Bab 20~[Sengaja]


"Schwi." Harla menerjah masuk ke dalam bilik. Di tangannya terdapat sehelai gaun berwarna hitam yang dihiasi kilauan.

"Ini untuk awak. Permaisuri arahkan saya untuk hantar baju ni pada awak dan pastikan awak memakainya masa sarapan bersama keluarganya." Panjang lebar Harla berkata perihal jemputan keluarga diraja itu.

Schwi yang bersila di atas katil terus berdiri dan menghampiri Harla. Baju di tangan wanita itu diambil.

"Cantik. Terima kasih sebab hantarkannya. Saya akan pakai gaun ni nanti."

Harla mengangguk besertakan senyuman manis di bibir.

"Saya keluar dulu." Harla meminta diri terlebih dahulu.

Setelah Harla keluar, dengan segera Schwi membawa gaun itu masuk ke dalam bilik mandi. Dia perlu segera bersiap sebelum Kazu datang menjemputnya.

Setengah jam Schwi berada di dalam bilik mandi dan kini, gaun yang diberikan sudah tersarung elok pada tubuhnya.

Dia berdiri di hadapan sebuah cermin besar. Tubuh dipusing-pusingkan di depan cermin itu.

Secebis senyuman terlakar. Dia berpuas hati dengan penampilan dirinya.

"Sesuai dengan warna rantai ni." Rantai yang tersangkut pada leher disentuh. Terimbau pula saat kali pertama Kazu membelikannya rantai itu.

Wajah terus memerah.

"Oi! Kau dah siap ke belum?" Ketukan dan suara Kazu beriringan di luar sana.

Schwi mendengus. Baru nak berangan kejap.

"Masuklah," kata Schwi yang masih berdiri di depan cermin. Langsung tak mahu berganjak.

Buka saja pintu, Kazu terus terkaku. Tergamam dia melihat kecantikan Schwi.

"Kazu." Schwi tersenyum ceria.

Berseri wajah gadis itu. Langsung tidak seperti malam tadi, pucat dan tak bertenaga.

"Oi! Jangan diam je. Komen sikit." Riak wajah Schwi berubah. Geram kerana lelaki itu langsung tidak memberikan sebarang respon.

"Cantik bakal pengantin aku ni."

Terus berubah warna wajah si gadis.

"Ja-jangan nak me-merepeklah." Terus tergagap.

Schwi berpaling. Menghadap cermin semula.

Kazu menghampiri.

Dia berdiri di belakang Schwi.

Berdegup kencang jantung Schwi. Hilang rentak sampaikan rasa nak meletup.

Getah rambut Schwi terus dileraikan. Rambut si gadis yang sudah kelabu warnanya, beralun lembut.

"Lagi cantik kalau rambut kau dilepaskan sebegini."

Schwi menunduk. Tak sanggup bertentangan mata dengan Kazu walaupun hanya pantulan cermin.

"Sudah la. Berhenti berangan di siang hari."

Berderai rasa segan dalam diri Schwi.

"Diamlah." Perut Kazu disiku. Geram!

Kazu tertawa sambil menahan perut yang sakit.

"Jomlah. Jangan biarkan keluarga diraja ni tunggu kita."

Schwi mengangguk.

Kazu berjalan mendahului Schwi.

Tiba saja di ruang makan, pintu ruang itu dibuka oleh dua orang pengawal.

Beberapa orang yang dikenali mereka berdua sudah duduk menanti.

Kazu dan Schwi mengambil tempat di hadapan sekali. Tempat yang dikhaskan buat mereka berdua dan ia berhampiran dengan si raja yang duduk di depan meja.

"Maaf kami lambat." Kazu meminta maaf bagi pihak Schwi juga.

"Tak mengapa. Beta sekeluarga baru saja tiba." Raja Czer tersenyum mesra buat dua tetamu khasnya itu.

"Harla." Dia memandang Harla yang berdiri di belakang si permaisuri.

Harla mengangguk, faham akan arahan si raja.

Harla melangkah keluar dan beberapa minit kemudian, barisan pembantu wanita masuk dengan membawa pelbagai jenis makanan.

Dah macam hidangan untuk makan tengah hari pula gayanya.

Untuk seminit yang pertama, meja makan diam saja tanpa suara. Sehinggalah tiba-tiba Zas bersuara.

"Aku dengar kau nak kahwin?" Soalan ditujukan pada Kazu yang duduk di sebelahnya.

Mata terus tertumpu pada Kazu. Semua mahukan jawapan dari lelaki itu.

Kazu tersenyum.

Tangan Schwi yang terletak di atas meja digenggamya kemas.

Terus tertumpu mata mereka pada pegangan Kazu.

"Ya. Kami akan berkahwin lepas selesai tugas di sini," kata Kazu sempat lagi menjeling Schwi yang kaku di tempat duduknya.

Semua tersenyum sebagai tanda turut bergembira buat mereka berdua. Tetapi dalam diam, dua hati sedang kecewa dan retak seribu.

"Tahniah buat kamu berdua." Si permaisuri menyampaikan ucapan tahniahnya.

"Baguslah. Beta tumpang gembira buat kamu berdua. Jadi, sebagai tanda tahniah, beta akan hadiahkan sesuatu buat kamu berdua sebelum kamu berangkat pulang."

Kazu dan Schwi tersenyum saja. Mana mungkin mereka akan menolak jika si raja sendiri yang hendak memberinya.

"Tahniah." Zas menepuk bahu Kazu.

Kazu berpaling memandang Zas.

"Terima kasih," ucap Kazu sekadar gerak bibir tanpa mengeluarkan suara.

Zas tersenyum penuh makna.

♥♥♥

"Kau ni, buat malu betullah." Rungut Schwi pada Kazu yang selamba saja riak wajahnya.

"Biarlah. Aku nak semua tahu yang kau ni bakal menjadi milik aku."

Memerah terus wajah Schwi.

"Sudah-sudah la mengarut tu."

"Aku tak mengarut. Aku serius."

Schwi terus berpaling. Menyelami perasaan Kazu dari kaca mata lelaki itu sendiri.

"Haih... Baiklah. Aku faham niat kau. Tapi janganlah mendadak macam tu. Malu aku."

"Yelah."

Dalam pada mereka berjalan sepanjang koridor, Harla datang menyapa.

"Schwi, boleh ikut saya sekejap tak?"

"Ada apa ya?"

Harla menjeling sekilas pada Kazu.

"Pergilah Schwi. Mungkin Harla ada sesuatu yang nak dibicarakan pada kau."

Kazu memberikan kebenaran. Dia tahu Schwi teragak-agak untuk meninggalkan dirinya sendirian.

Schwi memandang Kazu yang tersenyum saja.

Disebalik senyuman itu, Schwi tahu lelaki itu langsung tak mahu dia pergi. Tetapi terpaksa demi menjaga hati dan perasaan Harla.

"Mari." Harla menghulur tangan.

Schwi menyambut dan dengan pantas Harla menarik Schwi pergi.

"Boleh kita bersembang kejap?" Suara yang menyapa membuatkan Kazu mengeluh.

Dia berpusing lalu menghadap empunya suara.

"Dekat mana?"

"Bawah sana." Jari dituding ke arah sebuah meja batu yang berbumbung.

Kazu ikutkan saja. Ikutkan hati, dia malas hendak melayan gadis itu.

♥♥♥

Harla membawa Schwi ke laman depan istana. Langkah menghampiri kolam bunga teratai putih.

Dari jauh, mata dapat melihat jelas susuk tubuh seorang lelaki yang membelakangkan mereka.

Schwi mengeluh. Dia tahu siapakah gerangan lelaki itu dari belakang. Sememangnya sudah diduga perkara ini akan berlaku.

"Keir." Harla menyapa.

Keir menoleh lalu tersenyum pada Harla.

"Terima kasih, kak."

"Sama-sama. Akak tinggalkan kalian berdua ya."

Harla melangkah pergi, meninggalkan Schwi dan Keir berdua.

"Duduklah."

Schwi menjeling kerusi batu yang menghadap kolam. Keluhan meniti bibir lagi.

'Harap perkara ni tak berlalu lama.'

Schwi duduk dalam keterpaksaan.

Keir mengambil tempat di sebelah Schwi.

"Tak suka ke jumpa dengan saya?"

"Keir, kau tahu aku akan berkahwin, bukan. Aku tak selesa la nak berjumpa berdua macam ni." Schwi meluahkan perasaan kurang selesanya. Dia perlu jujur jika tak mahu Keir terus berharap.

"Maaflah. Saya cuma nak luangkan masa dengan awak buat kali terakhir je."

Schwi menggeleng.

"Aku nak jaga hati Kazu. Aku tak..."

"Kau suka dia?"

"Ha?"

"Kau cintakan Kazu?"

Schwi memandang wajah Keir dari sisi.

Lelaki itu kelihatan tenang walaupun terselit kesedihan di matanya.

"Ya. Aku cintakan dia. Walaupun perasaan ni baru datang, tapi aku yakin dengan diri aku. Perasaan ni, hanya untuk dia."

Schwi memandang kolam teratai dengan senyuman gembira di bibir. Dalam hati, dia tak sabar hendak berkongsi hidup dengan lelaki yang dicintainya itu.

"Kau nampak gembira."

Schwi memandang Keir semula.

Mata bertemu kejap.

"Baguslah. Aku pun tumpang gembira."

Keir membuang pandang pada bunga teratai yang terapung-apung di dalam kolam.

Suasana antara mereka berubah sunyi. Tiada apa lagi yang hendak diperkatakan mahupun diluahkan.

Si lelaki sudah menerima, perasaannya tak mungkin akan dibalas oleh si gadis.

♥♥♥

"Apa yang tuanku nak sembangkan dengan saya?" Kazu memulakan madah. Dia kebosanan. Sejak tadi hanya diam saja tanpa berkata.

"Betul ke apa yang saya dengar masa sarapan tadi?"

Kazu mengeluh. Dia benci apabila orang bertanya hal yang sudah nyata dan sudah diketahui.

"Ya, tuanku."

"Diera. Panggil je saya Diera."

Kazu hanya diam.

Mereka langsung tidak bersuara lagi.

'Schwi. Datanglah sini!' Kazu menjerit di dalam hati.

"Kazu, saya..."

"Kazu."

Kazu pantas menoleh pada pemilik suara yang memanggilnya.

Dia tersenyum sendiri.

Segera dia berdiri.

Diera hanya memerhati.

"Saya minta diri dulu, tuanku."

Diera mengangguk saja. Membenarkan Kazu untuk pergi kepada kekasih pilihannya.

Tanpa berlengah lagi, Kazu terus mendapatkan Schwi.

Gadis itu ditarik pergi. Jauh daripada tempat duduknya tadi.

"Baguslah. Kau sampai tepat pada masanya."

"Ah! Aku datang selamatkan kau, tapi kau tahu tak, sepanjang bersembang dengan Keir tadi, merayu-rayu aku harap kau datang. Tapi hampeh. Aku pulak yang selamatkan kau."

Schwi mencebik geram.

"Alahai, takkan aku nak tinggalkan puteri tu seorang diri. Tak beradab namanya tu."

Schwi diam saja. Dia dalam mood merajuk!

"Janganlah macam ni. Aku bosan nanti."

Bahu Schwi ditolak-tolaknya.

"Wei! Masuk longkang aku nanti."

Lengan Kazu ditepuk berkali-kali.

Kazu hanya tertawa saja. Dia senang dengan sikap Schwi yang satu tu.

Dalam masa yang sama, Diera masih di tempat sama. Dia meratapi perasaannya yang baru saja ditolak tanpa dia sempat meluahkannya.

"Haih... Malangnya hidup aku ni." Kepala dilentokkan di atas meja batu itu.

Baru hendak memejamkan mata, dia dikejutkan dengan kehadiran satu buku pelepah putih yang mendarat di depan matanya.

Duduknya terus tegak. Bulu pelepah itu disentuh dengan teragak-agak.

Sentuh saja permukaan pelepah itu, tiba-tiba saja ia berubah menjadi segulung utusan. Diera terkejut.

Utusan yang terapung-apung di udara itu, dibaca dan dihadam.

Hatinya disapa dengan tanda tanya.

"Kunjungan dari Aquilla?"

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top