Bab 18~[Dikawal Emosi]


Kazu menjeling Schwi yang berjalan di sebelahnya.

Langkah gadis itu terlalu perlahan dan lemah. Wajahnya juga langsung tiada seri walaupun bersolek sedikit.

"Schwi."

"Ya."

"Kau okey ke ni? Kalau rasa tak kuat, kita balik je ya." Penuh kerisauan Kazu berkata-kata.

Schwi menggeleng.

"Aku okey dan memang niat aku nak jalan-jalan dalam kota ni dengan kau."

Lengan Kazu dipaut. Tubuhnya terasa ringan dan nasib baik dia sempat berpaut pada lengan Kazu.

"Tengok. Nasib baik tak jatuh. Kita balik sajalah," pujuk Kazu lalu memaut pinggang Schwi.

"Kau lapar tak? Jom kita cuba makanan dekat kafe ni." Schwi mengubah topik. Jarinya dituding pada sebuah kafe yang betul-betul berada di sebelah mereka.

Kazu mengeluh.

"Yelah."

Schwi senyum suka.

Mereka memasuki kedai itu dan terus mengambil tempat kosong yang ada.

Seorang pelayan datang dan mengambil pesanan mereka sebelum berlalu pergi.

Setelah pelayan tadi pergi, Schwi terus membaringkan kepalanya di atas meja. Mata pula dipejam rapat.

"Nanti bila pesanan dah sampai, kejutkan aku ya."

Kazu tidak menjawab. Dia hanya memerhati tingkah Schwi yang begitu aneh di matanya.

Hembusan nafas tenang dan dengkuran kecil terhasil. Gadis itu kelihatan begitu lena walaupun baru beberapa saat melentokkan kepala di atas meja makan mereka.

Sekali lagi Kazu mengeluh.

Mindanya memainkan kejadian pertelingkahan kecilnya dan Schwi semasa di istana sebelum mereka berjalan keluar.

"Aku nak ikut boleh?" pinta Schwi yang tiba-tiba muncul di muka pintu bilik Kazu.

"Aku bukan tak kasi kau ikut, cuma tengoklah keadaan kau sekarang ni. Macam tak sihat."

Schwi melangkah masuk. Dia duduk di birai katil.

"Kali ni je. Aku memang teringin nak berjalan dekat kawasan kota ni. Tolonglah Kazu." Schwi merayu dengan muka meminta simpati.

"Kalau jadi apa-apa pada kau nanti macam mana? Aku tak nak kau susah."

"Aku susah, atau kau tak suka? Yelah, nanti kalau apa-apa jadi pada aku, kau juga yang susah. Lepas tu merungut-rungut sebab aku ni menyusakan kau dan bla... bla... bla..."

"Schwi!" Kazu meninggikan sedikit suaranya.

Schwi kelihatan tersentak. Dia terus terdiam dan menunduk.

"Ya, aku akui yang kau akan menyusahkan aku."

"Ha! Kan betul tekaan aku. Kau tak suka sebenarnya kan!" Pantas saja Shwi membalas tanpa sempat Kazu menghabiskan kata-katanya.

"Tapi tak bemaksud aku akan tinggalkan kau begitu je. Aku tak kisah kalau kau nak susahkan aku, tapi aku kisah kalau kau susahkan diri kau sendiri. Aku risau kalau apa-apa jadi pada kau. Tolonglah faham aku, Schwi."

Schwi terkedu mendengarnya. Kepala menunduk memandang lantai.

Air mata bergenang kerana terharu dengan kata-kata yang terluah dari lelaki itu.

"Schwi." Kazu melutut di hadapan si gadis.

Schwi mengangkat wajah. Dia tersenyum pada Kazu.

"Aku akan baik-baik saja. Aku janji."

Kazu mengeluh. Schwi memang keras kepala dan tak suka dengar kata.

"Baiklah. Pergi bersiap cepat." Kazu terpaksa. Dia pun malas nak berjalan keliling kota tanpa teman, sebenarnya.

"Pesanan encik."

Kazu kembali ke dunia nyata. Dia memandang wajah pelayan yang menghidangkan sepinggan roti croissant dan minuman mereka berdua.

"Terima kasih."

Pelayan itu mengangguk sebelum berlalu pergi.

Kazu memandang Schwi yang masih lena. Serba salah pula hendak mengejutkan gadis itu.

"Schwi."

Lengan yang menjadi alas kepala si gadis ditepuk perlahan.

Schwi tersentak.

Si gadis duduk menegak. Nafasnya laju dan dada berombak pantas. Riak wajahnya pula seolah-olah dia baru saja mengalami mimpi yang sangat menggerunkan.

"Kenapa ni?" Berkerut dahi Kazu melihat sikap Schwi.

Schwi menatap wajah Kazu kejap.

"Tak ada apa. Mimpi saja," jawabnya lalu memalingkan wajah ke arah lain.

Kazu tidak mahu bertanya dengan lebih lagi. Dia yakin yang Schwi akan bercerita juga padanya nanti.

"Makan ni Schwi. Tambah tenaga sikit." Pinggan roti croissant ditolak pada si gadis.

Schwi mencapai seketul roti. Pelahan-lahan dia menggigit dan mengunyah roti itu. Sambil mengunyah, si gadis sempat termenung. Entah apa jugalah yang sedang difikirkan gadis itu.

Hampir setengah jam mereka melepak di kafe itu tanpa melakukan apa-apa. Berbual pun tidak.

"Jom kita balik. Hari makin gelap ni." Kazu bersuara apabila menyedari suasana di luar yang semakin gelap.

Schwi memandang ke luar. Ternyata kata-kata Kazu tadi benar. Awan hitam sudah berkumpul memenuhi langit biru.

"Kita balik ya." Ulang Kazu lagi seolah-olah memujuk Schwi.

Schwi mengangguk. Dia berdiri dan terus berjalan pergi meninggalkan Kazu yang baru berdiri.

"Schwi, tunggu!"

Kazu berlalu ke kaunter bayaran dan melunaskan bayaran makanan mereka sebelum segera mengejar langkah Schwi yang sudah keluar dari kedai.

Tangan Schwi terus ditangkap tatkala gadis itu sudah berjalan di kaki lima.

"Tunggu akulah."

Schwi tidak berkata apa. Dia hanya diam. Pandangan matanya juga kosong tidak berperasaan.

Bertambah hairan Kazu melihat tingkah Schwi.

Bagi Kazu, setiap saat yang berlalu, setiap ketika itulah sikap Schwi berubah-ubah.

"Jom balik." Kazu menarik Schwi agar mengekori langkahnya.

Tak sampai beberapa langkah, Schwi tumbang tidak sedarkan diri.

Kazu menjadi cemas. Tanpa berfikir panjang, tubuh Schwi terus dicempungnya.

Orang sekeliling yang memerhati langsung diabaikan. Baginya, Schwi lebih penting dari memikirkan pandangan orang ramai.

Kazu mencempung tubuh Schwi sehingga ke sebuah lorong sunyi. Di situ, dia membuka portal untuk kembali ke istana.

※※※

Kazu mengeluh sendiri.

Dua jam dia menjaga dan mengharapakan yang Schwi akan sedar, tetapi malangnya gadis itu langsung tidak menunjukkan tanda-tanda akan sedar.

Tuala kecil yang berada di atas dahi Schwi dibasahkan semula dan diletakkan pada tempatnya tadi.

Tanpa dia duga, sebenarnya Schwi mengalami demam panas yang sangat tinggi.

Dia dapat tahu pun setelah bersentuhan dengan si gadis. Terkejut dia saat merasakan suhu badan Schwi yang begitu panas.

"Melekit pula rasa badan ni." Kazu berdiri dan berlalu ke arah pintu gelongsor yang ditutupi kain langsir.

Langsir diselak dan pintu gelongsor dibuka.

Angin dingin menderu masuk membawa titisan air.

Pintu gelongsor itu dibiarkan terbuka. Dia mahu Schwi pulih dengan segera.

Kazu kembali ke katil. Kepala Schwi diusap.

"Cepat bangun ya. Kau kan suka dengan suasana hujan. Jadi, bangunlah sebelum ia pergi."

Kazu mengeluh lagi.

"Aku pergi mandi kejap. Lepas ni aku datang balik."

Tuala kecil yang sedikit senget letaknya, dibetulkan terlebih dahulu sebelum dia berlalu keluar dari bilik si gadis.

Masuk saja ke dalam bilik, pintu dikunci terlebih dahulu. Tuala dan pakaian diambil dari dalam beg sebelum dia melangkah ke bilik mandi.

Sedang Kazu leka mandi, seseorang bertindak memasuki biliknya. Pintu bilik Kazu dibuka dengan kunci pendua yang ada dalam simpanan.

※※※

Sesudah mandi, Kazu melangkah keluar sambil mengelap rambutnya yang basah.

Dia menghampiri almari.

Pintu almari dibuka dan sehelai baju hitam diambil keluar.

Pintu kembali ditutup dan saat itu, satu belaian lembut singgah di belakang tubuhnya.

Jari-jari halus bermain di belakang tubuhnya yang tidak berbaju.

Kazu segera menoleh dan dia tersentak apabila mengenali gerangan gadis yang ada di hadapannya kini.

"Apa tuanku buat dalam bilik saya ni?" Kazu kelihatan marah.

Diera sekadar tersenyum. Dia menapak menghampiri Kazu.

Kazu tidak berganjak. Matanya memandang gaya dan lenggok Diera yang jelas cuba menggodanya.

Cara Diera itu langsung tidak disenanginya. Pemakaian si gadis juga agak mencolok mata.

Baju tidur kain satin yang nipis sehinggi mampu menampakkan pakaian dalam si gadis. Baju itu juga hanya bertali halus dan mendedahkan lurah di dada si gadis.

"Tuanku, sekali lagi saya tanya. Apa tuanku buat dalam bilik saya?"

Sambil menyoal, sambil itu Kazu mengetap gigi dek menahan rasa marah.

"Saja. Beta nak juga lihat wajah lelaki yang dah sembuhkan beta."

Diera menghampiri lagi. Kali ni, langsung tiada ruang buat Kazu untuk melarikan diri.

Si gadis tanpa segan silu, melentokkan kepalanya di atas dada bidang Kazu.

"Beta cuma nak ucapkan terima kasih je."

Jari dimainkan pada otot perut Kazu. Gayanya sungguh manja dan menggoda.

"Macam mana tuanku boleh masuk ke dalam ni walhal saya dah menguncinya?"

"Ni." Diera menggoyangkan sebuah kunci di depan mata Kazu.

Kazu mengeluh.

Hari tu saja, Kazu sudah mengeluh banyak kali.

Ikutkan rasa hati, mahu saja dia menolak gadis di depannya itu sehingga jatuh bergolek. Tetapi apabila memikirkan status si gadis, dia terus menjadi buntu. Bagaimana hendak menjauhkan diri dari gadis itu?

"Beta pernah berjanji pada diri, beta akan melayan dengan baik kepada sesiapa saja yang mampu menyembuhkan beta." Tipu Diera dengan sengajanya.

Bunyi engsel pintu bilik menarik perhatian mereka berdua.

Pintu dibuka dari luar.

"Kazu aku..." Lidah terkelu saat melihat sesuatu yang tidak dijangkanya.

Kazu juga begitu. Matanya membulat melihat gerangan si gadis yang berdiri di muka pintu bilik.

"Oh! Awak ni siapa ya?" Diera bertanya. Kepala masih lagi bersandar pada dada Kazu. Senyuman terlakar di bibir si gadis.

"Ma-maaf mengganggu." Dia menapak keluar. Pintu ditutup semula.

Telinga Kazu terdengar derap kaki yang berlari pantas meninggalkan kawasan biliknya.

"Dekat mana kita tadi?" Diera bertanya seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku sebentar tadi.

'Tak! Schwi!' Hati Kazu menjerit.

Tidak semena-mena tubuh Diera ditolak sehingga gadis itu terduduk di atas lantai.

"Aduh!"

Erangan sakit Diera langsung tidak diendahkan. Dia berlari keluar untuk mendapatkan Schwi semula.

Baju yang ada dalam genggaman segera disarungkan pada tubuh.

Langkahnya laju cuba menjejaki di mana hala perginya Schwi.

※※※

Schwi menghentikan lariannya.

Air mata yang mengalir, dikesat kasar. Tubuhnya disandarkan pada sebatang pokok yang ada. Perlahan-lahan, Schwi terduduk di atas tanah yang basah.

Dia menangis lagi. Hatinya terluka setelah melihat sesuatu yang tak diduga tadi.

'Kau bodoh! Kenapa percayakan dia? Kau tahu yang dia tak mungkin akan balas perasaan ni!'

Schwi memarahi dirinya sendiri. Air mata terus membasahi pipinya.

"Hei!"

Schwi tersentak dengan teguran seseorang.

Dia berpaling. Air mata mengaburi pandangannya.

"La. Kau rupanya."

Schwi berkerut dahi. Dia kenal dengan suara itu.

Air mata dikesat lagi.

"Zas?"

Zas mengangguk.

"Kau buat apa dalam hutan kecik ni?"

Zas berdiri di hadapan Schwi.

Schwi menggeleng. Dia tak mahu menjawab.

Zas memandang sekeliling.

"Hmm... Nak lawan dengan aku tak?" Tiba-tiba saja Zas berkata sebegitu.

Schwi mendongak memandang Zas.

"Dekat sana..." Jari dituding ke arah satu kawasan yang terang dan terletak tidak berapa jauh dari tempatnya.

"Tempat tu adalah tempat kami berlatih."

Schwi memandang ke kawasan sana.

Dia terus mengangguk dan berdiri.

"Aku nak lawan dengan kau."

Zas tersenyum. Dia pun berjalan mendahului Schwi.

Mereka tiba di kawasan latihan yang dikatakan itu.

Kawasan itu dikelilingi dengan lampu dan ditengahnya, terdapat kawasan lapang yang tanahnya agak berlecak. Mungkin disebakan hujan lebat sebentar tadi.

"Nah." Pedang dihulurkan pada Schwi.

Schwi hanya memandang.

"Tak apa. Aku tak perlukannya."

Zas terkejut mendengarnya.

"Kau guna pedang, aku pula hanya tangan kosong."

"Jangan nak merepeklah."

Riak wajah Schwi memaparkan keseriusannya.

"Baiklah." Zas akurkan saja.

Mereka berdiri di tengah kawasan.

"Mula."

Schwi bertindak terlebih dahulu. Dia berlari pantas ke arah lelaki itu.

Zas menghayun pedang tatkala Schwi telah hampir.

Schwi menunduk dan dengan pantas, dia menyelinap terus muncul di belakang Zas.

Belakang Zas ditumbuk beberapa kali sebelum dia menghentam lelaki itu dengan sikunya.

Setelah serangannya berhenti, Zas segera menoleh dan pedang dihayunkan pada bahagian bawah.

Tetapi serangannya hanya terkena pada tanah. Kelibat Schwi langsung tiada.

"Dekat sini."

Kaki Zas disepak sehingga lelaki itu tertiarap di atas tanah berlumpur.

Pedang yang terlepas dari genggaman Zas segera diambil. Belakang badan Zas dipijak dengan sebelah kaki dan pedang itu pula diacukan pada leher si lelaki.

"Baiklah. Kau menang." Zas menyerah kalah.

Schwi tidak berganjak, sehinggalah tiba-tiba kepalanya dicengkam dengan rasa sakit yang amat.

Pedang terlepas dari genggaman.
Si gadis mengundur jauh dari Zas sebelum dia terduduk menahan kesakitan.

"Schwi. Kenapa ni?" Zas yang baru bangun segera mendapatkan Schwi. Dia langsung tidak mempedulikan keadaan dirinya yang dikotori dengan lumpur basah.

Schwi tidak menjawab. Dia hanya memegang kepalanya yang berdenyut bagai nak pecah.

"Aku dah beri amaran pada kau sebelum ni, bukan?"

Bulu roma Zas terus meremang apabila terdengar suara keras yang amat dikenalinya.

Perlahan-lahan lelaki itu menoleh.

"Apa kau buat pada dia?"

Zas menggeleng. Lidahnya kelu untuk berbicara.

Kazu menghampiri. Penumbuknya sudah sedia untuk dilayangkan.

Tiba-tiba Schwi mengangkat tangan ke arah Kazu.

Langkah Kazu terhenti.

Satu tembok jernih yang muncul membantutkan langkahnya.

Zas terkejut dengan apa yang dilihatnya kini.

"Jangan dekati aku," kata Schwi dengan nada suara yang perlahan.

"Schwi. Dengar dulu penjelasan aku."

Perlahan-lahan Schwi berdiri dan memusingkan tubuhnya menghadap Kazu.

Zas hanya memerhati.

Rambut si gadis menutupi wajah sugulnya.

"Schwi."

"Jangan sebut nama aku!"

Angin menderu kuat datang dari arah Schwi.

Mata si gadis yang bercahaya membuatkan Zas terkedu.

"Schwi."

Tiga gegelung api yang marak tiba-tiba mengelilingi Kazu.

Kazu terkejut dengan tindakan berani Schwi.

"Aku benci kau." Nada suara Schwi keras seperti sedang menahan perasaan.

Tangannya yang terbuka luas, perlahan-lahan ditutup.

Gelung api yang mengelilingi Kazu semakin mengecil bulatannya. Bahang semakin terasa.

Tangan digenggam membentuk buku lima. Gegelung api yang mengelilingi semakin kecil dan tanpa sempat ia menjamah tubuh Kazu, api itu terus terpadam dan hilang.

Schwi rebah tidak sedarkan diri.

Kazu segera mendapatkan Schwi setelah yakin tiada lagi tembok yang menghalang.

"Schwi." Kepala si gadis dipangku.

"Apa tadi tu?" Zas bertanya.

"Jangan beritahu sesiapa kalau kau nak terus hidup."

Zas mengangguk akur.

Kazu mencempung tubuh lemah Schwi. Dia berjalan perlahan meninggalkan kawasan hutan kecil itu.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top