
"Kau sempurnakan aku." Pipi Schwi diusap lembut.
Senyuman terlakar di bibir pasangan itu. Kebahagiaan milik mereka buat masa kini.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top