06 | Syawal yang Hancur
Suasana malam raya di Kampung Wak Saliman benar-benar meriah. Boleh dikatakan setiap rumah di sini dihiasi dengan lampu warna warni dan pelita. Hal tersebut membuatkan segenap ruangan kampung terang.
Kanak-kanak juga bebas main ke sana sini. Bermain bunga api dan mercun bersama dengan kawan-kawan.
Namun suasana meriah itu langsung tidak menarik minat seorang lelaki. Harith sedang duduk sendirian di beranda rumahnya sambil merenung ke suatu arah. Atau lebih tepatnya lagi, ke arah rumah yang dihuni oleh Hafiza.
Entah kenapa sejak kehadiran Hafiza di sini, muncul perasaan aneh hatinya. Rasa hangat saja. Dia sendiri pun pelik dengan dirinya yang boleh berbual mesra dan rajin melemparkan senyuman kepada gadis itu.
Awalnya dia fikir dia selesa dengan Hafiza kerana terhutang budi. Tapi lama-kelamaan rasa itu semakin bercambah.
"Hish merepek lah kau, Rith. Apa kejadahnya kau fikir ni?" Ujar Harith sendirian sambil mematahkan ranting kayu. Entah bila juga ranting itu ada di tangannya.
Dalam diam dia tertanya-tanya, mana Hafiza? Kenapa dia tak keluar keluar?
"Ya Allah. Parah dah kau ni, Harith," ucap Harith sambil meraupkan wajah. Ucapan istighfar meniti di bibirnya tatkala ingatannya singgah pada wajah Hafiza. Entah lah. Liat betul dia nak buang wajah gadis itu dari mindanya. Dah lah setan pun dah dibebaskan ni. Haih.
Namun, tanpa Harith sedari sejak tadi ada sepasang mata yang tunak memerhatikan tingkah laku Harith. Patutlah dari tadi dia panggil Harith tak menyahut. Rupanya tengah usha rumah anak dara sebelah.
"Harith Ardhan!" Tersentak Harith apabila suara emak berada dekat dengan telinganya. Sontak dia berpusing.
Cik Babe sedang berdiri di ambang pintu dengan renungan yang sukar ditafsirkan. Harith meneguk liur apabila melihat wajah emaknya.
"Ya mak? Kenapa mak?" Soal Harith ragu-ragu.
"Termenung apa sampai mak panggil tak dengar?" Soal Cik Babe. Matanya disorotkan memandang ke arah rumah Hafiza. Pintu tertutup rapat.
"Err tak termenung apa-apa. Mak panggil Harith? Bila mak panggil? Sorry Harith tak dengar," ucap Harith sambil mengawal riak wajahnya. Tak nak lah nampak sangat kantoi usha rumah anak dara orang.
Cik Babe turut melabuhkan duduk di sebelah anak terunanya itu. Tangannya naik mengusap bahu Harith.
"Anak mak sedang dilamun cinta, ya?" Soal Cik Babe. Tangannya naik mengusap pula kepala lelaki itu.
"Hish mak ni. Mana ada lah," nafi Harith laju. Ekspresi wajahnya dikawal sebaik mungkin. Terkejut dia dengan soalan mak yang mengejut. Mak ni memang suka kasi soalan maut.
"Mak jaga Harith dari kecil lagi. Mak kenal anak mak macam mana," ujar Cik Babe sambil tersenyum.
"Mak tak halang untuk kamu jatuh cinta dengan sesiapa pun. Itu fitrah kita sebagai manusia biasa yang ada hati dan perasaan."
Harith hanya mendiamkan diri saja.
"Harith anak mak dah besar. Anak mak pun dah serba serbi cukup. Kalau Harith betul-betul suka dia, cakap terus terang. Jangan simpan lama-lama. Takut kamu melepas," ucap Cik Babe. Matanya merenung ke arah pintu rumah Hafiza yang terkatup rapat.
Mustahil dia tidak boleh membaca fikiran anaknya. Dia kenal anak terunanya bagaimana.
"Tapi Harith takut mak. Harith rasa macam terlalu awal saja perasaan ini muncul. Harith tak yakin dengan rasa ini," ujar Harith dengan perlahan.
"Cinta bukan tentang cepat atau lambat. Tapi tentang selesa,"
"Kalau Harith selesa dengan kehadiran Hafiza, maksudnya Harith betul-betul kena yakin dengan perasaan Harith," tambah Cik Babe. Anaknya ini tidak pernah bercinta.
"Tapi macam mana? Macam mana kita nak confirmkan yang kita betul-betul suka dia atau tidak?" Soal Harith. Cik Babe yang mendengar soalan itu hanya mampu menahan perasaan saja. Nak kata anaknya bebal, belajar sampai ke menara gading. Soal hati perasaan lambat sungguh nak tangkap.
"Istikharah."
Sepatah saja jawapan Cik Babe namun berjaya membuatkan Harith bungkam.
Dia? Istikharah tentang cinta?
Rasanya perkara itu tidak pernah terlintas dalam hidupnya selama 27 tahun hidup. Ini kali pertama Allah mengujinya soal hati dan perasaan.
Pertemuan singkat antara Hafiza dan dirinya benar-benar menjetik satu rasa asing. Sampai bila-bila mungkin dia tidak akan mengerti dengan apa yang dia rasa jika bukan kerana emak. Emak telah membuka matanya untuk menyedari tentang hakikat itu.
Cinta.
Tak. Tak mungkin cinta.
Mungkin saja Harith hanya jatuh hati dengan peribadi gadis itu. Untuk sampai ke tahap mencintai, rasanya tidak mungkin.
Ya. Dia hanya jatuh hati dengan peribadi unik Hafiza.
Cik Babe hanya melihat saja Harith yang sudah membisu. Bibirnya mengukir segaris senyuman.
Anaknya sudah dewasa.
Perlahan-lahan dia meninggalkan Harith sendirian. Dia mahu membiarkan lelaki itu berfikir. Niat awal dia datang tadi sebenarnya nak mengamuk dekat Harith sebab salah ambil daun.
Orang suruh ambil daun pandan, Harith pergi petik daun palas.
Haih. Penangan cinta memang luar biasa.
***
Selepas selesai solat subuh, Hafiza membawa baju yang sudah siap digosok ke depan cermin. Dia sedang melihat pantulan dirinya. Otaknya membayangkan pakaian ini tersarung di tubuhnya.
"Ok ke ek warna ni dengan kulit aku? Nanti kalau buruk macam mana?" Soal Hafiza sendirian. Timbul rasa rendah dalam dirinya.
Sejak dulu, Hafiza terbatas dalam memilih warna pakaian. Semuanya sebab mama cakap warna kulit dia tak sesuai pakai warna sembarangan. Nanti buruk.
Sehingga meningkat dewasa pun, Hafiza selalu membataskan niatnya untuk memiliki pelbagai jenis pakaian. Semuanya kerana takut 'buruk'.
"Sampai bila kau kena hidup dengan ekspektasi orang, Hafiza Adriani?" Soal Hafiza sendirian. Terluah keluhan dari mulutnya. Sudah acap kali dia berusaha untuk tidak overthinking. Namun, rasa itu selalu saja hadir.
Hafiza membuka zip baju tersebut sebelum disarungkan ke tubuhnya. Sekali lagi dia melihat dirinya di dalam pantulan cermin. Buat seketika Hafiza tergamam.
Ini dirinya?
Ternyata warna tersebut sangat sesuai dengan kulitnya. Dia nampak lebih berseri dengan warna merah jambu.
Namun belum habis kekaguman Hafiza, telefon bimbitnya berbunyi secara mengejut. Sontak Hafiza segera mencapai telefon pintar yang terdampar di atas katil.
"Mama?"
Muncul kerutan di dahinya apabila wanita itu menghubunginya. Tak pernah-pernah mama call. Segera jarinya pun menggesek permukaan skrin.
"Hello assalamualaikum mama," ucap Hafiza.
"Hafiza! Balik sekarang!"
Semakin berlapis kerutan di dahi Hafiza. Dah kenapa suruh balik sekarang? Mama tak tahu ke dia dah teruja nak beraya dekat rumah Cik Babe?
Namun, saat telinganya mendengar berita yang disampaikan oleh mama, kakinya hampir tersungkur. Mujur tangannya sempat berpaut pada kepala katil.
Setelah talian ditamatkan, dengan pantas Hafiza mengeluarkan bagasi miliknya. Semua baju dan barang miliknya disumbat saja ke dalam bagasi tanpa dikemas. Dalam otaknya sudah muncul pelbagai persoalan.
Kenapa?
Bagaimana?
Setelah selesai, kakinya segera melangkah keluar dari biliknya. Matanya sempat memerhatikan sekeliling ruangan lain pula. Rasanya tiada lagi barangnya yang lain. Setelah selesai, dia menghubungi tuan rumah.
Semuanya diceritakan secara ringkas.
"Mak cik kasi je kat saya nombor akaun. Nanti kejap lagi saya transfer terus. Saya minta maaf sangat sebab tak boleh pergi rumah mak cik. Saya ada kecemasan ni," ujar Hafiza sambil mengunci semula pintu rumah.
"Kunci rumah saya titipkan dekat Cik Babe, ya? Sekali lagi saya minta maaf mak cik," ujar Hafiza serba salah. Rasa macam tak sopan aje keluar tanpa berpamitan dengan tuan rumah. Tapi keadaan sudah sangat mendesak sekarang.
Setelah selesai, dia segera memasukkan bagasi hitam miliknya ke dalam bonet. Hafiza memandu keluar dari kawasan itu.
Apabila betul-betul di depan rumah Cik Babe, segera dia turun. Pintu rumah diketuk perlahan.
"Assalamualaikum," ucap Hafiza.
"Assalamualaikum Cik Babe. Fiza datang ni," ujar Hafiza sekali lagi dengan suara yang lebih kuat. Dia tahu apa yang dia buat tak sopan. Tapi dia dah terlampau terdesak sekarang.
Cklek!
Pintu rumah dibuka dari dalam. Tersembul wajah Cik Babe yang sudah siap memakai tudung sarung.
"Waalaikumussalam. Eh Fiza. Awalnya kamu sampai. Cik Babe tak sempat nak hidangkan apa-apa lagi ni," ujar wanita itu dengan sedikit senyuman. Terkejut dia dengan kehadiran Hafiza di awal pagi ini. Siap dengan baju raya warna pink lagi.
"Fiza bukan nak datang beraya, Cik Babe." Beritahu Hafiza dengan ekspresi yang sukar dibaca oleh Cik Babe.
"Fiza ok tak ni?" Soal Cik Babe dengan dahi berkerut. Perlahan dia keluar mendekati gadis itu.
Hafiza menggeleng perlahan. "Papa masuk hospital pukul 4 pagi tadi. Eksiden. Sekarang papa tengah tunggu untuk operation."
Tergamam Cik Babe apabila mendengar cerita gadis itu. Ya Allah, sayu hatinya apabila membayangkannya. Tangannya naik mengusap perlahan bahu Hafiza.
"Allahu Akbar. Lepastu sekarang macam mana?" Soal Cik Babe laju.
"Fiza kena balik JB sekarang juga. Kita datang sini nak ucapkan selamat tinggal dekat Cik Babe," ujar Hafiza dengan senyuman hambar. Riak sedihnya cuba diselindungkan dari pandangan wanita itu.
"Terima kasih sangat Cik Babe sebab layan Fiza macam anak Cik Babe sendiri. Kita minta maaf sangat kalau ada salah silap tau. Selamat hari raya, Cik Babe." Hafiza mendakap tubuh wanita yang sudah dianggap seperti ibunya sendiri. Sayu hatinya apabila dia terpaksa pergi.
Telinganya menangkap esakan halus. Asudah! Menangis pula mak si Harith ni.
"Alooo Cik Babe. Takmo lah sedih sedih gini. Tak kuat hati Fiza tengok," ujar Hafiza dengan gelabah.
"Habis luntur make up Cik Babe. Nanti Haji Leman tengok pun terperanjat," tambah Hafiza lagi sambil tersenyum sedikit. Cik Babe yang mendengar kata-katanya segera menampar perlahan bahu gadis itu.
"Orang tengah sedih disebut pula nama pak duda tu. Hish budak ni!" Ujar Cik Babe dengan jelingan mata.
Hafiza hanya tergelak perlahan. Dia tidak mahu Cik Babe membazirkan air mata buat dirinya. Dia bukan sesiapa.
"Sedih lah Cik Babe kalau Fiza pergi macam tu aje. Kita dah janji nak makan ketupat dengan ayam masak lemak sama-sama," ujar Cik Babe sayu. Hati tuanya juga tidak kuat untuk melepaskan anak gadis ini pergi. Dirinya sudah jatuh sayang dengan Hafiza.
"Fiza janji. Nanti kita datang tengok Cik Babe lagi, ya? Kita tak boleh lama-lama. Semua family tengah tunggu Fiza balik. Kita pergi dulu tau, Cik Babe," ucap Hafiza seraya melepaskan pelukan antara mereka. Tangan Cik Babe dicapai dan dikucup perlahan.
Cik Babe hanya mengangguk saja seraya mengusap wajah Hafiza. Dirinya bukan sesiapa untuk menghalang kepergian anak ini. Keluarganya lebih memerlukan.
"Ni ada duit raya sikit untuk Cik Babe dengan Harith. Cik Babe ambil tau. Cakap juga dekat Harith, selamat hari raya. Kira kosong kosong je tau," ujar Hafiza seraya menghulurkan dua keping sampul raya. Awalnya Cik Babe mahu menolak, namun setelah dipaksa oleh gadis itu, akhirnya dia menerima huluran itu.
Sempat juga Hafiza menitipkan kunci rumah kepada Cik Babe.
"Hafiza cantik sangat dengan baju tu. Kalau Harith tengok, mesti dia makin suka dengan Fiza," celetuk Cik Babe tiba-tiba. Hafiza sempat terkejut dengan bicara wanita itu. Namun dia hanya tersenyum saja.
"Terima kasih Cik Babe," ucap Hafiza ikhlas. Sejujurnya hatinya gembira. Gembira kerana pujian yang diberikan oleh Cik Babe. Setidaknya dia tahu bahawa ada orang lain yang sudi memandangnya cantik.
Setelah usai berpamitan, Hafiza segera kembali ke keretanya dan memandu pergi. Sungguh, hatinya tidak kuat dengan perpisahan kali ini.
Pertemuan singkat dengan Cik Babe dan Harith benar-benar memberi dampak kepada hidup Hafiza.
Cik Babe hanya menghantar kepergian gadis itu dengan sorotan mata. Sebak hatinya bila teringat akan Hafiza. Tak sempat dia nak merasa makan bersama dengan gadis itu.
"Mak? Siapa datang?" Suara garau Harith menegur figura emaknya yang berdiri tegak di ambang pintu. Matanya melilau memandang halaman rumah. Namun tiada kelibat manusia di situ.
Dia menoleh ke arah emaknya. Betapa terkejutnya dia saat melihat wajah Cik Babe penuh dengan kesan air mata.
"Mak? Mak kenapa ni? Mak cakap dengan siapa?" Soal Harith cemas. Dah kenapa mak dia nangis pagi-pagi buta ni?
"Hafiza dah pergi."
Sebaris ayat yang diucapkan Cik Babe berjaya membuat Harith terkedu.
"Ha... Hafiza dah pergi?" Harith mengulang ayat emaknya dengan tidak percaya. Maksud mak... gadis itu sudah pulang? Macam tu ke?
Cik Babe mengangguk perlahan.
Tapi kenapa?
Membulat mata Harith apabila emaknya mengiyakan. Matanya memandang wajah anak terunanya yang nampak sangat terkejut itu.
"Bila dia pergi?" Soal Harith laju. Matanya melilau memandang halaman rumah.
"Baru aje," jawab Cik Babe. Dia memandang wajah Harith yang semakin mendung itu.
"Hafiza cakap, selamat hari raya Harith. Dia minta maaf sebab tak boleh beraya dengan kita. Papa dia masuk hospital," ucap Cik Babe. Tangannya menghulurkan sampul raya.
"Hafiza kata ni duit raya untuk Harith."
Tangan Harith mencapai sampul raya dengan lemah. Sampul raya bermotifkan bunga mawar.
Ya Allah. Inikah balasan kerana aku mengabaikan cadangan emakku?
Pagi ini, dia terpaksa melepaskan kepergian gadis yang mula mendapat tempat di hatinya. Dia dan Hafiza berpisah tanpa keduanya sempat bertukar salam perpisahan.
Pagi raya yang sedih buat Harith.
*
*
*
Apabila kereta yang dipandu oleh Hafiza telah memasuki kawasan Johor Bahru, dia segera mendail nombor telefon mamanya untuk bertanya hospital mana yang dia harus tuju. Dia lupa bertanya tadi sewaktu mama menghubunginya tadi.
"Hello mama. Fiza dah sampai Tiram ni. Papa admit dekat hospital mana?" Soal Hafiza. Tangannya masih utuh memegang stereng.
"Tak payah pergi hospital, Fiza. Terus balik rumah."
Itu kata mamanya. Dahi Hafiza terus berlapis saat mendengar jawapan itu.
"Kenapa pula? Fiza nak tengok papa juga," ujar Hafiza dengan nada berkecil hati. Barangkali mama tidak mengizinkan dia bertemu dengan papa sebab konflik yang terjadi antara mereka. Ataupun papa yang tak nak jumpa dia...
"Iya Fiza boleh tengok papa. Tapi terus balik rumah," jawab Puan Mardiah.
Kali ini Hafiza dapat mendengar penegasan depan nada mamanya. Dia hanya menghembuskan nafas berat. Setelah itu, mama terus memutuskan panggilan antara mereka.
Tiba-tiba hati Hafiza dijentik rasa yang tidak enak.
"Macam mana kalau sebenarnya diorang tipu aku?" Ujar Hafiza tiba-tiba. Pelik. Kenapa suruh balik rumah sedangkan papa masuk hospital? Dan papa nak pergi mana pukul 4 pagi sampai boleh kemalangan?
Namun segera dia beristighfar. Tidak boleh bersangka buruk dengan keluarga sendiri.
Pedal minyak ditekan lagi. Pemanduannya diteruskan sehingga ke kawasan perumahanya.
Setibanya di depan pintu pagar rumahnya, Hafiza sedikit terkejut kerana beberapa buah kanopi sedang terpasang elok di halaman rumah. Papa dan mama buat open house ke?
Matanya melirik pada jam tangan. 8.59 pagi. Seketika Hafiza baru tersedar yang dia belum sempat menjamah apa-apa sejak bangun tidur. Perutnya sudah berkeroncong hebat.
Kejap lagi nak makan lah. Benak Hafiza terus terbayang juadah wajib di hari raya; ketupat dan rendang.
Tanpa melengahkan masa, Hafiza turun dari kereta. Kakinya melangkah masuk ke dalam kawasan rumah keluarganya.
Hatinya semakin dipagut rasa tidak enak apabila hiasan yang ada di sekitar kanopi bukan hiasan biasa. Tak mungkin nak buat open house hias guna mawar hidup, kan? Dah lah hidup, warna putih pula tu. Lepastu, kenapa kena ada pelamin?
Semakin Hafiza mendekati pintu utama, hati Hafiza benar-benar sudah tidak tenang. Pelbagai skenario mula muncul di benaknya. Berat saja langkahnya saat tiba di depan pintu. Patutkah dia patah balik?
Belum Hafiza sempat memberi salam dan mengetuk pintu, gerbang utama mahligai Tuan Arsyad dan Puan Mardiah sudah terbuka luas. Hafiza melangkah masuk dengan segera.
"Welcome home, my daughter."
Serta merta langkah Hafiza terhenti. Itu suara papa.
Hafiza meluruskan pandang ke arah tangga yang melingkar. Papa dan mama bergandingan tangan menuruni satu persatu anak tangga.
Hampir jatuh rahangnya saat melihat papanya elok saja turun dengan sepersalinan baju Melayu berwarna hitam. Sedondon dengan mama yang sedang memakai kebaya.
"Papa? Mama?" Soal Hafiza keliru. Matanya memandang pula pada wajah mamanya.
"Mama tipu Fiza?" Soal Hafiza dengan wajah tidak percaya. Kecewa hatinya apabila ditipu hidup-hidup dengan ibu sendiri.
"Dah tak tahu jalan balik ke, Syarifah Hafiza Adriani?" Soal Tuan Arsyad dengan sorotan mata yang tajam.
Hafiza masih berdiri tegak di depan pintu. Tuan Arsyad dan Puan Mardiah pula telah selamat melabuhkan duduk di sofa mewah milik mereka.
"Have a seat, Hafiza." Suara garau papanya bergema. Bukan dengan nada mempelawa melainkan mengarah. Lambat-lambat Hafiza melangkah ke arah mereka dan melabuhkan duduk di sofa yang bertentangan dengan kedua ibu bapanya.
"Fiza rasa Fiza akan balik ke kalau papa tak suruh mama cakap macam tu? Seronok sangat duduk dekat kampung orang sampai lupa keluarga sendiri," ujar Tuan Arsyad dengan tegas. Kakinya disilangkan.
Puan Mardiah di sebelahnya hanya diam saja. Dia langsung tidak memandang wajah anak gadisnya itu.
Hafiza tersenyum sinis. "Papa ni kenapa? Papa nak Fiza buat apa lagi?"
"Good girl. Kamu tahu apa yang kamu perlu buat," jawab Tuan Arsyad dengan senyuman. Mungkin bangga dengan sifat penurut anak gadisnya.
"Sekejap lagi rombongan keluarga Syed Adam Haqiem akan datang untuk meminang kamu. Dah selepas itu kamu akan ditunangkan dengan Adam. Papa tak tanya persetujuan kamu. Papa arahkan kamu untuk ikut arahan papa," ujar Tuan Arsyad dengan nada bersahaja.
Hafiza yang mendengar setiap butir bicara papanya terus terdiam seribu bahasa. Perkara bodoh apa yang papa cakap ni?
"What? Papa gila ke apa? Papa sedar tak papa cakap apa ni?" Soal Hafiza dengan nada tinggi. Terus bangun dia sambil menatap tajam kedua ibu bapanya. Bukan niatnya untuk kurang ajar. Tapi... kenapa papa perlu buat keputusan tanpa berbincang dengannya? Ingat ni drama TV 3 ke?
"Jangan kurang ajar dengan papa, Syarifah Hafiza Adriani. I'm your father," balas Tuan Arsyad dengan mata mencerlung tajam.
Sekali lagi Hafiza tersenyum sinis. Tak habis-habis ulang nama penuh dia. Bangga sangat agaknya dengan keturunan Syed Syarifah dia tu.
"A real father should not force his daughter to do a stupid things! How many time I told you. Fiza tak nak! Fiza tak nak! Papa dengan mama tak faham ke?" Bentak Hafiza. Kali ini kesabarannya semakin menipis dan panas di hatinya tak dapat dibendung lagi.
Kenapa papa selalu paksa dia buat benda yang dia tak suka? Tak boleh ke dia dapatkan hidup dia sendiri?
Dia cuma nak hidup tanpa kawalan orang lain. Itu saja.
"Macam ni rupanya bila duduk kampung lama sikit. Berubah jadi biadab dan tak beradab. I let you go not for free, Hafiza. Papa nak kamu tenangkan diri so that Adam tak akan kecewa bila tengok kamu sekejap lagi," ucap Tuan Arsyad tidak mahu kalah. Wajahnya langsung tidak menunjukkan tanda-tanda rasa bersalah.
"ARGH! Adam Adam Adam. Siapa anak papa sebenarnya? Fiza ke jantan tu?" Jerit Hafiza kuat. Kali ini Hafiza benar-benar sudah dikawal amarah. Hafiza yang nampak tenang dan ceria selama ini hanya topeng. Papa lebih pentingkan pandangan orang lain berbanding perasaan anak sendiri!
Pang!
Terus melayang penampar sulung Tuan Arsyad. Nafasnya turun naik sambil mata masih memandang tajam ke arah anak daranya itu.
Hafiza sudah melampau!
Terkejut Puan Mardiah apabila melihat anak gadisnya satu-satunya itu dilayangkan tamparan oleh Tuan Arsyad. Dari tadi dia hanya mendiamkan diri kerana tidak mahu masuk campur.
Hatinya dihimpit rasa bersalah kerana menipu anaknya. Tapi untuk mengingkari arahan suaminya, itu tidak mungkin.
"Papa tampar Fiza?" Soal Hafiza dengan mata berkaca. Tangannya menyentuh perlahan pipi yang terasa kebas.
"Papa tampar Fiza?" Ulangnya sekali lagi. Hancur hatinya apabila buat pertama kali dalam hidupnya, papa naik tangan padanya.
Hanya kerana seorang lelaki bernama Syed Adam Haqiem.
Matanya memandang pula ke arah mama. Mama nampak terkesan dengan perbuatan papa namun segera dia menunduk apabila Tuan Arsyad memandangnya dengan pandangan tajam.
"Fine! You choose that stupid man instead of me. Fine! You win, papa. You win!"
Hafiza berkata sambil menganggukkan kepalanya. Tidak percaya dengan apa yang baru saja terjadi.
"Papa dengar sini. Today is Hari Raya Aidilfitri. Hafiza tak jamah satu jenis makanan pun lagi since dapat call dari mama. Fiza drive laju-laju sebab risau pasal papa. Fiza percaya dan sedih bila dengar pasal papa," ucap Hafiza bersama air mata yang mula membasahi pipi. Hancur hatinya apabila mengenangkan Syawal kali ini benar-benar berbeza.
"Hafiza sedih sebab Fiza takut ini adalah raya terakhir Fiza bersama papa. Hafiza takut!" Hafiza mencucuk perlahan dadanya. Rasa sakit di hatinya lebih nyeri berbanding rasa tamparan di pipinya.
"Tapi, papa tampar Fiza sebab Fiza tak nak buat benda yang Fiza tak suka. Papa tak benarkan Fiza memilih dalam hidup Fiza sendiri," kali ini suara Hafiza semakin serak. Sempat juga tawa halus meledak dari mulutnya.
"Disebabkan papa lebih pilih orang luar berbanding anak papa sendiri, papa akan hilang Fiza. Sebab papa lebih fikir pada empayar papa berbanding perasaan anak papa sendiri, you will loose me."
"Papa dengan mama akan hilang Fiza buat selamanya. Fiza benci papa dengan mama!" Jerit Hafiza kuat sebelum berlari laju meninggalkan ruang tamu.
Suara jeritan Puan Mardiah langsung tidak berjaya menghentikan langkah gadis itu. Kakinya melangkah laju ke arah pagar utama. Nasibnya sangat baik apabila Civicnya masih berada di luar rumah. Mungkin ini sebabnya Allah menggerakkan hatinya untuk tidak memakirkan kereta dalam garaj.
Masuk saja ke dalam kereta, gear ditukar dan minyak ditekan kuat. Kereta miliknya berundur sedikit sebelum memecut laju meninggalkan perkarangan rumah keluarga Syed Arsyad Hadi.
Sebelum pergi, dia sempat melihat figura mama menangis sambil melambaikan tangan. Mungkin berharap untuk dia kembali. Tapi... dah terlambat, mama.
Hafiza dah terlampau kecewa dengan kalian.
Hafiza semakin menekan kuat pedal minyaknya apabila memasuki jalan raya utama. Wajahnya sudah lencun dengan air mata yang tidak berhenti mengalir.
Pagi Syawal yang sepatutnya disambut meriah bersama keluarga bertukar menjadi Syawal yang menyakitkan buat Hafiza. Wajah papa dan mama muncul di benaknya. Dia semakin terluka.
Dalam masa yang sama, wajah Cik Babe dan Harith muncul. Semakin gugur air matanya.
Ya Allah sakit, Ya Allah.
Hafiza penat ya Allah. Hafiza boleh... rehat sebentar?
Hafiza penat sangat.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top