Bab 14~[Kelemahan yang Tersembunyi]
Kazu's POV
Tangan Schwi aku lepaskan. Saja aku berlaku sebegitu kerana mahu menguji si gadis itu.
Ternyata tekaan aku tepat. Schwi terus berlari meninggalkan aku. Dia langsung tidak menoleh dek terlalu teruja mahu mendekati sungai itu.
Tetapi itu bukanlah ujiannya.
Ujian buat si gadis sedang menantinya di tepi sungai.
Dari tempat aku berdiri, aku dapat melihat si gadis yang berdiri kaku.
"Kenapa ni, Kazu?" Keir di belakang aku bertanya.
"Menyorok," kata aku tanpa memandang lelaki itu. Mata aku memandang tepat pada Schwi yang tidak berganjak.
"Ha?"
Segera aku berpaling dan menolak Keir ke dalam semak.
"Semua menyorok," arah aku dengan suara yang perlahan tetapi tegas.
Semua akur. Mereka bersembunyi di dalam semak di mana Keir ditolak tadi.
Aku turut bersembunyi sama.
"Kenapa ni?" Han yang duduk di sebelah aku bertanya.
"Tengok sana." Pandangan aku tumpukan pada Schwi.
Semua terkejut dengan apa yang dilihat mereka.
Tiga ekor harimau mendekati Schwi dengan langkah yang perlahan.
"Kau gila ke? Kau nak biarkan je dia kena baham ke?"
Keir ingin berdiri. Mungkin nak selamatkan Schwi.
Tetapi Han bentindak pantas. Lelaki itu menarik Keir agar duduk semula.
"Tak payah nak tunjuk hero," kata Han dengan nada suara yang ditekan.
"Takkan kita nak tengok je dia mati dekat sana? Kazu?" Keir cuba meraih perhatian aku.
"Kau diamlah!" Aku memarahinya.
Dia kelihatan tersentak mendengarkan kata-kata aku.
"Korang pegang dia. Jangan bagi dia pergi dekat Schwi." Aku mengarahkan pada yang lain.
Semua akur.
Ternyata mereka juga ingin melihat apa yang bakal berlaku kepada Schwi.
Kejam? Lantaklah! Ada aku kisah.
"Kazu! Sumpah aku akan bunuh kau kalau kau keluar!" Suara Schwi bergema di dalam hutan yang hanya dihiasi dengan bunyi unggas dan cengkerik.
Aku menahan diri dari tertawa.
Berani ke kau bunuh aku, Schwi?
▣▣▣
Keir's POV
Aku menjeling saja pada Schwi dan tiga ekor harimau yang duduk jauh dari unggun api.
Schwi mengusap manja tiga ekor harimau yang mengelilinginya. Kadang-kala, terdengar gelak tawa si gadis.
Aku teringat pula bagaimana Schwi berdepan dengan harimau tu.
Jujur, aku kagum dengan keberanian gadis itu.
"Jangan dekat! Kalau tak, kau semua akan terima padahnya!" marah Schwi pada tiga ekor harimau yang sudah mengelilinginya.
Hidung mereka bergerak-gerak seperti menghidu Schwi yang berada di tengah.
Jantung aku berdegup pantas melihat tingkah tiga ekor itu. Ingin saja aku menghalau mereka, tetapi tubuh ini ditahan erat oleh empat sahabat jahanam aku.
Seekor harimau berhenti di hadapan Schwi.
Wajahnya dirapatkan dengan wajah Schwi. Hidungnya bergerak menghidu bau si gadis.
Aku tak sanggup melihatnya lagi. Mata dipejam rapat.
"Hahaha... Gelilah. Eee! Bau darah!"
Terus aku mencelikkan mata semula.
Untuk seketika, aku terlopong melihat Schwi yang memukul lembut kepala harimau yang berdepan dengannya.
"Pergi habiskan makanan sana. Jangan ganggu aku," arah gadis itu bersama senyuman di bibir.
Tiga ekor itu seakan faham. Mereka menyantap semula rusa yang masih berbaki.
"Kazu mana? Dah lewat malam pun masih tak muncul-mumcul juga."
Aku tersedar dari lamunan.
Kepala aku dongakkan, lalu mata aku menatap anak mata hazel milik si gadis rambut hitam.
"Katanya jalan-jalan kejap," Han menjawab.
Argh! Aku terlalu terpesona memandang matanya sehinggakan lidah aku terkelu untuk berbicara.
"Jalan-jalanlah sangat. Entah-entah larikan diri," Schwi membebel. Dia berpeluk tubuh sebelum berlalu ke kumpulan harimau tadi.
Sayang sangat dengan haiwan buas itu sehinggakan tak mahu berpisah saja gayanya.
"Hoi! Jangan ditenung lama-lama sangat. Orang punya tu," Han menegur. Betul-betul di tepi telinga aku.
Aku menjeling lelaki itu.
Hampeh punya kawan!
"Jangan sibuklah." Dahinya aku tunjal sehingga terduduk lelaki itu.
"Tapi betullah apa yang Han katakan tadi," Henry menyampuk. Dia duduk di sebelah aku tanpa dijemput.
Aku mendengus geram.
Ada saja yang mengganggu fikiran dan hati aku.
▣▣▣
Diera's POV
Aku memandang suasana di luar sana. Angin yang bertiup bagaikan mengetuk-mengetuk pintu gelongsor kaca bilik ini. Seolah-olah ia mahu masuk menerjah ruang bilik.
Hati aku pula, memberontak mahu keluar. Keluar daripada bilik yang telah menjadi penjara buat aku selama hampir 3 bulan.
Aku penat!
Walaupun hanya berbaring tanpa melakukan apa-apa, aku tetap berasa penat. Tenaga aku seolah-olah diserap keluar, sehinggakan jari pun aku tak mampu nak gerakkan.
"Diera." Suara bonda menyapa aku.
Aku langsung tidak memandangnya.
Hati aku terluka. Dia langsung tidak memahami diri aku. Aku cuma mahu berada di luar. Aku hanya mahukan udara segar!
Adakah permintaan aku ini terlalu berat dan susah untuk ditunaikan?
"Sayang." Kepala aku diusapnya dengan lembut.
Ah! Aku langsung tidak merasakan aliran kasih sayang daripada usapannya itu.
"Ayahanda kamu ada minta pertolongan daripada seseorang ni. Dalam beberapa hari lagi mereka pasti akan tiba." Bonda memberitahu perkara yang tak mahu aku tahu.
"Bonda harap kali ni kamu sembuh. Bonda dah tak saggul nak lihat anak bonda menderita sebegini."
Aku masih mengabaikannya. Pandangan aku tetap tertumpu ke luar sana. Langsung tidak mahu memandang wajah bonda yang berbicara.
"Bonda tahu kamu sedih. Tapi bonda yakin, kali ini ia akan berhasil. Bonda akan pastikan ini adalah yang terakhir." Bonda menabur janji yang tak pernah aku yakini.
Ah! Cukuplah memberi harapan palsu kepada aku. Aku dah tidak percayakan semua itu lagi. Aku terima semuanya meskipun susah untuk aku terima.
Suasana antara kami diam sejenak.
"Hmm... Bonda minta diri dulu. Kamu mesti penatkan? Berehatlah. Selamat malam sayang." Pipi aku dikucup sekilas.
Walapun begitu, aku tetap saja mengabaikannya.
Bunyi pintu ditutup rapat membuatkan aku menghela nafas lega.
Tangisan kedengaran dari luar.
Ah! Aku dah lukakan hati bonda dengan tingkah aku sendiri. Tetapi, dia juga sudah melukakan hati aku juga. Adillah begitu, bukan?
Keluhan meniti bibir.
"Aku harap ini adalah rawatan yang terakhir." Dalam diam, aku juga menyimpan harapan yang tinggi menggunung.
▣▣▣
Kazu's POV
Sudah beberapa jam aku di sini. Duduk diam dan memerhatikan mereka semua dari jauh. Tak berani aku nak dekati mereka.
Nanti tak memasal Schwi arahkan tiga ekor harimu tu baham aku. Mati aku!
Salah aku juga kerana mencabar kebolehan Schwi.
Saja nak menguji fungsi lambang yang ada pada belakang leher gadis itu. Ternyata, lambang itu mempunyai kebolehannya yang tersendiri.
Buktinya, Schwi berjaya menjinakkan tiga ekor itu dengan mudah sekali.
"Haih."
Aku duduk dengan tenang di atas dahan pokok. Kaki aku hayunkan ke depan dan ke belakang. Angin dingin yang menyapa, aku abaikan saja.
Di sini lebih tenang.
Mata aku pejamkan kejap. Menghayati suara alam di malam hari.
Tiba-tiba telinga aku terdengar bunyi siulan yang berlagu.
Pandangan aku alihkan pada kumpulan aku. Untuk seketika, aku tercari-cari kelibat Schwi yang sudah menghilang.
Aku cuba menjejaki bunyi siulan itu.
Ternyata ia datang dari arah kiri. Jauh dari kawasan kumpulan yang sedang berehat.
Dengan segera aku terjun turun dari pokok tempat aku lepak. Langkah laju aku atur, menjejaki arah datangnya siulan tadi.
Langkah aku terhenti. Apa yang aku lihat kini, Schwi sudah pun berada di tengah-tengah sungai yang mengalir tenang.
Air yang mengelilinginya bercahaya suram.
Seluruh tubuh direndamkan ke dalam air dan mukanya pula berada di permukaan. Rambutnya beralun lembut kerana disapa aliran air.
Aku hanya memerhati. Langsung tiada niat hendak mengganggu. Aku menemaninya tanpa dia sedar akan kehadiran aku yang berjaga.
Dari tempat aku berdiri juga, aku dapat melihat dengan jelas yang rambut Schwi bercahaya sedikit. Mulut gadis itu pula terkumat-kamit seperti membaca mantera yang tidak aku dengari.
Aku hanya memerhati saja tingkahnya sepanjang malam.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top